Selasa, 11 September 2012

Tindakan pengawal Anwar acu pistol?



Tindakan pantas polis berjaya mengekang kejadian tidak diingini berlaku ketika pengawal peribadi Anwar Ibrahim (berkemeja T) memegang pistol di tempat awam di Jasin, Melaka, kelmarin.

Polis akan menyiasat lebih lanjut rakaman video yang tersebar di laman YouTube hari ini mengenai tindakan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim mengacu pistol ke arah orang awam dalam kekecohan di satu majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kampung Baru Rim, Jasin di sini semalam.

Rakaman video yang dimuat naik daripada laman blog alamijiwaparadox.blogspot.com itu dipercayai dapat membantu polis menyiasat tindakan pengawal peribadi berusia 37 tahun itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ketika laporan diterima, polis belum menerima rakaman video yang dimaksudkan.

Menurut beliau, ketika itu pihaknya hanya menerima gambar yang memaparkan lelaki berkenaan memegang sepucuk pistol yang diacukan ke arah bawah.

"Sehubungan itu, polis meminta pemilik rakaman video berkenaan untuk tampil membantu siasatan bagi membolehkan kami meneliti kesahihan video berkenaan.

"Polis juga meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang gambar, rakaman atau maklumat lain yang berkaitan untuk tampil. Sehingga kini siasatan mengenai kes tersebut masih dijalankan dan kita berharap lebih banyak maklumat diberi bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Laman blog Jiwa Paradox hari ini memuat naik rakaman video dan beberapa keping gambar memaparkan aksi lelaki berkenaan yang menaiki kereta berwarna hitam dan mengacukan pistol ke arah orang awam dalam kekecohan itu.

Polis semalam menahan lelaki terbabit yang ditugaskan mengawal Anwar selepas dia dikatakan mengacu senjata api ke arah orang ramai di Kampung Baru Rim.

Kejadian berlaku pukul 3.15 petang apabila lelaki itu yang menaiki kereta Toyota Camry dipercayai berang dan keluar dari kenderaan sebelum mengacukan pistol ekoran sekumpulan lelaki cuba menghalang bas yang dinaiki Anwar untuk ke majlis.

Marah dengan tindakan lelaki itu, orang ramai yang berada berhampiran tapak program Jelajah Merdeka Rakyat menyerbu ke arah lelaki tersebut sehingga menimbulkan kekecohan.

Beberapa anggota polis yang berkawal di tempat kejadian pantas menyuraikan kekecohan sebelum menahan dan membawa lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Raja Shahrom pada sidang akhbar di IPD itu petang ini memberitahu, pengawal peribadi terbabit dibebaskan dengan jaminan polis pukul 9 malam tadi selepas keterangannya diambil.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ugutan secara jenayah yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor