Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) menyelar tindakan tidak bermoral 50 Ahli Parlimen Australia mencampuri urusan negara ini sekali gus menzahirkan semula hasrat lama mereka untuk menjadi 'Timbalan Sherif Asia Timur'.
Menurut beliau, mereka begitu angkuh yang kononnya sebagai sebuah negara maju amat perlu mengajar negara membangun seperti Malaysia erti keadilan dan demokrasi sebenar.
Sedangkan pada masa sama, katanya, mereka seolah-olah melupakan 'keadilan' semasa dengan melakukan jenayah membunuh pelajar India dan penduduk pribumi negara itu.
"Secara membuta tuli tanpa mengetahui dengan mendalam kes liwat yang dihadapi oleh Penasihat Parti keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka telah membuat penghakiman sendiri dan mendesak Malaysia mengambil tindakan lebih demokrasi supaya kerajaan memberitahu mahkamah apa yang sepatutnya perlu dilakukan.
"Desakan itu merupakan tindakan angkuh yang menunjukkan bahawa Polisi Kulit Putih Australia masih hidup. Hasrat mereka untuk menjadi Timbalan Sherif Asia Timur masih membara," katanya dalam blog, http://chedet.co.cc/chedetblog hari ini.
Dr. Mahathir mengulas desakan 50 ahli Parlimen Australia supaya kerajaan menggugurkan pertuduhan kes liwat Anwar yang juga Ketua Pembangkang. Desakan itu dibuat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Datuk Salman Ahmad melalui sepucuk surat rasmi bertarikh 11 Februari lalu.
Dalam laporan agensi berita asing baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kecil bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby berkata, pendakwaan liwat kali kedua ke atas Anwar merupakan sesuatu yang memalukan sistem demokrasi di Malaysia dan merasakan mereka perlu menyokong pemimpin pembangkang itu.
Dr. Mahathir secara sinis memberitahu, selain Anwar, terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang disabitkan dengan kesalahan liwat tetapi tidak pula dibangkitkan oleh mana-mana pihak dari Australia.
"Adakah dasar Ahli Parlimen Australia dwi standard terhadap keadilan iaitu 'tokoh besar' tidak sepatutnya didakwa sekiranya melanggar undang-undang tetapi sebaliknya terhadap 'orang kecil'? Malaysia tidak dapat menerima pihak yang tidak berlaku adil dalam tafsiran undang-undang," katanya.
Beliau mengesyaki tindakan kumpulan Ahli Parlimen negara tersebut bersandarkan pada agenda yang lebih besar iaitu untuk menobatkan individu kesukaan mereka meneraju Malaysia.
"Adakah tindakan itu boleh dianggap sebagai demokrasi dan sah bagi negara luar untuk meletakkan calon mereka untuk mengetuai kerajaan di mana-mana negara?.
"Tidak salah bagi Anwar mencuba nasib apabila tiba masanya nanti tetapi adalah menjadi hak pula kepada rakyat Malaysia untuk memutuskan sama ada beliau layak atau tidak untuk menubuhkan kerajaan," katanya.
Warna-warni Politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan