Sabtu, 24 Ogos 2013

Apa niat Dong Zong - TPM?


Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan niat sebenar tentangan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) terhadap pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan dilancar bulan depan walaupun mereka turut terlibat dalam penggubalannya sebelum ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, dakwaan Dong Zong kononnya pelaksanaan PPPM akan menghapuskan bahasa Cina dan sekolah jenis kebangsaan Cina sama sekali tidak benar serta tidak disebut langsung dalam pelan berkenaan.

Katanya, beliau hairan dengan tindakan Dong Zong itu kerana mereka terlibat dalam perbincangan awal pelaksanaan dasar berkenaan, sebelum secara tiba-tiba menentangnya apabila PPPM mahu dicetak.

"Apa yang kita buat ini tidak menyalahi undang-undang negara atau Dong Zong sengaja mahu melihat sekolah kebangsaan terus mundur dan jika mundur, tidak akan menjadi 'ancaman' kepada sekolah jenis kebangsaan.

"Apakah itu tujuan mereka? Jika itu tujuannya, menunjukkan niat mereka yang tidak baik," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra sempena lawatan kerja rasmi dua hari ke negara ini yang bermula hari ini.


Mengulas penentangan berterusan Dong Zong itu, Muhyiddin menegaskan, beliau tidak akan melayan desakan itu kerana PPPM bertujuan meningkatkan sistem pendidikan negara yang dikatakan merosot.

Pelan tersebut katanya, telah digubal berdasarkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk kira-kira 17,000 orang ramai yang memberi pendapat menerusi perundingan meja bulat dan juga secara dalam talian.

"Saya mahu tegaskan, kita akan teruskan PPPM tanpa rasa digugat oleh mana-mana pihak dan saya tidak akan rasa tercabar, kita sudah kaji dan ini jalan terbaik.

"Kalau saya berundur, bukan sahaja dilihat mengalah tetapi tidak bertanggungjawab dan kalau saya tunduk kepada mereka, bukan sahaja dilihat lemah tetapi kita akan mengabaikan sistem pendidikan kita," tegasnya.

Timbalan Perdana Menteri berharap kelompok masyarakat Cina yang waras dan tidak melihat PPPM sebagai satu ancaman, akan terus memberi sokongan.

Menurutnya, kumpulan itu antaranya yang mewakili sekolah menengah jenis kebangsaan, tidak menentang PPPM sebaliknya memberi pelbagai cadangan seperti mahu pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris ditingkatkan dan tambahan masa untuk bahasa Cina.

"Itu bagi saya tidak ada masalah, mereka ini ialah kelompok yang ada semangat kebangsaan, tetapi Dong Zong langsung tidak menghormati, jadi kita tidak akan layan lagipun mereka (mewakili) kelompok kecil sahaja," ujarnya.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor