Jumaat, 22 Januari 2010

Khalid Samad dipanggil menghadap Sultan!

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, pagi ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi mengesahkan Pesuruhjaya Pas Shah Alam itu dipanggil menghadap Sultan Selangor pada jam 11.30 pagi.

Ketika ditanya adakah kontroversi antara Khalid dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain menjadi punca beliau dipanggil menghadap Sultan Selangor, Mohamad Munir enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi juga tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut. “Saya tidak mahu mengulas lanjut perkara ini dan jika hendak mengetahui dengan lebih lagi, tanya sendiri dengan pihak istana,” katanya .

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Malah, beliau turut mempertikaikan keputusan Mais berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Ekoran itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran keras kepada beliau agar berhenti daripada mempertikai keputusan Mais kerana keputusan itu adalah titah Sultan Selangor dan rakyat negeri itu perlu menghormati serta mematuhi keputusan berkenaan. Jais juga menolak dakwaan wakil rakyat itu bahawa pihaknya dan Mais sengaja ‘mempolitikkan’ isu berkenaan.

Sehubungan itu, Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, Khalid perlu mengkaji semula kenyataan tersebut kerana ia mempunyai kaitan dengan sensitiviti umat Islam khususnya di Selangor. Namun Khalid enggan mematuhi lara- ngan berkenaan malah menyarankan Jais dan Mais menyertai atau menubuhkan parti politik.

Khalid mendakwa kedua-dua pihak berkenaan gagal mengawal tindak-tanduk orang ramai yang menyertai demonstrasi isu penggunaan kalimah Allah di Masjid Shah Alam. Katanya, beliau akan terus melahirkan pandangannya selagi tidak memperolehi respons yang berasas daripada agensi itu khususnya berhubung isu kalimah Allah.

Kontroversi antara Khalid dan Mais tidak dapat disembunyikan lagi apabila Khalid turut meminta kepimpinan institusi agama itu dirombak, selaras dengan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) agar isu-isu semasa menyentuh umat Islam di negeri itu dapat ditangani dengan harmoni. -SH-

Warna warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor