Rabu, 17 Oktober 2012

Ulasan Dato Hasan Terhadap Kenyataan TGNA?



Saya tertarik dan terpanggil untuk memberi sedikit ulasan kepada kenyataan daripada Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) yang juga merupakan Mursyidul Am PAS.

Seperti yang diketahui TGNA mempunyai kedudukan istimewa di dalam PAS. Bagi kebanyakan ahli dan penyokong PAS, mereka menganggap TGNA segala-galanya. Beliaulah Mursyidul Am. Beliaulah "Presiden". Beliaulah Menteri Besar dan beliaulah Tok Guru dari sudut agama.

Kedudukan yang sedemikian bagi saya adalah pemberian Allah kepada beliau. Setiap satu kedudukan termasuk dirinya sebagai hamba Allah mempunyai tanggungjawab yang begitu besar bukan sahaja dikalangan ahli dan penyokong PAS tetapi yang lebih penting disisi Allah SWT.

Saya sendiri dan mungkin orang lain juga merasa begitu kerdil untuk membuat ulasan terhadap sebarang kenyataan yang dibuat oleh TGNA atas kedudukan beliau yang begitu supreme dikotak pemikiran ahli dan penyokong PAS.

Ketiadaan ahli dan penyokong yang berupaya untuk menyanggah pendapat beliau yang setengah-setengahnya begitu ganjil bukan sahaja dari segi perkataan malah dari segi implikasi kenyataan yang dikeluarkan yang mungkin atas supremenya beliau, beliau dan orang-orang dalam lingkungan beliau tidak menyedarinya. Saya tidak perlu mengulangi kenyataan yang mana, waktu bila yang termasuk dalam kategori ini.

Untuk menyatakan DAP tidak pernah mengganggu PAS dan DAP juga merupakan rakan kongsi yang akan menjamin kemenangan PAS dalam PRU ke 13, bagi saya agak keterlaluan.


Bagi saya juga kenyataan sedemikian tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang yang mempunyai stature seperti yang disebutkan diatas. Lupakah TGNA dan orang-orang disekeliling beliau bahawa TGNA pernah beberapa kali menyanggah pendirian Karpal Singh dan Lim Kit Siang yang berterusan menghina dan menentang perjuangan Pas untuk melaksanakan hudud?

Kita tidak lupa, beliau juga pernah menyebutkan akan meneruskan hudud di Kelantan dalam keadaan apa pun yang di datangkan oleh DAP? Kita juga masih ingat betapa tegasnya beliau mengatasi mana-mana pimpinan PAS yang lain menyatakan perasaan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang adakalanya tidak layak oleh seseorang yang dianggap begitu supreme.

Bagi saya kedua-dua kenyataan terakhir TGNA mempunyai dua implikasi besar.

Pertama, kenyataan tersebut tidak layak lagi akan menghiris hati dan perasaan ahli dan penyokong PAS yang sudah tidak menahan perasaan sabar akibat daripada bertambah berani dan ghairahnya pimpinan DAP menghina Islam.

Kedua, saya bimbang kenyataan-kenyataan supreme ini akan menjadikan pimpinan DAP dan sebahagian daripada pimpinan PAS daripada golongan parasit terus mendapat pembelaan dan menjadikan mereka lebih ganas menghentam Islam dan perjuangan PAS disebabkan “peluru” yang disediakan oleh TGNA.

Saya berpendapat demi untuk menjaga keutuhan dalam PAS dan menjadikan PAS terus berdarjat dan bermartabat sebagai “custodian” kepada perjuangan Islam, TGNA perlu menoleh ke belakang untuk bermuhasabah. Sudah sampai masanya bagi TGNA untuk merenung sejauh-jauhnya tentang kehadiran beliau dalam hierarki kepimpinan PAS samada benar-benar menguntungkan atau merugikan bukan sahaja PAS sebagai sebuah parti Islam tetapi yang lebih penting perjuangan PAS itu sendiri termasuklah imej, kehebatan dan keagungan Islam itu sendiri.

Mungkin sudah sampai masanya sebelum nasi menjadi bubur, TGNA memikirkan untuk menyerahkan tanggungjawab besar sebagai Mursyidul Am kepada timbalannya yang saya yakin mempunyai kemampuan dan kewibawaan yang setara dengan beliau.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
ADUN GOMBAK SETIA
PRESIDEN JATI

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor