Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bergambar dengan Ahli Majlis Tertinggi parti sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu tidak boleh digugat sama sekali kerana ia dilindungi sepenuhnya di bawah peruntukan yang ‘terkunci kemas’ dalam Perlembagaan Persekutuan.
Presiden UMNO dalam ucapan dasarnya menerangkan secara panjang lebar mengenai teras kontrak sosial nasional yang telah dimuafakati oleh bapa-bapa pengasas mewakili semua kaum di ambang kemerdekaan negara.
Menurut beliau, perkara-perkara yang dimuafakati itu termaktub jelas dalam artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 152 tentang bahasa kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi soal rizab kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.
“Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran majlis yang dianggotai sembilan orang raja Melayu.
“Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit-pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Dimulakan dengan dua firman Allah dari surah al-Baqarah dan a-li Imran, ucapan bertajuk Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran yang disampaikan dalam nada serius itu berjaya memaku para perwakilan dan pemerhati selama satu setengah jam untuk sama-sama menghayati isi hati dan wawasan perjuangan beliau.
Perdana Menteri mahu semua pihak memahami dan mengetahui bahawa pindaan terhadap artikel-artikel itu tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.
Malah tambahnya, undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan dan kedaulatan yang diperuntukkan itu.
Hikmah di sebalik peruntukan yang meletakkan perkara-perkara itu di luar daripada forum perbincangan, katanya, adalah untuk mengelak perbahasan yang dibimbangi akan membangkitkan keresahan dan mengapi-apikan sentimen perkauman berasaskan naluri etnik (primordial instinct).
“Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi, sekiranya naluri asal yang wujud tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman sangat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabii manusiawi itu sendiri,” katanya.
Najib memberi contoh kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi ‘holocaust’ di benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda.
“Bayangkan apa kesudahannya jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka,” ujar Perdana Menteri.
Justeru tegas beliau, tindakan pihak tertentu yang kini mempersoalkan kontrak sosial itu, amat menghiris perasaan orang Melayu yang telah membuat pengorbanan terbesar berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum lain bagi mencapai kemerdekaan.
Najib menarik perhatian tentang penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip ‘jus soli’ atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip ‘jus sanguinis’ iaitu hak darah telah mentransformasikan landskap politik Malaysia selama-lamanya.
“Kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional,” katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu menghormati muafakat murni di antara Melayu dan bukan Melayu sebagai ‘timbal balas’ ketika menuntut kemerdekaan kerana rasa penghormatan dan kepercayaan itu akan hancur jika ikrar setia itu dilanggar sewenang-wenangnya.
Pada masa ini, menurutnya, rakyat sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum yang wujud sejak 53 tahun kemerdekaan negara.
Jika polemik nasional itu tidak ditangani dengan baik, beliau amat cuak ia mungkin menjadi ancaman kepada perpaduan negara.
“Sebab itulah saudara dan saudari, kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum.
“Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa mahupun ikhtiar eksklusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif,” tegasnya.
Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini kata Najib, ketegangan timbul apabila sejarah dienteng atau dilupakan akibat perjalanan masa atau apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula sejarah mengikut kepentingan dan agenda sempit kelompok masing-masing.
Beliau mengingatkan semua agar berwaspada dengan pemimpin oportunis yang licik memainkan api perkauman dan memanipulasi keadaan.
“Mereka tidak layak digelar pemimpin.
“Awaslah, awaslah kita terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dongengan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan-silu mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup menggadai segalanya,” tegas Najib disambut sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan.
Dalam hal ini, katanya, kepercayaan berterusan yang diberikan kaum-kaum lain wajar menjadi perangsang kepada Melayu untuk sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudah cara antara kaum.
“Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan,” tegasnya.
Sebagai generasi kepimpinan mutakhir, beliau menegaskan landasan baru perhubungan kaum di Malaysia perlu dibina dengan mengambil kira aspek masa depan yang dikongsi bersama dan faktor sejarah tanpa mengetepikan realiti hari ini dan potensi masa depan.
“Dalam arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan ketinggalan. Secara automatik, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur,” katanya.
Sejak perhimpunan agung lepas, beliau memberitahu kepimpinan parti telah membuat perancangan dan strategi bagi memastikan UMNO berpegang kuat kepada tujuan asal untuk berterusan menjamin survival bangsa.- Bernama
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan