Faizal Fazri Othman (kanan) melihat gambar lama Muhammad Firdaus yang dibawa oleh Norfitri Radius (dua dari kanan) semasa melawat remaja itu di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui Jabatan Imigresen negeri dalam keadaan menyayat hati di dalam sebuah bilik ketika melakukan Operasi Bersepadu 6P bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI), kira-kira pukul 2.30 pagi semalam, dilaporkan stabil setelah dirawat di Wad Kanak-Kanak Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.
Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman yang melawat remaja itu bersama pegawai dan anggotanya di wad berkenaan berkata, Muhammad Firdaus telah diberi rawatan, dibersihkan dan rambutnya dipotong.
Malah, katanya, remaja itu juga kelihatan lebih segar setelah diberi makan bubur dan minum oleh petugas-petugas hospital yang turut bersimpati dengan nasibnya.
"Perutnya sudah berisi dan tidak lagi kempis seperti semasa ditemui semalam. Syukurlah dia diberi penjagaan yang baik,'' katanya ketika ditemui di pekarangan HTJ, di sini hari ini.
Menurut beliau, bekas pengasuh Muhammad Firdaus, Norfitri Radius, 42, yang pernah menjaganya sebelum ini turut mengunjungi remaja itu.
Jelasnya, Norfitri turut membawa gambar lama Muhammad Firdaus yang dalam keadaan sihat dan berisi.
Sementara itu, mengimbas kali pertama bertemu mangsa, Faizal Fazri mengakui sukar menggambarkan perasaannya kerana tidak menyangka akan bertemu remaja itu dalam keadaan terlalu daif.
"Saya hanya mampu mengucap kerana terkejut. Keadaannya amat menyedihkan. Kurus-kering, memakai baju koyak dan berlumuran najis," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana membantu menyelamatkan mangsa.
Sementara itu, Ibu remaja OKU direman sehingga Rabu ini
Ibu Muhammad Firdaus Dullah, remaja orang kurang upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan menyayat hati di Flat Taman Semarak dekat sini awal pagi semalam, direman sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Abdullah Roning menjelaskan, wanita berusia 40 tahun itu ditahan ketika dipanggil ke balai polis petang semalam untuk memberikan keterangan.
"Siasatan menjurus kepada punca sebenar mengapa kanak-kanak itu diabaikan dan ditinggalkan seorang diri di flat berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Siasatan awal mendapati ibu remaja berkenaan berasal dari Sabah dan telah bercerai dengan bapa mangsa sebelum sekali lagi mendirikan rumah tangga.
Difahamkan, hasil perkahwinan baharu itu, ibu mangsa mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun.
Abdullah seterusnya berkata, buat masa ini wanita berkenaan ditahan di lokap sehingga kertas siasatan mengenai kes itu selesai.
Warna-warni politik
Torashah