Hasrat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk berundur sebenarnya sudah dua kali dinyatakan sejak awal tahun ini, masing-masing sewaktu berucap dalam program Sejiwa Senada di Mukah dan Betong.
Kelmarin, ia sekali lagi diulangi oleh Abdul Taib dan ia dilihat sebagai satu pernyataan yang serius kerana dizahirkan pada program Sejiwa Senada Bahagian Samarahan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri yang berucap selepas itu, turut mengulas pengumuman Abdul Taib yang disifatkannya sebagai seorang 'Ayahanda' dengan satu ingatan yang cukup tegas iaitu jangan mana-mana pihak cuba membuat desakan berhubung pengunduran itu.
Kata Najib, soal pengunduran itu biarlah hanya dibincangkan antara beliau dan Abdul Taib sendiri dan ingatan itu sekali lagi diulangi pada sidang akhbar di Bilik VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebelum berangkat ke ibu negara.
"Apabila sampai masa yang paling sesuai untuk berundur, Pehin Sri (Abdul Taib) akan memaklumkan kepada saya," katanya.
Justeru, ingatan Perdana Menteri itu perlu dihayati semua pihak dan tidak perlulah ada mana-mana pemimpin yang cuba menangguk di air keruh dengan harapan akan terpilih sebagai Ketua Menteri.
Memang ada beberapa nama disebut-sebut sebagai pengganti yang layak, seperti dua pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera (PBB) iaitu Timbalan Presiden II, Datuk Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan, Datuk Awang Tengah Ali Hassan.
Ada juga pihak yang menyebut Ketua Penerangan PBB, Tan Sri Adenan Satim dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Effendi Norwawi masih mempunyai peluang. Sebenarnya, nama-nama ini bukannya sesuatu yang baru bagi rakyat Sarawak kerana ia telah lama tersebar.
Bagi tukang gosip politik, pelbagai teori dicipta, umpamanya teori STATE yang berinspirasikan teori RAHMAN yang dikaitkan dengan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri bagi merasionalkan peluang Effendi.
Menurut mereka, S merujuk kepada Ketua Menteri pertama, Datuk Stephen Kalong Ningkan, T merujuk kepada Datuk Penghulu Tawi Sli (Ketua Menteri kedua), A merujuk kepada Tun Abdul Rahman Ya'kub (Ketua Menteri ketiga), T merujuk kepada Abdul Taib dan E pula merujuk kepada Effendi.
Begitulah kreativiti tukang gosip politik, pelbagai teori dicipta namun hakikatnya Sarawak hanya memerlukan seorang sahaja Ketua Menteri dan dalam politik sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk naik ke atas.
Ia telah berlaku di peringkat kepimpinan Pusat dan negeri-negeri lain, sudah acap kali pemimpin yang tidak dijangka dilantik sebagai pemimpin nombor satu. Rezeki Allah tiada siapa yang tahu.
Kerana itu, soal kepimpinan yang bakal berubah tidak sepatutnya mengalihkan fokus Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk berhadapan dengan 'perang besar demokrasi' yang akan diadakan tidak lama lagi. Apa yang lebih penting ialah kemenangan BN kerana ia akan menjadi indikator sokongan rakyat kepada kerajaan di peringkat nasional.
Ketua Pemuda PBB, Datuk Fadillah Yusof turut berkongsi sentimen yang sama apabila meminta kepimpinan pemuda parti itu menyelami ingatan Perdana Menteri bahawa perubahan mesti dibuat secara teratur dan berhati-hati.
"Sama ada di peringkat pusat dan negeri, peralihan kuasa mesti berlaku sebaik mungkin. Paling utama ialah kesinambungan perancangan pembangunan.
"Apabila berlaku perubahan, ia mestilah memperkukuhkan apa yang telah dibina baik dari segi politik mahupun sosio ekonomi dan pemimpin baru itu mestilah menerima penghormatan dari semua sektor, bukan sahaja politik bahkan ekonomi," tegasnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Abdul Taib perlu diberi ruang untuk membuat keputusan dan beliau sebagai ahli politik yang amat berpengalaman pastinya akan melakukan yang terbaik untuk seluruh rakyat Sarawak.
"Kita berdiri teguh di belakang Ketua Menteri dan jangan ada mana-mana pemimpin baik dalam BN mahupun dari luar membuat desakan.
"Sudah pasti satu hari nanti kita akan bertemu pemimpin yang baru, bak kata pepatah Melayu, patah tumbuh hilang berganti," katanya yang merupakan Ketua Setiausaha Politik Abdul Taib.
Mengulas mengenai antara cabaran pemimpin baru kelak, Abdul Karim berkata ia adalah berkaitan mempertahankan perpaduan rakyat berbilang bangsa di Sarawak.
"Beliau (Abdul Taib) amat hebat menyatukan rakyat baik Melayu, Cina, Dayak dan Orang Ulu sehingga tiada satu pun yang tersisih.
"Sukar untuk mencari pemimpin sebegini, sesiapa yang mengambil alih kelak perlu mencari formula untuk mengekalkan apa yang telah berjaya dilakukan Pehin Sri (Abdul Taib)," katanya.
Turut mengulas hasrat pengunduran itu ialah Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan harapan supaya pemimpin baru nanti tidak mengetepikan landasan pembangunan negeri yang telah dirangka Abdul Taib.
Katanya, jika mahu melakukan perubahan sekalipun ia hanya dalam aspek pelaksanaan, bukannya misi yang digariskan.
"Kalau tidak ada kesinambungan, akan hilanglah hala tuju Sarawak yang telah dirancang dengan baik selama ini," tegasnya.
Beliau juga berharap tiada tekanan diberikan kepada Abdul Taib untuk berundur kerana sesuatu perkara yang penting tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
"Saya selalu berkata dalam persidangan antarabangsa berkaitan demokrasi, jangan paksa kita (Malaysia) untuk berbuat sesuatu.
"Negara kita ada program tersendiri, begitu juga dengan Pehin Sri, beliau ada program dan tempoh masa yang ditetapkan," katanya yang melahirkan keyakinan bahawa Sarawak tidak pernah tandus kepimpinan yang berkualiti.
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan