Sabtu, 13 Disember 2008

Melayu jangan cepat melenting!

Isu ketuanan Melayu yang dijaja oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu atau dijolok oleh pemimpin bukan Melayu tidak kira di kalangan pemimpin UMNO, kerabat pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) mahupun oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang telah mencetuskan perasaan muak dan menyampah yang amat sangat terhadap politik dan orang politik.

Rakyat yang rasional dan tidak pernah teruja mahupun tergugat oleh soal ketuanan Melayu semakin bertambah jelik dengan retorik politik perkauman yang cuba menjebak mereka dengan prejudis dan persengketaan di antara satu sama lain.

Fitrah dan tabii kemanusiaan selalunya cenderung untuk memberikan penghormatan kepada sesiapa sahaja yang cemerlang. Bangsa yang berilmu, maju, kuat dan menguasai ekonomi akan dihormati dan ditakuti.

Bangsa yang inovatif dan gigih mencipta, melahir dan membina tamadun akan menjadi bangsa rujukan dan dipandang tinggi manakala bangsa yang beradab, berdisiplin, bersih, rajin dan amanah akan sentiasa dimuliakan berbanding dengan bangsa yang dikaitkan dengan kemiskinan, kemunduran, kedaifan dan sifat-sifat pemalas.

Kerana itu, pemimpin Melayu yang hanya berbangga dan taksub dengan ketuanan Melayu tetapi enggan berusaha untuk menjadikan Melayu sebagai tuan dalam erti kata yang sebenar yakni yang menguasai, berjaya dan berada di hadapan dalam setiap aspek kehidupan berbanding dengan bangsa yang bukan tuan sesungguhnya adalah musuh terbesar kepada ketuanan Melayu yang hendak dipertahankan itu.

Dalam konteks perbincangan ini, adalah malang untuk pemimpin Melayu yang berbangga menjadi tuan dengan hanya bersandarkan sejarah dan Perlembagaan Persekutuan itu akhirnya terpaksa berhempas-pulas dan terpekik-terlolong meminta supaya mereka tetap dipanggil tuan tanpa mampu berbuat apa-apa untuk menterjemahkan makna ketuanan selain daripada membuat bantahan ataupun membuat kenyataan berapi-api di dalam akhbar.

Diasak oleh pelbagai cabaran dan tuntutan zaman yang berubah, bangsa Melayu sesungguhnya tidak boleh mengharapkan Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk menghunuskan keris bagi mempertahankan ketuanan Melayu.

Orang Melayu juga tidak boleh terus mengharapkan pemimpin dan intelektual Melayu sekali lagi bersidang atau berkongres dan seterusnya menghasilkan puluhan resolusi untuk menegakkan ketuanan Melayu.

Sebaliknya orang Melayu harus berusaha sepenuh tenaga untuk menjadi tuan yang menguasai ekonomi dengan menerajui bank dan institusi-institusi kewangan; memimpin dan menguasai industri besar, kecil dan sederhana; mendominasi kegiatan peruncitan, perdagangan dan pemborongan; ke hadapan di bidang ilmu, sains dan teknologi di samping menjadi amat produktif di bidang pertanian, ternakan serta lain-lain bidang perekonomian.

Akhirnya tanpa perlu berperang atau terpaksa membuka kitab sejarah mahupun merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu akan dihormati sebagai tuan yang tidak lagi bergantung kepada belas ihsan dan subsidi daripada bangsa yang lain.

Orang Melayu sebenarnya tidak lagi boleh kekal seperti tebuan yang hanya garang apabila diganggu tetapi kembali leka mengulit sarangnya yang rapuh di zon selesa apabila keadaan kembali tenang.

Untuk berlaku adil, UMNO sebagai parti teras Perikatan dan BN yang tidak pernah luntur dengan iltizam ketuanan Melayu telah mendapat peluang sejak awal kemerdekaan sehingga sekarang untuk membela dan membina Melayu sebagai tuan yang berjaya dan dihormati di tanah air ini.

Berapa banyak peruntukan kewangan, tenaga dan usaha dicurahkan melalui pelbagai dasar dan projek yang dipertanggungjawabkan pelaksanaannya kepada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang diterajui oleh mereka yang berbangsa tuan tetapi masih gagal menjadikan orang Melayu sebagai kaum yang terunggul dan termaju di negara ini.

Hakikat inilah yang sepatutnya diterima dengan penuh insaf untuk mengolah perjuangan kita pada masa hadapan.

Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebenarnya telah banyak menyumbang kepada pembelaan nasib orang Melayu dan bumiputera. Melalui DEB kita telah melahirkan begitu ramai Melayu dan bumiputera yang terpelajar dan kemudiannya muncul sebagai pentadbir, pengurus, teknokrat dan profesional yang cukup berjaya.

Pada masa yang sama DEB juga telah menyingkap pemikiran dan pandangan hidup orang Melayu serta bumiputera untuk mempertingkatkan keupayaan mereka di bidang ekonomi. Muncullah golongan Melayu Baru yang berjaya di sektor korporat dan lain-lain bidang keusahawanan biarpun peratusannya masih kecil berbanding dengan bukan bumiputera.
Dinilai daripada kejayaan pelaksanaan DEB, tentulah tidak ada sebab untuk bangsa Melayu menjadi terlalu pasrah dan emosional dengan provokasi orang lain terhadap ketuanan Melayu.

Retorik

Daripada kita membuang masa dengan retorik politik, adalah lebih wajar untuk kita mengutip segala kekuatan dan menyusun semula agenda pemerkasaan ekonomi Melayu dan bumiputera.
Tumpuan seharusnya diberikan untuk memperbaiki terlalu banyak kelemahan serta pembaziran wang dan tenaga yang dicurahkan untuk memajukan sektor pertanian yang merupakan sektor di mana majoriti bangsa tuan yakni bangsa Melayu dan bumiputera terlibat.

Harus diakui kita mungkin telah berjaya membangunkan infrastruktur pertanian tetapi masih gagal menjadikan sektor ini sebagai sektor yang produktif dan menguntungkan. Padi yang dihasilkan oleh pesawah 'bangsa tuan' masih rendah berbanding dengan hasil yang diperoleh oleh pesawah bukan bangsa tuan walaupun begitu banyak input pertanian seperti baja, benih dan lain-lain bantuan disediakan oleh kerajaan.

Biarpun negara terpaksa berbelanja besar mengimport hasil-hasil pertanian dan barangan makanan, kita juga masih gagal menyusun semula industri asas tani di negara ini bagi membolehkan bil import yang amat besar ini diolah menjadi peluang besar kepada petani-petani untuk mengeluarkan hasil pertanian sekali gus meningkatkan pendapatan mereka berkali ganda.

Kenapa kita masih gagal melakukannya adalah suatu persoalan yang sebenarnya lebih mendesak untuk difikirkan oleh cendekiawan Melayu daripada mereka membuang masa menghasilkan puluhan resolusi tentang ketuanan Melayu yang sebahagiannya tidak lebih daripada pengulangan hujah-hujah yang tidak membawa kita ke mana-mana.

Di bidang keusahawanan, kita juga telah memiliki sebuah kementerian yang diberikan tanggungjawab khusus untuk melahir dan membina usahawan yakni Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Begitu banyak program, latihan, kursus, skim dan dana pembangunan usahawan disediakan melalui Tekun selain daripada dana francais melalui Perbadanan Nasional atau PNS.

Di bidang peruncitan kita juga mempunyai Tabung Prosper untuk membantu usahawan peruncitan di bawah kelolaan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.
Di bidang latihan kemahiran, kita juga mempunyai Giat Mara, Institut Kemahiran Mara di samping Institut Latihan Perindustrian dan ADTEC di bawah Kementerian Sumber Manusia serta Institut Kemahiran Belia Negara di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Selain itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui pelbagai jabatan dan agensi juga telah mengetengah dan menawarkan pelbagai program, projek, skim dan insentif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar yang juga rata-ratanya adalah daripada kalangan bangsa tuan.

Namun begitu kita masih terus dihadapkan dengan persoalan-persoalan lama. Kenapakah anak-anak bangsa tuan masih tercungap-tercungap di bidang keusahawanan? Kenapakah bangsa tuan masih tidak mampu memecahkan tembok dunia peruncitan dan pemborongan yang masih dimonopoli oleh bangsa bukan tuan?

Mengapakah anak-anak bangsa tuan yang dilatih di pelbagai institusi latihan kemahiran akhirnya hanya berminat bekerja di bengkel milik bangsa bukan tuan dan bukannya membuka sendiri bengkel memperbaiki kereta motor, hawa dingin, ekzos, tayar dan sebagainya?
Kenapakah juga dalam keadaan begitu banyak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Milik Kerajaan (GOC) yang kuat dan berpengaruh dan diterajui oleh anak-anak bangsa tuan, tidak ramai usahawan bangsa tuan yang dapat berteduh di bawah kumpulan Petronas, PNB, TNB, Telekom dan Khazanah Holdings berbanding dengan usahawan-usahawan bukan bangsa tuan?

Percayalah, isu ketuanan Melayu yang cuba dijuarai oleh sebilangan pemimpin Melayu adalah isu bermusim yang akan berakhir tanpa menghasilkan apa-apa.
Provokasi oleh pemimpin bukan Melayu juga sebenarnya tidak menjejaskan apa-apa kerana matlamatnya juga jelas iaitu untuk meningkatkan harga pasaran politik individu berkenaan pada kaca mata kaumnya.

Sesungguhnya di hadapan kita masih berdiri cabaran tentang bagaimana perlu kita memperbaiki kelemahan kita sendiri untuk membela nasib Melayu dan bumiputera.
Kita mempunyai segala kekuatan dan peluang yang gagal dimanfaatkan selama ini kerana kita lebih cenderung untuk melenting, mengamuk dan memberikan reaksi berlebih-lebihan apabila munculnya apa yang dianggap ancaman daripada orang lain.

Dalam keadaan doktrin politik yang mempercayai bahawa orang Melayu akan terus menyokong UMNO dan BN selagi mereka bergantung kepada kerajaan telah pun dirobohkan dalam PRU ke-12, pemimpin dan bangsa Melayu perlu menghadapi cabaran bukan dengan emosi dan retorik.
Sebaliknya, kita perlu merevolusikan pemikiran dan tindakan kita supaya dalam tempoh 11 tahun menjelang 2020, bangsa Melayu benar-benar dapat menjadi bangsa yang berjaya menyelesaikan dilema dan penyakit yang selama ini memundurkan kita.

Sama ada kita akan dapat terus menjadi tuan ataupun tidak, jawapannya akan berbalik kepada pemimpin dan orang Melayu sendiri. Polemik ketuanan Melayu dan kelantangan suara untuk mempertahankan ketuanan Melayu tidak akan bererti apa-apa sekiranya kita masih dengan sikap, pendekatan dan cara tindakan yang lama.

Sebaliknya, jika Melayu itu bangsa yang benar-benar jantan dan berani, ayuh mari kita letakkan cabaran untuk keluar dari bayang-bayang perlindungan sejarah dan hak-hak keistimewaan Melayu supaya selepas tahun 2020 ketuanan Melayu nanti adalah ketuanan yang bertunjangkan kecemerlangan, kehebatan dan kekuatan bangsa kita yang hakiki.-UM


Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor