Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Rabu, 21 November 2012
Antara Pas dahulu dan hari ini?
Secara tiba-tiba Majlis Syura Pas bersidang di Kota Bharu sempena muktamar parti itu dengan membuat penekanan dan perakuan bahawa Pas hari ini adalah Pas dahulu yang tidak pernah lari daripada perjuangan asalnya.
Menurut Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din, arah tuju Pas dahulu dan sekarang adalah sama. Pas masih utuh dan tetap atas perjuangan asalnya tanpa sedikit pun menyeleweng daripada apa yang tercatat dalam Perlembagaan parti itu fasal 5 (1), memperjuangkan wujudnya dalam negara ini dan pemerintahan yang terlaksana dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.
Namun persoalan apakah benar Pas sekarang melaksanakan perjuangan yang berlandaskan kepada nilai-nilai Islam?
Apakah nilai-nilai Islam yang dimaksudkan oleh Pas termasuk mendoakan kehancuran sekumpulan umat Islam lain semata-mata kerana perbezaan ideologi politik?
Apakah nilai-nilai Islam ala Pas itu termasuk dengan begitu mudah menuduh parti yang dianggotai oleh majoriti umat Islam lain sebagai murtad?
Apakah nilai-nilai Islam cara Pas ialah membenarkan pemimpin-pemimpinnya hanya mendiamkan diri apabila ada sekutunya melakukan tindakan atau ucapan yang bertentangan dengan kehendak Islam?
Apakah nilai-nilai Islam ala Pas hanya berani berhadapan dengan musuh politik mereka sahaja tetapi apabila ada dalam kalangan sekutu menentang hukum hudud yang diperjuangkan oleh parti itu, maka Pas mendiamkan diri?
Apakah nilai-nilai Islam Pas begitu mudah melemparkan fitnah kononnya berlaku penyelewengan dalam pilihan raya sedangkan parti itu sendiri memenangi banyak kerusi termasuk menguasai Kelantan dan Kedah?
Apakah nilai-nilai Islam Pas sentiasa melihat mereka sahaja betul sedangkan orang lain buruk belaka?
Apakah nilai-nilai Islam Pas ialah memburu kuasa politik dengan apa cara sekali pun biar pun prinsip perjuangan sendiri sanggup digadaikan?
Jelaslah terlalu banyak persoalan mengenai nilai-nilai Islam yang Pas maksudkan kerana tindak-tanduk dan sikap parti sendiri dari semasa ke semasa tidak mencerminkan nilai-nilai berkenaan.
Hakikatnya, kita akui Pas dahulu tidak ada bezanya dengan Pas sekarang iaitu begitu mudah menghukum orang lain, merasakan diri mereka sahaja pejuang Islam dan berpendapat mereka serta rakan sekutu mereka sahaja yang betul.
Pemimpin-pemimpin parti itu juga kekal dengan sikap 'Pas dahulu' yang menjadi pentas-pentas ceramah untuk memaki hamun dan menabur fitnah ke atas pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Pas juga kekal seperti 'Pas dahulu' yang sentiasa mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara. Jika dahulu mereka menuduh UMNO kafir kerana bekerjasama dengan parti bukan Islam sekarang mereka berkawan rapat dengan DAP.
Selain itu, Pas juga setia dengan sikap 'Pas dahulu' yang merasakan ulama mereka sahaja betul, sedangkan pandangan-pandangan ulama di luar parti itu dianggap terompah dan menjadi alat kepada parti pemerintah.
Memang benar Pas hari ini tidak ada bezanya dengan Pas dahulu kerana Pas hari ini juga sehingga kini tidak mahu secebis pun berusaha untuk memperakui sumbangan UMNO dan BN memartabatkan Islam.
Pas hari ini sama dengan Pas dahulu yang berpegang kepada tuduhan liar kononnya UMNO menolak Islam dan Pas hari ini juga sama dengan Pas dahulu yang tidak terus berusaha menanam politik kebencian sesama Islam.
Oleh itu tidak perlulah Majlis Syura Ulama yang dilihat semakin hilang taring dan terpinggir dalam Pas mahu membela perjuangan politik tersebut yang jelas-jelas sudah menyimpang daripada dasar asal penubuhannya.
Adalah lebih baik jika Majlis Syura Ulama benar-benar bertindak sebagai badan penasihat untuk membentuk Pas menjadi benar-benar sebuah parti Islam.
Perkara utama yang perlu dilakukan ialah memperingatkan kepada pemimpin-pemimpin Pas supaya jangan mudah menghukum musuh politik dengan sewenang-wenangnya.
Janganlah mengkafirkan sesama Islam hanya kerana berbeza fahaman politik dan menghentikan budaya memaki-hamun yang sama sekali tidak mencerminkan peribadi seorang muslim.
Selain itu, Majlis Syura Ulama juga harus berani ke depan menentang sebarang salah laku pemimpin-pemimpin Pas dan pembangkang tanpa meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.
Kalau benarlah Majlis Syura Ulama bukanlah terompah seperti mana Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang mengumpamakan ulama yang menyebelahi UMNO maka mereka juga bertegas yang benar itu benar, yang salah itu salah.
Tetapi kita tidak tahu sejauh manakah keberanian Majlis Syura Ulama untuk berbuat demikian kerana kalau melihat kepada kenyataan ahli-ahlinya termasuk ketika muktamar baru-baru ini mereka juga sudah diresapi dengan sindrom untuk menawan Putrajaya.
Ramai rakan penulis termasuk dalam kalangan ahli-ahli Pas sendiri yang menghadiri muktamar di Kota Bharu berasa kecewa dengan sikap Dewan Ulama yang disifatkan oleh mereka semakin hilang kewibawaannya.
Apa yang mereka harapkan sebenarnya ialah Dewan Ulama akan bertegas termasuklah dalam isu kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan beberapa isu lain yang dilihat sudah mencemarkan imej Pas sebagai parti Islam.
Tetapi malangnya, oleh kerana bimbang sebarang pendirian tegas boleh menggugat kerjasama dengan PKR dan DAP serta meranapkan impian Pas ke Putrajaya, maka Dewan Ulama dilihat mengambil sikap 'terus berpolitik'.
Kini sudah jelaslah, apa yang dimaksudkan oleh Majlis Syura Ulama bahawa Pas dahulu dan Pas hari ini adalah sama.
Sama ada ia profesional atau ulama, tok guru atau ustaz, selagi mereka berada dalam Pas matlamat sebahagian besar daripada mereka hanyalah memburu kuasa politik dan bukannya untuk benar-benar mahu menegakkan perjuangan Islam.
Keadaan itu memandangkan jika sesiapa juga yang memahami ajaran Islam dan kemudiannya menilai sikap Pas berpolitik sudah pasti mereka akan tahu betapa serius perlanggaran Pas terhadap nilai-nilai Islam ketika mereka mendabik dada kononnya mereka perjuang Islam!
Dan apa yang menyedihkan golongan ulama di dalam parti itu turut dilihat tenggelam punca hanya semata-mata mereka tidak mahu matlamat ke Putrajaya sekadar sebuah doa kehancuran di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV.
Warna-warni politik
Torashah
Ahad, 18 November 2012
Promosi Pas dan tarbiah makan diri?
Pas yang sedang berusaha keras untuk memperbaiki imejnya sebagai pilihan bagi menggantikan UMNO dalam pecutan terdesaknya menjadi parti dominan pakatan pembangkang, patut berasa malu.
Di tangan kiri Pas mempromosi habis-habisan individu yang dianggap berpengaruh yang menyertai parti itu. Sebut sahaja yang terbaharu, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Mohd. Nahwari Hashim. Bukan kepalang, individu itu diraikan dalam himpunan muktamar Pas disaksikan ribuan ahli, Jumaat lalu.
Tetapi di tangan kanan, pemimpin yang sedia ada tidak menunjukkan perilaku sepatutnya yang menggambarkan Pas dalam imej Islamiknya yang disukai dalam kalangan rakyat. Apa yang berlaku ini umpama madu di tangan kiri, racun di tangan kanan.
Sebut sahaja tindakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad yang tanpa pandang kanan dan kiri membela Nurul Izzah Anwar dalam isu hak kebebasan beragama. Begitu juga dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang dengan pantas mengulasnya dengan menyalahkan UMNO.
Sikap Dr. Dzulkefly dan kelompoknya itu dilihat tegar mahu membela sekutu, bukan kebenaran. Tak apalah demi kekuasaan, perkara yang salah dan mengelirukan boleh dikorbankan.
Sebagai pemimpin yang mahu dikenali sebagai seorang intelek dan penggerak Islam, tindakan Dr. Dzulkefly tidak membantu untuk meredakan kemarahan umat Islam yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, malah sebaliknya yang berlaku.
Kenyataan beliau yang mengaku cukup baik dengan Sultan Selangor dan mahu menghadap bagi menjelaskan hal sebenar mengenai Nurul Izzah kepada baginda kerana menganggap pihak berkuasa tidak memberi penjelasan secukupnya, tidak sepatutnya dilakukan.
Kenyataan itu beliau buat dalam sidang media di lobi Parlimen bagi mengulas kekesalan Sultan Selangor terhadap kenyataan Nurul Izzah yang dibuat dalam forum di sebuah gereja di Selangor.
Sikap bangga diri Dr. Dzulkefly dan seolah-olah mahu merendah-rendahkan martabat Sultan Selangor yang dikenali cukup teliti dan melakukan banyak penyelidikan sebelum menitahkan apa jua perkara, segera disanggah oleh bekas Exco agama Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.
Beliau bertanya sejak bila Dzulkefly cukup baik dengan Sultan. Beliau sendiri tidak pernah melihat batang tubuh Dr. Dzulkefly di dalam majlis yang melibatkan Sultan Selangor khususnya dalam acara-acara mengenai Islam dan adat istiadat Melayu.
Menyanggah
Ternyata hanya selepas lapan hari, kecurigaan banyak pihak termasuk Hasan itu terjawab. Sultan Selangor bertitah yang sama sekali menyanggah apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Titah Sultan itu pula dibuat semasa sambutan Maal Hijrah, satu mesej yang begitu jelas untuk tidak difahami oleh kumpulan Dr. Dzulkefly ini. Apakah nanti mereka boleh berkata, titah itu adalah suara UMNO?
Jadi, benarkah beliau cukup baik dengan Sultan Selangor? Kalau ada muka, Dr. Dzulkefly sepatutnya berasa malu dan memohon maaf secara terbuka.
Setakat ini, apa yang dapat dilihat isu hak kebebasan beragama tidak lebih merupakan kesilapan Nurul Izzah. Memang benar beliau berkata begitu seperti ditegaskan oleh Siti Zabedah Kasim. Ahli Majlis Peguam yang bertanyakan soalan yang mencetuskan kontroversi itu sendiri hairan mengapa Nurul Izzah bertukar arah 180 darjah.
Tetapi Dr. Zulkefly dan sekumpulan rakannya dalam Pas tidak peduli dengan hakikat itu. Beliau yang sepatutnya menasihatkan Nurul untuk menjernihkan isu itu, bertindak sebaliknya dengan mencetuskan kontroversi baharu.
Mungkin akibat tarbiah Pas yang kini banyak disuguhkan dan dicemari dengan kepentingan politik kekuasaan, parti itu telah gagal memainkan peranannya. Dalam kebanyakan masa pula, wakil rakyat mereka tidak lagi bertindak secara terhormat, malah lebih suka mengelirukan rakyat.
Begitu juga dalam masa mereka mahu mempromosi hudud. Baru sedetik Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menyatakan pakatan pembangkang bersedia untuk melaksanakan hudud, perkara itu terus dilempar begitu sahaja.
Sekali lagi, yang entah berapa kali kepimpinan Pas yang bercakap soal hudud disergah sedemikian rupa oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh. Nada DAP ini tidak pernah berubah walaupun telah sekian lama diagungkan sebagai berada dalam satu jemaah.
Cuma Pas yang terpaksa banyak berubah nada dan terus berdalih bagi memberi laluan kepada bantahan DAP itu.
Sanggupkah mereka membuat pembelaan dan menganjurkan bantahan besar-besaran sebagaimana yang mereka lakukan ke atas Preaiden MCA, Datuk Seri. Dr. Chua Soi Lek yang mengkritik hudud ala Pas itu?
Kali ini sepatutnya lebih teruk, kerana melibatkan ulama Pas sendiri. Kenyataan itu pula dinyatakan dalam muktamar tahunan Pas, majlis penting yang mengumpulkan seluruh kepimpinan Pas.
Apatah lagi, Karpal menyifatkan kenyataan Harun itu sebagai 'menyimpang jauh daripada kebenaran dan berniat jahat'.
Jika tarbiah Pas betul, Karpal tidak akan berani mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.
Tetapi inilah Pas sekarang. Promosinya nampak hebat tetapi indah khabar daripada rupa. Pengasuhan para kader mahupun pemimpinnya juga begitu tertib tetapi rupanya mudah luntur dengan kekuasaan.-UMO
Warna-warni politik
Torashah
Jumaat, 16 November 2012
Melayu bebas anuti agama lain mengarut - Sultan!
SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Pahang kepada Datuk Mohd. Mokhtar Shafii 70, di Dewan Jubli Perak, Kuantan, semalam. Turut sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah meluahkan rasa kecewa dan dukacitanya terhadap kenyataan seorang pemimpin pembangkang mengenai isu kebebasan beragama rakyat termasuk orang Melayu baru-baru ini.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai mengarut dan tidak masuk akal, baginda juga kesal dengan pihak terbabit yang terlalu lantang bercakap mengenai agama tanpa memperhalusi kesannya kepada masyarakat terutama umat Islam.
"Sebagai ketua agama Islam dan pemerintah negeri Pahang saya berasa sedih, dukacita (dengan kenyataan itu). Kita tidak boleh terlampau lantang sangat sebut pasal agama ini.
"Saya nasihatkan agar rakyat tidak mendengar cakap-cakap sebegitu dan perlu memikirkan perkara itu dengan sehalus-halusnya," titah baginda kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, di sini hari ini.
Baginda bertitah sebagai seorang Islam, kenyataan berkaitan agama Islam tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa merujuk kepada pihak yang lebih arif.
Titah baginda, sebagai seorang yang beragama Islam seharusnya lebih berhati-hati terutama dalam hal membabitkan agama termasuk tidak memcampuradukkan kenyataan dengan agama lain.
"Orang mahir juga tidak semestinya tahu mengenai agama Islam sehingga menyebabkan terlampau bebas memberi keterangan.
"Kita ada majlis agama Islam di setiap negeri dan para ulama yang bijak, seharusnya rujuklah pada mereka," titah baginda.
Sultan Ahmad Shah turut menyeru agar umat Islam menyanjung agama Islam setinggi-tingginya dan jaga kemuliaannya dengan sepenuh hati.
"Beta sayang agama beta (Islam). Kita kena sanjung agama kita setinggi-tingginya dan jaga dengan sepenuh hati.
"Dalam Perlembagaan turut menyebut bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ini dan agama lain boleh mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni," titah baginda.
Warna-warni politik
Torashah
Mufti Perak Tegur Ulama PAS Membisu Dalam Isu Nurul Izzah?
Bukan rahsia lagi kalangan ulama PAS kurang senang pada Tan Sri Harussani Zakaria. Label yang mereka dipakai pada Mufti Perak itu sebagai “ulama UMNO” acapkali menyusul khusus di laman maya oleh mereka yang tak tahan dengan komen-komen panasnya.
Namun ia tidak langsung menghalang beliau dari meneruskan perjuangan bersuara meluahkan pandangannya.
Orang-orang PAS bukannya tidak suka pada Mufti Perak kerana beliau dilihat kurang arif tentang hukum hakam atau kerana ilmu agamanya lebih rendah dari mereka tapi kerana komen-komennya sering dilihat tidak menyebelahi PAS.
Bagi Harussani, beliau berbuat demikian kerana bertanggungjawab memurnikan dan mendaulatkan lslam di negara ini. Begitu juga hal-hal berhubung kait dengan akidah umat lslam, ia sesuatu yang tidak ada komprominya.
Terbaru Mufti Perak sekali lagi terpanggil menegur PAS khusus ulama-ulamanya berhubung komen Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar “mengenai isu kebebasan beragama untuk semua termasuk orang-orang Melayu.”
Sikap mereka yang mendiam diri dari mengeluarkan komen menyebabkan Mufti Perfak rasa keciwa “kerana ia seolah-olah memberi interpretasi bahawa mereka bersetuju dengan anak mantan Timbalan Perdana Menteri itu.”
Bagi setengah pihak sikap PAS ini difahami kerana komen negatif terhadap Nurul Izzah boleh memberi implikasi buruk kepada kerjasama antara PAS dan PKR. Tambahan pula menjelang PRU ke13, komen mereka boleh memberi “political mileage” kepada UMNO.
Sehingga berita ini ditulis, ulama PAS masih berteka teki dan enggan memberikan komen yang berbentuk “mendakwahkan” anak Anwar. Mereka bersikap membisu melainkan satu dua orang sahaja.
Justeru tafsiran orang ramai lebih cenderung kepada kepercayaan PAS takut kehilangan Anwar jika mereka mengkritik Nurul secara terbuka. Apakah isu ini akan menjadi topik perbahasan di Muktamar PAS yang sedang berlangsung sekarang tidak dapat dipastikan.
Harussani yang ditemui wartawan Rabu meluahkan rasa keciwa kerana “mereka masih membisu.”
Beliau tampil dengan satu lagi permintaan—meminta mereka segera membuat kenyataan menolak pendapat Nurul Izzah. Selain meminta para ulama memandang serius isu ini,, kenyataan Mufti Perak itu turut ditujukan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Murshidul Am PAS.
Kata Harussani orang-orang Islam wajib menasihati Nurul Izzah. Mereka tambahnya patut meminta orang seperti itu supaya bertaubat kepada Allah.
``Kalau mereka tidak berbuat demikian ertinya mereka juga menyetujui dengan ucapannya, maka setidak-tidaknya ia boleh difahami sebagai bersekongkol dengan pendapat dia (Nurul Izzah).
“Ini adalah salah dan ini akan menimbulkan perpecahan dikalangan umat manusia,’’ ujarnya.
Menurut Mufti Perak lagi, memandangkan kenyataan Nurul Izzah itu amat jelas sekali bertentangan dengan akidah Islam maka Naib Presiden PKR itu harus segera bertaubat.
Katanya sebagai golongan ulama PAS yang bersekongkol dengan parti PKR, ulama mereka ataupun Nik Aziz juga perlu segera menyatakan pendirian mengenai kenyataan Nurul Izzah.
Harussani berkata Nik Aziz dan golongan ulama didalam PAS perlu segera menasihati Nurul Izzah jika tidak ia akan menimbulkan fitnah.
``Saya berharap sama-samalah kita menjaga agama kita dan janganlah kita menyayangi kerusi lebih daripada agama kita,’’ katanya.- Agendadaily
Warna-warni politik
Taminsari
Selasa, 13 November 2012
Sebar ideologi pluralisme?
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah membentuk satu fenomena baharu dalam pola pemikiran manusia di Malaysia amnya, bahawa atas kedudukan hak seseorang manusia, maka ia berhak menentukan agamanya.
Adakah segala cetusan idea baru itu baik untuk umat Islam? Walaupun ia bukan satu promosi kepada murtad tetapi kenyataan ini boleh dilihat sebagai satu aliran pemahaman yang memberikan keluasan hak manusia terutamanya orang Melayu untuk memilih agama lain selain Islam.
Dengan tidak secara langsung ia adalah sebuah persepsi bahawa orang Melayu juga harus diberikan hak untuk memilih agama lain selain Islam. Jika hak ini dilaksanakan maka ada kebarangkalian orang Melayu yang lahir sebagai beragama Islam secara automatik mungkin sudah tidak lagi lahir sebagai beragama Islam kerana undang-undang ini akan ditukar oleh mereka untuk memberikan laluan kepada Melayu yang dilahirkan ini memilih agamanya.
Ingin saya menarik perhatian bahawa Nurul Izzah menyebut bahawa "Tiada desakan dalam beragama… mana boleh kita kata 'maaf ini (kebebasan beragama) hanya untuk bukan Islam sahaja', ia seharusnya dilaksanakan sama rata."
Sememangnya betul bahawa Islam tidak mendesak sesiapa yang di luar Islam memeluk agamanya tetapi ungkapan atau firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 256 ini hanya berlaku kepada orang kafir yang belum beriman kepada Allah.
Allah SWT berfirman ertinya : "Barang siapa kafir kepada Allah sesudah ia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang-orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar".....(16:106).
Allah juga menyatakan: "Bagaimana Allah akan menunjuk suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahawa Rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak menunjuk orang-orang yang zalim."....(Ali Imran:86).
Persoalannya, di mana yang dikatakan orang Melayu yang sudah beragama Islam sejak lahir itu diberikan kebebasan memilih agamanya sendiri? Allah SWT dan Rasulullah SAW telah begitu jelas memberikan pertunjuk dan jalan penyelesaiannya. Kenapa manusia di bumi memandai-mandai menentang firman Allah dan perintah Rasulullah?
Nurul Izzah juga berkata: seharusnya tidak wujud sebarang perbezaan antara agama Islam dan agama lain di negara ini. Apakah maksud Naib Presiden PKR itu? Adakah agama Islam itu sama dengan agama Hindu, Buddha, dan Kristian?
"Seharusnya tidak wujud sebarang perbezaan ini" yang dikatakan oleh Nurul Izzah ini apa? Apa dalil dan asas kenyataan ini? Kenyataan ini jelas berideologikan pluralisme.
Nurul Izzah berkata, jika iman seseorang itu kukuh, ia tidak mudah goyah dengan pendakwahan agama lain. Tetapi, adalah lebih baik jika kita mengelakkan perkara-perkara luar seperti pendakwahan agama lain ini berlaku daripada kita cuba menguji sejauh mana iman seseorang.
Apakah Nurul Izzah yakin bahawa umat Melayu di negara ini sudah cukup kuat imannya? Dan apa taraf Nurul Izzah untuk menentukan seseorang itu sudah kuat imannya atau tidak? Jika pandangan Nurul Izzah itu mahu diterjemahkan, maka Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan wajib dipinda dengan menghapuskan ciri "Melayu itu wajib Islam".
Apakah sudah ada gerakan anti Perlembagaan Malaysia sekarang ini? Memandangkan pandangan ini dibuat oleh anak ketua pembangkang, adakah ia mewakili pandangan semua parti komponen pembangkang termasuk Pas?
Selain persoalan memberikan hak kepada orang Melayu untuk memilih agamanya, Nurul Izzah juga mengatakan bahawa golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) ini hendaklah dihormati privasinya. Dia juga turut mempertikaikan undang-undang di negara ini berkaitan dengan halangan terhadap LGBT. Menurutnya, selain daripada tempat awam, pihak berkuasa tidak wajar untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan gejala tersebut di tempat peribadi.
Kalau begitu, jika ada orang yang melakukan zina, maka pihak jabatan agama Islam negeri tidak boleh menyerbu masuk ketika perkara zina berlaku atas dasar menghormati privasi mereka dan hak mereka melakukan zina di tempat peribadi.
Adakah ini yang dimaksudkan oleh Nurul Izzah? Inikah yang diperjuangkan oleh Naib Presiden PKR itu dan Pas? Adakah ini bermakna melakukan zina atau apa jua aktiviti LGBT secara peribadi lebih mulia kedudukannya daripada mencegahnya menurut al-Quran?
Nurul Izzah berkata lagi, jika undang-undang itu dilaksanakan juga di tempat peribadi ia tidak menghormati hak privasi seseorang. Beliau berkata "Dalam Islam terdapat sekatan berhubung isu LGBT ini. Tapi apa yang penting ialah kita tidak menjadikan golongan ini sebagai mangsa. Kita harus terima mereka ini."
Jika kita perhatikan kenyataan tersebut, maka kita boleh bertanya kepada Melayu Liberalis ini apakah Allah telah menjadikan kaum Nabi Luth ini 'mangsa'? Apakah Allah akan menerima mereka ini? Jika mereka bertaubat, ya benar Allah akan menerima mereka semula. Tetapi jika mereka ingkar, apakah Allah akan menerima mereka?
Yang penting di sini bukan kepentingan mereka tetapi kepentingan Islam dan masyarakat Islam itu sendiri. Yang penting, sebagai orang Islam kita wajib mempertahankan Islam bukan mempertahankan Hak Asasi Manusia yang bergerak di luar batasan Islam.
Kata Naib Presiden PKR itu lagi: "Pelaksanaan (undang-undang ketika ini) tidak menghormati (pelaku) dan tidak membawa sebarang makna dari segi Islam dan juga mana-mana agama. Kita (Muslim) ada sekatan-sekatan tertentu, tetapi ia tidak seharusnya menceroboh ruang privasi."
Tegas beliau: "Sebagai seorang Muslim, saya boleh terima LGBT. Pada saya, sesiapa yang melakukan orientasi seks mereka di tempat peribadi, kita tidak boleh mengambil tindakan (terhadapnya). Sebagai seorang Muslim, saya tidak boleh menerima ini".
Naib Presiden PKR Nurul izzah mengatakan dirinya sebagai Muslim - yakni orang beragama Islam boleh menerima LGBT? Bukankah kenyataan dan pandangan ini bertentangan dengan ajaran Islam dan tuntutan Allah SWT.
Sebagaimana yang kita maklum, Allah melaknati manusia LGBT ini. Adakah ini diredai juga oleh ahli Pas? Apakah Naib Presiden PKR itu sudah lupa kepada kisah Nabi Luth a.s? Adakah ahli Pas juga sudah lupa dengan kisah Kaum Nabi Luth a.s?
Kesimpulannya, tujuan utama Nurul Izzah memberikan pandangan sebegini adalah kerana ia mahu meraih undi golongan 'urban' yang rata-rata mempunyai pemikiran liberalis.
Naib Presiden PKR itu pada satu sudut apabila berada dalam kelompok Melayu liberalis, dia akan menceritakan dan memberi pandangan serta mendendangkan perkara dan isu yang sedap didengar dan mahu didengar oleh golongan ini.
Apabila berhadapan dengan Melayu yang tinggal di kawasan luar bandar yang rata-rata fundamentalis Muslim, maka ia akan berteriak dan beria-ria menegakkan daulah Islamiah dengan konsep dan manhaj al adlu wa ihsan.
Nurul Izzah telah meletakkan dan mempromosikan dirinya sebagai Melayu Liberalis dan Melayu oportunis kelas pertama. Kenyataan dia jelas sekali, satu kenyataan politik yang mahukan undi golongan 'urban' bagi mendapatkan faedah politik PKR. Ini menampakkan kesanggupannya untuk berbuat apa saja demi meraih undi untuk ke Putrajaya sehingga maruah dan integriti Islam diperdagangkan dan digadaikan.
Adakah ahli Pas merestui 'lelongan' agama yang sebegini rupa dan adakah masyarakat Melayu Islam di Malaysia telah bersedia menerima politik hipokrasi seperti ini? Dengan mengambil sikap berdiam diri, adakah ini juga pendirian dan perjuangan Mursyidul Am dan Presiden Pas?
Oleh : PROF DR. MOHD ZAINUL FITHRI OTHMAN,
Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan Management & Science University (MSU).
Warna-warni politik
Torashah
Sabtu, 3 November 2012
Isu Selangor : Laporan audit negara menunjukkan Khalid Ibrahim 'Menteri besar yang hebat'?
Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini memperlihatkan banyak kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Khalid Ibrahim.
Kelemahan ini telah dilaporkan secara telus oleh pihak Ketua Audit Negara namun Menteri Besar dengan angkuh cuba menafikan kredibiliti laporan tersebut dengan mempertikaikannya. Inikah sikap pemimpin yang berjiwa besar?
TAWAS
Skim TAWAS diwujudkan kononnya untuk memberi faedah kepada semua anak kelahiran Selangor. Namun begitu, skim yang bermotifkan politik ini dibuat tanpa perancangan rapi dan ini menyebabkan hasil negeri dibazirkan begitu sahaja tanpa dapat digunakan secara optimum.
Memandangkan Skim TAWAS ini dikendalikan oleh pihak Menteri Besar Incorporated (MBI), maka Menteri Besar selaku Pemegang Amanah perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
Peruntukan untuk TAWAS juga dilihat digunakan secara tidak seimbang. Daripada RM 13.5 juta peruntukan iaitu RM8.5 juta untuk TAWAS dan RM5 juta untuk pengurusan, hanya RM2.9 juta sahaja dibelanjakan untuk TAWAS sebaliknya, RM4.9 juta dibelanjakan untuk pengurusan.
Ini bermaksud, pengendali TAWAS iaitu YAWAS (Yayasan Warisan Anak Selangor) membelanjakan 98% dari peruntukan RM 5 juta untuk pengurusan namun hanya 34.4% sahaja yang mendapat faedah darinya. Kenapakah wang pengurusan ini begitu tinggi dari wang yang diagihkan? Kemanakah baki RM 5.5 juta lagi?
Pada masa yang sama, alasan Menteri Besar bahawa jumlah kelahiran iaitu 313,706 adalah tidak benar menunjukkan beliau tidak menghormati Laporan Ketua Audit Negara. Penafian Menteri Besar bahawa angka kelahiran adalah tidak tepat kerana bercampur dengan bukan warganegara juga tidak boleh diterima kerana pendaftaran TAWAS hanya 23.7%. Adakah MB mengatakan bahawa hampir 80% kelahiran lagi merupakan bukan warganegara?
Persoalan penting ialah, bagaimanakah Kerajaan Negeri memberi jaminan setiap yang mendaftar dengan TAWAS akan mendapat pulangan RM1,500 apabila berumur 18 tahun? Ini kerana, sehingga kini masih belum ada apa-apa pelaburan dari pihak Kerajaan Negeri untuk menghasilkan pulangan yang berjumlah lebih dari RM20 juta untuk diberikan kepada anak Selangor yang mendaftar.
Bukan sahaja dari segi kewangan, segala dokumentasi dan pentadbiran juga mendapat kritikan dari Ketua Audit Negara. Ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri gagal menyediakan satu program yang baik dan dijalankan dengan telus. Kenyataan exco Dr. Xavier bahawa kos operasi TAWAS turut digunakan untuk tujuan Jom Shopping sebenarnya memakan diri.
Bagaimana mungkin peruntukan untuk tujuan lain digunakan sewenang-wenangnya bagi tujuan politik. Kita semua maklum bahawa program Jom Shopping merupakan agenda politik Pakatan yang dibuat secara sambil lewa dan tidak menyeluruh.
Apa yang BN janjikan? Saya tidak boleh mendedahkan secara terperinci, namun pihak Barisan Nasional telah merangka satu skim yang lebih manfaat untuk anak Selangor apabila memerintah kelak. Apa yang lebih penting, pulangan untuk anak Selangor lebih terjamin dengan skim yang bakal diperkenalkan kelak.
TUKAR SYARAT TANAH
Sejak mengambil alih pentadbiran di Selangor, Kerajaan Pakatan banyak terlibat dengan isu yang melibatkan tanah seperti tanah YBK, isu Talam yang juga dalam sektor hartanah dan isu tanah KHSB di Gombak seperti yang pernah saya dedahkan sebelum ini.
Perkara ini sebenarnya berkait dengan tadbir urut kerajaan negeri yang gagal menguruskan tukar syarat tanah dengan baik dan berkesan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara, terdapat banyak kelemahan dalam pengurusan tanah di Selangor ini. Ini termasuklah pembinaan kilang haram dan penggunaan tanah tanpa kebenaran.
Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara juga merekodkan beberapa kelemahan seperti kutipan premium tanah yang tidak seimbang termasuk kutipan cukai yang tidak mencapai sasaran. Kelemahan-kelamahan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri memandang ringan soal tanah dan mengambil mudah pengurusan tanah ini.
Ini langsung tidak mencerminkan sikap integriti yang kononnya dimiliki oleh Menteri Besar. Malah, kami juga akan mendedahkan pada masa hadapan beberapa siri pembohongan Khalid Ibrahim kepada rakyat Selangor termasuk menggunakan Institutsi beraja bagi menutup kelemahan beliau.
PENYELENGGARAAN JALAN
Antara panggilan talefon yang diterima oleh Pusat Khidmat Rakyat (PAKAR) BN Selangor ialah aduan mengenai keadaan jalan negeri yang tidak diselengara dengan sempurna. Ini termasuklah jalan yang berlubang dan tidak sekata sehingga boleh menyebabkan kemalangan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Kerajaan Persekutuan memberikan RM 375.90 juta kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan penyelenggaraan Jalan Negeri yang berjumlah 16,013 kilometer. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri hanya membelanjakan RM218.15 juta sahaja. Iaitu 58.1% dari keseluruhan peruntukan.
Ini secara tidak langsung menyebabkan wang Kerajaan Negeri meningkat. Hakikatnya, peningkatan wang kerajaan negeri bukanlah kerana kecekapan Menteri Besar mengurus kewangan tetapi sebaliknya beliau tidak membelanjakan untuk kebaikan rakyat.
Tidak guna jika Khalid Ibrahim berbangga dengan peningkatan hampir RM2 billion kepada kerajaan Negeri jika rakyat tidak mendapat hasil dari peningkatan ini. Hakikatnya, Selangor yang terkenal sebagai negeri maju masih lagi mempunyai infrastruktur yang tidak sempurna di sesetengah kawasan.
PENYATA TUNAI
Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan bahawa terdapat lebihan perbelanjaan tunai untuk tujuan mengurus hampir RM100 juta pada tahun 2011 berbanding 2010. Selain itu, berbanding 2010, Kerajaan Negeri juga membelanjakan RM624.51 juta wang tunai untuk perbelanjaan modal. Sedangkan pada tahun 2010, tiada sebarang perbelanjaan modal dilakukan.
Untuk apakah perbelanjaan tunai yang begitu tinggi ini? Siapakah yang menerima jumlah tunai ini? Kenapakah perbelanjaan tunai adalah melebihi pendapatan tunai?
Kami percaya, kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan jangka masa hadapan untuk mengukuhkan kewangan negeri sebaliknya hanya bermain dengan angka untuk jangka masa yang singkat sahaja.
Ini terbukti apabila pihak Ketua Audit Negara mengkritik pelaburan jangka masa panjang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri tidak memuaskan malah pulangan yang diterima juga adalah sangat rendah.
Ini amatlah berbeza dengan kenyataan exco Teresa Kok bahawa pelabur berlumba-lumba datang ke Selangor untuk melabur namun hakikatnya tidak diterjemahkan kepada realiti.
Berbanding pada tahun 2007 iaitu ketika Barisan Nasional memerintah, trend pelaburan telah menurun lebih RM10 juta malah tidak langsung menunjukkan ianya akan meningkat dalam masa terdekat ini.
Khalid Ibrahim yang kononnya mengamalkan perbelanjaan berhemat sebenarnya tidak diterjemahkan kepada rakyat. Hakikat ini perlu diteliti kerana walaupun kerajaan mungkin mempunyai sumber kewangan yang kukuh, namun rakyat Selangor tidak menikmati kebajikan seperti yang mereka janjikan samada dari segi infrastruktur mahupun dari segi kebajkan lain.
Sebaliknya, peningkatan cukai pintu premis kediaman dan premis perniagaan serta kadar sewa yang dinaikkan menyebabkan rakyat terus terbeban.
Dato Sri’ Ir. Mohd Zin Mohamed
Koordinator BN Selangor
Warna-warni politik
Torashah
Langgan:
Catatan (Atom)