Seperti yang telah penulis tulis sebelum ini, parti-parti politik Cina tidak pernah serik, malah semakin berani dan lantang serta sengaja membangkitkan isu-isu perkauman yang berkaitan sensitiviti orang Melayu.Ia sengaja dibangkitkan untuk menguji reaksi orang Melayu. Apatah lagi kedudukan orang Melayu berada dalam keadaan yang lemah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) Mac 2008. Apa yang dapat penulis katakan, orang Cina tetap tidak rugi apa-apa sama ada berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Mereka tetap menang sama ada berada dalam Kerajaan Pusat (BN) mahupun kerajaan negeri (Pakatan Rakyat).
Pada hemat penulis, inilah bentuk perubahan dikehendaki oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek. Pada persepsi Soi Lek, PRU 12 adalah petanda rakyat mahukan perubahan daripada perjuangan perkauman kepada perjuangan untuk semua bangsa Malaysia.Inilah intipati ucapan beliau yang penulis layari dalam laman blognya. Pada Soi Lek, ucapannya telah dipolitikkan. Setelah membaca sepenuhnya teks ucapan beliau bertajuk Change the Game, penulis tidak nampak, ucapan beliau dipolitikkan oleh media, khususnya Utusan Malaysia.
Perubahan
Seperti kata-kata pemimpin-pemimpin Cina sebelum ini, Soi Lek mahukan rakyat Malaysia berubah seperti mana rakyat Amerika Syarikat yang memilih Barack H. Obama, merentasi batasan bangsa dan warna kulit. Perubahan yang dimaksudkan beliau termasuklah ungkapan ketuanan Melayu.
Katanya: "The slogan/phrase of 'Ketuanan Melayu', of Master and Servant relationship becomes unacceptable… the younger generation of various races will not accept it. We accept Malay Leadership, but not Malay Supremacy. "We must change the concept of power sharing. We accept Malay Leadership, but not Malay Supremacy."Semua sedia maklum bahawa setiap negara yang dijadikan oleh Allah SWT ada tuan punya asal sesuatu bangsa. Dengan sebab itu, kita dapati bangsa-bangsa yang dijadikan Tuhan akan menjadi tuan di tempatnya. Misalnya, Ketuanan Melayu membentuk negara Melayu, Ketuanan Cina membentuk negara China, Ketuanan India membentuk negara India, Ketuanan Siam membentuk negara Siam (Thailand) dan lain-lain negara yang boleh dijadikan contoh.
Sepanjang tinjauan penulis, belum ada sesebuah negara menjadi majmuk secara semula jadi. Setiap negara bermula dengan satu bangsa. Dalam hal ini, sudah tentu kita menerima Orang Asli adalah penduduk asal dalam setiap negara di dunia ini. Kemajmukkan berlaku melalui proses migrasi.
Perlu diingatkan, penggunaan istilah ketuanan Melayu bukan perkara baru. Ia adalah bagi menggambarkan bahawa orang Melayu adalah etnik asal dan seharusnya mendapat hak-hak istimewa berbanding kaum lain seperti mana yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dipolitikkan
Penulis fikir orang Cina faham makna sebenar ketuanan Melayu tetapi sengaja dipolitikkan untuk mendapatkan political mileage terutama kalangan pemimpin mereka. Persepsi yang mengatakan jika orang Melayu adalah tuan, maka hambanya orang Cina sengaja diada-adakan. Begitu juga dengan ungkapan "Hidup Melayu". Jika Melayu hidup, siapa pula yang mati?Apa yang nyata, orang Cina sengaja memperbesar-besarkan isu ini, walaupun mereka tahu tujuan sebenar penggunaan istilah ini. Lebih ekstrem lagi, mereka menggunakan isu ini sebagai faktor kehilangan banyak kerusi BN dalam PRU 12.
Justeru, penulis ingatkan pemimpin-pemimpin Melayu supaya melayari laman web parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Cina ini serta buletin mereka untuk menyelami betapa kiasunya mereka. Isu-isu yang menjadi sensitiviti kaum bukan hanya diperdebatkan, malah dihina dan dikeji. Saya tidak menafikan juga laman-laman pemimpin Melayu yang lain.
Mewakili MCA, Ong Tee Keat ketika itu menjadi Naib Presiden, dengan nada keras meluahkan perasaan orang Cina terhadap istilah tersebut (The Star, 9 Mei 2008).Kenyataan Tee Keat bertepatan dengan dengan temu bual yang telah dilakukan oleh penulis sebelum ini (Temubual, 7 September 2007). Tee Keat menolak sama sekali istilah ketuanan Melayu, dengan anggapan orang Melayu adalah tuan, manakala orang Cina adalah hamba.
Ini bermakna, kenyataan Soi Lek bukanlah isu baru tetapi telah dibangkitkan sebelum ini, terutama ketika Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menghunus keris dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 yang ada kaitannya dengan ketuanan Melayu.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2007, Hishammuddin telah memberikan penjelasan berhubung isu ini. Beliau memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu (orang Cina) tidak membangkitkan isu keris kerana ia merupakan sebahagian adat budaya Melayu dan bukan isu perkauman.
Orang Cina diingatkan supaya "jangan mencipta musuh yang tiada dan jangan takut dengan bayang-bayang". UMNO tidak akan melayan lagi polemik melulu mengenai keris yang masih belum reda sejak tahun lalu. Keris dianggap sebagai lambang perpaduan. Beliau turut menyindir orang Cina yang masih tidak memahami budaya Melayu setelah 50 tahun merdeka.
Apa juga alasan UMNO berhubung isu keris dan ketuanan Melayu, pemimpin Cina sengaja memutar-belitkan isu ini. Sejarah membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berakarkan bangsa Melayu (Comber, 2007).
Walaupun ada yang beranggapan bahawa Orang Asli yang menjadi penduduk asal, namun sejarah menunjukkan bahawa Malaysia yang berasal dari nama Tanah Melayu berakar umbikan bangsa Melayu. Sebab itu, dalam banyak perkara, bangsa Melayu mendapat lebih keistimewaan dan keutamaan berbanding yang lain. Ini dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sejak awal-awal lagi (Haas, 1967).
Maka tidak hairanlah istilah 'Ketuanan Melayu' dan 'Hidup Melayu' selalu digunakan. Istilah ini telah menjadi sinonim dengan UMNO. Begitu juga dengan lambang keris yang menjadi simbol bendera UMNO.Secara mudah, ketuanan Melayu merujuk kepada suatu keadaan yang mana orang Melayu dan warisan mereka diberikan kedudukan yang wajar selaras dengan status sebagai bangsa atau penduduk asal negara ini. Ia sering dikaitkan dengan kedudukan orang Melayu dalam politik dan pemerintahan; sebagai pengendali utama negara.
Unsur-unsur penting lain yang dapat dilihat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan adalah kedudukan dan peranan Raja-raja, peranan Islam, kedudukan bahasa Melayu (Perkara 152) dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu (Perkara 153).
Ini termasuk juga adat istiadat dan seumpamanya, sehinggalah membawa kepada isu Tanah Rizab atau Simpanan Melayu. Semua perkara ini telah wujud sebelum Perlembagaan yang ada sekarang mula beroperasi pada tahun 1957 (Abdul Aziz Bari, 2006).
Penulis fikir orang Cina menyedari makna ketuanan Melayu yang merujuk kepada perkara-perkara di atas, tetapi mereka sengaja mencari publisiti murahan ketika pengaruh MCA dan Gerakan mula merosot di kalangan kaum Cina yang telah beralih kepada DAP.
Kata-kata Soi Lek yang mahukan perubahan adalah satu pembohongan. Soi Lek mahukan rakyat Malaysia menerima perubahan. Perubahan yang meletakkan kepentingan semua, bukan hanya satu-satu kaum sahaja. Katanya lagi, isu sekolah Cina bukan isu bangsa Cina tetapi isu nasional.
Dalam mengulas isu ini, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, menyarankan supaya sekolah vernakular ditutup. Sistem satu sekolah iaitu sekolah kebangsaan mesti diperkasakan. Ini bukanlah isu baru dan bukan mudah untuk menghapuskan sekolah vernakular yang telah menjadi agenda politik tuntut-menuntut dan ugut-mengugut.
Orang Cina akan menggunakan isu ini untuk mendapatkan political mileage dalam BN dan Pakatan Rakyat. BN dan Pakatan Rakyat terpaksa tunduk kepada ugutan ini demi survival politik.Penulis tidaklah menyokong sangat saranan Mukhriz ini, tetapi pengalaman penulis memimpin PIBG di sekolah yang majoritinya pelajar Cina di Sekolah Jenis Kebangsan Cina (SJKC), menyebabkan penulis terpaksa bersependapat dengan Mukhriz .
Berkomunikasi
Kebanyakan pelajar vernakular tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, apatah lagi bahasa Inggeris. Akhirnya, mereka tidak bergaul dengan pelajar-pelajar Melayu dan seterusnya ketinggalan dalam pelajaran apabila sampai ke peringkat menengah.
Penulis cukup teruja apabila Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali begitu mempertahankan sekolah vernakular agar setanding dengan sekolah kebangsaan, dalam perbahasan Parlimen baru-baru ini.Persoalannya, pernahkah Azmin membuat kajian kemampuan berbahasa Melayu dan tahap integrasi di kalangan pelajar di sekolah-sekolah vernakular? Sekadar mendengar aduan dan pergi membuat lawatan ke sekolah vernakular selaku Yang Berhormat adalah tidak mencukupi.
Cubalah menyelidiki dan berkomunikasi dengan pelajar-pelajarnya. Penulis berani beri jaminan bahawa sebahagian besar pelajar SJKC/T tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Ramai yang langsung tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.Inilah akibatnya apabila sistem pendidikan diasing-asingkan dan dipolitikkan. Matlamat perpaduan nasional masih terlalu jauh untuk dicapai, apatah lagi untuk menanamkan semangat patriotik yang tinggi.
Justeru, sudah sampai masanya kita jangan terlalu berpolitik sesama sendiri sehingga melupakan kepentingan masa depan negara yang lebih besar.
Suara Politik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan