Selasa, 11 Oktober 2011

Senjata makan tuan - Ramai akan keluar jika HUDUD dilaksanakan!

Pas dijangka akan hilang ramai penyokong bukan Islam jika parti itu meneruskan hasratnya melaksanakan hudud.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Hu Pang Chow berkata, apa yang mungkin berlaku ialah tindakan keluar daripada sayap parti itu beramai-ramai seandainya pemimpin Pas enggan mengalah dan mahu terus memperjuangkan hudud.

“Saya bukan nak cabar parti. Kalau saya tak suka pada Pas, saya sudah lama keluar dan tubuh parti baru. Saya juga bukan tolak hudud tetapi saya mahu kepimpinan Pas beri perhatian kepada perkara-perkara lain sebelum fikir nak laksanakan hudud,” katanya.

Pang Chow berkata, beliau sudah menjelajah ke banyak negeri dan rata-rata penyokong pembangkang yang bukan Islam bertegas menolak hudud.

“Jadi Pas tidak boleh buat main-main dengan perkara ini. Selama ini, orang bukan Islam sokong Pas kerana sangka parti ini adalah yang terbaik, serasi dengan mereka. Tiba-tiba mahu buat hudud pula. Ini yang mereka tak boleh terima,” katanya.

DHPP yang sebelum ini dikenali sebagai Kelab Penyokong Pas diangkat status menjadi Dewan atau sayap termuda parti itu dua tahun lalu setelah bergerak dengan status kelab selama kira-kira enam tahun.

DHPP mempunyai kira-kira 20,000 ahli dengan 70 peratus daripadanya daripada kaum India, 20 peratus Cina dan 10 peratus daripada kaum lain. Bagaimanapun status ahli DHPP hanya sebagai ahli Dewan, bukan ahli Pas.

Pang Chow yang sebelum menyokong Pas adalah ahli MCA berkata, Kerajaan Pas Kelantan perlu mencontohi Kerajaan DAP Pulau Pinang yang berjaya menurunkan indeks jenayah sehingga 36 peratus selepas mengambil alih pemerintahan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

“Itu yang mereka perlu buat dahulu, bukan tergesa-gesa nak laksanakan hudud yang masih banyak orang tak faham. Mereka perlu beri perhatian pada usaha tingkatkan ekonomi, wujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk rakyat. Apabila kerja ada banyak, orang tak ada alasan untuk buat jenayah.

“Itulah yang dibuat Kerajaan Pulau Pinang. Pas sepatutnya tengok pada punca jenayah, itu yang kena atasi dulu. Saya percaya jika ekonomi diurus dengan baik, jenayah akan berkurangan,” katanya.

Pang Chow mengingatkan pemimpin Pas, mereka boleh melupakan hasrat mahu mengambil alih pentadbiran negara jika terus dengan hasrat mahu melaksanakan hudud.

“Mereka tak akan boleh menang di kawasan bukan Islam,” katanya.

Kenyataan Pang Chow bagaimanapun disanggah timbalannya, N Balasubramaniam yang berkata, kaum India yang merupakan majoriti dalam DHPP sebaliknya tidak mem-punyai masalah jika hudud dilaksanakan.

“Kami tidak takut kerana hukumannya untuk pesalah saja. Lagi pun hudud dikenakan pada orang Islam saja,” katanya.

Dalam pada itu, Balasubramaniam menggesa Kerajaan Pusat melepaskan halangan untuk undang-undang Islam itu dilaksanakan di Kelantan.

“Kelantan patut diberi peluang untuk buat (laksanakan hudud). Jika sudah berjaya, boleh bawa ke negeri lain pula. Jika keadaan tidak berubah, pemimpin Pas patut berfikir semula (bagaimana cara untuk melaksanakannya),” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor