Ahad, 5 April 2009

TUN Mahathir Kembali Ke Pangkuan UMNO..

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyertai semula Umno selepas keluar daripada parti hampir setahun lepas.

Bekas presiden Umno itu menyerahkan borang penyertaan semulanya itu berserta yuran keanggotaan RM2 kepada Perdana Menteri dan presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di Sri Satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, di sini, pada pukul 12 tengah hari.

Isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anak mereka Datuk Mokhzani turut menyertai semula Umno dan menyerahkan borang keanggotaan kepada Najib.
Najib berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana sanggup untuk bersama-sama meneruskan perjuangan dengan Umno."Saya percaya kemasukan Tun Dr Mahathir akan memberi ransangan kuat kepada Umno dan boleh membantu memulihkan Umno dan Barisan Nasional," kata Najib kepada pemberita pada majlis penyerahan borang keanggotaan Umno itu.

Sebagai negarawan, beliau berkata Dr Mahathir dapat memainkan peranan bermakna dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional.Najib turut mengalu-alukan kemasukan semula Dr Siti Hasmah kerana jasanya kepada Umno dan negara selama ini sudah tentu dapat membantu peranan wanita di masa hadapan.

Dr Mahathir keluar Umno pada 19 Mei tahun lepas setelah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun."Walaupun berada di luar Umno, hati ada dalam Umno," kata Dr Mahathir sambil menjelaskan tegurannya terhadap parti itu selama ini adalah untuk membina dan bukan untuk menghancurkannya.

Kepada soalan dahulu beliau masuk semula Umno di zaman perdana menteri kedua Tun Razak Hussein dan kini menyertai semula Umno di zaman Najib, anak Tun Razak, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: "Itu pakatan kekeluargaan yang tidak disengajakan".Dr Mahathir pernah disingkirkan daripada Umno di zaman Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman pada 26 Sept 1969 kerana mengkritik kepimpinan pemimpin itu.

Kemudian perdana menteri kedua Tun Abdul Razak menerima semula kemasukan Dr Mahathir ke dalam Umno pada 1972.Dua lagi anak Dr Mahathir iaitu Datuk Mukhriz dan Datuk Mirzan turut hadir pada majlis hari ini.Ditanya mengenai peranan yang akan dimainkannya kelak, Dr Mahathir percaya seseorang pemimpin harus membantu Umno setelah bersara dan bukannya berpisah dengan Umno setelah bersara.

Mengenai jawatannya di dalam Umno atau kerajaan kelak, Dr Mahathir berkata "ianya tak payah" dan menambah kata beliau bersedia memberikan pandangan sekiranya diperlukan.Mengenai kesan kemasukan semula Dr Mahathir ke dalam Umno terhadap pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah pada Selasa ini, Najib percaya tindakan Dr Mahathir itu akan memberikan perkembangan positif yang akan diterima oleh anggota Umno.

Sementara itu :

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Sabtu serah borang untuk menyertai semula UMNO dan menyeru rakan-rakannya yang sudah meninggalkan UMNO untuk kembali ke pangkuan parti dan bergandingan dengannya untuk membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk membaikpulih UMNO dan mengembalikan keyakinan rakyat.

"Imej UMNO sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah sangat tercalar, maka langkah pertama yang harus dilakukan oleh Najib ialah membersihkan UMNO dalam apa cara sekalipun," katanya. Dr Mahathir menambah, walaupun telah berada di luar UMNO buat seketika, tetapi hatinya tetap sentiasa bersama UMNO. "Selama ini saya memang lantang mengkritik.

Tetapi teguran saya adalah untuk membina semula UMNO dan bukan untuk menghancurkan UMNO," tegasnya dalam sidang media pertama Najib sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6, kelmarin. Sidang media itu berlangsung di kediaman Najib di Sri Satria, Putrajaya tengahari Sabtu selepas Najib dan Dr Mahathir berbincang selama dua jam setelah bersarapan bersama.

Pada sidang media itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan borang keahlian dan yuran RM2 untuk menyertai semula UMNO kepada Najib.Turut serta menyerahkan borang dan wang keahlian ialah Tun Dr Siti Hasmah, serta anak mereka, Datuk Mokhzani. Hadir sama menyaksikan ialah Datuk Mukhriz dan Mirzan. "Kepulangan Tun memberi rangsangan kepada UMNO dan sudah pasti dapat membantu membaik pulih UMNO. Saya bagi pihak UMNO yakin kepulangan semula negarawan ini akan memainkan peranan penting dalam mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti," kata Najib.

Menurut Najib, Tun sudah mengesahkan persetujuan untuk turun berkempen Isnin ini di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. "Kini satu episod dalam UMNO telah berakhir dan kehadiran Tun adalah pembuka tirai untuk membawa kembali bekas pemimpin UMNO yang dahulu untuk bersama pemimpin-pemimpin sekarang dalam memperjuangkan keharmonian negara.

"Hari ini Tun datang bersama seisi keluarga untuk kembali ke pangkuan UMNO dan kehadiran Tun Dr Siti Hasmah boleh membantu pemimpin Wanita. UMNO juga mengalu-alukan penyertaan Datuk Mokhzani," kata Najib.Apabila diminta mengulas peristiwa ini mengulangi sejarah beliau menyertai semula UMNO semasa ayah Najib, Tun Razak Hussein menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir berkata, "Hubungan kekeluargaan ini adalah kebetulan dan tidak disengajakan.

" Ditanya samada beliau akan menawarkan sesuatu jawatan rasmi kepada mantan Perdana Menteri itu, Najib berkata ianya tidak ada dalam perancangan buat masa ini. "Tetapi saya boleh mendapatkan nasihat Tun pada bila-bila masa sahaja,"katanya. Najib turut berseloroh apabila ditanya mengenai gertakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memburuk-burukkannya. "Siapa Anwar Ibrahim?," katanya kepada wartawan.

Soalannya kemudian disambut oleh Tun yang menjawab, "Orang yang mahu menjadi Perdana Menteri pada 16 September itulah." Ini membuat semua yang hadir ketawa. Tun Mahathir turut mengulas mengenai khabar angin mengenai tawaran jawatan kepadanya, "Tak payahlah sebut pasal jawatan. Bila-bila masa Najib boleh datang jumpa saya jika saya dipercayai boleh membantu UMNO.

"Mengulas mengenai tindakan Najib membebaskan beberapa tahanan ISA semalam, Tun berkata beliau telah melakukan perkara yang pertama ketika dilantik menjadi Perdana Menteri dulu. "Antara perkara pertama saya lakukan ketika menjadi Perdana Menteri dulu ialah membebaskan 21 tahanan ISA. Saya yakin Najib akan mengikut jejak ayahnya menjadi seorang Perdana Menteri yang hebat."

Mengenai rombakan kabinet, Najib berkata, "Berita mengenai rombakan kabinet itu media sendiri yang buat, bukan saya. Tetapi saya sedang memikirkannya. Beliau enggan mengumumkan tarikhnya dan sekadar menjawab, tidak lama lagi. Namun difahamkan Najib akan mengumumkannya pada 8 April sebelum beliau berlepas ke Pattaya, Thailand.- MYKMU

Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor