Sabtu, 13 Julai 2013

Tarikan awal kempen PRK Kuala Besut!


Baru lebih dua bulan berlalu, ketika masih banyak kedapatan bendera dan sebilangan poster parti-parti belum luruh diragut waktu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut akan berlaku. PRK yang pertama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 5 Mei lalu dan menjadikan demam politik yang mulai beransur kebah, membahang semula.

Namun Ramadan mungkin mengekang sedikit suhu itu walaupun keputusan 24 Julai nanti yang bakal ditentukan oleh pengundi akan membawa makna dan kesan yang sangat besar bagi kedua-dua parti yang bersaing dalam mencorakkan senario politik. Malah kemungkinan akan memberi kesan kepada rakyat dan negeri dalam tempoh lima tahun lagi. Ini membayangi pendirian pemimpin parti-parti yang bertanding.

BN perlu memastikan ia tetap mempunyai kelebihan dua kerusi yang memberikan hak kepadanya untuk kekal menerajui negeri. Pembangkang mahu menjadikan jumlah seimbang bagi menggoyahkan BN dan mungkin mengheret menjadi konflik perlembagaan memanjang jika BN yakin kedudukan Yang Dipertua DUN masih memberikan kelebihan kepadanya, jika kalah.

Sebagai persiapan, kelmarin BN dan Pas yang sepakat untuk kembali bertanding bagi meraikan proses demokrasi melancarkan gerak kerja pilihan raya pada masa sama mengumumkan calon masing-masing.

BN mengetengahkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, yang berlatar belakang sebagai jurutera awam dengan suasana kehidupan keluarga dan khidmat yang dekat dengan masyarakat. Pas pula mengemukakan Azlan @ Endot Yusof, 48, bendahari Pas kawasan yang juga seorang kontraktor dan harapan yang dipertaruhkan kepada mereka ternyata cukup tinggi sebagaimana yang digambar oleh pucuk pimpinan parti masing-masing.


Apa yang menarik kali ini, BN mengemukakan calon yang dianggap begitu muda dalam resam politik UMNO dengan harapan membawa kemenangan lebih besar. Pas tidak menurunkan kalangan yang diberi status ulama atau setidak-tidaknya ustaz sebagaimana lazimnya tetapi memutuskan seorang yang dikatakan banyak menyumbangkan sumber kewangan untuk parti.

Namun PRK ini berlaku di kawasan yang dianggap kubu kuat UMNO, apatah lagi dalam Parlimen dan bahagian yang diterajui oleh Datuk Seri Idris Jusoh, pemimpin yang disenangi lawan malah turut dihormati lain di samping khidmat berkesan Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar. Mungkin kerana itulah Pas dalam PRU lalu tidak begitu menunjukkan tentangan dengan hanya meletakkan calon wanita tunggalnya di negeri ini untuk berhadapan dengan Allahyarham.

Pas buat pertama kalinya meminta calonnya melakukan baiah (bersumpah) secara terbuka pada majlis pengumuman calonnya yang bertujuan memastikan mereka tidak berpaling menentang parti. Langkah di luar kelaziman itu yang dipertonton dan diperdengar umum apabila Azlan dinamakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon parti itu.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa perbuatan itu dilakukan secara terbuka dan apakah kandungan baiah itu sama sebagaimana yang pernah dilafazkan oleh calon-calon Pas sebelum ini.

Abdul Hadi membayangkan tidak mustahil kemenangan boleh dicapai jika orang kampung dapat dipengaruhi dan disedarkan agar tidak terus menyokong kerajaan biarpun telah menerima banyak kemudahan. Justeru, jentera Pas Kelantan yang berpengalaman dikatakan akan membantu untuk lebih mencerdikkan mereka.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor