Isnin, 29 Oktober 2012

Isu Selangor : PKNS jangan pinggir agenda bumiputera?



Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terus dilanda kontroversi yang tiada kesudahannya. Jika sebelum ini, ia melibatkan langkah menjual aset Yayasan Selangor dan isu kerugian yang ditanggung Universiti Selangor (Unisel), kini ia berkaitan cadangan menjual aset Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bernilai RM321 juta.

Segala tindakan tidak bertanggungjawab itu jelas sekali merugikan rakyat negeri itu khususnya golongan bumiputera yang semakin terpinggir sejak Selangor diperintah kerajaan PKR.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, DATUK Seri Noh Omar mendesak kerajaan negeri membatalkan segera hasrat tersebut jika tidak mahu melihat kebangkitan rakyat.

UTUSAN: Boleh Datuk Seri komen ura-ura PKNS hendak menjual hartanya?

NOH: Kita nak minta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membatalkan hasrat PKNS untuk menjual lima hartanya iaitu Menara PKNS Petaling Jaya dengan nilai RM90 juta, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) sebanyak RM97 juta, Kompleks PKNS Shah Alam sebanyak RM85 juta, Kompleks PKNS Bangi sebanyak RM42 juta dan Wisma Yakin sebanyak RM7 juta.

Kita dimaklumkan Lembaga Pengarah PKNS bercadang untuk menjualnya. Jadi kalau betul PKNS nak menjualnya, maka Abdul Khalid sebagai Pengerusi PKNS dan juga Menteri Besar, kena ambil tindakan untuk menghalang penjualan harta-harta ini sebab dia telah mendakwa Selangor mempunyai wang simpanan banyak sampai RM2 bilion dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) pun kata dia Menteri Besar yang cemerlang.


Kalau betul hasrat nak dijual, pertamanya, kita nak tahu atas tujuan apa harta ini nak dijual? Adakah kerana hasil jualan itu nak digunakan untuk tujuan-tujuan politik? Adakah kerana bagi mendapat modal untuk pilihan raya?

Menteri Besar kena menghalangnya, demi kepentingan masa depan PKNS dan penyewa-penyewa bangunan itu. Kalau harta ini dijual dan dibeli oleh syarikat baru, sudah tentulah dari segi sewa dan sebagainya akan (meningkat). Ini boleh menjejaskan si penyewa yang sebelum ini mendapat faedah daripada harta-harta ini yang diwujudkan sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah.

Keduanya, adakah dia sudah tidak yakin nak menang di Selangor? Bila dia tidak yakin, dia nak jual harta dan sudah tentu nanti apabila BN kembali memerintah, kita akan menghadapi tanggungan hutang yang banyak.

Nampaknya kerajaan PKR begitu ghairah menjual aset Kerajaan Negeri Selangor?

Itu yang saya katakan tadi, kenyataan Anwar bahawa Abdul Khalid ini seorang Menteri Besar yang cemerlang adalah satu kenyataan yang melucukan. Cemerlang dari segi apa? Yang saya nampak, cemerlang yang pertama adalah untuk menjual dan menghabiskan harta yang dulunya diusahakan oleh BN.

Keduanya, bagaimana dia boleh menjadi seorang Menteri Besar yang cemerlang kalau nak menguruskan Unisel pun dia tidak reti? Sebab dalam isu Unisel, dia telah membohongi rakyat. Pada Julai lalu saya ada membuat kenyataan bahawa Unisel menanggung kerugian sebanyak RM54 juta dalam tempoh tiga tahun iaitu pada 2008, 2009 dan 2010.

Menteri Besar telah menafikan dan menyatakan laporan audit yang saya sebut itu belum lagi disahkan. Tetapi hari ini, apabila Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan di Parlimen, ia jelas menunjukkan segala dakwaan dan angka-angka yang saya sebut adalah tepat sekali.

Adakah ia bertujuan menghapuskan hasil usaha BN membantu bumiputera sebelum ini?

Ini saya kata, macam mana Anwar boleh kata Abdul Khalid ini seorang Menteri Besar yang cemerlang? Dia menguruskan PKNS, tapi nampaknya dia nak menjual harta.

Sekarang ini rumah-rumah PKNS dijual mengikut harga pasaran. Sedangkan tujuan PKNS ditubuhkan adalah untuk membina rumah yang lebih murah berbanding yang dibina syarikat swasta.

Nampaknya, Menteri Besar telah menjadikan PKNS seperti syarikat swasta iaitu untuk mencari keuntungan. Rumah-rumah PKNS pun sekarang ini harganya sama seperti harga rumah yang dibina syarikat swasta.

Alasan yang dia bagi, bahawa hasil jualan rumah PKNS itu akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti kebajikan kepada rakyat. Bagi saya, ini bukan satu alasan yang kukuh.

Apakah tindakan UMNO Selangor bagi menghalang penjualan harta ini?

Kita minta Menteri Besar batalkan, sebab itu kita bangkitkan isu ini. Jika betul perkara ini akan diteruskan, kerajaan PKR akan melihat berlakunya kebangkitan rakyat di Selangor.

Kita juga akan tengok apa tindakan lain yang boleh dibuat selepas ini, berdasarkan tindakan yang akan diambil oleh Abdul Khalid.

Difahamkan langkah menjual aset ini bukannya baru?

Ya. Sebelum ini tanah Yayasan Selangor pun nak dijual. Jadi kerajaan PKR Selangor ini kerja dia menjual dan merampas tanah. Rampas tanah macam tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kerana tak bayar cukai. Hari ini terbukti bahawa tindakan itu salah dari segi undang-undang.

Yang peliknya, dengan kebijaksanaan Menteri Besar, dia boleh pula bail out syarikat Talam Corporation Berhad (Talam) dan menyelamatkan hutang syarikat itu sebanyak RM396 juta.

Akhirnya dengan kebijaksanaan Menteri Besar Selangor ini, maka Talam yang sudah diletakkan di bawah status PN17 (syarikat menghadapi masalah kewangan) oleh Bursa Malaysia, sudahpun bebas daripada menghadapi masalah. Sekarang Talam sudah membuat pengisytiharan bahawa ia tiada hutang lagi, sebaliknya anak syarikat kerajaan negeri pula yang menanggung beban hutang, apabila hutang Talam dipindahkan kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Kerajaan PKR ini hanya menyusahkan dan menambahkan beban kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri. Mana-mana anak syarikat atau agensi kerajaan negeri yang berdikari macam PKNS, hartanya nak dijual pula. Jadi macam mana Anwar boleh kata, dia seorang Menteri Besar yang cemerlang.

Kita lihat harta PKNS dijual di bawah nilai pasaran?

Dia memang tidak mengikut penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Perumahan dan Penilaian (JKPP). Macam isu Talam, JKPP menilai tanah dengan harga murah, tetapi dia beli dengan harga yang mahal.

Jadi saya tengok kerajaan negeri ini dia tidak mengikut peraturan. Dia ikut selera dia, ikut apa matlamat dia. Kerajaan PKR ini mengamalkan politik Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan cara. Dia akan buat, apa juga yang dia nak buat.

Saya juga melihat Abdul Khalid ini seorang Menteri Besar yang memandang rendah kepada kebolehan tokoh-tokoh profesional di Malaysia. Contohnya, dulu dia kata nak ambil peguam luar negara. Bila nak audit, dia pun cakap nak ambil firma audit antarabangsa. Hari ini pula dia kata nak ambil pakar air dari Kanada, sedangkan kita mempunyai pakar-pakar tempatan dalam bidang berkenaan. Ini jelas menunjukkan dia memandang rendah kepada kebolehan anak-anak tempatan.

Bagaimana pula kontroversi membabitkan Yayasan Selangor dan Unisel?

Apa yang kita bangkitkan adalah perkara yang betul, tetapi dia cuba menafikan. Jadi Menteri Besar ini dia sudah tiga kali kalah dengan saya. Mula-mula dulu isu perbelanjaan Yayasan Selangor.

Saya buat kenyataan, kata yayasan belanja dekat RM1 juta dan Menteri Besar telah menafikan. Tetapi apabila Pengurus Besar Yayasan Selangor dipanggil mengadap Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat), dia mengesahkan bahawa perbelanjaan itu lebih RM1 juta.

Yang peliknya bila Pengurus Besar itu mengaku perbelanjaan tidak mengikut peraturan dan begitu banyak, tak ada tindakan pun diambil oleh pengurusan, malah disambung lagi kontraknya. Ini menunjukkan kerajaan PKR Selangor mengamalkan kronisme. Mana orang dia atau kroni dia, akan dipertahankan walaupun terbukti tidak layak.

Dalam isu Unisel pula, dia menganiaya syarikat bumiputera yang mendapat kontrak penyelenggaraan asrama. Dulu Unisel berhutang sebanyak RM15 juta dan sekarang meningkat kepada RM19 juta.

Syarikat ini sudah bawa kes berkenaan ke mahkamah, kerana belum lagi mendapat bayaran, walaupun dulu Unisel berjanji nak bayar. Sebab itu syarikat ini benarkan pelajar-pelajar masuk ke asrama. Tetapi sampai sekarang dia masih tidak dibayar.

Dulu alasan dia tak bayar sebab asrama itu belum mendapat sijil layak menduduki (CF), tetapi sekarang apabila kita tunjukkan bukti bahawa kenyataan itu tidak betul dan memang asrama berkenaan telah ada CF, dia masih tidak bayar hutang. Jadi jelas tujuan dia memang tak nak bayar hutang. Kasihan, itu menganiaya syarikat bumiputera.

Dia juga tidak boleh salahkan kerajaan BN Selangor kerana hutang Unisel sebanyak RM54 juta semuanya berlaku waktu dia memerintah. Sebelum dia memerintah tak ada masalah. Kalau seorang Menteri Besar nak menguruskan Unisel pun tak reti, macam mana nak mengurus sebuah negeri yang maju.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 26 Oktober 2012

Salam Aidil Adha.. !



" Labbaika Allahumma labbaika. Labbaika la syarika laka labbaika. Innal hamda wanni’mata laka wal mulka. laa syarika laka ".

" Ya Allah, aku datang karena panggilanMu. Tiada sekutu bagiMu. Segala ni’mat dan puji adalah kepunyanMu dan kekuasaanMu. Tiada sekutu bagiMu ".

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha dari saya buat semua rakan-rakan blogger dan juga para pembaca yang budiman. Selamat melakukan ibadah Qurban dan sambutlah ianya dengan penuh keinsafan dan keredhaan. Semoga Allah swt sentiasa memberkati kita semua..InsyaAllah..AMIN.

Ikhlas Dari :

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 25 Oktober 2012

Kerajaan Selangor aniaya rakyat - Kunci diserah, tapi tak boleh pindah?



Perasaan gembira penduduk Kampung Berembang yang diberi kunci unit rumah masing-masing di Pangsapuri Berembang Indah hanya bersifat sementara.

Mereka masih tidak dapat berpindah masuk ke pangsapuri itu kerana masih terdapat banyak masalah di pangsapuri berkenaan.

Penduduk mendakwa, walaupun sebelum ini pemaju dan kerajaan negeri berjanji mengambil masa hanya tiga tahun untuk dipindahkan ke situ, tetapi disebabkan masalah teknikal, mereka terpaksa menunggu lagi sembilan tahun untuk dipindahkan ke pangsapuri berkenaan.


Sudahlah menunggu sejak sekian lama, apabila menerima kunci kediaman mereka daripada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor pada Ogos lalu, mereka mendapati pelbagai masalah lain pula yang tidak diselesaikan oleh pihak pemaju.

Sehubungan itu, kerajaan negeri Selangor diminta memeriksa pangsapuri itu dan memastikan semua masalah telah diselesaikan agar penduduk boleh berpindah masuk dengan senang hati.

Seorang penduduk Kampung Berembang, Shahfarin Razlan, 46, ketika ditemui berkata, pihak pemaju mengeluarkan surat kepada mereka bahawa bangunan tersebut telah siap sepenuhnya dan boleh diduduki pada bila-bila masa.

"Tetapi apabila tiba di pangsapuri ini, kami mendapati bekalan elektrik dan air masih tiada.

"Pihak pemaju seharusnya memastikan bahawa tiada masalah seumpama itu di pangsapuri ini sebelum mengeluarkan surat itu," ujarnya.


Seorang suri rumah, Laila Osman, 43, yang kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang Utara berkata, dia terpaksa melangsaikan bayaran yang diminta pemaju walaupun ketika itu umat Islam sedang sibuk dengan persiapan menyambut Aidilfitri.

"Bayangkan, mereka kutip duit sebelum hari raya, tetapi kami langsung tidak membantah kerana mahukan rumah yang selesa untuk keluarga. Tetapi apabila melawat ke pangsapuri ini, kami mendapati masih terdapat beberapa masalah yang tidak selesai.

"Dulu semasa tinggal di Kampung Berembang, kami dipindahkan ke PPR Beringin, tetapi disebabkan PPR tersebut mempunyai masalah kami dipindahkan ke Pangsapuri Berembang Indah pula.

"Tetapi pangsapuri baru pun menghadapi masalah," ujarnya.


Dalam nada sama, Aida Suhaida Shariff, 21 berkata, hampir setiap hari dia dan keluarga menjenguk ke pangsapuri berkenaan untuk melihat sama ada meter air dan elektrik telah dipasang.

"Setiap kali datang, pasti kami akan kecewa kerana ada sahaja masalah yang masih tidak selesai. Tiada bekalan air dan elektrik, dan pelbagai masalah lagi," katanya.

Oleh itu, dia dan penduduk lain pangsapuri itu meminta Syarikat Perspektif Masa Sdn. Bhd. (PMSB) selaku pemaju segera menyelesaikan masalah tersebut dan dalam masa yang sama kerajaan negeri Selangor juga harus menjalankan tanggungjawab memantau dan memastikan pangsapuri berkenaan telah benar-benar sedia untuk diduduki.

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 17 Oktober 2012

Ulasan Dato Hasan Terhadap Kenyataan TGNA?



Saya tertarik dan terpanggil untuk memberi sedikit ulasan kepada kenyataan daripada Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) yang juga merupakan Mursyidul Am PAS.

Seperti yang diketahui TGNA mempunyai kedudukan istimewa di dalam PAS. Bagi kebanyakan ahli dan penyokong PAS, mereka menganggap TGNA segala-galanya. Beliaulah Mursyidul Am. Beliaulah "Presiden". Beliaulah Menteri Besar dan beliaulah Tok Guru dari sudut agama.

Kedudukan yang sedemikian bagi saya adalah pemberian Allah kepada beliau. Setiap satu kedudukan termasuk dirinya sebagai hamba Allah mempunyai tanggungjawab yang begitu besar bukan sahaja dikalangan ahli dan penyokong PAS tetapi yang lebih penting disisi Allah SWT.

Saya sendiri dan mungkin orang lain juga merasa begitu kerdil untuk membuat ulasan terhadap sebarang kenyataan yang dibuat oleh TGNA atas kedudukan beliau yang begitu supreme dikotak pemikiran ahli dan penyokong PAS.

Ketiadaan ahli dan penyokong yang berupaya untuk menyanggah pendapat beliau yang setengah-setengahnya begitu ganjil bukan sahaja dari segi perkataan malah dari segi implikasi kenyataan yang dikeluarkan yang mungkin atas supremenya beliau, beliau dan orang-orang dalam lingkungan beliau tidak menyedarinya. Saya tidak perlu mengulangi kenyataan yang mana, waktu bila yang termasuk dalam kategori ini.

Untuk menyatakan DAP tidak pernah mengganggu PAS dan DAP juga merupakan rakan kongsi yang akan menjamin kemenangan PAS dalam PRU ke 13, bagi saya agak keterlaluan.


Bagi saya juga kenyataan sedemikian tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang yang mempunyai stature seperti yang disebutkan diatas. Lupakah TGNA dan orang-orang disekeliling beliau bahawa TGNA pernah beberapa kali menyanggah pendirian Karpal Singh dan Lim Kit Siang yang berterusan menghina dan menentang perjuangan Pas untuk melaksanakan hudud?

Kita tidak lupa, beliau juga pernah menyebutkan akan meneruskan hudud di Kelantan dalam keadaan apa pun yang di datangkan oleh DAP? Kita juga masih ingat betapa tegasnya beliau mengatasi mana-mana pimpinan PAS yang lain menyatakan perasaan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang adakalanya tidak layak oleh seseorang yang dianggap begitu supreme.

Bagi saya kedua-dua kenyataan terakhir TGNA mempunyai dua implikasi besar.

Pertama, kenyataan tersebut tidak layak lagi akan menghiris hati dan perasaan ahli dan penyokong PAS yang sudah tidak menahan perasaan sabar akibat daripada bertambah berani dan ghairahnya pimpinan DAP menghina Islam.

Kedua, saya bimbang kenyataan-kenyataan supreme ini akan menjadikan pimpinan DAP dan sebahagian daripada pimpinan PAS daripada golongan parasit terus mendapat pembelaan dan menjadikan mereka lebih ganas menghentam Islam dan perjuangan PAS disebabkan “peluru” yang disediakan oleh TGNA.

Saya berpendapat demi untuk menjaga keutuhan dalam PAS dan menjadikan PAS terus berdarjat dan bermartabat sebagai “custodian” kepada perjuangan Islam, TGNA perlu menoleh ke belakang untuk bermuhasabah. Sudah sampai masanya bagi TGNA untuk merenung sejauh-jauhnya tentang kehadiran beliau dalam hierarki kepimpinan PAS samada benar-benar menguntungkan atau merugikan bukan sahaja PAS sebagai sebuah parti Islam tetapi yang lebih penting perjuangan PAS itu sendiri termasuklah imej, kehebatan dan keagungan Islam itu sendiri.

Mungkin sudah sampai masanya sebelum nasi menjadi bubur, TGNA memikirkan untuk menyerahkan tanggungjawab besar sebagai Mursyidul Am kepada timbalannya yang saya yakin mempunyai kemampuan dan kewibawaan yang setara dengan beliau.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
ADUN GOMBAK SETIA
PRESIDEN JATI

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 16 Oktober 2012

DAP Kedah bantah iklan sopan?



DAP Kedah sekali lagi menegaskan mereka akan menentang undang-undang yang berunsurkan Islam jika ia mahu dilaksanakan di negeri itu.

Pengerusinya, Lee Guan Aik berkata, tindakan itu termasuk dalam soal pelaksanaan garis panduan papan iklan antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan perlu bertudung jika beragama Islam.

Katanya, sebarang perkara berkaitan undang-undang Islam perlu dipersetujui oleh semua parti dalam pakatan pembangkang di peringkat Pusat dan negeri.

"DAP negeri sekali lagi ingin menegaskan dan menjelaskan bahawa kami tidak akan memberi sokongan terhadap undang-undang hudud atau apa sahaja berkaitan isu negara Islam," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Guan Aik mengulas kenyataan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Mat Noh Ahmad berhubung garis panduan pemasangan papan iklan di kawasannya yang meliputi penggunaan bahasa, landskap dan pakaian model iklan.

Antara perkara yang ditekankan dalam garis panduan itu ialah model dalam gambar perlu sopan dan berpakaian tidak menjolok mata dan jika model itu beragama Islam, dia perlulah menutup aurat.

Guan Aik berkata, kenyataan Datuk Bandar tersebut cuma merupakan pendirian peribadinya kerana garis panduan yang dicadangkan itu tidak selari dengan peraturan dalam Undang-undang Kecil Majlis Perbandaran Kota Setar (MPKS) 1992.

Jelasnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk menggubal atau mewartakan sesuatu peraturan tanpa dipersetujui oleh Ahli Majlisnya yang diwakili oleh wakil daripada parti pakatan rakyat.

"Perkara ini serius dan masing-masing ada prinsip. Tidak kira apa undang-undang pun.

"Setiap ahli majlis mewakili parti dan bertanggungjawab kepada parti. Parti tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka jika mendapat tahu kepentingan parti diketepikan. Oleh itu mereka perlu tahu apa yang patut atau tidak patut disokong," katanya.

Warna-warni politik
Taminsari

Rabu, 10 Oktober 2012

Mat Sabu beri jawapan dolak-dalik?


Kiri Mat Sabu, Firoz Hussien Ahmad Jamaluddin

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menyokong serangan yang diketuai oleh Mat Indera ke atas 'pihak polis British' di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dalam perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakannya terhadap Utusan Melayu (M) Bhd., dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak berhubung kejadian serangan tersebut.

FIROZ: Dari segi ucapan (di Tasek Gelugor di sini pada 21 Februari 2009) yang diberikan oleh kamu, adakah kamu bersetuju bahawa kamu menyokong serangan ke atas Bukit kepong yang diketuai oleh Mat Indera.

MOHAMAD: Ya.

Namun, apabila disoal lanjut oleh mahkamah berhubung perkara yang disentuh dalam ucapannya pada 21 Ogos 2011 itu, Mohamad menukar fikiran dengan berpandangan, serangan tersebut tidak patut dilakukan.

Beliau seterusnya berkata, sama ada beliau menyokong atau tidak serangan tersebut, perkara berkenaan telah pun berlaku.

Beliau juga berpendirian, sesiapa sahaja yang menentang British sebelum merdeka adalah pejuang kemerdekaan.

''PKM (Parti Komunis Malaya) adalah pejuang kemerdekaan kerana mereka menentang British sebelum merdeka, selepas merdeka tidak boleh, itu pengganas,'' katanya.

FIROZ: Saya cadangkan kepada kamu bahawa oleh kerana kamu sokong serangan ke atas Bukit Kepong maka adalah benar kamu tidak menghormati jiwa dan darah anggota keselamatan dan keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi itu?

MOHAMAD: Tidak.

Mohamad berkata demikian sebagai saksi plaintif pertama dalam perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakannya terhadap kedua-dua defendan tersebut berhubung tragedi Bukit Kepong.

Saman tersebut adalah ekoran muka depan Utusan Malaysia pada 27 Ogos 2011 bertajuk Mohamad Sabu Hina Pejuang, Anggap Pengganas Komunis Hero Sebenar Tragedi Bukit Kepong yang didakwa sebagai fitnah dan beberapa artikel pada hari berikutnya mengenai isu berkenaan.

Pada prosiding hari pertama hari ini, sedutan rakaman cakera padat video (VCD) berhubung ceramah Mohamad yang diserahkan oleh peguam defendan, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin turut dimainkan melalui monitor komputer selama 18 minit.

Selain itu, transkrip penuh rakaman tersebut diserahkan oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili pihak plaintif kepada mahkamah.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika menjawab pemeriksaan balas Firoz, berkata, beliau tidak tahu, daripada fakta sejarah, serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong telah dilakukan oleh pengganas-pengganas Komunis daripada PKM.

Menurutnya, ketika membuat kenyataan pada ceramah tersebut, beliau juga tidak sedar atau mengambil langkah untuk menentukan sama ada serangan itu dilakukan oleh PKM.

Saksi tersebut berkata, apa yang diketahui adalah tentang Mat Indera tetapi tidak mengetahui latar belakang anggota-anggota lain yang menyertai serangan itu.

FIROZ: Siapa yang serang Balai Polis Bukit Kepong?

MOHAMAD: Mat Indera

FIROZ: Seorang?

MOHAMAD: Yang lain, saya tidak tahu.

FIROZ: Tetapi kamu sifatkan mereka sebagai pejuang kemerdekaan, kamu tidak tahu siapa yang serang?

MOHAMAD: Tak tahu yang lain.

Menjawab soalan lain, Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui kesemua anggota polis yang terbunuh dalam tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.

FIROZ: Adakah kamu tahu sama ada anggota British atau orang Melayu yang terbunuh di Bukit Kepong?

MOHAMAD: Sekarang saya tahu, orang Melayu.

FIROZ : Beragama Islam?

MOHAMAD: Ya.

Mohamad juga berkata, beliau pada masa kini mengetahui mangsa yang terbunuh dalam kejadian serangan di Balai Polis Bukit Kepong termasuk wanita dan kanak-kanak yang merupakan keluarga kepada anggota-anggota polis terbabit.

Ditanya adakah kejadian itu merupakan satu pembunuhan yang wajar, kata Mohamad, perkara tersebut adalah tidak wajar walaupun sebelum itu beliau hanya berkata: ''Untuk peperangan, saya simpati dengan mereka yang terbunuh''.

Menjawab soalan mengenai kejadian serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang didakwa berlaku semasa Johor bukan jajahan British tetapi hanya di bawah naungan British dari segi undang-undang, Mohamad tidak bersetuju kerana baginya, naungan dan jajahan adalah sama sahaja maksudnya.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak pasti apabila dicadangkan oleh peguam bahawa negeri Johor tidak pernah dijajah oleh British sebaliknya hanya mempunyai seorang penasihat British.

Memandangkan Johor tidak pernah dijajah oleh British bukan seperti Pulau Pinang dan Melaka, Firoz mencadangkan, tiada isu perjuangan kemerdekaan di negeri tersebut, namun cadangan itu tidak dipersetujui oleh Mohamad.

Menurut pemimpin Pas itu, apa yang diketahuinya, anggota-anggota polis yang terbunuh dalam serangan tersebut adalah polis British.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Seri Zakaria Sam bersambung esok.-UMO

Warna-warni politik
Torashah



Isnin, 8 Oktober 2012

Projek UiTM Serendah diteruskan!



Kabinet bersetuju untuk meneruskan cadangan pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di atas tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah, Hulu Selangor dekat sini yang sebelum ini dirampas kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai sehari selepas dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sesi dialog bersama pemimpin belia di UiTM Shah Alam semalam.

Keputusan ini menunjukkan kerajaan Persekutuan menepati janji dan mahu peluang pendidikan diberikan kepada anak Selangor," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu kepada pemberita selepas melawat Jeti Nelayan Sungai Yu, Tanjong Karang di sini.

Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menambah, kos peruntukan pembinaan dan pelaksanaan cawangan UiTM itu akan diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa terdekat.

"Kerajaan Persekutuan terpaksa mencari peruntukan baharu untuk pembinaan tersebut memandangkan yang ada telah digunakan untuk cawangan UiTM di Melaka.

"Saya berharap kerajaan negeri tidak terlalu mempolitikkan isu ini lagi kerana rakyat amat memerlukan kampus ini. Apabila projek dilaksanakan nanti, kerajaan negeri diminta memberi kerjasama dan jangan mencari alasan lagi," katanya.

Baru-baru ini, Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mendapat kembali hak milik tanah seluas 318.8 hektar di Serendah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan tindakan kerajaan negeri memulangkan cukai tanah dan merampas tanah terbabit sebelum ini tidak sah di sisi undang-undang.

Rayuan yang dibuat YBK diterima Hakim Mahkamah Tinggi, Hadhariah Said Ismail selepas meneliti hujah bertulis dan mendengar hujah lisan daripada kedua-dua peguam YBK dan kerajaan negeri.-UMO

Warna-warni politik
Torashah




Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor