Rabu, 10 Oktober 2012

Mat Sabu beri jawapan dolak-dalik?


Kiri Mat Sabu, Firoz Hussien Ahmad Jamaluddin

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menyokong serangan yang diketuai oleh Mat Indera ke atas 'pihak polis British' di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dalam perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakannya terhadap Utusan Melayu (M) Bhd., dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak berhubung kejadian serangan tersebut.

FIROZ: Dari segi ucapan (di Tasek Gelugor di sini pada 21 Februari 2009) yang diberikan oleh kamu, adakah kamu bersetuju bahawa kamu menyokong serangan ke atas Bukit kepong yang diketuai oleh Mat Indera.

MOHAMAD: Ya.

Namun, apabila disoal lanjut oleh mahkamah berhubung perkara yang disentuh dalam ucapannya pada 21 Ogos 2011 itu, Mohamad menukar fikiran dengan berpandangan, serangan tersebut tidak patut dilakukan.

Beliau seterusnya berkata, sama ada beliau menyokong atau tidak serangan tersebut, perkara berkenaan telah pun berlaku.

Beliau juga berpendirian, sesiapa sahaja yang menentang British sebelum merdeka adalah pejuang kemerdekaan.

''PKM (Parti Komunis Malaya) adalah pejuang kemerdekaan kerana mereka menentang British sebelum merdeka, selepas merdeka tidak boleh, itu pengganas,'' katanya.

FIROZ: Saya cadangkan kepada kamu bahawa oleh kerana kamu sokong serangan ke atas Bukit Kepong maka adalah benar kamu tidak menghormati jiwa dan darah anggota keselamatan dan keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi itu?

MOHAMAD: Tidak.

Mohamad berkata demikian sebagai saksi plaintif pertama dalam perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakannya terhadap kedua-dua defendan tersebut berhubung tragedi Bukit Kepong.

Saman tersebut adalah ekoran muka depan Utusan Malaysia pada 27 Ogos 2011 bertajuk Mohamad Sabu Hina Pejuang, Anggap Pengganas Komunis Hero Sebenar Tragedi Bukit Kepong yang didakwa sebagai fitnah dan beberapa artikel pada hari berikutnya mengenai isu berkenaan.

Pada prosiding hari pertama hari ini, sedutan rakaman cakera padat video (VCD) berhubung ceramah Mohamad yang diserahkan oleh peguam defendan, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin turut dimainkan melalui monitor komputer selama 18 minit.

Selain itu, transkrip penuh rakaman tersebut diserahkan oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili pihak plaintif kepada mahkamah.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika menjawab pemeriksaan balas Firoz, berkata, beliau tidak tahu, daripada fakta sejarah, serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong telah dilakukan oleh pengganas-pengganas Komunis daripada PKM.

Menurutnya, ketika membuat kenyataan pada ceramah tersebut, beliau juga tidak sedar atau mengambil langkah untuk menentukan sama ada serangan itu dilakukan oleh PKM.

Saksi tersebut berkata, apa yang diketahui adalah tentang Mat Indera tetapi tidak mengetahui latar belakang anggota-anggota lain yang menyertai serangan itu.

FIROZ: Siapa yang serang Balai Polis Bukit Kepong?

MOHAMAD: Mat Indera

FIROZ: Seorang?

MOHAMAD: Yang lain, saya tidak tahu.

FIROZ: Tetapi kamu sifatkan mereka sebagai pejuang kemerdekaan, kamu tidak tahu siapa yang serang?

MOHAMAD: Tak tahu yang lain.

Menjawab soalan lain, Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui kesemua anggota polis yang terbunuh dalam tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.

FIROZ: Adakah kamu tahu sama ada anggota British atau orang Melayu yang terbunuh di Bukit Kepong?

MOHAMAD: Sekarang saya tahu, orang Melayu.

FIROZ : Beragama Islam?

MOHAMAD: Ya.

Mohamad juga berkata, beliau pada masa kini mengetahui mangsa yang terbunuh dalam kejadian serangan di Balai Polis Bukit Kepong termasuk wanita dan kanak-kanak yang merupakan keluarga kepada anggota-anggota polis terbabit.

Ditanya adakah kejadian itu merupakan satu pembunuhan yang wajar, kata Mohamad, perkara tersebut adalah tidak wajar walaupun sebelum itu beliau hanya berkata: ''Untuk peperangan, saya simpati dengan mereka yang terbunuh''.

Menjawab soalan mengenai kejadian serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang didakwa berlaku semasa Johor bukan jajahan British tetapi hanya di bawah naungan British dari segi undang-undang, Mohamad tidak bersetuju kerana baginya, naungan dan jajahan adalah sama sahaja maksudnya.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak pasti apabila dicadangkan oleh peguam bahawa negeri Johor tidak pernah dijajah oleh British sebaliknya hanya mempunyai seorang penasihat British.

Memandangkan Johor tidak pernah dijajah oleh British bukan seperti Pulau Pinang dan Melaka, Firoz mencadangkan, tiada isu perjuangan kemerdekaan di negeri tersebut, namun cadangan itu tidak dipersetujui oleh Mohamad.

Menurut pemimpin Pas itu, apa yang diketahuinya, anggota-anggota polis yang terbunuh dalam serangan tersebut adalah polis British.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Seri Zakaria Sam bersambung esok.-UMO

Warna-warni politik
Torashah



Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor