
Sehubungan itu, baginda mengingatkan rakyat terutama golongan muda agar bijak mengimbangi antara tuntutan tradisi dan permintaan terhadap pemodenan supaya 'air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit.'
"Ada yang menganggap bahawa untuk maju, penekanan hendaklah ditumpukan kepada budaya yang progresif lalu menyifatkan tradisi dan sejarah akan meletakkan bangsa tertinggal dalam budaya yang statik.
"Globalisasi sebenarnya turut membawa gelombang kolonialisme baru untuk menghanyutkan tradisi sesebuah negara bangsa - lalu menghapuskan identiti asal negara bangsa," titah baginda pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-81 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Berangkat sama ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kerabat-kerabat diraja yang lain. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.
Tegas Raja Nazrin, rakyat perlu sedar bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijaksana dapat berfungsi sebagai pemudah cara untuk memajukan negara bangsa.
Titah baginda, elemen-elemen budaya bangsa yang merupakan faktor penyatuan bangsa selama ini adalah modal sosial berharga dan wajib dipertahankan. Malah titah baginda, kelangsungan sesuatu bangsa dan wajah sesebuah negara bergantung pada faktor-faktor yang telah memberikannya identiti dari segi institusi, agama, budaya dan bahasa.
"Tindakan menghina institusi, mempersendakan institusi, menanam kebencian terhadap institusi adalah langkah awal dalam gerakan ke arah menghapuskan institusi - lalu menghapus identiti asal negara bangsa," titah baginda. Baginda menjelaskan, di era perang dingin, langkah-langkah sedemikian lahir daripada kumpulan yang berpegang pada doktrin politik berfahaman kiri dan dikategorikan berunsur subversif.
"Atas nama Revolusi Budaya di Cina dan indoktrinasi komunisme di Kemboja dan Vietnam, anak-anak dihasut hingga sampai ke peringkat ekstrem, membenci dan memusuhi ibu bapa kandung sendiri. "Para pemimpin agama dicerca dan rumah-rumah ibadat dimusnahkan, ada rumah ibadat yang dijadikan tempat ternakan haiwan; lalu berlakulah keadaan anarki yang terpaksa dibayar dengan nyawa dan darah di samping modal sosial negara bangsa habis termusnah," titah baginda.
Raja Nazrin secara tegas bertitah, baginda akan mengambil tanggungjawab melaksanakan segala usaha bagi memastikan tradisi institusi beraja yang menjadi teras kepada sistem berkerajaan dan bernegara di negara ini terus dipertahankan.
"Bahawa kemuliaan dan kedaulatan seorang raja pemerintah itu tidak akan anakanda reda untuk dipersendakan. Untuk itu warga perlu diinsafkan supaya jangan terlalu cepat membuang pelita, kerana riang melihatkan fajar akan menyingsing; kerana hari siang juga akan berakhir.
"Jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba - hilang haluan, kerana diselimuti kegelapan malam tanpa pelita," titah baginda.
Baginda bertitah, raja-raja Melayu bukan sekadar simbol kepada negara bangsanya, malah Kesultanan Melayu merupakan institusi penting berperanan sebagai pusat pengukuhan kepada warga dan bangsanya. Titah Raja Nazrin, sistem pemerintahan berteraskan Kesultanan Melayu yang telah wujud selama lebih 600 tahun, telah berjaya membangunkan satu budaya dan satu tamadun yang agung.
Kebijaksanaan pemerintahan beraja titah baginda, membantu berlakunya proses pengembangan intelek dan dari sumber istana itulah lahirnya karya-karya agung dalam dunia penulisan bangsa.
"Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa.
"Rakyat yang memahami budaya rakyat beraja - negeri bersultan, memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, terutama peranan dan tanggungjawab mengekalkan identiti negara bangsa," titah baginda.
Raja Nazrin turut mendoakan ayahanda baginda, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah agar dilimpahkan hidayat, dikurniakan kekuatan, dianugerahkan kebijaksanaan, berupaya menghadapi cabaran dan dugaan untuk menyempurnakan amanah sebagai seorang 'Amirulmukminin' yang mampu memayungi negeri secara adil dan saksama. - UM
Warna Politik
Torashah