Khamis, 31 Oktober 2013

Mereka tertarik dengan Keesaan Allah!

RENA Handono (tengah) dan Insan L.S. Mokoginta (kanan) ketika memberikan ceramah pada satu seminar di Melaka, baru-baru ini.

Apakah rahsia kekuatan yang terdapat pada agama Islam sehingga ia menjadi tarikan kepada penganut agama lain?

Bagi kita yang dilahirkan sebagai Muslim dan Muslimah mungkin tidak menyedarinya, tetapi pada hakikatnya ketegasan Islam untuk mempertahankan keesaan Allah adalah sebab utama penganut agama lain memilih agama ini.

Rahsia kekuatan Islam itu diketahui setelah menghadiri satu seminar di Melaka baru-baru ini yang antara penceramah yang turut ditampilkan ialah dua individu berketurunan Tionghoa Indonesia yang telah mendapat hidayah untuk memeluk Islam.

Mereka ialah bekas biarawati, Irena Handono dan seorang pendakwah, Insan L.S. Mokoginta yang pada asalnya beragama Kristian Katolik.

Irena yang nama asalnya Han Hoo Lie dilahirkan pada 1954 di Surabaya, Jawa Timur.

Pada 1983, beliau memutuskan untuk beralih memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadat di Masjid Al-Falah, Surabaya.

Menceritakan kisah pengislamannya, Irena yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, semuanya berlaku setelah beliau memutuskan untuk mempelajari Islam daripada sumber asalnya iaitu al-Quran.

Katanya, keputusannya itu dibuat setelah tidak berpuas hati dengan dakyah sesetengah pihak yang mahu Islam dinilai daripada amalan dan budi pekerti penganut agama itu.

"Ketika masih bukan Islam, saya diminta melihat negara-negara yang mempunyai banyak umat agama berkenaan. Saat itu dikatakan di negara saya, Indonesia orang yang miskin, bodoh, mempunyai sifat pengotor dan tinggal di pinggir-pinggir sungai adalah orang Islam.

"Cara pengenalan terhadap Islam sebegini ternyata tidak hanya pada zaman saya masih muda sahaja iaitu pada 1980-an tetapi terus berlanjutan sampai ke hari ini.

"Ia bertambah kencang lagi setelah peristiwa 911 atau 11 September 2001 apabila orang Islam diberikan label baharu iaitu sebagai pengganas," katanya.

Beliau berkata, dirinya tidak dapat menerima logik yang diberikan itu kerana jika digunakan hujah yang sama, ramai juga bukan Islam yang melakukan perbuatan yang keji termasuk menganggotai kumpulan mafia di Itali.

Katanya, adalah tidak wajar untuk menilai kebenaran sesuatu agama berdasarkan perlakuan penganutnya, sebaliknya ia hanya boleh diukur menerusi sumber utama ajaran agama itu sendiri dan bagi Islam adalah al-Quran.

"Saya pada mulanya telah meminjam senaskhah al-Quran yang ditulis dalam bahasa Arab sepenuhnya.

"Malangnya, pertama kali saya membuka kitab suci al-Quran, saat itu saya bingung kerana tidak tahu kitab itu mana yang depan, mana yang belakang, mana yang atas dan mana yang bawah. Bingung saya tidak mengerti.

"Ketika saya membuka dan saya melihat hurufnya, lebih bingung lagi, hurufnya itu kata orang Betawi seperti cendol, panjang-panjang dan bulat-bulat. Semakin saya tidak mengerti," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, halangan itu tidak menghentikan sifat ingin tahu beliau yang akhirnya berjaya mendapat al-Quran terjemahan dalam bahasa Indonesia.

"Yang mula-mula dibaca saya adalah di bahagian belakang al-Quran iaitu surah-surah yang pendek-pendek dan kebetulan yang pertama dibaca saya adalah Surah al-Ikhlas.

"Kenapa saya membaca surah ini terlebih dahulu, inilah ketentuan Allah dan saat itu saya hanya mampu membaca terjemahan," ujarnya.

Katanya, terjemahan itu membawa maksud: "Katakanlah: Dia-lah Allah Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia."

"Ketika membaca surah itu, maka reaksi saya menyatakan ini yang benar bahawa Allah itu Maha Esa, tempat bergantung semua makhluk dan tidak beranak dan diperanakkan. Dia tidak perlu berkongsi dan tidak ada awalnya.

"Saya bersyukur kerana akhirnya mendapat hidayah kerana berani bertanya berbanding sesetengah pihak yang tidak berani mempersoalkan ajaran agama yang dianuti sejak lahir semata-mata kerana takut dituduh telah melakukan dosa.

"Setelah membaca Surah al-Ikhlas, saya benar-benar yakin Islam adalah agama Allah dan alhamdulillah dengan susah payah, akhirnya ketika berusia 29 tahun pada 1983 iaitu sehari sebelum bulan suci Ramadan, saya mengucapkan dua kalimah syahadat," katanya.

Dalam pada itu, Irena berkata, umat Islam hendaklah bertegas untuk memastikan kalimah Allah tidak digunakan oleh penganut agama lain kerana ia bertentangan dengan maksud perkataan Allah dalam Islam yang merujuk kepada Allah Yang Maha Esa, Yang Satu dan Yang Tunggal.

Beliau berkata, di Indonesia penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain sukar dihapuskan kerana amalan itu telah dibuat sejak zaman penjajahan Belanda.

"Keadaan di Malaysia masih lagi boleh dikawal. Apa yang kami alami di negara kami, jangan sampai terjadi pula di Malaysia.

"Penganut agama lain mahu dibenarkan menggunakan kalimah Allah kerana berpegang kepada prinsip semua agama adalah sama. Kalau semua agama sama, saya tidak akan tinggalkan agama saya dahulu," ujarnya.

Sementara itu, Insan yang nama asalnya Wenseslaus Cong Mokoginta berkata, beliau tertarik dengan kandungan al-Quran yang tidak pernah berubah sejak diwahyukan kepada Nabi Muhammad.

Katanya, al-Quran juga tidak bercampur aduk antara firman Allah dan sabda Nabi Muhammad kerana Islam mempunyai kaedah tersendiri bagi mengasingkannya.

"Firman Allah terkandung dalam al-Quran, manakala perbuatan atau kelakuan Nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh sahabat-sahabatnya dikategorikan sebagai hadis manakala sejarah tentang Rasulullah dinamakan sebagai Sirah Nabawiah.

"Apabila saya mengkaji kitab-kitab agama lain, kandungannya bercampur aduk. Ada firman Tuhan, ada sabda daripada Nabi, ada daripada penulis kitab itu sendiri dan ada daripada orang yang dikenal, mahupun tidak dikenal.

"Sementara kandungannya pula ada perintah dan larangan Allah, daripada Nabi-Nya, ada ajaran daripada penulis kitab tersebut, ada cerita-cerita tentang sejarah dan khurafat.

"Apabila telah bercampur semua antara hak dan batil, maka ia tidak boleh lagi dianggap sebagai firman Allah keseluruhannya. Dalam Islam apabila bercampur kedua-duanya, maka kesimpulannya semua adalah batil," ujarnya yang berasal dari Kotamobagu, Manado di provinsi Sulawesi Utara, Indonesia.

"Dalam kitab agama lain, Nabi-nabi digambarkan dengan kelakuan yang amat buruk. Nabi Daud dikatakan telah menghamilkan isteri orang bawahannya sehingga melahirkan anak dan baginda kemudiannya membunuh suami wanita tersebut," katanya.

Tambah beliau, sebab lain beliau tertarik dengan Islam kerana al-Quran menggambarkan para Nabi dengan akhlak yang mulia dan itulah sifat yang sepatutnya dimiliki semua utusan Allah.-UMO

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor