MENGGUNAKAN gagasan 1Malaysia untuk menuntut taraf bumiputera untuk bukan Melayu sememangnya tidak masuk akal atau boleh saja dikatakan hilang akal.
Juga ketara benar orang yang membuat tuntutan sedemikian rupa menggunakan segenap ruang yang ada untuk memanipulasi gagasan yang ditonjolkan kerajaan.
Matlamat 1Malaysia bukan untuk menyamaratakan segala-galanya yang ada di negara ini. Gagasan itu juga tidak bertujuan mengubah segala persetujuan yang telah dimeterai oleh kaum-kaum di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Sebaliknya gagasan itu merupakan satu lagi platform untuk menggembleng sokongan padu rakyat pelbagai kaum untuk bersama-sama kerajaan menjayakan dasar pembangunan negara.
Gagasan yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri bertujuan memastikan keserasian antara kaum yang wujud sekarang ini berjaya dikekalkan.
Justeru apabila suara M. Manoharan berkumandang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menuntut status Bumiputera dikurniakan kepada bukan Melayu bersandarkan alasan 1Malaysia, ia semestinya di luar logik akal.
Tuntutan seumpama itu juga mencerminkan kedangkalan fikiran si penuntut. Dia hanya tahu mengaitkan gagasan pemimpin nombor satu negara dengan tuntutan bukan-bukan sehingga boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dalam negara.
Tindakan sedemikian juga boleh saja mengelirukan gagasan 1Malaysia yang kini dilihat oleh segelintir pihak kononnya untuk melenyapkan agenda bumiputera dan menjadikannya agenda nasional tanpa ada batasan kaum.
Seolah-olah 1Malaysia akan menghapuskan keistimewaan bumiputera dan segala-galanya akan diberi sama rata. Sedangkan hakikatnya status bumiputera hanya dimiliki kumpulan tertentu - Melayu dan golongan pribumi dengan sedikit keistimewaan diperuntukkan kepada mereka.
Keistimewaan itu kekal begitu selamanya - jika pun tiada pengurangan, tiada juga tokok tambah sehingga mampu menggusarkan bukan bumiputera di tanah air yang bernama Malaysia ini.
Tidak juga keistimewaan yang kini diimbangi oleh pengenalan dasar-dasar baru yang mampu melukai hati bukan Melayu sehingga mewajarkan mereka untuk menuntut diberi status yang sama.
Hakikatnya bumiputera tetap bumiputera. Selepas berkorban mengetepikan kepentingan diri dengan menerima kaum-kaum lain sebagai saudara senegara, kini status Bumiputera ingin dikongsi?
Semestinya tuntutan yang boleh saja dirumuskan sebagai kurang ajar dan tidak sedar diri itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Apatah lagi episod tuntutan itu dikaitkan dengan arahan pemakaian songkok pada sidang DUN.
Paling dikesali apabila terlontar dari mulut bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu orang bukan Melayu merasakan hak mereka dalam perkara tertentu diketepikan berikutan taraf bukan bumiputera itu.
Hak apa yang diketepikan? Dalam aspek mana bukan bumiputera dipinggirkan? Jika benar taraf bukan bumiputera menghalang mereka mendapatkan hak tertentu, atas dasar apakah bukan bumiputera tidak boleh meneruskan kelangsungan hidup di negara ini?
Atas alasan apa jugakah penguasaan ekonomi di negara ini menyaksikan pegangan bukan bumiputera mengatasi bumiputera? Adakah kerana status bukan bumiputera? Atau kemuliaan hati kerajaan yang diterajui bumiputera menyebabkan mereka kini 'memijak' bumiputera yang kononnya sarat dengan pelbagai keistimewaan sehingga tertinggal jauh di belakang?
Pengenalan biasiswa nasional misalnya membuka ruang yang sama rata kepada pelajar cemerlang tanpa mengira kaum. Begitu juga agenda pembangunan ekonomi yang tidak membataskan kaum selain bidang pendidikan yang memberi layanan sama rata kepada semua kaum.
Manoharan mesti menyelak teks sejarah atau meneliti Perkara 153 Perlembagaan dan lain-lain peruntukan yang terkandung di dalamnya. Cukuplah menyentuh hati orang Melayu yang dengan rela hati berkongsi hak dan kepentingan yang sepatutnya dinikmati bersendirian secara bersenang-lenang.
Sedarlah kaum bukan Melayu tidak pernah dilayan berasingan jauh sekali dipinggirkan.
Buka mata dan pandang sekeliling. Jika kaum India masih ada yang merempat di ladang-ladang, orang Melayu tidak kurang dihimpit lara di pedalaman. Jika bukan Melayu muncul sebagai orang terkaya, kaya raya dan kaya, di mana pula kedudukan Melayu yang begitu 'istimewa' hanya kerana status bumiputeranya! - UM
Warna-warni politik
Torashah
2 ulasan:
Pergerakan Pemuda UMNO kesal dengan sikap Pas yang sekadar membisu terhadap tuntutan dan tindakan melampau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah dari DAP, M. Mahoharan yang jelas menghina orang Melayu, tradisi dan undang-undang.
Exco Pemuda UMNO, Lokman Nor Adam berkata keengganan Manoharan yang juga pemimpin pertubuhan haram Hindraf memakai songkok dan berbaju kebangsaan menunjukkan beliau sudah lupa sejarah dan asal kewarganegaraannya.
Katanya, tuntutan supaya status bumiputera diberikan kepada semua kaum terlebih dahlu sebelum mengenakan pakaian itu bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial malah menghina semua orang Melayu khususnya di kawasan beliau.
''Tindakan dan kata-kata beliau telah mengguris perasaan orang Melayu dan beliau harus memohon maaf secara terbuka di atas kebiadaban dan sikap keterlaluan itu.
''Kami Pemuda UMNO memandang serius dan menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan bersentimen perkauman dan melampau yang dibuat oleh Manoharan atau mana-mana pihak yang lain.
''Tindakan beliau nyata mencabar kedaulatan undang-undang dan menggugat keamanan dan ketenteraman negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Manoharan yang dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 9 Mei lalu, enggan memakai songkok dan berbaju kebangsaan walaupun menghadiri majlis rasmi dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau tidak akan memakai pakaian yang beridentiti atau bercirikan kemelayuan sebagai protes terhadap kerajaan yang enggan memberi status bumiputera kepada bukan Melayu.
Lokman berkata, tindakan sedemikian bukannya baru kerana itulah pendekatan pembangkang dengan menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) memainkan isu-isu perkauman sedangkan merekalah yang sering membangkitkan tuntutan sedemikian.
Beliau turut menyatakan keyakinan rakyat negara ini akan menolak gimik politik murahan wakil rakyat DAP itu.
''Justeru kami menggesa pihak berkaitan supaya bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang membuat tuntutan yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara," katanya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany menyelar sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang menggunakan isu perkauman untuk mencari populariti.
Beliau yang juga Bendahari MIC menegaskan, tindakan Manoharan itu yang menggunakan isu pemakaian songkok oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim boleh menggugat perpaduan antara kaum yang sedia terjalin sejak sekian lama.
Katanya, soal hak, kedudukan agama dan budaya sesuatu kaum di negara ini sememangnya telah termaktub dalam Perlembagaan dan ia perlu dihormati semua pihak.
"Sekiranya ada individu yang ingin mempertikaikan dan mempunyai perasaan syak wasangka, ini boleh membawa padah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Integrasi Inap Desa 1Malaysia di Dewan Kampung Ketam, Kerdau dekat sini semalam.
Devamany mengulas kenyataan Manoharan kelmarin yang kurang senang melihat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) memakai songkok semasa menjalankan tugas pada persidangan itu.
Kata Manoharan, beliau tidak berapa gembira dengan pemakaian songkok kerana orang bukan Melayu tidak diberikan status bumiputera dan masih dilayan sebagai kumpulan berbeza.
Menurut Devamany, Manoharan perlu memperbetulkan kenyataannya itu dan menghormati sensitiviti rakyat berbilang kaum di negara ini agar keamanan yang dibina terus dikekalkan.
''Beliau boleh berpendirian sedemikian tetapi ada perkara yang kita boleh bertolak ansur dan tidak perlu taksub dalam perjuangan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MIC akan mengadakan lebih banyak program di peringkat akar umbi untuk meningkatkan pemahaman ahli-ahlinya mengenai konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
''Kita akan mengadakan program-program yang boleh menghala kepada perkara ini. Ia harus kita buat kerana rakyat masih kabur mengenai konsep itu.
''Selain itu, kita dalam Barisan Nasional (BN) sendiri perlu bersatu dalam konsep 1Malaysia, barulah orang percaya. Janganlah kita indah khabar daripada rupa dan suka tanam tebu di bibir sahaja," katanya.
Catat Ulasan