Jumaat, 16 Ogos 2013

Laluan kontra tidak selamat - Latar?

Pemilik kenderaaan membuat pusingan U secara haram dan tidak menghiraukan kon batu yang diletakkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) berhampiran susur masuk Kundang, Rawang, Selangor.

Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) diingatkan agar tidak membuat pusingan U berhampiran susur keluar tol Kundang di sini bagi mengelakkan risiko berlakunya kemalangan.

Wakil pengurusan Latar, Surati Sujor berkata, selain meletakkan diri mereka serta pengguna lain dalam keadaan bahaya, tindakan itu juga adalah salah di sisi undang-undang.

Menurutnya, pihak Latar menerima banyak cadangan daripada pengguna untuk mewujudkan laluan kontra di susur masuk ke Lebuhraya Latar, bagaimana pun ia tidak selamat bagi pengguna.

"Jalan susur masuk sedia ada telah direkabentuk dan dibina untuk keperluan jalan masuk sahaja ke Latar daripada Jalan Setia, Kundang untuk semua jenis kenderaan dari kelas 1 hingga kelas 5 termasuk kereta, van, lori, treler dan bas.

"Ia mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri dan telah diluluskan Bahagian Audit Keselamatan Jalan sebelum diwarta dan dibuka untuk kegunaan orang awam sebelum diluluskan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)," katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkembangan projek pembinaan susur keluar bertol di Kilometer 17.6 Latar, katanya, kontraktor bagi membina susur keluar baharu di kedua-dua arah di Persimpangan Kundang juga telah dilantik.

"Kerja-kerja awalan dan kerja-kerja tanah telah pun dimulakan dan projek dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun 2014.

"Orang awam akan dimaklumkan mengenai perkembangan serta kemajuan projek dari semasa ke semasa,"katanya.

Sementara itu Risiko berlaku kemalangan

Tindakan pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (Latar) membuat pusingan ‘U’ dan menjadikan laluan sehala kepada dua hala dari arah Kuala Lumpur dan Selayang ke susur masuk Kundang ternyata mengundang bahaya kepada mereka.

Ini berikutan laluan di situ didapati sempit dan sukar untuk melihat kenderaan yang datang dari arah hadapan.

Tinjauan pemberita baru-baru ini mendapati, biarpun penghadang batu diletakkan di laluan tersebut pengguna jalan raya tetap berdegil dan terus menggunakan laluan tersebut.

Mereka seolah-olah tidak menghiraukan kenderaan yang datang dari arah bertentangan dan walaupun jelas terpampang papan tanda ‘Dilarang Masuk’ di hadapan. Tanpa rasa bersalah mereka dilihat tetap membuat pusingan` U’ haram.

Penulis turut dimaklumkan kawasan tersebut sering berlaku kemalangan terutama membabitkan penunggang motosikal.

Difahamkan, tindakan pengguna membuat pusingan U di kawasan tersebut dengan alasan melecehkan dan terlalu jauh.

Seorang pengguna, Ahmad Kamsani Muhammad, 35, berkata, jika tidak membuat pusingan U di situ dia terpaksa melalui laluan yang terlalu jauh untuk pulang dari tempat kerja.

Menurutnya, dia tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa melalui tol Rawang atau melalui Bandar Bukit Rahman Putra.

“Sementara menunggu jalan susur keluar ke Kundang siap, saya cadangkan pihak pengurusan Latar membenarkan pengguna membuat pusingan U," katanya.

Sementara itu, Noriah Kasbi, 45 pula berkata, pemasangan penghadang batu yang pada asalnya bertujuan memudahkan pemandu menjadi sebaliknya.

Katanya, tindakan pemandu kenderaan membuat pusingan U di situ mengundang bahaya kepada pengguna lain.

“Sebelum ini, pemandu akan memasuki persimpangan rehat dan rawat (R&R) Kundang terlebih dahulu sebelum membuat pusingan ke susur masuk ke Kundang, tetapi setelah separuh jalan ditutup telah menyukarkan kenderaan membuat pusingan.

“Keadaan ini menyebabkan kami perlu lebih berhati-hati kerana perlu melihat kenderaan dari arah susur masuk selain memberi laluan kepada pengguna lebuh raya yang lain," katanya.

Dia turut mencadangkan agar pihak pengurusan Latar mengkaji semula larangan atas faktor darurat dan jika perlu memasang kon di pembahagi jalan atau mengawal lalu lintas pada waktu puncak.

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor