Rabu, 21 November 2012

Antara Pas dahulu dan hari ini?



Secara tiba-tiba Majlis Syura Pas bersidang di Kota Bharu sempena muktamar parti itu dengan membuat penekanan dan perakuan bahawa Pas hari ini adalah Pas dahulu yang tidak pernah lari daripada perjuangan asalnya.

Menurut Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din, arah tuju Pas dahulu dan sekarang adalah sama. Pas masih utuh dan tetap atas perjuangan asalnya tanpa sedikit pun menyeleweng daripada apa yang tercatat dalam Perlembagaan parti itu fasal 5 (1), memperjuangkan wujudnya dalam negara ini dan pemerintahan yang terlaksana dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

Namun persoalan apakah benar Pas sekarang melaksanakan perjuangan yang berlandaskan kepada nilai-nilai Islam?

Apakah nilai-nilai Islam yang dimaksudkan oleh Pas termasuk mendoakan kehancuran sekumpulan umat Islam lain semata-mata kerana perbezaan ideologi politik?

Apakah nilai-nilai Islam ala Pas itu termasuk dengan begitu mudah menuduh parti yang dianggotai oleh majoriti umat Islam lain sebagai murtad?

Apakah nilai-nilai Islam cara Pas ialah membenarkan pemimpin-pemimpinnya hanya mendiamkan diri apabila ada sekutunya melakukan tindakan atau ucapan yang bertentangan dengan kehendak Islam?

Apakah nilai-nilai Islam ala Pas hanya berani berhadapan dengan musuh politik mereka sahaja tetapi apabila ada dalam kalangan sekutu menentang hukum hudud yang diperjuangkan oleh parti itu, maka Pas mendiamkan diri?

Apakah nilai-nilai Islam Pas begitu mudah melemparkan fitnah kononnya berlaku penyelewengan dalam pilihan raya sedangkan parti itu sendiri memenangi banyak kerusi termasuk menguasai Kelantan dan Kedah?

Apakah nilai-nilai Islam Pas sentiasa melihat mereka sahaja betul sedangkan orang lain buruk belaka?

Apakah nilai-nilai Islam Pas ialah memburu kuasa politik dengan apa cara sekali pun biar pun prinsip perjuangan sendiri sanggup digadaikan?

Jelaslah terlalu banyak persoalan mengenai nilai-nilai Islam yang Pas maksudkan kerana tindak-tanduk dan sikap parti sendiri dari semasa ke semasa tidak mencerminkan nilai-nilai berkenaan.

Hakikatnya, kita akui Pas dahulu tidak ada bezanya dengan Pas sekarang iaitu begitu mudah menghukum orang lain, merasakan diri mereka sahaja pejuang Islam dan berpendapat mereka serta rakan sekutu mereka sahaja yang betul.

Pemimpin-pemimpin parti itu juga kekal dengan sikap 'Pas dahulu' yang menjadi pentas-pentas ceramah untuk memaki hamun dan menabur fitnah ke atas pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pas juga kekal seperti 'Pas dahulu' yang sentiasa mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara. Jika dahulu mereka menuduh UMNO kafir kerana bekerjasama dengan parti bukan Islam sekarang mereka berkawan rapat dengan DAP.

Selain itu, Pas juga setia dengan sikap 'Pas dahulu' yang merasakan ulama mereka sahaja betul, sedangkan pandangan-pandangan ulama di luar parti itu dianggap terompah dan menjadi alat kepada parti pemerintah.

Memang benar Pas hari ini tidak ada bezanya dengan Pas dahulu kerana Pas hari ini juga sehingga kini tidak mahu secebis pun berusaha untuk memperakui sumbangan UMNO dan BN memartabatkan Islam.

Pas hari ini sama dengan Pas dahulu yang berpegang kepada tuduhan liar kononnya UMNO menolak Islam dan Pas hari ini juga sama dengan Pas dahulu yang tidak terus berusaha menanam politik kebencian sesama Islam.

Oleh itu tidak perlulah Majlis Syura Ulama yang dilihat semakin hilang taring dan terpinggir dalam Pas mahu membela perjuangan politik tersebut yang jelas-jelas sudah menyimpang daripada dasar asal penubuhannya.

Adalah lebih baik jika Majlis Syura Ulama benar-benar bertindak sebagai badan penasihat untuk membentuk Pas menjadi benar-benar sebuah parti Islam.

Perkara utama yang perlu dilakukan ialah memperingatkan kepada pemimpin-pemimpin Pas supaya jangan mudah menghukum musuh politik dengan sewenang-wenangnya.

Janganlah mengkafirkan sesama Islam hanya kerana berbeza fahaman politik dan menghentikan budaya memaki-hamun yang sama sekali tidak mencerminkan peribadi seorang muslim.

Selain itu, Majlis Syura Ulama juga harus berani ke depan menentang sebarang salah laku pemimpin-pemimpin Pas dan pembangkang tanpa meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Kalau benarlah Majlis Syura Ulama bukanlah terompah seperti mana Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang mengumpamakan ulama yang menyebelahi UMNO maka mereka juga bertegas yang benar itu benar, yang salah itu salah.

Tetapi kita tidak tahu sejauh manakah keberanian Majlis Syura Ulama untuk berbuat demikian kerana kalau melihat kepada kenyataan ahli-ahlinya termasuk ketika muktamar baru-baru ini mereka juga sudah diresapi dengan sindrom untuk menawan Putrajaya.

Ramai rakan penulis termasuk dalam kalangan ahli-ahli Pas sendiri yang menghadiri muktamar di Kota Bharu berasa kecewa dengan sikap Dewan Ulama yang disifatkan oleh mereka semakin hilang kewibawaannya.

Apa yang mereka harapkan sebenarnya ialah Dewan Ulama akan bertegas termasuklah dalam isu kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan beberapa isu lain yang dilihat sudah mencemarkan imej Pas sebagai parti Islam.

Tetapi malangnya, oleh kerana bimbang sebarang pendirian tegas boleh menggugat kerjasama dengan PKR dan DAP serta meranapkan impian Pas ke Putrajaya, maka Dewan Ulama dilihat mengambil sikap 'terus berpolitik'.

Kini sudah jelaslah, apa yang dimaksudkan oleh Majlis Syura Ulama bahawa Pas dahulu dan Pas hari ini adalah sama.

Sama ada ia profesional atau ulama, tok guru atau ustaz, selagi mereka berada dalam Pas matlamat sebahagian besar daripada mereka hanyalah memburu kuasa politik dan bukannya untuk benar-benar mahu menegakkan perjuangan Islam.

Keadaan itu memandangkan jika sesiapa juga yang memahami ajaran Islam dan kemudiannya menilai sikap Pas berpolitik sudah pasti mereka akan tahu betapa serius perlanggaran Pas terhadap nilai-nilai Islam ketika mereka mendabik dada kononnya mereka perjuang Islam!

Dan apa yang menyedihkan golongan ulama di dalam parti itu turut dilihat tenggelam punca hanya semata-mata mereka tidak mahu matlamat ke Putrajaya sekadar sebuah doa kehancuran di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor