Ahad, 28 Februari 2010

76 NGO Melayu bergabung!

PRESIDEN PERKASA, Datuk Ibrahim Ali (kanan) bersama ketua NGO yang hadir pada Pelancaran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Menandatangani Watikah Pengisytiharan oleh wakil-wakil NGO di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.
Demi menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara, 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu peringkat negeri dan kebangsaan hari ini bergabung di bawah satu payung yang dinamakan sebagai Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Menurut Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, MPM ditubuhkan demi menjaga maruah penduduk bumiputera terutamanya orang Melayu.

“Semakin jelas nampaknya berlaku tekanan terhadap hak dan keistimewaan orang Melayu di tanah air sendiri dan juga kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia.
“Bukan itu sahaja, MPM juga berperanan sebagai benteng yang mempertahankan kedudukan dan kedaulatan Kesultanan Melayu yang sering dipertikaikan,” jelas Ibrahim yang juga antara pengasas MPM.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran MPM dan juga majlis Menandatangani Watikah Pengisytiharan oleh wakil-wakil NGO yang menganggotai MPM di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini hari ini.
MPM bukan pertubuhan perkauman
Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang dilancarkan hari ini bukanlah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berbentuk perkauman walaupun ia berperanan sebagai pelindung hak orang Melayu. Salah seorang pengasas MPM, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, MPM yang ditubuhkan dengan semangat Rukun Negara itu turut memainkan peranan sebagai penggerak bagi menghidupkan semangat generasi muda.

“Selain memperjuangkan hak orang Melayu, MPM juga berperanan mendidik generasi muda agar cintakan agama, bangsa dan negara. “Hari ini, hanya segelintir generasi muda Melayu yang berminat untuk melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti patriotik sebegini,” jelasnya pada sidang media majlis pelancaran NGO itu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

MPM ketika ini dianggotai oleh 76 NGO Melayu peringkat negeri serta kebangsaan dan jumlah berkenaan dijangka meningkat dari semasa ke semasa. Turut berlangsung di majlis pelancaran itu ialah Majlis Menandatangani Watikah Pengisytiharan oleh wakil-wakil NGO yang menganggotai MPM.

Beliau yang juga Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) berharap, aktiviti yang akan dilaksanakan oleh MPM nanti akan mampu menggerakkan anak-anak muda Melayu.
Tambahnya, penubuhan MPM bukanlah untuk menggugat mana-mana pihak tetapi cuma bertindak umpama benteng dan pelindung kepada tanah air.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menerima dengan hati terbuka segala usul yang akan diserahkan oleh MPM kepadanya.
Warna-warni Politik
Torashah

2 ulasan:

wasabi berkata...

Salam,

Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tidak menolak kemungkinan penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM) akan mengambil alih tugas dan peranan UMNO dalam memperjuangkan kepentingan kaum majoriti itu di negara ini.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, keadaan itu boleh berlaku jika ada segelintir pemimpin UMNO bersikap seperti 'Malaysian-Malaysia' ekoran terlalu banyak memenuhi tuntutan yang dibuat kaum lain.

"Saya lihat hari ini banyak isu melibatkan hak kepentingan orang Melayu diperjuangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) dan lain-lain lagi sehinggalah kepada penubuhan MPM.

"Sebagai sebuah parti yang ditubuhkan berasas perjuangan memelihara hak serta kepentingan orang Melayu, saya fikir UMNO seharusnya memainkan peranan lebih aktif dalam soal-soal yang melibatkan orang Melayu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, beliau menyokong penubuhan MPM dan berharap ia dapat bekerja dengan UMNO dalam mengetengahkan isu-isu dan tuntutan orang Melayu untuk dibincangkan di peringkat kepimpinan BN seperti yang dilakukan oleh parti-parti komponen yang turut membawa tuntutan kaum masing-masing.

Beliau mengulas sama ada kemungkinan fungsi perjuangan UMNO dalam menjaga kepentingan dan maruah orang Melayu bakal terhakis ekoran tugas tersebut banyak dimainkan oleh NGO-NGO Melayu berbanding parti itu ketika ini.

Semalam, 76 NGO Melayu peringkat negeri dan kebangsaan bergabung di bawah satu payung yang dikenali sebagai MPM dalam usaha menjaga maruah penduduk bumiputera terutama orang Melayu.

Penubuhan MPM yang dilancarkan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru itu dilakukan berikutan wujud tekanan terhadap hak dan keistimewaan orang Melayu serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Malah MPM berperanan sebagai benteng yang mempertahankan kedudukan dan kedaulatan Kesultanan Melayu yang sering dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam pada itu, Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai panjang menyarankan semua NGO mewakili orang Melayu termasuk yang pro pembangkang mengetepikan ideologi politik dan bersama-sama dengan MPM atas dasar kepentingan serta kemajuan orang Melayu.

Katanya, penyertaan NGO yang mewakili kaum tanpa mengambil kira ideologi kepartian sebenarnya telah lama wujud di negara ini seperti keanggotaan dalam Gabungan Persatuan-persatuan Cina (Suqiu) yang beliau difahamkan terdiri daripada 1,000 NGO mewakili kaum itu.

"Kalau mereka boleh bersama-sama tanpa mengira ideologi politik dan membuat tuntutan bagi manfaat kaum mereka, kenapa tidak NGO yang mewakili orang Melayu melakukan perkara sama demi kepentingan orang Melayu," ujarnya.

wasabi berkata...

Salam,

UMNO sedia bekerjasama dengan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang dianggotai 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara.

Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kesepaduan NGO Melayu peringkat negeri dan kebangsaan itu berganding di bawah MPM merupakan permulaan langkah yang baik ke arah melakukan usaha itu.

"UMNO sentiasa sanggup bekerjasama dengan pertubuhan itu. Namun, dalam meniti arus perubahan masa kini, mereka perlu bijaksana dalam mencapai matlamat tersebut.

"Ini kerana ada pihak yang seagama dan sebangsa sanggup menggadaikan segala-galanya demi kepentingan 'sempit' mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan 76 NGO Melayu bergabung di bawah satu payung iaitu MPM demi mempertahankan dan melindungi hak keistimewaan Melayu dan agama Islam di negara ini.

Antara NGO yang menyertai MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Menurut Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, MPM ditubuhkan demi menjaga maruah penduduk bumiputera terutamanya orang Melayu.

Dalam pada itu, Hishammuddin yakin semangat dan 'suntikan baru' yang ditunjukkan NGO-NGO Melayu itu merupakan satu perkembangan baik dalam membentuk kerjasama yang kukuh di antara mereka.

Beliau menasihatkan pertubuhan itu supaya bertindak bijak dalam mengharungi perubahan zaman serta ancaman baru terhadap agama Islam, bangsa dan tanah air.


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor