Sabtu, 12 Februari 2011

Tulisan Malott berniat jahat!

Rencana mengenai tahap keselamatan yang meruncing kerana sifat perkauman di Malaysia hasil tulisan bekas Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, John Malott dalam Asia Wall Street Journal (AWSJ) beberapa hari lalu mendapat perhatian meluas walaupun mempunyai beberapa kedangkalan fakta.

Oleh kerana beliau pernah berkhidmat di Kuala Lumpur sebagai pegawai diplomatik mewakili negara kuasa terbesar di dunia, maka seharusnya tulisan beliau membawa aura yang tersendiri. Begitu juga, oleh kerana rencana tersebut disiarkan oleh AWSJ, maka sudah semestinya pendapat tersebut mempunyai kekuatan yang semula jadi.

Tetapi jika ditolak ke tepi kedua-dua faktor tersebut, maka rencana tulisan Malott itu seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi kerana kandungannya sarat dengan analisis yang begitu berat sebelah. Benar seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Malott berbohong terutama sekali mengenai kritikan terhadap konsep 1Malaysia.

Begitu prejudis tulisan Malott sehinggakan bekas majikan beliau iaitu Jabatan Negara AS sedaya upaya tidak mahu dikaitkan dengan pandangan tersebut. Jurucakap Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur, Tina Malone berkata, oleh kerana Malott kini tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan AS, maka apa yang ditulisnya itu adalah pandangan peribadinya.

“Apa yang diperkatakan dalam rencana itu tiada kena mengena dengan pandangan kerajaan AS terhadap Malaysia terutama sekali mengenai pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata beliau sebagai mengulas tulisan Malott.

Sememangnya agak pelik apabila Malott menyatakan masalah perkauman di Malaysia menjadi bertambah runcing sejak Najib mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2009 dan analisis beliau menjadi bertambah bercelaru apabila menegaskan tahap keselamatan negara berada dalam keadaan yang lebih buruk berbanding dengan tragedi 13 Mei 1969!

Rencana yang bertajuk ‘Kesan Akibat Perkauman di Malaysia’ itu sarat dengan analisis yang agak terpesong tetapi begitu nyata sekali objektifnya kerana ia hanya mempunyai satu matlamat iaitu untuk meletakkan segala kesalahan ke atas bahu Najib dan bangsa Melayu.

Bagi pembaca yang kurang arif dengan Malaysia, sudah pasti akan percaya bahawa pada masa kini berlaku rusuhan kaum dan perbalahan antara Melayu, Cina dan India yang mengakibatkan ratusan orang terbunuh. Mungkin ini satu andaian yang melucukan tetapi hakikatnya, itulah isyarat yang cuba disampaikan oleh Malott.

Beberapa isu ditonjolkan oleh Malott tetapi dalam bentuk yang begitu negatif sekali yang mempalitkan kesalahan kepada Najib. Isu seperti larangan simbol Kristian Rumah Terbuka Krismas 2010, perarakan kepala lembu di Shah Alam dan kekurangan penyertaan kaum Cina dalam tentera diolah sebegitu rupa untuk menggambarkan kelemahan pentadbiran Najib yang dituduh begitu bersifat perkauman.

Malott bukan setakat menuduh pentadbiran Najib sebagai pengamal sifat perkauman tetapi telah menghina dan merendahkan martabat orang Melayu sebagai satu kaum yang bersifat rasis dan tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir secara pintar.

Begitu aneh sekali apabila Malott mempertikaikan pelantikan Johan Mahmood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Talent Corporation bukan kerana kurang kelayakan dan pengalaman tetapi sebab Johan adalah orang Melayu. Penubuhan Talent Corporation antara lain adalah untuk menyelesaikan masalah penghijrahan tenaga kerja berbakat ke luar negara.

Nampak sangat sifat rasis Malott apabila mempertikaikan kemampuan Johan kerana hanya beliau seorang Melayu. Hujah Malot pula ialah kerana sebahagian besar rakyat Malaysia yang berhijrah adalah terdiri daripada kaum Cina dan India, maka sewajarnya CEO Talent Corporation itu diterajui oleh kaum tersebut. Tiada yang lebih dangkal mengenai hujah tersebut kecuali Malott sendiri.

Sifat rasis Malott lebih terserlah apabila menuduh akhbar Utusan Malaysia sebagai media yang gemar mencetuskan suasana provokasi terutama sekali terhadap kaum Cina dan ahli politik pembangkang. Sekali lagi, Malott cuba mengaitkan Utusan Malaysia dan Najib dengan niat yang tidak baik.

Begitu juga dengan pertubuhan Perkasa yang tidak terlepas daripada penghinaan Malott apabila beliau berpendapat pelaksanaan Model Baru Ekonomi terbantut kerana Perkasa khuatir dasar meritokrasi dan ketelusan bakal menghapuskan hak Melayu. Sekali lagi Malott memutar belit fakta untuk menghina orang Melayu.

Meneliti tulisan Malott membuatkan seseorang terfikir mengapa beliau begitu membenci dan memandang rendah kebolehan bangsa Melayu kerana cara hidup dan sistem pendidikan Amerika langsung tidak menjerumus ke arah menilai seseorang mengikut bangsa atau agama. Tidak mungkin pengalaman beliau sebagai duta AS di Kuala Lumpur dari tahun 1995-1998 mewarnai pemikiran beliau kerana tiga tahun adalah satu masa yang begitu singkat untuk mengubah pemikiran logik seseorang.

Tetapi agak menghairankan pula dalam sarat menghina bangsa Melayu, Malott memuji pula Nurul Izzah Anwar yang dikatakan berani menongkah arus mengenai isu hak Melayu. Agaknya dalam pemikiran Malott, orang Melayu yang mempersoalkan kedudukan Melayu tidak rasis dan mempunyai kebijaksanaan, manakala mereka yang mempertahankannya pula dilabel sebagai rasis.

Jika itu dalil yang digunakan oleh Malott untuk menghina kaum Melayu dan mereka yang memperjuangkan serta menjaga hak Melayu, maka menurut falsafah Malott, tentulah Martin Luther King iaitu pejuang hak kebebasan rakyat Amerika juga adalah seorang rasis.

Oleh : Azmi Hassan

Warna-warni politik
Torashah

1 ulasan:

sgray berkata...

Kalau menurut gua bukan niat lagi beb,sememangnya jahat dan fitnah terhadap Malaysia..aapi yang di tiupnya membawa padah yang besar kalau tak di sanggah kerajaan...[teringat pembohongan Tony Blair dan George of the Bushy dari GB & US..terhadap Iraq..WMD].''

Kerjaan kena hantar memo kat US embassy nie terhadap fitnah nie.

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor