Kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu sebelum ini yang mengingatkan rakyat tentang keluhuran Perlembagaan negara yang seharusnya dipertahankan demi menjaga keharmonian dan perpaduan, merupakan satu sejarah tersendiri yang luar biasa. Ini kerana hal-hal begini biasanya dibicara dan dikeluarkan oleh kuasa politik yang memerintah negara.
Majlis Raja-Raja mungkin merasakan perlu ketika menghadapi kegawatan suasana negara sekarang ini untuk mengeluarkan titah bagi rakyat memahami bahawa Raja-Raja Melayu merupakan tumang pemerintahan negara yang seharusnya dihormati oleh semua lapisan rakyat. Maka titah Majlis Raja-Raja adalah sesuatu yang seharusnya diberikan perhatian serius oleh rakyat dan Kerajaan.
Dalam tulisan ini, penulis hanya akan menyentuh satu isu sahaja daripada kenyataan itu, iaitu kedudukan Islam sebagai agama negara yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan negara.
Sejarah negara kita mengemukakan banyak fakta dan peristiwa yang memugkinkan pihak Raja-Raja Melayu mengingatkan rakyat kepelbagaian kaum supaya tidak bertindak melampau menafikan kedaulatan agama Islam di negara ini.
Raja Melaka, Parameswara, mengikut catatan sejarah, memeluk Islam sebagai lambang pengislaman kerajaan Melayu, dan permulaan sejarah negara di bawah naungan Raja Melayu ini tidak seharusnya dicabar dengan sewenang-wenangnya. Prinsip perundangan dan pelaksanaan Islam selaras dengan adat istiadat Melayu yang telah diterima berdekad-dekad di negara kita seharusnya diambil sebagai kepunyaan rakyat semua kaum kerana pelaksanaan Islam secara adil tidak pernah menyentuh hak dan kepentingan serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam.
Sejarah juga membuktikan bahawa Kerajaan Melaka pernah menerbitkan teks undang-undang yang bernama "Risalah Hukum Kanun" berasaskan undang-undang Islam tentang perkahwinan, muamalat, keterangan, kehakiman dan jinayat. Risalah ini merupakan dokumen penting tentang pelaksanaan Islam di dalam masyarakat Tanah Melayu, untuk menjamin kestabilan dan keadilan pemerintahan bagi masyarakat berbilang kaum yang sedia wujud pada ketika itu.
Hal ini membuktikan kedaulatan Raja Melayu dan status agama orang Melayu yang seharusnya diakui oleh rakyat, tanpa melihatnya dari sudut yang negatif, atau menganggapnya ugutan kepada masyarakt berbilang agama dan budaya. Dari sudut inilah, dan dari sudut status Islam dan Melayu di negara ini, terdapat kecenderungan sesetengah pejuang tanah air kita yang ingin menegakkan prinsip "ketuanan Melayu" mengikut kefahaman mereka.
Iaitu ketuanan yang tidak seharusnya diterjemahkan secara literal sehingga dengan itu rakyat akan mendapat tanggapan bahawa ketuanan Melayu merupakan gagasan atau kaedah yang akan menjadikan bukan Melayu sebagai hamba dan rakyat kelas bawahan, yang seharusnya hanya tunduk kepada Melayu. Bertolak daripada kefahaman ini, ramai pula pejuang negara kita yang tidak bersetuju dengan konsep ketuanan Melayu ini, kerana istilah ini telah membawa konotasi yang boleh menimbulkan rasa gelisah dan cemas di kalangan masyarakat bukan Melayu.
Oleh itu agak adil bahawa konsep ketuanan Melayu ini dapat dilihat dari sudut yang lebih positif dan tidak menimbulkan sebarang prasangka di dalam masyarakat, iaitu ketuanan Melayu adalah bermakna status Melayu yang dihubungkan dengan agama, budaya, adat resam, bahasa dan kedudukan istimewa mereka sebagai rakyat Melayu yang dipayungi oleh Raja-Raja Melayu sendiri. Tidak ketinggalan sejarah perjuangan orang Melayu menentang penjajah yang memakan korban yang banyak di kalangan orang Melayu sendiri.
Inilah konsep keistimewaan orang Melayu di negara ini, yang sebenarnya mempunyai dan memiliki tanah air mereka ini sejak sekian lama. Sekiranya terdapat aliran yang ingin mencabar kuasa Raja-Raja Melayu, maka cabaran itu adalah merupakan cabaran kepada kedudukan Melayu sendiri di dalam negara yang asalnya bernama Tanah Melayu ini.
Sejarah juga mencatatkan terdapat beberapa negeri Melayu yang menjadikan Islam sebagai dasar perlembagaan negeri seperti di Johor pada 1895 dan Trengganu pada 1911. Tetapi sayangnya fakta ini hanya tinggal dalam catatan sejarah, tanpa dijadikan asas maklumat dan pendidikan rakyat umum, sehingga seolah-olah Tanah Melayu merupakan bumi asing dari kita, sehinggakan orang Melayu dilihat sebagai "pendatang" di negara sendiri.
Pengiktirafan
Sejarah Tanah Melayu baru, yang diberi nama "Malaya" oleh penjajah, juga memperlihatkan pengiktirafan yang sejati tentang status agama Islam, iaitu ketika Perikatan mengemukakan memorandum kepada Lord Reid, Pengerusi Suruhanjaya Draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Merdeka 1957) mencadangkan supaya Islam dijadikan agama negara Malaya. Sebagai balasannya yang adil maka prinsip ini tidak menyentuh hak warga negara bukan Islam untuk menganut agama mereka. Cadangan inilah yang diterima dan dimaktubkan di dalam Perlembagaan negara.
Kesediaan dan komitmen tiga kaum terbesar Malaya ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada Kerajaan British, iaitu tentang kedudukan agama Islam dan kebebasan bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dalam aman dan harmoni, merupakan satu persefahaman asas yang menjadi prinsip pemerintahan negara ini.
Kontrak sosial tentang agama adalah persetujuan bersama di antara rakyat keseluruhannya tentang kandungan persetujuan yang telah diterima untuk diperuntukkan di dalam Perlembagaan kita. Oleh itu amatlah malang jika terdapat pihak-pihak yang cuba menafikan tentang wujudnya kontrak sosial ini ketika negara kita mencapai kemerdekaan dulu, atau berusaha untuk tidak memahaminya sebagai wadah keharmonian bangsa di dalam negara kita pada saat ini. Golongan inilah yang kelihatan sedang mencuba mencabar prinsip agama Islam di negara kita yang telah menjadi amalan dan diterima baik oleh semua kaum ketika negara mencapai kemerdekaan.
Keputusan yang dikeluarkan oleh Raja-Raja Melayu amatlah kena dan tepat pada masanya ketika masyarakat berada di ambang perpecahan, dan menghadapi keadaan yang runcing, terutamanya sehingga terheret isu-isu agama yang remeh dan tidak sepatutnya ditimbulkan di dalam masyarakat kita yang bertamadun ini.
Adalah amat diharapkan bahawa proses dan usaha mempertingkatkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, dan usaha mengemaskinikan latihan dan pengeluaran tenaga manusia yang berkemampuan dalam pentadbiran agama dapat dilipat gandakan untuk melahirkan institusi pentadbiran, kehakiman, pendidikan dan semua institusi agama yang lebih berwibawa dan cekap sesuai dengan perkembangan negara yang pesat membangun.
Pendeknya, kedudukan Islam di Malaysia merupakan teras kewujudan institusi Raja Melayu, dan hal ini amat terserlah kepada dunia kerana Yang di-Pertuan Agong sendiri ketika mengangkat sumpah jawatan, antara lainnya berikrar akan mempertahankan agama Islam. Sebagai pemerintah tertinggi negara, ikrar yang dilafazkan ini amatlah bermakna sekali bagi rakyat dan negara.
Oleh itu, apabila Raja bertitah, maka tidaklah seharusnya timbul lagi gerakan melampau yang bertujuan mempolitikkan agama mengikut kepentingan peribadi, atau kumpulan yang tertentu sehingga meletakkan Islam di persimpangan jalan yang merbahaya. Kita dalam keadaan sekarang tidak memerlukan golongan pelampau, termasuk golongan pelampau di dalam agama, iaitu kumpulan pelampau agama dari semua agama yang diamalkan di Malaysia.
Hal ini disebutkan kerana di dalam apa saja agama yang wujud di dalam dunia ini akan terdapat golongan pelampau dan fanatik melulu. Golongan inilah yang seharusnya disekat daripada berleluasa di dalam negara yang selama ini berjaya menghayati kehidupan aman dan tenteram, penuh toleransi dan harmoni.
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan