Isnin, 7 Disember 2009

Jangan agungkan Chin Peng !

Sebagai salah seorang wartawan Malaysia yang dihantar membuat liputan Majlis Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1 Disember 1989 di Hatyai Thailand, antara soalan yang saya masih ingat saya ajukan kepada Chin Peng ialah: "Apakah saudara masih seorang Marxist-Leninist?" Chin Peng dengan wajah yang hampir-hampir tersenyum menoleh ke arah saya dan menjawab: ''Ya."

Chin Peng menambah: ''Kami hanya meletakkan senjata bukan membubarkan PKM ataupun fahaman komunisme.''
Itulah kata-kata Chin Peng yang tidak dapat saya lupakan sepanjang karier saya sebagai seorang wartawan yang berpeluang untuk membaca kisah hidupnya dalam buku sejarah, dan kemudian ditakdirkan juga berpeluang menatap wajah dan bersua muka dengannya secara berdepan pada sidang akhbar bersejarah itu 20 tahun lalu.

Atas alasan itu jugalah mengapa Chin Peng dan anggota PKM yang lain tidak dapat memenuhi salah satu daripada empat kerangka Perjanjian Damai tersebut kerana keengganan mereka untuk kembali dan melalui proses 'pemutihan' di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terlebih dahulu.

Sebabnya ialah seperti yang dilafazkan oleh Chin Peng, dia masih seorang berfahaman Marxist-Leninist. Chin Peng sanggup melepaskan perjuangan bersenjata ke atas Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak bersedia untuk menggugurkan fahaman yang dianutinya sejak sekian lama itu.
Marxism-Leninism secara 'basahannya' membawa maksud Bolshevism atau ringkasnya komunisme.

Hakikatnya ialah sehingga Chin Peng membuat pengakuan terbuka bahawa dia tidak lagi mendokong fahaman tersebut, maka Kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebab untuk menerima semula kepulangan Setiausaha Agung PKM itu ke tanah air. Malah jika sekalipun Chin Peng membuat pengisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang komunis, Chin Peng tidak boleh terlepas daripada melalui proses ditahan di bawah ISA.

Chin Peng tidak boleh dibenarkan menjalani kehidupan bebas keluar masuk ke kedai kopi dan menghadiri forum itu dan ini serta menganjurkan majlis itu dan ini atas nama apa sekalipun.
Ini kerana kesan tindakan seperti itu akan hanya menimbulkan keresahan di kalangan rakyat terbanyak, apatah lagi kepada keluarga mangsa keganasan komunis yang bukan sahaja terdiri daripada kalangan perajurit dan masyarakat awam tetapi juga masyarakat Melayu, Cina dan India serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Kehadirannya semula di kalangan kita hanya akan membuka luka yang berdarah. Chin Peng sendiri harus menerima takdir yang tertulis ke atasnya kerana itulah jalan yang dia pilih. Dan betapa keengganannya menerima Perjanjian Damai di Baling pada tahun 1955 telah menjurus ke arah pertumpahan darah yang bukannya sedikit di kalangan perajurit kita dan juga masyarakat awam yang lain.

Generasi baru yang tidak melalui kesengsaraan kehilangan ahli keluarga kerana terkorban ditembak atau diserang hendap komunis, cuba menulis semula sejarah tanah air dengan mengagungkan anggota PKM dan Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan negara melalui blog, laman web dan juga penerbitan buku. Mereka perlu berasa malu dan menghentikan tindak-tanduk mereka itu.

Sebaliknya, seluruh rakyat Malaysia yang menolak komunisme dan ahli keluarga para perajurit kita yang terkorban mempertahankan negara ini daripada ancaman subversif wajib bangun menyuarakan penolakan mereka terhadap gagasan membenarkan kepulangan Chin Peng.
Dalam konteks ini, saya memuji kenyataan berterus terang Naib Presiden Gerakan Malaysia, Mejar (K) Huan Cheng Guan bahawa saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan, supaya Kerajaan Malaysia membenarkan kepulangan Chin Peng mestilah ditentang atas nama para perajurit tanah air yang terkorban kerana mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman PKM.

Saya mengenali Mejar (K) Huan secara peribadi. Hakikat bahawa bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu juga adalah bekas seorang anggota TUDM memperlihatkan betapa semangat patriotismenya yang menebal dan sensitivitinya sebagai seorang perajurit tulen. Rakyat dan seluruh negara patut mendengar suara bekas perajurit negara seperti Mejar Huan, Kanang anak Langkau, Onjinin Christopher Jopinol, Amid Abdul Rahman dan ramai lagi yang mengorbankan diri mereka untuk mempertahankan negara dan juga untuk kesejahteraan kita semua daripada mendengar suara minoriti yang mendesak sebaliknya.

Putra Heights USJ

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor