Isnin, 28 Jun 2010

Pemimpin PKR nafi desak Khalid undur MB Selangor!

Dakwaan 15 Ahli Parlimen boikot kepemimpinan hanya spekulasi :

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, berkata ada perbincangan dan desakan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai hala tuju pentadbiran negeri itu pada sesi pertemuan baru-baru ini. Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan ada desakan pemimpin parti supaya Abdul Khalid berundur daripada jawatannya. “Memang ada perbincangan mengenai pentadbiran kerajaan Selangor dan isu parti, tetapi tidak pula ada desakan beliau berundur jawatan Menteri Besar.

“Kalau ada konflik masa perbincangan itu hanya perkara biasa, mana-mana parti pun sama. Cuma banyak desakan dilemparkan terhadap (Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, mengenai keputusannya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS),” katanya di sini.

Sebelum ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris mendakwa wujudnya pakatan membabitkan 15 Ahli Parlimen PKR untuk memboikot Abdul Khalid sebagai pemimpin tertinggi Selangor.

Pengarah Strategik parti itu, Tian Chua mendakwa, memang wujud desakan supaya Abdul Khalid melakukan rombakan membabitkan beberapa kakitangan penting di pejabat kerajaan negeri. Katanya, segelintir pemimpin parti mahu tenaga kerja itu dipecat kerana dipercayai dilantik ketika kepemimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo.

“Ada desakan supaya kakitangan kerajaan negeri yang dilantik Barisan Nasional (BN) dipecat kerana gagal memberi kerjasama, tetapi kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya memecat mereka, jadi Abdul Khalid perlu bijak menanganinya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid menyifatkan dakwaan 15 Ahli Parlimen mahu menyingkirkannya sebagai Menteri Besar hanya spekulasi dan sedia menerima serta membaca memorandum yang dikata akan diserahkan kepadanya pada program permukiman pemimpin PKR di sebuah hotel di Shah Alam nanti.

“Tidak ada (memorandum), saya tidak menerima apa-apa daripada delegasi terbabit. Jadi, itu boleh jadi spekulasi saja,” katanya.

Di KOTA BHARU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata perkembangan itu menunjukkan Khalid perlu menerima kenyataan dirinya sedang ditolak.

“Tindakan 15 Ahli Parlimen seperti disiar akhbar kerana pentadbiran di Selangor tidak seperti yang dijanjikan, termasuk isu membabitkan pasir seperti didedahkan Kapar (Manikavasagam),” katanya.

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor