Ahad, 2 September 2012

Sambutan kemerdekaan meriah!


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah bersama Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir (barisan depan) Muhyiddin Yassin (tiga kiri), Dr. Mahathir Mohamad (kiri), Hishammuddin Hussein (dua kanan) dan Dr. Rais Yatim (dua kiri).

Perbarisan sempena Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat nasional di Dataran Merdeka di sini hari ini disambut meriah dengan penyertaan kira-kira 14,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda yang menunjukkan kemakmuran dan kesejahteraan perpaduan negara.

Ribuan rakyat Malaysia termasuk pelancong mula membanjiri Dataran Merdeka seawal 6.30 pagi selain jutaan lagi menonton menerusi siaran langsung di beberapa rangkaian televisyen, bukti semangat patriotik masih tertanam di jiwa masing-masing.

Dengan tema 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati, perhimpunan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah tepat pukul 8 pagi yang disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Yang di-Pertuan Agong kemudian menerima tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan barisan anggota Kabinet.

Pada masa sama, tujuh buah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bendera ketiga-tiga cabang pasukan keselamatan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Tuanku Abdul Halim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat I RAMD, diikuti dengan laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali sebelum upacara menaikkan Jalur Gemilang sambil diiringi lagu Negaraku serta 14 das tembakan meriam.

Acara sambutan bermula dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh 55 peserta yang mewakili pelajar dan guru, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan badan berkanun serta orang kurang upaya (OKU).

Ia disusuli dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diikuti laungan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali.

Acara diteruskan dengan persembahan segmen pertama mengenai Rukun Negara oleh para pelajar melalui teknik penyampaian bicara berirama yang penuh warna-warni.

Bagi sambutan kali ini, perbarisan kontinjen agensi kerajaan mencipta sejarah apabila diketuai Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dengan diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Kontinjen badan beruniform generasi muda di bawah segmen Pemimpin Masa Hadapan mencuri perhatian hadirin yang hadir apabila tampil dengan persembahan tarian IM4U yang sangat menghiburkan.

Perarakan tersebut turut disertai oleh kontinjen pengangkutan awam bandar terdiri daripada empat kereta peronda Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), 55 buah teksi dan dua bas RapidKL yang menjadi simbolik kepada transformasi pengangkutan awam negara.

Bagi segmen keempat iaitu Gegar Merdeka, ia memperlihatkan kontinjen pasukan keselamatan negara yang turut dianggotai oleh anggota wanita serta disertai oleh kontinjen perwira veteran dengan menaiki kenderaan-kenderaan antik yang pernah digunakan oleh pemimpin negara dalam menuntut kemerdekaan dan diikuti pertunjukkan formasi udara oleh pasukan keselamatan.

Perarakan sambutan kali ini diakhiri dengan segmen kelima iaitu Bangga Menjadi Rakyat Malaysia yang dimulakan dengan persembahan oleh generasi muda melalui pergerakan cergas dan bertenaga dengan diiringi lagu Drumline dan medley lagu-lagu patriotik Nadi Rakyat, IM4U, Janji Ditepati, Tanggal 31, 1Malaysia dan Jalur Gemilang.

Warna-warni Politik
Torashah

1 ulasan:

Abdullah Rahman berkata...

Umno ni cakap saja pandai. Dulu masa perintah Selangor, habis harta rakyat di sapunya. Rumah Toyo pun lebih 20 juta walhal jadi mb tak sampai 5 tahun. Asset Air di beri pada kroni. Rakyat kena bayar tariff air yang tinggi. Bila Pakatan nak beri air percuma kononnya negeri boleh bangkrap. Sekarang terbukti, itu hanya rhetoric Umno penipu.

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor