Isnin, 8 Jun 2009

Mengimbas kegagalan komunisme!

MENCERMINKAN keadaan cemas semasa darurat dulu ialah berita akhbar Straits Times pada 24 Februari 1950 mengenai serangan 200 orang gerila komunis ke atas balai polis terpencil di Bukit Kepong, 35 batu dari Muar.

Kisah bermula: "Serangan selama 6 jam itu berakhir dengan pembunuhan 23 orang di balai polis tersebut - 13 anggota polis, enam orang pengawal kampung, tiga isteri polis dan seorang kanak-kanak.

Tiga orang anggota polis cedera parah manakala seorang lagi terbakar tubuhnya. Sebilangan yang terselamat kemudian menyebut mengenai seorang pekedai Cina mati ditembak mati dan seorang kanak-kanak cedera.

Serangan dilancarkan mulai jam 4.30 waktu subuh. Setelah menyerang selama tiga jam, mereka mendesak anggota-anggota polis yang masih selamat supaya menyerah diri," demikian antara laporan akhbar Straits Times.

Laporan serba lengkap peristiwa bersejarah dan tragedi itu disusun kemudiannya oleh Wikipedia, ensaiklopedia bebas. Antara 23 orang yang mati dibunuh di balai polis itu ialah ketua mereka, Sarjan Jamil Mohd Shah.

Pasukan komunis semasa pertempuran itu menawan isteri seorang anggota polis dan memaksa ia memujuk pihak polis supaya menyerah diri. Tetapi pihak polis enggan dan terus menembak. Seorang lagi isteri polis dengan anak perempuannya ditawan turut dipaksa memujuk tetapi kedua-duanya enggan lalu dibunuh.

Kisah sedih seumpama kembali dalam ingatan bekas-bekas polis dan askar kini sebagai reaksi kepada gesaan pihak tertentu supaya Ching Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya dibenarkan pulang.

Menjadi bahan rujukan dalam hal ini ialah laporan akhbar British, The Observer pada 14 Jun 1998 setelah BBC mengadakan interviu khas dengan Ching Peng di London. Tajuk berita: Finally I meet the man I was sent to kill 40 years ago - and he smiles.

Lalu penulisnya, Neal Ashcherson, askar semasa darurat di Malaya, bertanya Chin Peng apakah perjuangannya selama 12 tahun (1948-1969) sesuatu yang wajar.

Antara lain beliau menulis: "Kekhilafannya yang utama, seperti diakuinya ialah ia gagal mendapat sokongan majoriti orang Melayu. Baginya masalah bahawa para pekerja proletar ialah orang Cina manakala para petani adalah orang Melayu dan beragama Islam.

Pihak komunis tidak mengambil kira faktor keteguhan etnik dan agama. Fahaman Marxisme dan Leninsime tidak pernah terfikir bagaimana mahu berinteraksi dengan semangat kebangsaan atau agama. Kerana itulah tiada apapun dicapai setelah mereka berjuang selama 12 tahun. Betapa dengan 12,000 nyawa yang terkorban itu?

Kegagalan mendapat sokongan orang Melayu juga dicatat oleh sejarawan Lucien W. Pye dalam bukunya Guerrilla Communism in Malaya (Princeton University Press 1956): "Kegagalan pada peringkat awal untuk menarik orang Melayu berjuang di bawah bendera revolusi menandakan pelbagai kesukaran Parti Komunis Malaya untuk mendapat sokongan dari kaum yang paling ramai di Malaya."

Juga menjadi rujukan ialah kenyataan Datuk Seri Yuen Yuet Leng, bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, dalam akhbar Sun Weekend 6-7 Ogos 2005 berjudul Why Chin Peng failed in Malaya. Menurutnya Chin Peng tidakpun menjelaskan suatu lagi aspek perjuangannya iaitu untuk menubuhkan Communist Republic of Malaya, sesuatu yang dirancang oleh Parti Komunis Malaya sejak 1930-an.

Datuk Seri Leng juga menegaskan: "Majoriti besar rakyat kita dalam Barisan Nasional dan pihak Oposisi telah memilih demokrasi, bukan komunisme untuk cara hidup kita dan berkerajaan - walau apa jua perbezaan yang mungkin dalam mengamalkan pemerintahan demokrasi."

Dan akhirnya diingatkan: "Chin Peng dan Jawatankuasa Pusat terlalu ghairah dan yakin, hingga gagal menginsafi kerumitan- kerumitan pelbagai kaum Malaya yang masih konservatif.
Inilah salah satu sebabnya Parti Komunis Malaya tewas dalam peperangan, kerana perjuangannya dirancang berdasarkan contoh negara China, kerana mahu mewujudkan alam sekitar seperti negara China dan pemikiran China, iaitu yang sama sekali berbeza dari alam sekitar Malaya."

Antara kajian selanjutnya mengenai gerakan komunis di Malaya ialah perjuangan Darurat Malaya Kedua (1969-1975) oleh Ong Wei Chong dari Institute of Defence and Strategic Studies, Singapore. Menurut beliau Komunis Malaya gagal mencapai kejayaan dalam perjuangan revolusi hingga ke peringkat akhir. Dengan menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989, Parti Komunis Malaya akhirnya menamatkan perjuangan bersenjata dan Darurat Kedua Malaya pun tamat.

Beliau mengulangi sesuatu yang dicatat oleh Chin Peng dalam buku riwayat hidupnya, iaitu berupa epilog paling berkesan mengenai perjuangan bersenjata.- UM

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor