Isnin, 28 Februari 2011

Contohi semangat Azizulhasni 'The Pocket Rocketman' , Ultras Malaya!

Bukan semua orang mampu memiliki semangat pejuang yang sejati, tambahan pula dalam era serba moden ini di mana masing-masing hanya mengejar kejayaan untuk kepentingan sendiri, selain mempunyai niat tertentu.

Bagaimanapun, baru-baru ini kita dapat melihat sendiri masih ada insan yang melakukan sesuatu dengan daya usaha yang tinggi dan mampu menjadi contoh kepada rakyat Malaysia, terutama sekali golongan remaja. Kita dikejutkan dengan kecederaan ngeri melibatkan pelumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang. Serpihan kayu sepanjang 23 sentimeter tertusuk menembusi betis kaki kirinya.

Sukar untuk membayangkan kesakitan dan keperitan yang melanda pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, tetapi ada perkara yang lebih mengujakan di sebalik insiden tersebut dan sukar untuk diterima akal.

Kejadian tersebut berlaku ketika saingan akhir keirin Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, kira-kira 20 atau 30 meter sebelum melintasi garisan penamat pelumba harapan negara agak tidak bernasib baik kerana terjatuh bersama-sama tiga lagi pelumba lain.

Peluang untuk meraih emas sudah terpadam dan ia milik pelumba Britain, Chris Hoy, namun Azizulhasni yang diberi gelaran The Pocket Rocketman tidak peduli tentang kecederaan dan kedudukannya ketika itu.

Dia bingkas bangun dan memberi arahan kepada ketua jurulatih, John Beasley supaya mengangkat basikal dan menolaknya untuk menyambung semula kayuhan, dalam masa yang sama, dia tidak sedar kecederaan ngerinya yang dialaminya.

Azizulhasni berjaya melintasi garisan penamat dan memenangi pingat gangsa seterusnya merangkul kejuaraan keseluruhan keirin Siri Piala Dunia Klasik 2010/2011. Selepas itu, barulah dia terasa sakit yang amat sangat, namun segala usaha beliau berbaloi.

Ia mengingatkan penulis kepada peristiwa bersejarah Sukan Olimpik 1992 Barcelona, apabila atlet 400 meter Britain, Derek Raymond mengalami kecederaan hamstring dalam saingan akhir tetapi dia tetap meneruskan perlumbaan walaupun terpaksa berlari terhencut- hencut untuk menamatkan baki 250 meter.

Acara yang berbeza, negara yang berlainan tetapi ceritanya sama, kedua-duanya adalah ahli sukan bertaraf dunia yang tidak kenal erti putus asa, tidak menyerah kalah sebelum perjuangan belum berakhir.

Begitu juga dengan golongan atau kumpulan yang dikenali sebagai Ultras Malaya. Mereka boleh dianggap sebagai penyokong sejati yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan semangat kepada pasukan Malaysia bawah 23 tahun menentang Pakistan dalam perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2012 London baru-baru ini.

Sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, Ultras Malaya yang berada di tempat duduk pintu 14 dan 15 Stadium Shah Alam menunjukkan kepada rakyat Malaysia tentang maksud sebenar penyokong sejati.

Tanpa mengira asal-usul (negeri) semuanya bersatu-padu menyanyikan lagu semangat tanpa henti, sambil mengibarkan Jalur Gemilang, mafla dan berdiri sehingga perlawanan tamat, tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kebangsaan.

Ditubuhkan pada 2007, Ultras Malaya mencetuskan satu fenomena baru dalam kancah bola sepak tempatan, malah perlawanan yang melibatkan negeri ataupun kelab di Liga Malaysia turut dihadiri Ultras (mengikut negeri masing-masing).

Berlandaskan sokongan sepanjang zaman, Ultras Malaya menerapkan kepada masyarakat bahawa menghadirkan diri ke stadium bukan setakat duduk dan menyaksikan perlawanan sambil makan kuaci sahaja, tetapi menjadi pemain 'ke-12'. Ia juga tidak mahu hanya dikenali sebagai 'penyokong lalang', sebaliknya mereka akan tetap berdiri teguh di belakang pasukan kebangsaan tidak kira pada zaman kejatuhan ataupun tewas dalam mana-mana perlawanan.

Tanpa kita sedari, Ultras Malaya mengajar masyarakat untuk menjadi seorang setia, rajin, berdisiplin, bersatu padu dan sentiasa berjuang memburu kejayaan. Mungkin ada di antara kita yang masih belum dapat menerimanya tetapi percayalah ini adalah untuk kebaikan sukan di Malaysia, bola sepak secara amnya.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa sejarah telah dicipta, Azizulhasni melakar sejarah dunia, manakala Ultras Malaya mengukir sejarah negara.-UM.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor