Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Rabu, 4 Julai 2012
Nilai siapa lebih ikhlas!
SEJAK dikuasai Pas hampir 22 tahun yang lalu, negeri Kelantan sering sahaja melalui pelbagai episod dan drama politik yang tidak berkesudahan.
Namun hakikatnya keadaan tidak banyak berubah sehingga kini dan janji lama yang ditabur kerajaan Pas sejak sekian lama masih banyak yang belum ditunaikan.
Yang banyak berubah adalah parti Pas itu sendiri dan bukannya negeri yang turut dikenali sebagai negeri Cik Siti Wan Kembang.
Manakan tidak, jika dahulu bukan sahaja sukar malah haram untuk Pas bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam namun kini hubungan itu dilihat sangat rapat sehinggakan Pas lebih banyak mengalah kepada parti DAP yang diketahui umum sebagai parti yang tidak mesra Islam.
Melihat realiti ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat satu perubahan drastik perlu dilakukan oleh rakyat negeri itu bukan sahaja dengan memberi peluang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah tetapi menolak sama sekali kehadiran DAP di negeri itu.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika ditemui baru-baru ini oleh Wartawan Mingguan Malaysia, Marhaini Kamaruddin dan Hafizahril Hamid serta jurugambar, Izham Jaafar menyatakan, rakyat Kelantan tidak akan berkompromi dalam hal-hal sebegini kerana ia melibatkan soal-soal agama.
“Saya lihat ramai rakyat Kelantan yang tidak senang dengan DAP yang semakin angkuh. Sejak sekian lama kita tahu bahawa parti itu tidak mesra dengan orang dan agama Islam.
“Oleh sebab itu apabila ada tokoh dan pemimpin DAP yang turun ke kampung-kampung di Kelantan saya lihat ia menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat," katanya.
MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat perkembangan di Kelantan sekarang dan peluang untuk menawan kembali negeri ini pada pilihan raya akan datang?
MUSTAPA: Seperti yang kita sedia maklum suasana politik Kelantan senantiasa rancak. Dari segi kita sentiasa penuh dengan ceramah dan pelbagai program lain. keadaan ini sudah tentu berbeza dengan negeri-negeri lain. Bagi UMNO negeri kami telah pun menggandakan pelbagai program untuk mendekati rakyat dan ia bukan sahaja dilakukan sebagai persiapan untuk pilihan raya. Program kami bukan sahaja melibatkan ahli-ahli parti tetapi juga NGO-NGO dan para pengundi atas pagar. Kami juga telah melengkapkan pekerja parti dengan ilmu melalui pelbagai kursus untuk bertugas sebelum dan semasa pilihan raya nanti. Kami juga sudah mengemas kini angka-angka pengundi luar yang secara puratanya sekitar 15 peratus bagi seluruh negeri.
Kami juga sudah meningkatkan hubungan dengan rakyat Kelantan yang berada di luar termasuk di Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Pulau Pinang. Kami sering mengadakan pertemuan dengan mereka untuk memberikan penerangan mengenai sebenar yang berlaku di Kelantan. Setakat ini tahap persiapan kami telah mencecah 80 peratus dan gear penuh akan bermula sebaik sahaja wisel pilihan raya ditiup. Saya ingat di seluruh negara, termasuk Kelantan sudah hampir bersedia, bagi pembangkang mereka ingin tahu calon yang akan bertanding malah saya harap ahli UMNO akan menyokong calon dipilih Presiden dan parti berasaskan konsep winnable candidate.
Setakat ini bagaimana sambutan dari rakyat Kelantan terhadap program dan walkabout yang dilakukan Datuk Seri sendiri?
MUSTAPA: Kita perlu gunakan pelbagai kaedah dalam konteks negeri Kelantan sudah tentu ia berbeza dengan negeri-negeri lain. Pertamanya keperluan untuk mengadakan ceramah umum yang mana ia perlu dilakukan di seluruh negeri. Wanita juga telah melancarkan program mereka sendiri, melalui juara rakyat sangat berkesan untuk menarik pengundi seperti turun berjumpa dengan mereka yang memerlukan pembelaan, berjumpa dengan ibu yang baru melahirkan anak, kenduri-kendara dan pelbagai lagi.
Selain itu kami telah melakukan usaha-usaha untuk mendekati belia, kumpulan kebudayaan, pemandu teksi, persatuan dan NGO masyarakat dan ahli-ahli perniagaan. Selaku Pengerusi Perhubungan Negeri saya sudah melancarkan pelbagai program yang mendekatkan diri dengan rakyat selain menerangkan kepada mereka isu-isu semasa. Memang program banyak namun bagi saya yang penting bukanlah kuantitinya tetapi hasil yang diperoleh selepas sesuatu program dijalankan. Mungkin yang perlu diperkemaskan lagi ialah pertemuan dengan anak-anak muda.
Apakah program yang dijalankan itu ‘berbaloi’ untuk menawan rakyat Kelantan?
MUSTAPA: Sama ada ia berbaloi atau sekadar balik modal sahaja, yang penting kita sentiasa buat kita sentiasa buat ‘post mortem’ untuk mengetahui di mana kekuatan dan kelemahan kami untuk dilakukan penambahbaikan. Dari segi respons yang kita dapati semakin ramai kumpulan atas pagar dan para penyokong Pas menerima realiti bahawa parti itu sudah semakin tersasar daripada matlamat perjuangan mereka. Kalau dahulunya mereka perjuangkan penubuhan negara Islam tetapi sekarang negara berkebajikan.
Mereka kurang bercakap tentang hudud. Mereka sudah faham apa yang berlaku kepada Datuk Hasan Ali yang berjuang untuk kepentingan Islam, Melayu dan raja. Namun beliau dibuang parti kerana mempertahankan pendiriannya itu. Kini Hasan Ali berceramah di seluruh negara termasuk di Kelantan dan saya lihat ramai penyokong Pas dan mereka yang di atas pagar hadir ceramah ini kerana mereka berminat mahu mengetahui kisah sebenar. Sokongan terhadap UMNO dan BN sudah semakin bertambah berbanding tahun 2008.
Bagaimana Datuk Seri melihat kerjasama plastik antara Pas dan DAP yang kita ketahui banyak percanggahan sama ada dari segi prinsip mahupun ideologi?
MUSTAPA: Saya lihat ramai rakyat Kelantan yang tidak senang dengan DAP yang semakin angkuh. Sejak sekian lama kita tahu bahawa parti itu tidak mesra dengan orang Islam dan agam Islam. Oleh sebab itu apabila ada tokoh dan pemimpin DAP yang turun ke kampung-kampung di Kelantan saya lihat ia menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat. Sebelum ini tidak pernah kelihatan pemimpin-pemimpin DAP ini turun ke kampung dan memberi ceramah. Maka apabila terdapat pemimpin-pemimpin DAP yang berceramah di kampung-kampung malah ada yang membaca ayat-ayat al-Quran, rakyat Kelantan tidak boleh menerima perlakuan sebegini yang nyata begitu asing bagi mereka.
Kami tahu rakyat Kelantan tidak akan berkompromi dalam hal-hal sebegini kerana ia melibatkan soal-soal agama. Namun kini akibat tindak tanduk mereka ini rakyat Kelantan sudah boleh melihat isu sebenar dan ditambah pula dengan pelbagai program yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mereka boleh membuat penilaian siapa sebenarnya yang benar-benar ikhlas membantu rakyat Kelantan. Lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kelantan menerima sambutan luar biasa.
Bagaimana Datuk Seri melihat kerjasama plastik antara Pas dan DAP yang kita ketahui banyak percanggahan sama ada dari segi prinsip mahupun ideologi?
MUSTAPA: Saya lihat ramai rakyat Kelantan yang tidak senang dengan pengaruh DAP yang semakin angkuh. Ini kerana sejak sekian lama mereka sudah tahu bahawa parti itu tidak mesra dengan orang Islam dan agam Islam. Oleh sebab itu apabila ada tokoh dan pemimpin DAP yang turun ke kampung-kampung di Kelantan saya lihat ia menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat.
Sebelum ini tidak pernah pula kelihatan pemimpin-pemimpin DAP ini turun ke kampung dan memberi ceramah. Maka apabila terdapat pemimpin-pemimpin DAP ini yang berceramah di kampung-kampung malah ada yang membaca ayat-ayat al-Quran, sudah tentu mereka tidak boleh menerima perlakuan sebegini yang nyata begitu asing bagi mereka. Isu sebegini sudah tentu akan memakan diri kerana kami tahu rakyat Kelantan tidak akan berkompromi dalam hal-hal sebegini kerana ia melibatkan soal-soal agama.
Namun kini akibat tindak tanduk mereka rakyat Kelantan sudah boleh melihat betapa Pas sanggup bersekongkol dengan orang yang menolak Islam. Saudara dalam Islam ditolak tapi parti yang jelas menolak dan tidak menerima keagungan Islam serta kedudukan orang Melayu diterima. Ditambah pula dengan pelbagai transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mereka boleh membuat penilaian siapa sebenarnya yang benar-benar ikhlas membantu rakyat Kelantan.
Bagaimana dengan penyokong tegar, apakah mereka melihat kerjasama DAP di Kelantan sebagai sesuatu yang ikhlas?
MUSTAPA: Saya tidak lihat kerjasama DAP ini sebagai sesuatu yang ikhlas dan ia hanya tertumpu kepada ruang lingkup untuk kerjasama demi kuasa dan pilihan raya. Sekarang penyokong tegar Pas sudah mula sedar bagaimana Pas yang pernah beria-ia memperjuangkan penubuhan negara Islam, melaksanakan hukum hudud kini sudah kendur. Mereka sudah banyak berkompromi dengan sekutu mereka DAP. Kini sudah ada kumpulan yang semakin tidak puas hati dengan PAS yang dilihat sebagai mengorbankan prinsip.
Manakala UMNO pula kekal sebagai parti yang membela orang Melayu dan Islam. Kita sudah sama berkongsi kuasa dengan rakan-rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN). Kami tetap konsisten dalam perjuangan dan rakyat dapat melihat betapa kami istiqamah dalam perjuangan. Kami tetap kekal setia dengan parti-parti komponen. Kita sedia maklum bahawa dahulu Pas amat benci kepada bangsa Cina dan menolak untuk bekerjasama dengan parti bukan Islam, tetapi kini sanggup bekerjasama dengan DAP dan mengorbankan prinsip perjuangan hanya untuk kuasa. Dahulu Pas kata wanita tidak boleh menyertai tilawah al-Quran, tidak boleh bekerja, tidak boleh bertanding dalam pilihan raya, sekarang sema sudah berubah. Mereka telah ikut UMNO.
Apakah perkara sebegini telah membuka mata rakyat Kelantan tentang siapa sebenarnya Pas dan DAP?
MUSTAPA: Semua perkara ini telah dilakukan UMNO sejak sekian lama lagi. UMNO dan BN sudah jauh ke hadapan malangnya Pas baru hendak merangkak. Maka adalah jelas bahawa UMNO tetap konsisten walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan cacian namun Pas pula sanggup menggadai prinsip. Semua ini semakin jelas kepada rakyat Kelantan sendiri. Kami juga penganut agama Islam, berada dalam saf yang sama dalam sembahyang tetapi dicaci dan dihina. Sebaliknya Pas mendewakan pemimpin DAP dengan gelaran Khalifah Umar Abdul Aziz. UMNO dan BN adalah parti yang mendahului zaman dan konsisten manakala PAS adalah parti ketinggalan zaman dan sanggup mengubah prinsip untuk menang pilihan raya.
UMNO dan BN adalah parti yang telah banyak melakukan jasa. Kita laksanakan DEB yang telah ubah nasib bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, melahirkan profesional Melayu dan kini Perdana Menteri sedang melakukan pelbagai transformasi Kerajaan, ekonomi dan politik yang jelas untuk kepentingan rakyat. Saya sangat mengharapkan agar rakyat Kelantan sedar bahawa PAS sudah tersasar dari perjuangan asal dan setelah 22 tahun diberi peluang, nasib rakyat Kelantan tidak banyak berubah. Orang UMNO dilihat sebagai musuh tetapi DAP dianggap sebagai saudara.
Bagaimana dengan isu-isu yang dihadapi oleh kerajaan negeri, apakah rakyat Kelantan sekadar menerima atau sudah mula mempersoalkan integriti mereka?
MUSTAPA: Isu yang dihadapi oleh kerajaan negeri sudah mula membuka mata masyarakat di negeri ini. Mungkin terdapat mereka yang fanatik terhadap Pas, namun semakin ramai yang sedar mereka bukanlah maksum dan telah gagal membela rakyat. Mereka telah membuka mata mengenai penyelewengan yang berlaku dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PNBK), kelemahan dalam menangani isu air, cara mereka membangunkan ladang rakyat, gagal beri rumah kos rendah. Banyak janji tidak tertunai. Tahun 1990 kata nak bagi wang emas RM100 sebulan, tapi janji tinggal janji. Masyarakat sudah mula sedar tetapi bagi mereka yang fanatik masih sukar untuk kita ubah pendirian mereka.
Begitu juga Anwar Ibrahim. Bagi mereka yang fanatik dengan beliau walaupun pelbagai keraguan timbul mengenai integriti moralnya, mereka tidak akan berubah pendirian akibat terlalu fanatik. Bagi saya mungkin mereka yang fanatik di Kelantan mencecah 50 peratus. Namun saya yakin semakin ramai rakyat yang faham isu sebenar dan saya berharap mereka yang di atas pagar juga akan berubah. Inilah masa terbaik untuk berubah. PRU 13 akan tentukan masa depan agama, bangsa dan negara.
Bagaimana kesan yang dilalui oleh rakyat Kelantan berikutan peristiwa Bersih 3.0 yang berlaku tidak lama dahulu?
MUSTAPA: Saya melihat rakyat Kelantan adalah warga yang cintakan kedamaian. Kami juga menghargai perpaduan. Kami dalam UMNO tidak mahu umat Islam berpecah. Kami dalam UMNO mahu hidup dalam harmoni dengan semua kaum di Kelantan dan negara kita. Mereka tahu apa yang dilakukan oleh pakatan rakyat dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada April lepas boleh merosakkan keamanan dan keharmonian negara. Saya melihat majoriti rakyat Kelantan tidak mahu menyertai demonstrasi haram yang boleh bawa kacau bilau.
Pakatan rakyat nak gagalkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui cara yang tidak demokratik. Mereka tanamkan kebencian terhadap saudara seagama dalam ceramah. Mereka mencaci dan mencerca pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negara. Pembangkang memberi pelbagai gelaran kepada pihak polis dan merendahkan martabat pasukan keselamatan kita. Rakyat Kelantan tak suka ini semua. Negeri kita amalkan demokrasi tetapi demokrasi ada batasnya. Rakyat Kelantan nak bersuara melalui kertas undi, bukannya demonstrasi haram. Kita boleh berbeza pendapat tetapi ada adab dan akhlaknya. Saya harap kita matang dalam politik.-UMO
Warna-warni politik
Torashah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan