Sabtu, 9 Januari 2010

PM kutuk serangan gereja!

Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk dua kejadian serangan ke atas gereja dan satu laporan kes ugutan semalam yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, dipercayai ekoran isu kalimah Allah.

Tegas Perdana Menteri, perbuatan terkutuk itu akan menghancurkan keharmonian yang selama ini dinikmati oleh seluruh rakyat negara ini. Serentak itu, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memastikan pihak berkuasa meningkatkan kawalan terhadap rumah-rumah ibadat termasuk gereja.

“Kepelbagaian agama sebagai satu amalan hidup yang kita saling hormat menghormati antara satu sama lain tidak boleh digugat oleh sesiapa. “Kerajaan akan mengambil apa jua tindakan yang mampu dilakukan untuk mencegah perbuatan seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di sini hari ini. Perdana Menteri mengulas dua kejadian membakar gereja dengan sengaja di Lembah Klang pada awal pagi ini.

Dua buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya. Laporan media menyebut, sekumpulan pemuda membaling bahan-bahan mudah terbakar ke arah tingkat bawah gereja The Metro Tabernacle yang terletak pada sebuah lot kedai dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu.

Sementara itu, pada pukul 4 pagi, bom petrol dilaporkan dilontarkan ke gereja The Assumption namun tiada kerosakan berlaku. Perdana Menteri menegaskan, semua pihak perlu menggunakan kaedah dan saluran yang sesuai dalam menangani sebarang masalah yang berbangkit dalam negara.

“Kita tidak boleh ambil tindakan yang melampaui batas undang-undang sehingga boleh mengancam keharmonian negara,” katanya. Dalam hal ini, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan rapi ke atas insiden berkenaan.

“Apa juga tindakan yang diambil perlu berasaskan kepada fakta dan undang-undang negara,” katanya. Kepada soalan adakah beliau memerlukan laporan terkini dari semasa ke semasa daripada Musa mengenai kejadian berkenaan, beliau berkata:

“Saya tidak perlukan laporan dari minit ke minit tetapi saya sudah bercakap dengan beliau (Musa) semalam dan hari ini serta bercakap juga dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein). “Jika bukti-bukti diperoleh (mengenai kejadian itu), laporan akan diberikan kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, beliau telah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan berjaga-jaga dengan rancangan kumpulan yang mengadakan demonstrasi hari ini berhubung isu kalimah Allah. “Saya harap dengan kenyataan dan tindakan polis, orang ramai tidak akan melanggar undang-undang negara,” katanya. - UM

Warna-warni Politik

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor