Selasa, 24 September 2013

MB Selangor mahu Pemuda PAS pilih bola atau masjid?


Jika semalam Pemuda PAS Selangor mengkritik kekurangan penajaan sukan bola sepak negeri oleh syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI), hari ini menteri besar sendiri mahu pertubuhan itu membuat pilihan di antara "masjid atau bola".

Cabaran itu dilontarkan Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu mengulas dakwaan kekurangan penajaan MBI menyebabkan beberapa pemain bintang dalam pasukan Selangor dipancing pasukan lain.

"Saya dapati jumlah peruntukan yang diberikan, kalau rakan-rakan Pemuda PAS berminat (hendak tahu), tiap-tiap tahun kita mempunyai peruntukan untuk membiayai bola sepak melebihi pembinaan satu masjid.

"Bererti tiap-tiap tahun kita guna melebihi RM7 juta. Maknanya, adakah (Pemuda) PAS berminat untuk kita buat masjid atau pun menggalakkan bola sepak?

"Jadi kita kena buat pilihan," katanya kepada disini tengah hari ini.

Khalid ditemui selepas menghadiri Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Subang Jaya.

Semalam Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan mengkritik kekurangan penajaan MBI sehingga menyebabkan pemain seperti Amri Yahyah, Norazlan Razali, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar cuba dipikat Kelab Johor Darul Takzim dengan tawaran gaji yang lumayan.

Mohd Sany berkata kegagalan penaja menyalurkan penajaan akan menyebabkan pemain senior dan berbakat negeri itu berhijrah dan dibimbangi akan menyebabkan pasukan "gergasi bola sepak negara suatu ketika dahulu menjadi lesu dan tidak bermaya".

Selangor sehingga kini berjaya memenangi 32 gelaran juara Piala Malaysia, tujuh gelaran juara liga divisyen 1, dua gelaran juara liga divisyen 2, lima gelaran juara Piala FA Malaysia, dan lapan gelaran juara perlawanan sumbangsih atau Perisai Sultan Haji Ahmad Shah.

Ia sekali gus menjadikan Selangor satu-satunya pasukan yang paling banyak menjuarai piala kejohanan tempatan.

MBI adalah penaja utama pasukan Selangor.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor