Rabu, 5 Ogos 2009

Pas desak tarik portfolio Ronnie!

Pas Selangor hari ini mendesak kerajaan negeri menarik balik portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Ronnie Liu berikutan beberapa masalah yang ditimbulkan wakil rakyat DAP itu. Portfolio itu diminta diserahkan kepada Exco lain atau dipegang oleh Menteri Besar sendiri.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, antara masalah yang ditimbulkan Ronnie yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri itu ialah sering campur tangan dalam tugas pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga menyukarkan penguatkuasaan dijalankan.

Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, campur tangan itu telah mengganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan terlibat.
"Beberapa aduan mengenai tindakan Ronnie termasuk campur tangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai lalu dengan mempertikaikan keputusan PBT dan para pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan tugas ternyata mengingkari saluran pentadbiran yang sepatutnya.

"Juga dalam operasi arak dan maksiat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Bandar Sunway dekat sini beberapa hari lalu," katanya di sini hari ini. Kata Hassan, Ronnie telah mempersoalkan operasi itu dengan menghubungi Yang Dipertua MPSJ.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas untuk menyatakan pendirian Pas berhubung tindakan Ronnie mencampuri tugas PBT termasuk mengarahkan MBSA memulangkan minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8 di sini Khamis lalu.

Bagi Pas Selangor, kata Hassan, apa yang dilakukan Ronnie adalah sesuatu yang tidak sihat kerana seseorang Exco boleh campur tangan jika hanya membabitkan polisi bukannya hal-hal seperti itu. Menurut beliau, desakan Pas itu akan disampaikan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan semua pemimpin pakatan pembangkang dalam mesyuarat yang diadakan petang ini selain membawanya ke mesyuarat Exco esok.

Lanjutan itu katanya, Pas Selangor juga mendesak kerajaan negeri agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk diguna pakai di seluruh negeri bagi menyekat kontroversi seumpama itu berulang.

Katanya, arahan turut akan dikeluarkan kepada seluruh ahli Pas negeri untuk mengambil langkah-langkah wajar agar usaha membebaskan umat Islam daripada arak dilakukan secara lebih serius dan berterusan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada. Tambahnya, Pas Selangor juga akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasakan di peringkat PBT bagi membolehkan undang-undang sedia ada dapat digunakan dengan lebih berhemah.

''Kita juga akan mencadangkan agar minuman keras tidak boleh dijual di kawasan majoriti penduduk Islam seperti di beberapa kawasan di Shah Alam dan Bangi dan bagi kedai yang menjual minuman keras pekerjanya haruslah bukan beragama Islam.

''Bagaimanapun Pas Selangor tidak pernah menuntut arak ini diharamkan daripada dijual atau diminum di kalangan masyarakat bukan Islam," tegas beliau. Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohamad Shahir yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata, Pemuda Pas Selangor akan menghantar memorandum kepada Ronnie pada hari ini atau esok bagi membantah tindakannya campur tangan dalam tugas penguatkuasaan PBT.

Selain itu, Pemuda Pas juga melakukan demonstrasi aman di kawasan masjid pada Jumaat ini bagi mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan ke atas Ronnie dengan menukar portfolionya.- UM

Warna-warni politik
Torashah

1 ulasan:

Al Haadi berkata...

well bro, aku ada cadangan, dan cadangan ni aku dah pikir sejak tahun yang lepas, nak mintak usulkan supaya kita perkasakan Persatuan-Persatuan Silat yang ada, ramaikan ahli, gelanggang dan persatuan di seluruh Selangor. kita dah mula di Kuala Langat


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor