Ahad, 18 November 2012

Promosi Pas dan tarbiah makan diri?



Pas yang sedang berusaha keras untuk memperbaiki imejnya sebagai pilihan bagi menggantikan UMNO dalam pecutan terdesaknya menjadi parti dominan pakatan pembangkang, patut berasa malu.

Di tangan kiri Pas mempromosi habis-habisan individu yang dianggap berpengaruh yang menyertai parti itu. Sebut sahaja yang terbaharu, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Mohd. Nahwari Hashim. Bukan kepalang, individu itu diraikan dalam himpunan muktamar Pas disaksikan ribuan ahli, Jumaat lalu.

Tetapi di tangan kanan, pemimpin yang sedia ada tidak menunjukkan perilaku sepatutnya yang menggambarkan Pas dalam imej Islamiknya yang disukai dalam kalangan rakyat. Apa yang berlaku ini umpama madu di tangan kiri, racun di tangan kanan.

Sebut sahaja tindakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad yang tanpa pandang kanan dan kiri membela Nurul Izzah Anwar dalam isu hak kebebasan beragama. Begitu juga dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang dengan pantas mengulasnya dengan menyalahkan UMNO.


Sikap Dr. Dzulkefly dan kelompoknya itu dilihat tegar mahu membela sekutu, bukan kebenaran. Tak apalah demi kekuasaan, perkara yang salah dan mengelirukan boleh dikorbankan.

Sebagai pemimpin yang mahu dikenali sebagai seorang intelek dan penggerak Islam, tindakan Dr. Dzulkefly tidak membantu untuk meredakan kemarahan umat Islam yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, malah sebaliknya yang berlaku.

Kenyataan beliau yang mengaku cukup baik dengan Sultan Selangor dan mahu menghadap bagi menjelaskan hal sebenar mengenai Nurul Izzah kepada baginda kerana menganggap pihak berkuasa tidak memberi penjelasan secukupnya, tidak sepatutnya dilakukan.

Kenyataan itu beliau buat dalam sidang media di lobi Parlimen bagi mengulas kekesalan Sultan Selangor terhadap kenyataan Nurul Izzah yang dibuat dalam forum di sebuah gereja di Selangor.


Sikap bangga diri Dr. Dzulkefly dan seolah-olah mahu merendah-rendahkan martabat Sultan Selangor yang dikenali cukup teliti dan melakukan banyak penyelidikan sebelum menitahkan apa jua perkara, segera disanggah oleh bekas Exco agama Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Beliau bertanya sejak bila Dzulkefly cukup baik dengan Sultan. Beliau sendiri tidak pernah melihat batang tubuh Dr. Dzulkefly di dalam majlis yang melibatkan Sultan Selangor khususnya dalam acara-acara mengenai Islam dan adat istiadat Melayu.

Menyanggah

Ternyata hanya selepas lapan hari, kecurigaan banyak pihak termasuk Hasan itu terjawab. Sultan Selangor bertitah yang sama sekali menyanggah apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Titah Sultan itu pula dibuat semasa sambutan Maal Hijrah, satu mesej yang begitu jelas untuk tidak difahami oleh kumpulan Dr. Dzulkefly ini. Apakah nanti mereka boleh berkata, titah itu adalah suara UMNO?


Jadi, benarkah beliau cukup baik dengan Sultan Selangor? Kalau ada muka, Dr. Dzulkefly sepatutnya berasa malu dan memohon maaf secara terbuka.

Setakat ini, apa yang dapat dilihat isu hak kebebasan beragama tidak lebih merupakan kesilapan Nurul Izzah. Memang benar beliau berkata begitu seperti ditegaskan oleh Siti Zabedah Kasim. Ahli Majlis Peguam yang bertanyakan soalan yang mencetuskan kontroversi itu sendiri hairan mengapa Nurul Izzah bertukar arah 180 darjah.

Tetapi Dr. Zulkefly dan sekumpulan rakannya dalam Pas tidak peduli dengan hakikat itu. Beliau yang sepatutnya menasihatkan Nurul untuk menjernihkan isu itu, bertindak sebaliknya dengan mencetuskan kontroversi baharu.

Mungkin akibat tarbiah Pas yang kini banyak disuguhkan dan dicemari dengan kepentingan politik kekuasaan, parti itu telah gagal memainkan peranannya. Dalam kebanyakan masa pula, wakil rakyat mereka tidak lagi bertindak secara terhormat, malah lebih suka mengelirukan rakyat.

Begitu juga dalam masa mereka mahu mempromosi hudud. Baru sedetik Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menyatakan pakatan pembangkang bersedia untuk melaksanakan hudud, perkara itu terus dilempar begitu sahaja.


Sekali lagi, yang entah berapa kali kepimpinan Pas yang bercakap soal hudud disergah sedemikian rupa oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh. Nada DAP ini tidak pernah berubah walaupun telah sekian lama diagungkan sebagai berada dalam satu jemaah.

Cuma Pas yang terpaksa banyak berubah nada dan terus berdalih bagi memberi laluan kepada bantahan DAP itu.

Sanggupkah mereka membuat pembelaan dan menganjurkan bantahan besar-besaran sebagaimana yang mereka lakukan ke atas Preaiden MCA, Datuk Seri. Dr. Chua Soi Lek yang mengkritik hudud ala Pas itu?

Kali ini sepatutnya lebih teruk, kerana melibatkan ulama Pas sendiri. Kenyataan itu pula dinyatakan dalam muktamar tahunan Pas, majlis penting yang mengumpulkan seluruh kepimpinan Pas.

Apatah lagi, Karpal menyifatkan kenyataan Harun itu sebagai 'menyimpang jauh daripada kebenaran dan berniat jahat'.

Jika tarbiah Pas betul, Karpal tidak akan berani mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

Tetapi inilah Pas sekarang. Promosinya nampak hebat tetapi indah khabar daripada rupa. Pengasuhan para kader mahupun pemimpinnya juga begitu tertib tetapi rupanya mudah luntur dengan kekuasaan.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor