Selasa, 17 September 2013

Keinsafan, pengajaran sepanjang 50 tahun usia Malaysia!


Jika diibaratkan sebagai seorang manusia, usia lebih separuh abad lazimnya membentuk kedewasaan, kematangan, dan kebijaksanaan. Hal ini disebabkan pengalaman yang ditempuh sepanjang kehidupan banyak menimbulkan keinsafan dan pengajaran.

Demikianlah juga dengan Malaysia. Kemerdekaan yang dicapai lebih 50 tahun seharusnya menjadikan negara dan rakyatnya dewasa, matang, dan berwibawa. Telah sedemikian banyak liku yang dilalui. Sudah banyak pula onak dan duri yang ditempuh. Dengan kata-kata lain, kita telah mengenal dunia dan mengetahui permainannya. Ibarat kata pepatah, lebih lama kenal dunia, lebih lama tahu ranjau dan jurang hidup.

Resam kehidupan, ujian yang datang tidak mungkin ada noktahnya. Seperti diungkap al-Imam al-Syafi’‘ r.h.,: Ujian zaman datang begitu banyak, silih berganti tidak berhenti. Maka tidak hairanlah jika kita melihat semakin berusia negara ini semakin banyak dan hebat ujian yang melanda.

Antaranya termasuklah bentuk-bentuk ajaran dan pemikiran tertentu daripada Timur dan Barat yang tibanya bersilih ganti. Sekadar menyebut sebahagiannya cuma; sekularisme, pluralisme, liberalisme, dan yang sedang diberikan perhatian kini, iaitu ajaran atau doktrin Syiah. Pemikiran atau doktrin yang tersasar jauh daripada landasan sebenar dan menyesatkan itu hakikatnya tidak mudah disekat hanya dengan menutup punca kemasukannya atau juga dengan menamatkan hubungan siasah yang telah sedia terjalin.


Hal ini mengambil kira hakikat dunia kini telah tiada sempadan atau batasannya. Manusia bebas berkomunikasi, menyampaikan pandangan dan menyebarkan pemikiran serta doktrin yang dianuti melalui pelbagai wadah seperti portal berita, blog, e-mel, web, dan media sosial.

Dengan yang demikian, matlamat memelihara masyarakat daripada musibah yang dibawa pemikiran-pemikiran seumpama itu harus terlaksana melalui tindakan yang tepat, berhikmah, dan berkesan. Dengan kata-kata lain, segala aspek dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum langkah menangani atau membendung penularan sesuatu pemikiran diambil. Dalam hubungan ini, pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman, pemantapan akhlak di samping pembudayaan sepenuhnya prinsip menyeru kepada kebaikan serta menghalang kemungkaran dilihat sebagai lebih utama dan berkesan.

Tindakan ini tidak lain selain bertujuan membina perisai atau benteng diri yang teguh dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang melanda pada masa kini. Jika dikiaskan pada tubuh, daya ketahanan tinggi yang dimiliki seseorang akan melindungi dirinya daripada dilanda sesuatu penyakit dengan mudah. Begitulah pula sebaliknya.

Perhatian utama terhadap aspek pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman dan sebagainya itu perlu disusuli penilaian terhadap keberkesanan pendekatan yang digunakan selama ini. Adakah misalnya kaedah penyampaian pengajaran dan pendidikan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat yang telah dilanda perubahan pesat dalam segenap sudut? Atau sebaliknya kaedah tersebut gagal menarik minat anggota masyarakat untuk menerima pengajaran yang disampaikan? Apatah lagi untuk menghayatinya.

Malang sekali jika sedemikian banyak ruang dan masa diperuntukkan bagi menyampaikan ajaran agama; daripada pendidikan pada setiap peringkat pengajian sehingga khutbah di masjid dan program keilmuan di corong-corong radio serta kaca televisyen, namun akhirnya ajaran tersebut gagal sampai kepada kelompok sasarannya. Malah sebaliknya sebahagian kelompok berkenaan, khususnya golongan muda lebih mudah beralih kepada ideologi dan pemikiran asing yang ditemui mereka dalam media baharu.

Sungguh menyedihkan jika kebenaran tidak berupaya disampaikan dengan sebaik-baiknya kepada anggota masyarakat hanya kerana kelemahan pada kaedah atau pendekatannya. Sedangkan kebatilan pula dengan mudah menerobos dan menakluki pemikiran mereka hanyalah disebabkan kehebatan kaedah yang digunakan. Tepat sekali apa yang diingatkan oleh Khalifah ‘Ali k.w. bahawa kebenaran yang diperjuangkan secara tidak tersusun akan dapat ditewaskan oleh kebatilan yang disusun secara sistematik.

Dengan yang demikian, seluruh institusi yang terlibat seperti pendidikan, pemikir dan penyelidikan, dakwah, termasuk media perlu menggembleng tenaga secara bersama. Tujuannya bagi memastikan kaedah penyampaian pengajaran, pendidikan, serta dakwah diberikan nafas baharu dan ditampilkan dengan wajah serta format lebih kreatif dan segar, seiring dengan perubahan masa dan persekitaran. Walau bagaimanapun, pendekatan baharu yang digunakan haruslah tidak sama sekali semata-mata menurut selera masyarakat dengan mengabaikan kepentingan kandungan pengajaran, iaitu bagi meningkatkan kefahaman tentang ajaran agama serta tahap keilmuan dan memperluas ufuk pemikiran mereka.

Golongan ilmuwan dan agamawan secara khususnya harus menyedari bahawa mahu tidak mahu, mereka telah pun berada dalam medan persaingan untuk mendapatkan perhatian besar masyarakat awam. Jika perkara ini tidak diberikan tumpuan sewajarnya maka sudah tentu ruang yang ditinggalkan mereka dengan pantas diisi oleh pihak lain yang menanti untuk merebut peluang tersebut. Justeru, para ilmuwan dan agamawan harus memiliki daya tarikan yang kuat bagi memastikan bahawa mereka sentiasa dijadikan rujukan dalam menyelesaikan setiap persoalan yang timbul dalam kehidupan. Sememangnya pada dasarnya, masyarakat awam memikul tanggungjawab untuk merujuk kepada mereka, iaitu sebagaimana diperintahkan al-Quran.

Kecenderungan untuk menjadikan mereka sebagai rujukan sudah tentu pula didorong oleh keyakinan terhadap kewibawaan yang dibentuk oleh sifat-sifat dan nilai-nilai terpuji. Namun sekiranya, kewibawaan yang dimiliki telah pun lenyap sehingga meluputkan kepercayaan masyarakat untuk bergantung pada mereka, maka selayaknya merekalah yang bertanggungjawab atas kekhilafan yang berlaku itu.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor