Rabu, 31 Julai 2013

Anggap kewujudan objek rahmat Ramadan?

Objek putih yang dikatakan menyerupai orang rukuk dalam solat dilihat di dahan pokok hadapan rumah Irfan, kelmarin.

KOTA BHARU- Kehadiran objek seperti cahaya datang dari dahan pokok di hadapan rumahnya dianggap sebagai satu rahmat pada bulan puasa dan memberi keinsafan dalam diri apabila ia menjelma sebelum subuh, kelmarin.

Irfan Mat Daud, 47 dari Kampung Chekok Tengah, Jalan Rambutan Rendang, di sini berkata, objek tersebut dilihatnya kira-kira jam 4.30 pagi semasa dia bangun untuk bersahur.

“Saya pulang dari kerja pembersihan kira-kira jam 4 pagi dalam keadaan hujan rintik dan cukup sejuk pagi itu, malah lebih menghairankan, pokok-pokok dilihat ‘menunduk’ dan layu, muncul seketika sahaja.

“Selepas berada di dalam rumah, saya menyelesaikan solat hajat kerana berasakan malam tersebut sangat pelik. Kemudian, saya rasa mahu mengambil gambar di luar rumah apabila melihat pokok seperti kelayuan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Irfan berkata, dia melihat terdapat satu objek putih yang dilihat dengan mata kasar seperti kapas yang sedikit bergerak dan dia tertarik untuk merakam gambar objek berkenaan dan apabila dilihat melalui rakamannya, ia seperti orang rukuk dalam solat.

Kata Irfan, dengan rakaman gambar yang dilakukannya, dia menanyakan hal tersebut kepada beberapa ustaz yang dikenali dan rata-rata mereka mengatakan ia satu rahmat dari ALLAH dan memberi keinsafan kepada saya serta keluarga untuk melipat gandakan amalan pada bulan mulia ini.

Katanya, perkara itu dianggap satu perkara baik dan berharap ia mampu memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua umat Islam.

Warna-warni Politik
Torashah

Ahad, 28 Julai 2013

Fahaman Syiah wujud dalam kalangan ahli Pas - Hasan Ali?


Pas sukar untuk menafikan bahawa fahaman Syiah tidak wujud di dalam parti itu dan antara puncanya adalah kegagalan pucuk pimpinan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang berita atau aduan mengenai penglibatan pemimpin serta ahlinya di dalam fahaman tersebut.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, selama ini sudah ada bukti-bukti yang menunjukkan terdapat pemimpin tertinggi Pas mengamalkan fahaman Syiah.

Pemimpin itu ujarnya, dikatakan tidak menunaikan solat Jumaat, melakukan pelbagai taqiyyah (berpura-pura) selain tersebarnya video kunjungan hormat pemimpin berkenaan ke atas rejim ganas Bashar al-Asad ketika seluruh umat Islam mengutuk keganasan Presiden Syria terhadap rakyatnya sendiri.

"Apa yang ingin saya tonjolkan di sini, pemimpin tertinggi Pas dikatakan tidak mempunyai taring dan keberanian politik untuk mengambil tindakan drastik terhadap pemimpin atasan tersebut yang selama ini secara terang-terangan menyalahi undang-undang tubuh Pas.

"Undang-undang tubuh Pas mengharamkan ahli-ahlinya menganut fahaman selain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan dua pemimpin tertinggi sebuah parti politik dikenal pasti sebagai bertanggungjawab menyebar dan memberi sokongan politik kepada gerakan Syiah negara ini terutama di utara tanah air.

Selain itu Hasan berkata, terdapat juga berita mengenai adanya pemimpin tertinggi Pas telah dipanggil bersemuka dengan Majlis Syura Ulama untuk mengiya atau menafikan penglibatannya di dalam kegiatan Syiah.


Dalam perkembangan lain beliau berkata, ada dakwaan mengatakan kekalahan beberapa calon utama Pas di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu seperti di Kedah disebabkan wujudnya faktor Syiah di dalam parti itu.

"Seingat saya setiap kali datangnya tahun pemilihan di dalam muktamar tahunan Pas, isu pemimpin Syiah dalam parti sering dijadikan bahan kempen untuk memenang dan menewaskan seseorang calon yang merebut kerusi kepimpinan parti," katanya.

Walau bagaimanapun ketika menjawab satu soalan, beliau meminta maaf kerana tidak dapat menentukan secara definitif keseriusan fahaman Syiah di dalam Pas.

"Yang jelasnya isu ini telah kerap ditimbulkan sejak dari awal lagi penyertaan saya di dalam Pas iaitu pada era Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

"Walau apa pun, maklumat yang ada pada saya selari dengan apa yang dipaparkan di dalam media. Bagi saya soal penglibatan pemimpin-pemimpin kanan itu serius dan perlu diberi perhatian serta tindakan tegas dan menyeluruh," katanya.

Mengenai penglibatan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di dalam fahaman Syiah, Hasan berkata, beliau tidak dapat mengesahkannya secara pasti.

"Namun, seperti yang terdapat di dalam sebuah portal di internet ada menyebut pimpinan PKR di salah sebuah negeri di Semenanjung dikatakan seorang penganut ajaran Syiah," ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, antara kenyataan yang sukar dinafikan bahawa wujudnya fahaman Syiah di dalam kepimpinan politik pembangkang ialah terdapatnya lambang-lambang dikaitkan dengan Syiah khususnya berkaitan Ayatollah Khomeini ditampil secara terbuka kepada umum oleh mereka.

"Ini juga bermakna kewujudan Syiah dalam kalangan pimpinan dan penyokong parti politik bukan sesuatu yang tersembunyi sebaliknya ditonjol dengan megah di saf hadapan," katanya lagi.

Warna-warni Politik
Torashah

Rabu, 24 Julai 2013

PAS Guna Kanak-Kanak Untuk Merayu Undi?


PAS sanggup gunakan kanak-kanak demi merayu undi simpati dari rakyat Kuala Besut.

Walaupun mereka tahu tindakan membabitkan kanak-kanak dalam kempen adalah salah disisi undang-undang, tapi demi mencipta provokasi terhadap pihak berkuasa. Mereka sanggup lakukan apa saja.

Sekiranya pihak berkuasa menahan mereka kerana kesalahan tersebut, memang itulah yang mereka tunggu-tunggu agar simpati rakyat dapat diraih.

PAS sememangnya tidak mampu berkempen cara yang bersih, walaupun setiap saat mereka berhujah tentang agama dan keislamannya.

Sumber gambar -Melanau blogger

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 20 Julai 2013

Gempar...!!! Hujan batu di Bandar Seri Alam?

ORANG ramai melihat kerosakan yang berlaku akibat dihempap bongkah-bongkah batu yang berterbangan dari sebuah kuari berhampiran di Jalan Bukit 2, Bandar Seri Alam, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU - Suasana di Jalan Bukit 2, Bandar Seri Alam dekat sini, umpama 'hujan batu' apabila ketulan dan bongkah batu sehingga sebesar kereta berterbangan di udara petang ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan suasana kelam-kabut apabila pekerja beberapa kilang berhampiran bertempiaran lari menyelamatkan diri daripada dihempap bongkah batu yang berterbangan ekoran kerja-kerja meletupkan batu di sebuah tapak kuari yang terletak di atas sebuah bukit.

Lebih malang, seorang pekerja kilang warga Nepal maut manakala 10 lagi mengalami kecederaan selepas terkena serpihan batu yang terpelanting akibat letupan kuat itu.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Rizal Buang berkata, kejadian itu turut memusnahkan sebuah substesen Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala 18 kenderaan dan 14 kilang di kawasan berhampiran turut mengalami kerosakan teruk.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1.14 petang dan tiba di lokasi kejadian dalam masa 30 minit dengan kekuatan 37 anggota dibantu 16 anggota polis serta dua kakitangan TNB.

"Insiden ini berpunca daripada letupan kuat di kawasan kuari berhampiran dan serpihan batu itu kemudiannya terpelanting dalam jarak lingkungan satu kilometer.

"Dalam kejadian ini, pekerja Nepal berusia dalam lingkungan 30-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena serpihan batu, manakala 10 orang yang lain turut mengalami kecederaan dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat kemudiannya dihentikan selepas mendapati kawasan berkenaan bebas daripada sebarang ancaman dan kerja-kerja syarikat kuari berkenaan turut dihentikan serta-merta.

Sementara itu, seorang pekerja kilang di kawasan itu, Sahwanda Sunoto, 24, berkata, ketika kejadian dia sedang menjalankan kerja-kerja rutin di bahagian pentadbiran sebelum terdengar bunyi gegaran yang kuat.

Katanya, ketika letupan pertama dia masih meneruskan kerjanya sebelum kedengaran bunyi letupan dan disusuli gegaran yang lebih kuat sebelum menyelamatkan diri ke bahagian bawah kilang kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada waktu itu.

"Apabila saya turun, dua batu bersaiz besar menembusi bahagian siling dan menghempap kerusi serta meja kerja saya. Saya sangat bernasib baik kerana sempat turun, kalau tidak saya sudah meninggal dunia," katanya.

Seorang lagi pekerja, Mohd. Zaidi Chik, 36, memberitahu, sebelum kejadian, dia berada di kawasan luar kilang sedang berehat sebelum terdengar letupan sebanyak dua kali dan bunyi kali kedua lebih kuat berbanding sebelumnya.

"Selepas letupan kali kedua itu, saya nampak batu-batu berterbangan di langit sebelum jatuh ke bumi seperti hujan batu. Kejadian itu menyebabkan empat pekerja lain yang berada di luar mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki dan anggota badan lain.

"Saya kemudiannya terus melarikan diri ke dalam kawasan bangunan bagi mengelakkan diri terkena serpihan batu-batu yang berterbangan itu," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 18 Julai 2013

#PRK Kuala Besut : Pelik tapi benar, PAS tak benar Azlan bercakap dengan media?


“Janji itu kemudian kerana yang penting kita nak menang dulu,” kata calon PAS, Endot @ Azlan Yusof, 48, ketika ditanya janjinya jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, 24 Julai ini.

Azlan atau lebih dikenali sebagai Che Long dalam kalangan keluarga dan penduduk tempatan berkata, beliau yakin menang kerana sudah dikenali penduduk setempat.

“Saya orang Kampung Baharu yang sudah lama bergaul dengan penduduk di sini. Sebelum jadi calon pun, saya duduk dengan rakyat, jadi kenalah pilih saya supaya senang untuk kesinambungan jika mempunyai sebarang masalah,” katanya.

Beliau yang berkelulusan SPM dan memegang jawatan Bendahari PAS Besut tidak dibenarkan bebas bercakap dengan media tanpa pemantauan daripada pihak pengurusan PRK parti berkenaan.

Pelbagai agensi media yang membuat liputan sepanjang PRK Kuala Besut mengeluh kerana berdepan masalah untuk menemuramah Azlan terutama ketika ditemui pada sesi turun padang bertemu pengundi di sekitar kawasan ini.

Kepemimpinan parti berkenaan memutuskan calonnya tidak boleh mengeluarkan kenyataan kepada media, berikutan bimbang kenyataan Che Long boleh memakan diri serta menjejaskan peluang untuk menang kerusi DUN Kuala Besut.

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 15 Julai 2013

PM Pada Majlis Iftar Perdana Peringkat Selangor Di Jeram, Kuala Selangor.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini telah berkesempatan meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama masyarakat di Kuala Selangor. Bertempat di Masjid Jamiur Ridhuan, di Pekan Jeram, Perdana Menteri turut berjemaah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan terawikh.

Pada satu majlis sederhana dalam sesi menunaikan tanggungjawab terhadap agama itu, Najib selaku pemimpin negara telah turut berkesempatan memberikan memberikan sedikit ucapan berupa amanat untuk para hadirin yang hadir.

Lokasi: Masjid Jamiur Ridhuan, Jeram, Kuala Selangor
Acara: Majlis Iftar Perdana Peringkat Negeri Selangor


KUALA SELANGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata biarpun ada perbezaan politik dan pendapat di kalangan umat Islam di Malaysia, ia tidak seharusnya membawa kepada konflik yang keterlaluan.

"Sebaliknya kita cari titik pertemuan agar umat Islam dan Islam itu sendiri tidak tergugat dan kita dapat majukan bumi Malaysia ini kepada masa depan yang jauh lebih baik lagi," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama kepimpinan Umno Selangor dan masyarakat setempat di Masjid Jamiuridhuan, Simpang Empat Jeram di sini malam tadi.

Beliau berkata Malaysia menolak fahaman ekstremis dan fanatik serta mereka yang hendak melakukan kerosakan di bumi Allah ini dan sebaliknya mengamalkan kesederhanaan dan jalan tengah yang dilihat pendekatan terbaik untuk negara dan Islam.

Selain itu, katanya, kerajaan juga mengamalkan dasar inklusif, yang menghimpunkan mereka yang beragama Islam dan bukan beragama Islam di bawah satu pentadbiran yang adil dan saksama.

"Satu daripada sebab Malaysia aman damai dan harmoni bukanlah macam negara yang terlibat dalam pergolakan di Afrika Utara dan Timur Tengah kerana kita amalkan dasar-dasar kesederhanaan, kerana jalan tengah...sederhana jalan sebaik-baiknya mengikut Islam," katanya.


Beliau berkata Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) akan terus mentadbir negara sebaik-baiknya supaya pembangunan secara holistik atau menyeluruh seperti dituntut Islam dapat dilaksanakan.

Najib berkata sebagai menghargai mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan BN pimpinan Umno, syiar Islam akan terus dipertingkatkan, akidah dan kesucian Islam termasuk kalimah Allah dipertahankan.

"Kita akan menyediakan lebih banyak peluang dari segi pendidikan termasuk pendidikan Islam, tempat ibadat seluruh negara kita akan tambah dan sediakan kemudahan lebih selesa," katanya.

Selain itu, sebagai menghargai anggota jawatankuasa surau dan masjid di seluruh negara, Najib berkata mereka akan diberikan sumbangan kain pelikat, kain jubah, telekung, air zam-zam.

Pada malam tadi, Najib menyampaikan sumbangan berkenaan kepada ketua-ketua bahagian Umno di Selangor untuk diagihkan kepada anggota jawatankuasa masjid dan surau di seluruh Selangor.

Beliau turut meluluskan permintaan jawatankuasa masjid itu bagi mendirikan sebuah dewan serbaguna untuk orang ramai.

Najib bersama kepimpinan Umno Selangor turut berbuka puasa bersama lebih 2,000 hadirin selain menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.


Perdana Menteri yang mengenakan baju Melayu hijau muda, berkain pelikat hijau tua dan bersongkok hitam turut meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah selepas selesai solat.

Najib berkata antara sebab Jeram dipilih sebagai tempat pertama beliau berbuka puasa di Selangor ialah kerana sokongan padu pengundi di sini yang memberikan kemenangan kepada kesemua dua kerusi dewan undangan negeri, iaitu Bukit Melawati dan Jeram di bawah parlimen Kuala Selangor yang turut dimenangi BN.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukur Idrus, Ketua Bahagian Umno Kuala Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram Datuk Amiruddin Setro, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim, Adun Bukit Melawati Jakiran Jacomah dan anak lelaki Najib, Norashman Razak.

Warna-warni Politik
Torashah

Sabtu, 13 Julai 2013

Majlis Berbuka Puasa, Bersolat Maghrib, Isyak Dan Tarawih Bersama Perdana Menteri!


Satu majlis berbuka puasa, bersolat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama Perdana Menteri, Dato'Seri Najib Tun Razak akan di adakan di pada 14 Julai ( Ahad ) 2013 di Masjid Jamiuridhuan, Simpang Empat, Jeram, Kuala Selangor. Majlis akan bermula pada jam 5:30 petang.
Semua muslimin dan muslimat di jemput hadir.

Sekian. Wassallam.

Warna-warni politik
Torashah

Tarikan awal kempen PRK Kuala Besut!


Baru lebih dua bulan berlalu, ketika masih banyak kedapatan bendera dan sebilangan poster parti-parti belum luruh diragut waktu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut akan berlaku. PRK yang pertama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 5 Mei lalu dan menjadikan demam politik yang mulai beransur kebah, membahang semula.

Namun Ramadan mungkin mengekang sedikit suhu itu walaupun keputusan 24 Julai nanti yang bakal ditentukan oleh pengundi akan membawa makna dan kesan yang sangat besar bagi kedua-dua parti yang bersaing dalam mencorakkan senario politik. Malah kemungkinan akan memberi kesan kepada rakyat dan negeri dalam tempoh lima tahun lagi. Ini membayangi pendirian pemimpin parti-parti yang bertanding.

BN perlu memastikan ia tetap mempunyai kelebihan dua kerusi yang memberikan hak kepadanya untuk kekal menerajui negeri. Pembangkang mahu menjadikan jumlah seimbang bagi menggoyahkan BN dan mungkin mengheret menjadi konflik perlembagaan memanjang jika BN yakin kedudukan Yang Dipertua DUN masih memberikan kelebihan kepadanya, jika kalah.

Sebagai persiapan, kelmarin BN dan Pas yang sepakat untuk kembali bertanding bagi meraikan proses demokrasi melancarkan gerak kerja pilihan raya pada masa sama mengumumkan calon masing-masing.

BN mengetengahkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, yang berlatar belakang sebagai jurutera awam dengan suasana kehidupan keluarga dan khidmat yang dekat dengan masyarakat. Pas pula mengemukakan Azlan @ Endot Yusof, 48, bendahari Pas kawasan yang juga seorang kontraktor dan harapan yang dipertaruhkan kepada mereka ternyata cukup tinggi sebagaimana yang digambar oleh pucuk pimpinan parti masing-masing.


Apa yang menarik kali ini, BN mengemukakan calon yang dianggap begitu muda dalam resam politik UMNO dengan harapan membawa kemenangan lebih besar. Pas tidak menurunkan kalangan yang diberi status ulama atau setidak-tidaknya ustaz sebagaimana lazimnya tetapi memutuskan seorang yang dikatakan banyak menyumbangkan sumber kewangan untuk parti.

Namun PRK ini berlaku di kawasan yang dianggap kubu kuat UMNO, apatah lagi dalam Parlimen dan bahagian yang diterajui oleh Datuk Seri Idris Jusoh, pemimpin yang disenangi lawan malah turut dihormati lain di samping khidmat berkesan Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar. Mungkin kerana itulah Pas dalam PRU lalu tidak begitu menunjukkan tentangan dengan hanya meletakkan calon wanita tunggalnya di negeri ini untuk berhadapan dengan Allahyarham.

Pas buat pertama kalinya meminta calonnya melakukan baiah (bersumpah) secara terbuka pada majlis pengumuman calonnya yang bertujuan memastikan mereka tidak berpaling menentang parti. Langkah di luar kelaziman itu yang dipertonton dan diperdengar umum apabila Azlan dinamakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon parti itu.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa perbuatan itu dilakukan secara terbuka dan apakah kandungan baiah itu sama sebagaimana yang pernah dilafazkan oleh calon-calon Pas sebelum ini.

Abdul Hadi membayangkan tidak mustahil kemenangan boleh dicapai jika orang kampung dapat dipengaruhi dan disedarkan agar tidak terus menyokong kerajaan biarpun telah menerima banyak kemudahan. Justeru, jentera Pas Kelantan yang berpengalaman dikatakan akan membantu untuk lebih mencerdikkan mereka.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 12 Julai 2013

Isu Chinadoll : Laporan siasatan sudah diserahkan kepada pejabat peguam negara pada 9 April 2011, hasilnya bagaimana?


Polis sudah mengenal pasti identiti wanita yang berada dalam rakaman video seks dikaitkan dengan seorang pemimpin politik pembangkang dan juga lokasi video itu dirakam. Menurut sumber, wanita itu adalah seorang pelajar sebuah kolej swasta di ibu kota berusia 26 tahun yang juga seorang warga China.

“Polis sudah merakam percakapan wanita terbabit bagi membantu siasatan berhubung video seks yang mengaitkan ahli politik pembangkang itu,” katanya. Menurutnya, hasil soal siasat dilakukan, wanita itu turut mendedahkan lokasi rakaman video seks berkenaan dilakukan.

“Rakaman itu dilakukan di sebuah kondominium di pinggir ibu kota. Sebaik mengenalpasti lokasi rakaman itu dilakukan, sepasukan pegawai dan anggota polis ke lokasi berkenaan bagi meneruskan siasatan,” katanya.

Bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan, pasukan penyiasat yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, dikatakan membawa rakaman berkenaan kepada pusat penyiaran terkemuka di luar negara untuk dianalisis, pada 4 April lalu.

Sumber itu berkata, pihak berkuasa percaya berdasarkan kepakaran dan keupayaan teknologi serta pengalaman dimiliki pusat penyiaran berkenaan mampu mengenalpasti pelaku yang berada dalam video seks berkenaan sekali gus menyelesaikan persoalan individu sebenar yang berada dalam video berkenaan.

Polis sudah melengkapkan kertas siasatan itu dan diserahkan kepada pejabat peguam negara pada 9 April lalu. Persoalannya mengapa sehingga ke hari ini peguam negara masih diam membisu?

Warna-warni Politik
Torashah

Ahad, 7 Julai 2013

Pertikai cadangan Selangor beri pinjaman KDEB, PKNS?


Kerajaan negeri digesa supaya menjelaskan rasional berhubung cadangan menggunakan kewangan negeri sebanyak RM517.5 juta hanya untuk memberikan pinjaman kepada dua anak syarikatnya.

Gesaan tersebut dikemukakan oleh Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) yang menyifatkan cadangan kewangan tersebut menerusi Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2013 menimbulkan keraguan.

Dua anak syarikat terbabit adalah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) masing-masing membabitkan peruntukan pinjaman sebanyak RM413.2 juta dan RM80 juta.

Daripada cadangan peruntukan pinjaman kepada KDEB katanya, anak syarikat itu mahu menggunakannya untuk mengambilalih Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) melibatkan pembelian saham berjumlah RM193.46 juta.

Tawaran tersebut katanya, dibuat KDEB melalui Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) yang merupakan syarikat induk kepada KHSB.

"Mengapa pengambilalihan tersebut dibuat secara tergesa-gesa walaupun kerajaan negeri sedar bahawa keputusan ini menyebabkan pertambahan defisit sebanyak RM413.2 juta atau 25.33 peratus daripada belanjawan asal yang diumumkan Menteri Besar sebagai 'bajet berimbang'.


"Jika dilihat daripada kos pengambilalihan itu sebanyak RM193.46 juta, jika peruntukan tambahan ini diluluskan KDEB mempunyai lebihan RM219.54 juta. Jadi lebihan KDEB akan digunakan untuk apa," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Pada masa sama, Sulaiman turut mempersoalkan perjanjian pengambilalihan tersebut yang dibuat pada 29 April 2013 iaitu ketika DUN Selangor telah dibubarkan dan pentadbiran negeri di bawah kerajaan sementara.

Selain KDEB, beliau turut mempersoalkan cadangan peruntukan wang negeri sebanyak RM80 juta untuk dipinjamkan kepada PKNS bagi membolehkan anak syarikat kerajaan Selangor itu mengambilalih tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membangunkan projek Datum In-City.

"Mengapa PKNS tidak menggunakan sumber kewangannya sendiri untuk membeli tanah tersebut sedangkan kedudukan kewangan syarikat itu dikatakan dalam keadaan yang kukuh," soalnya.

Warna-warni Politik
Torashah

Selasa, 2 Julai 2013

Kenyataan Jusuf Kalla adalah isu integriti?


Jerebu cuaca hampir berlalu. Tetapi jerebu politik yang datangnya dari seberang antara Jusuf Kalla-Anwar Ibrahim mengambil tempat. Ramai yang terkejut apabila Jusuf mengambil pendekatan begitu. Banyak pihak telah memberi reaksi atas kenyataan Jusuf itu. Anwar seperti biasa belum memberi reaksi.

Kecuali Karpal Singh menyatakan isu ini boleh memberi kesan kepada Pakatan Rakyat dan menuntut Jusuf minta maaf dan menyatakan kekesalan terhadap kenyataan tersebut.

Isu yang dikemukakan oleh Jusuf adalah isu besar dan datang dari orang besar, bekas Naib Presiden Indonesia. Kalau tidak mempunyai bukti yang cukup Jusuf tidak akan membuat kenyataan sedemikian.

Yang menariknya, Jusuf ialah sahabat peribadi Anwar sekian lama dan terlibat membuat suatu perjanjian mengenai pilihan raya antara Najib-Anwar. Dalam masa sama Jusuf mempunyai hubungan baik dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bila rakan-rakan lain membuat kenyataan kontroversial mengenai Anwar, beliau memilih untuk tidak memberi reaksi dengan harapan orang tidak percaya dan lama-kelamaan isu itu akan lenyap. Pengalaman lalu apa saja isu kontroversial yang melingkari imej Anwar, Pas jarang memberi reaksi dan DAP tidak mengambi pendirian.


Kenyataan berani Jusuf menyebut Anwar mendapat dana besar daripada pihak asing untuk menganjurkan siri perhimpunan haram membantah keputusan PRU-13 menarik perhatian Karpal Singh.

Lebih menarik lagi, kenyataan Jusuf adalah Anwar mempunyai imaginasi sangat melampau dan ego kerana masih ingin menjadi Perdana Menteri meskipun parti kepimpinannya kalah.

Bagi Karpal Singh yang membuat desakan kepada Jusuf supaya minta maaf atas nama integriti adalah suatu hal yang pelik. Tidak mungkin Jusuf menarik balik kenyataannya seperti tidak mungkin Karpal Singh menarik balik tuduhannya terhadap Anwar "kaki-liwat" seperti yang terkandung dalam hansard Parlimen.

Sebagai orang penting Indonesia, Jusuf sudah tentu mempunyai maklumat dan pengamatan politik hasil pengalamannya dengan Anwar. Apabila Anwar mengatakan bahawa perjanjian dengan Najib itu atas inisiatif Jusuf bukannya atas permintaan Anwar di situ Jusuf mula memahami siapa Anwar sebenarnya. Anwar tidak bercakap benar.

Apabila Jusuf mengamati tingkah laku politik Anwar selepas PRU-13 dan strategi demonstrasi Black-Out 505 ia mengukuhkan lagi tanggapan Jusuf bahawa Anwar mempunyai imaginasi sangat melampau dan ego kerana masih ingin menjadi Perdana Menteri meskipun parti pimpinannya kalah. Seolah-olah Anwar menolak takdir Allah.

Nampaknya Jusuf jauh lebih peka apa yang berlaku di Malaysia tentang gelagat politik Anwar tetapi pakatan pembangkang terus menobatkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen baru-baru ini tanpa menghiraukan isu integriti yang melingkari Anwar termasuk Karpal Singh sendiri.


Sepatutnya Anwar dan Karpal Singh saman Jusuf terhadap isu ini seperti rajinnya Anwar menyaman Utusan Malaysia terhadap isu lain. Jusuf tidak akan buat kenyataan seperti itu tanpa asas bukti dan maklumat yang kukuh.

Dr. Chandra Muzaffar sering membuat kenyataan mengenai penglibatan Anwar dengan pihak asing tetapi tidak pula dicabar oleh Karpal Singh supaya menarik balik atau minta maaf.

Mungkin agaknya kenyataan Jusuf boleh menyebabkan orang seperti Habibie, Adi Sasono, Yusmahindra akan mula bertanya siapa sebenarnya Anwar kerana mereka ialah kawan rapat sekian lama yang masih mengagumi Anwar sebagai tokoh unggul di Malaysia yang tidak ada cacat-celanya.

Parlimen sedang bersidang kini. Apakah akan ada ahli Parlimen membangkitkan isu ini di Parlimen untuk mendapat penjelasan daripada Anwar mengenainya.

Kerana isu dana dari luar negara adalah isu besar dan sensitif dari sudut keselamatan negara

Atau kalau berbangkit nanti penyokong Anwar akan mempertahankan Anwar dan menghubungkan ia adalah kerja UMNO seperti yang dilakukan oleh Anwar dan orang-orangnya terhadap isu-isu lain - menyalahkan orang lain untuk menyatakan ia adalah fitnah untuk menjatuhkannya. Kali ini datangnya dari Jusuf, orang penting di Indonesia dan rakan karib Anwar sekian lama.

Kalau rakan karib sudah hilang percaya kepada Anwar ia adalah sesuatu yang tidak baik bagi hari depan politik Anwar di Indonesia dan di Malaysia juga.

Warna-warni Politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor