Ahad, 7 Julai 2013

Pertikai cadangan Selangor beri pinjaman KDEB, PKNS?


Kerajaan negeri digesa supaya menjelaskan rasional berhubung cadangan menggunakan kewangan negeri sebanyak RM517.5 juta hanya untuk memberikan pinjaman kepada dua anak syarikatnya.

Gesaan tersebut dikemukakan oleh Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) yang menyifatkan cadangan kewangan tersebut menerusi Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2013 menimbulkan keraguan.

Dua anak syarikat terbabit adalah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) masing-masing membabitkan peruntukan pinjaman sebanyak RM413.2 juta dan RM80 juta.

Daripada cadangan peruntukan pinjaman kepada KDEB katanya, anak syarikat itu mahu menggunakannya untuk mengambilalih Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) melibatkan pembelian saham berjumlah RM193.46 juta.

Tawaran tersebut katanya, dibuat KDEB melalui Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) yang merupakan syarikat induk kepada KHSB.

"Mengapa pengambilalihan tersebut dibuat secara tergesa-gesa walaupun kerajaan negeri sedar bahawa keputusan ini menyebabkan pertambahan defisit sebanyak RM413.2 juta atau 25.33 peratus daripada belanjawan asal yang diumumkan Menteri Besar sebagai 'bajet berimbang'.


"Jika dilihat daripada kos pengambilalihan itu sebanyak RM193.46 juta, jika peruntukan tambahan ini diluluskan KDEB mempunyai lebihan RM219.54 juta. Jadi lebihan KDEB akan digunakan untuk apa," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Pada masa sama, Sulaiman turut mempersoalkan perjanjian pengambilalihan tersebut yang dibuat pada 29 April 2013 iaitu ketika DUN Selangor telah dibubarkan dan pentadbiran negeri di bawah kerajaan sementara.

Selain KDEB, beliau turut mempersoalkan cadangan peruntukan wang negeri sebanyak RM80 juta untuk dipinjamkan kepada PKNS bagi membolehkan anak syarikat kerajaan Selangor itu mengambilalih tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membangunkan projek Datum In-City.

"Mengapa PKNS tidak menggunakan sumber kewangannya sendiri untuk membeli tanah tersebut sedangkan kedudukan kewangan syarikat itu dikatakan dalam keadaan yang kukuh," soalnya.

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor