Khamis, 21 Oktober 2010

Bebaskan masjid daripada politik!

Ahli jawatankuasa Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor bersama Hashim Mohd. (duduk tengah) selepas mesyuarat agung ke-2, baru-baru ini.

Masjid selain menjadi tempat melakukan pelbagai ibadat adalah lambang penyatuan dan perpaduan umat. Justeru, adalah penting bagi kita menentukan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid dan surau mestilah golongan yang sentiasa mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Ia supaya, masjid itu dapat menjalankan fungsinya dalam menyebar luaskan ilmu baik ilmu fardu ain mahu pun fardu kifayah. Paling penting, rumah Allah itu perlu bebas daripada pelbagai ideologi politik.

Demikian antara saranan Pegawai Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Selangor, Hashim Mohd. semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 2/2010 Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, September lalu.

Beliau berkata, sebarang ideologi politik perlu ditinggalkan di luar masjid untuk mengelak sebarang perpecahan umat.

"Masjid hendaklah ditadbir mengikut matlamat sebenar bukannya dijadikan batu loncatan mengejar kedudukan atau matlamat lain," katanya.

Turut hadir ialah Nazir masjid, Harun Abd. Rahman, timbalannya, Rais Jamil, barisan AJK dan kira-kira 150 ahli kariah.

Masjid An-Nur asalnya adalah surau yang didirikan hasil usaha penduduk dengan bantuan para dermawan dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor pada tahun 2002.

Ia kemudiannya diberi taraf surau Jumaat sebelum dinaik taraf sebagai masjid dua tahun lalu.

Menurut Hashim, sebab itu kerajaan negeri menetapkan peraturan semua penceramah di masjid dan surau-surau mesti mempunyai tauliah.

Katanya, kadang-kadang ramai tersalah tafsir tentang peraturan tersebut sedangkan apa yang dibuat oleh pemerintah ini bukan untuk menganiaya orang awam.

"Sebenarnya ada yang tersirat daripada yang tersurat adalah untuk kemaslahatan umat. Setakat ini, sebanyak 40 peratus penceramah di Kuala Selangor mempunyai tauliah.

"Sebab itu kalau boleh saya mahu masjid ini menjadi contoh. Dan ketiadaan usul pada mesyuarat kali ini meyakinkan saya bahawa masjid ini tenang," katanya.

Sementara itu, Setiausaha masjid, Mohd. Idris Abd. Salam memberitahu, pihaknya mengadakan kuliah berkitab bulanan selain ceramah-ceramah umum berkaitan isu semasa.

Antara penceramah ialah Anzaruddin Ahmad (hadis), Mohd. Zaid Hamzah (tauhid), Ridzuan Hashim (fikah) dan Dr. Musa Fathullah Harun (tasauf).

Selain itu, turut diadakan kelas-kelas pengajian untuk muslimat yang meliputi kelas al-Quran, kuliah khusus untuk muslimat dan tadarus al-Quran sepanjang Ramadan.

Bagi meraikan golongan remaja, pihak masjid turut menyediakan kawasan letak kereta sebagai padang bola sepak jalanan pada waktu malam.

Pada kesempatan itu, Masjid An-Nur turut mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri dan menyumbang duit raya kepada kanak-kanak.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor