Ahad, 9 Ogos 2009

Selangor nadi negara - Najib

KUALA SELANGOR 9 0gos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, beliau mahu Selangor dikembalikan semula ke tangan Barisan Nasional (BN) kerana negeri ini penting sebagai nadi negara.

"Peluang untuk BN berkuasa semula di Selangor tetap ada tetapi dengan syarat parti-parti komponen yang diterajui UMNO sudah insaf dan menyedari kekurangan diri dan sanggup berubah," kata beliau yang juga Presiden UMNO semasa berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Selain daripada itu, beliau berkata, UMNO tidak boleh mempunyai perasaan benci kepada orang lain dalam keluarga BN dan perlu berjuang bersama-sama dalam satu keluarga besar berganding bahu berjuang secara seia sekata dan sehaluan.

“Ini harapan saya ... pesanan saya kalau hendak menang buat cara nak menang, jangan kita kata nak menang tapi perbuatan kita menempah kekalahan,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Najib berkata, perancangan itu yang dipanggil sebagai “Formula Pekan” telah membawa beliau ke persada yang lebih tinggi di dalam politik negara sehingga menjadi Perdana Menteri dan presiden parti.

Warna-warni Politik
Torashah

Suasana semasa persidangan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor yang dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak bertempat di Dewan Dr. Haji Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor.
Gambar Atas : Penerima Amanah Saham 1 Malaysia.


Gambar Bawah : YB Datuk Haji Amiruddin Setro, wakil rakyat DUN Jeram bergambar bersama-sama wartawan-wartawan dari akhbar SINAR selepas persidangan.

2 ulasan:

torashah berkata...

BN mesti rampas Selangor daripada pakatan pembangkang

KUALA SELANGOR 9 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Barisan Nasional (BN) mesti merampas semula Selangor daripada pakatan pembangkang kerana negeri ini adalah nadi pembangunan di Lembah Klang.

Perdana Menteri berkata, bagi merealisasikan matlamat itu, para pemimpin dan ahli UMNO mesti sanggup melakukan proses perubahan seperti muhasabah diri, insaf, merendah diri dan berkhidmat untuk semua kaum termasuk penyokong pembangkang.

Pemimpin juga tambahnya, perlu rajin turun padang mendengar masalah rakyat dan setiap janji mesti ditunaikan serta berlaku adil kepada semua pihak.

''Satu lagi, kita kena kerja lebih sikit. Pesanan saya, kalau nak menang buat cara nak menang jangan kata nak menang tetapi perbuatan kita menempah kekalahan.

''Berbekalkan semangat ini, sebagai nadi negara, Selangor mesti dikembalikan kepada BN. Bagi saya tiada sebab negeri Selangor tidak boleh kembali kepada BN," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Hadir sama ialah ketua UMNO bahagian tersebut, Datuk Amiruddin Setro.

Najib menambah, pemimpin UMNO juga mesti ikhlas dalam memberi khidmat kerana sifat itu yang dihargai oleh ahli-ahli parti sendiri serta pembangkang dan ia akan dapat menentukan kemenangan semasa pilihan raya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, tiada gunanya menjadi ketua bahagian jika tidak menang pilihan raya.

''Jadi adalah amat penting jika hitam kata hitam, jangan kata kelabu dan kelabu pula jangan kata putih kerana ia akan menjadi lain semasa pilihan raya," ujarnya.

Bagi kerajaan campuran Selangor, beliau melihat pakatan pembangkang sekarang berada dalam keadaan libang-libu (kacau-bilau) hingga ada ahli mereka sendiri mendesak barisan Exco dirombak.

Perkembangan itu tegas beliau, memberi gambaran parti-parti dalam pakatan pembangkang 'tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain' kerana pendirian Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bercanggah antara satu sama lain.

''Tetapi mereka berada dalam satu kerajaan kerana motifnya hendak menumbangkan BN. Apabila berjaya tubuh kerajaan negeri, untuk menyokong satu dasar baru mereka menghadapi masalah besar.

''Berbanding BN, pendirian kita telah ditentukan. Inilah kelebihan kita," jelasnya.

Najib juga mengingatkan kepada ahli-ahli UMNO bahawa konsep parti menguasai kerajaan adalah salah kerana dalam apa juga keadaan ia bermula dengan rakyat dalam mencorak pembangunan negara.

Ekoran itu jelasnya, pendekatan yang tepat ialah rakyat, parti dan kerajaan yang sekali gus menterjemahkan inspirasi rakyat sebelum parti mendapat sokongan daripada golongan tersebut.

torashah berkata...

PM rai majlis persandingan anak Noh Omar..

TANJONG KARANG 9 Ogos - Walaupun sibuk merasmikan Persidangan UMNO bahagian, Datuk Seri Najib Tun Razak masih sempat meluangkan masa menghadiri majlis persandingan anak perempuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar di sini hari ini.

Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 12 tengah hari di Dewan Datuk Hormat, tempat majlis itu berlangsung selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Kuala Selangor pada sebelah paginya.

Pasangan yang diraikan ialah Nurul Syazwani Noh, 21, penuntut tahun tiga jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan suaminya Mohammad Abdul Hakim Zamri penuntut tahun akhir jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).

Najib turut menyempurnakan acara merenjis kedua-dua pasangan tersebut yang telah bertunang sejak Jun 2006 dan selamat diijabkabulkan pada Jumaat lalu.

Nurul Syazwani adalah anak tunggal Noh dan isterinya Prof. Datin Dr. Aishah Salleh, pensyarah di Universiti Malaya (UM).

Kehadiran Perdana Menteri itu bukan sahaja memberi kenangan manis kepada dua mempelai tetapi juga beribu-ribu tetamu terutama penduduk tempatan yang hadir.

Malah Noh sendiri begitu gembira dengan kunjungan Perdana Menteri ke majlis persandingan anaknya itu.

''Sebaik sahaja tiba, Perdana Menteri terus menuju ke dapur dan bermesra dengan tukang masak di situ.

''Malah beliau tidak menikmati hidangan di meja khas yang disediakan sebaliknya duduk bersama rakyat," jelas Noh ketika ditemui pemberita.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Selangor memberitahu, majlis kenduri rakyat itu khusus untuk seluruh penduduk kawasan Parlimen Tanjung Karang yang diwakilinya.

Sementara itu Aishah berkata, tarikh pernikahan anaknya itu pada 7 Ogos lalu sama dengan tarikh beliau dan Noh diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri lebih 20 tahun lalu.


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor