Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Sabtu, 28 September 2013
M. Manoharan : DAP Dewakan Chin Peng Berbanding Devan Nair!
Sikap DAP dipersoalkan apabila seolah-olah seperti ‘kacang lupakan kulit’ dengan lebih mengagungkan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng berbanding pengasas sebenar parti itu, bekas Presiden Singapura, CV Devan Nair.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah (DUN), M. Manoharan mendakwa, ini berikutan DAP sukar menerima kematian Chin Peng dengan dilihat begitu agresif mempertahankan ketua komunis itu berbanding pengasas DAP itu sendiri.
Malah, kata beliau, parti tersebut seolah-olah sudah ‘memadamkan’ Devan Nair yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung parti itu.
Jelasnya, DAP tidak pernah memberi penghormatan dan penghargaan yang secukupnya kepada Devan Nair sehingga saat ini berbanding ‘pemimpin’ lain dalam parti.
“Layanan ini sungguh berlainan jika mahu dibandingkan dengan Chin Peng yang meninggal dunia baru-baru ini. Rata-rata pemimpin DAP menunjukkan sokongan terhadap perjuangannya, ada juga Ahli Parlimen DAP dan penyokong yang telah memberikan penghormatan terakhir di Thailand, blog juga penuh dengan cerita Chin Peng. Devan Nair langsung tiada.
“Apakah jenis jasa Chin Peng terhadap parti jika dibandingkan dengan Devan Nair? Penyokong parti juga ingin tahu mengapa Devan Nair seolah-olah sudah dilupakan, saya mohon DAP untuk segera betulkan keadaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Devan Nair merupakan satu-satunya pemimpin PAP yang berjaya memenangi kerusi Parlimen di negara ini dalam Pilihan Raya Umum Kedua pada 1964 iaitu semasa Singapura masih sebahagian daripada Malaysia.
Bekas Ahli Parlimen Bangsar itu seterusnya mengasaskan DAP setelah Singapura berpisah daripada Malaysia pada 7 Ogos 1965.
Beliau kemudian kembali ke Singapura dan dilantik sebagai Presiden republik itu mulai 23 Oktober 1981 hingga 27 Mac 1985.
Kata Manoharan lagi:
“”Potret Devan Nair tidak pernah digantung di mana-mana, tidak pernah ada apa-apa program yang dibuat untuk memperingati hari lahir atau kematian beliau dalam parti, malah tidak ada maklumat atau biodata beliau dalam laman rasmi DAP atau Roketkini.
“Adakah ini adil dan sesuatu yang betul? Beliau adalah pengasas parti ini. Mengapa mahu dilupakan begitu sahaja? Tidak ramai yang tahu perjuangan dan pengorbanan Devan Nair, bukankah parti bertanggungjawab menjaga sejarah ini.”
Manoharan turut memuji parti Gerakan yang meskipun didominasi oleh kaum Cina, namun masih tetap meletakkan potret pengasas dan Presidennya, Syed Hussein Alatas di pejabat parti itu.
Warna-warni politik
Torashah
Selasa, 24 September 2013
MB Selangor mahu Pemuda PAS pilih bola atau masjid?
Jika semalam Pemuda PAS Selangor mengkritik kekurangan penajaan sukan bola sepak negeri oleh syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI), hari ini menteri besar sendiri mahu pertubuhan itu membuat pilihan di antara "masjid atau bola".
Cabaran itu dilontarkan Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu mengulas dakwaan kekurangan penajaan MBI menyebabkan beberapa pemain bintang dalam pasukan Selangor dipancing pasukan lain.
"Saya dapati jumlah peruntukan yang diberikan, kalau rakan-rakan Pemuda PAS berminat (hendak tahu), tiap-tiap tahun kita mempunyai peruntukan untuk membiayai bola sepak melebihi pembinaan satu masjid.
"Bererti tiap-tiap tahun kita guna melebihi RM7 juta. Maknanya, adakah (Pemuda) PAS berminat untuk kita buat masjid atau pun menggalakkan bola sepak?
"Jadi kita kena buat pilihan," katanya kepada disini tengah hari ini.
Khalid ditemui selepas menghadiri Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Subang Jaya.
Semalam Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan mengkritik kekurangan penajaan MBI sehingga menyebabkan pemain seperti Amri Yahyah, Norazlan Razali, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar cuba dipikat Kelab Johor Darul Takzim dengan tawaran gaji yang lumayan.
Mohd Sany berkata kegagalan penaja menyalurkan penajaan akan menyebabkan pemain senior dan berbakat negeri itu berhijrah dan dibimbangi akan menyebabkan pasukan "gergasi bola sepak negara suatu ketika dahulu menjadi lesu dan tidak bermaya".
Selangor sehingga kini berjaya memenangi 32 gelaran juara Piala Malaysia, tujuh gelaran juara liga divisyen 1, dua gelaran juara liga divisyen 2, lima gelaran juara Piala FA Malaysia, dan lapan gelaran juara perlawanan sumbangsih atau Perisai Sultan Haji Ahmad Shah.
Ia sekali gus menjadikan Selangor satu-satunya pasukan yang paling banyak menjuarai piala kejohanan tempatan.
MBI adalah penaja utama pasukan Selangor.
Warna-warni politik
Torashah
Ahad, 22 September 2013
Hutang Chin Peng?
Usaha pihak-pihak tertentu untuk menobatkan mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng sebagai hero makin ketara. Keputusan kerajaan melarang mayat mahupun abu mayat mendiang dibawa ke Malaysia, mendapat bantahan kuat.
Malah terdapat cubaan untuk menyeludup abu mayat untuk disemadikan di Sitiawan, Perak. Lebih mengganggu fikiran apabila terdapat laporan menyatakan tarikh kematian Chin Peng dikatakan mungkin diubah daripada 15 September kepada 16 September agar sinonim dengan sambutan Hari Malaysia.
Ternyata banyak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dalam usaha menulis semula sejarah. Mereka mengambil jurus pandangan songsang dan berbahaya dengan menghalalkan kekejaman Chin Peng dan PKM.
Ada sahaja alasan dan kewajaran yang dicari. Biro Publisiti MCA misalnya mendakwa kerajaan pilih kasih dengan membenarkan jenazah teroris, Allahyarham Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dikebumikan di negara ini tetapi melarang Chin Peng. Hujah tersebut ternyata dangkal sejarah dan sedarlah mudarat yang dibawa oleh Chin Peng adalah terlalu besar. Janganlah melihat ia dari pandangan yang rasis semata-mata.
Jika abu mayat Chin Peng berjaya dibawa pulang, ia akan menjadi kemenangan moral terbesar buat golongan yang mahu menulis semula sejarah. Sebaliknya, ia merupakan penghinaan kepada pasukan keselamatan, yang ribuan anggota dibunuh oleh pengganas PKM.
Kita bersyukur di sebalik tekanan yang dihadapi oleh kerajaan, Perdana Menteri, Najib Tun Razak, Kementerian Dalam Negeri dan polis tetap bertegas tidak membenarkan jasad Chin Peng disemadikan di negara ini.
Seperti yang ditekankan oleh Najib, kerajaan sama sekali tidak melanggar perjanjian damai dengan PKM di Hatyai pada 1989. Mendiang tidak pernah memohon untuk menjadi warganegara Malaysia sepanjang setahun perjanjian itu dimeterai, menjadikan haknya telah luput.
Kita sedih kerana ada juga tokoh termasuk kerabat diraja seperti Tunku Zain Al Abidin Tuanku Mukhriz turut mempersoalkan keputusan kerajaan dalam isu tersebut.
Dalam pada itu, satu tulisan dalam akhbar China Press menarik perhatian. Antara lain penulisnya mendakwa Malaysia terhutang maaf kepada Chin Peng. Penulis mendakwa, pemimpin PKM itu seorang yang berjasa kepada negara.
Sekali lagi, sejarah mahu diubahsuai untuk agenda tertentu. Yang sepatutnya berhutang maaf adalah Chin Peng sendiri. Bukan itu sahaja, mendiang berhutang nyawa, berhutang darah, berhutang air mata dan berhutang maruah kepada negara.
Ketika hayatnya, Chin Peng sewajarnya meminta maaf setidak-tidaknya kepada seluruh anggota pasukan keselamatan dan keluarga mereka yang mati dibunuh.
Siapa yang mahu membayar semua hutang tersebut? Aneh, suara-suara yang memperjuangkan Chin Peng tidak pernah komited apatah lagi untuk lantang menghargai pengorbanan pasukan keselamatan kita.
Apabila menyentuh nasib anggota tentera dan polis yang terkorban meninggalkan balu dan anak yatim, tidak terdorong pula dengan soal kemanusiaan.
Inikah masyarakat yang tahu mengenang jasa perwira? Golongan ini sengaja lupa di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung. Kepentingan negara seharusnya mengatasi kepentingan lain seperti kaum. Janganlah menghina diri sendiri.
Warna-warni politik
Torashah
Selasa, 17 September 2013
Keinsafan, pengajaran sepanjang 50 tahun usia Malaysia!
Jika diibaratkan sebagai seorang manusia, usia lebih separuh abad lazimnya membentuk kedewasaan, kematangan, dan kebijaksanaan. Hal ini disebabkan pengalaman yang ditempuh sepanjang kehidupan banyak menimbulkan keinsafan dan pengajaran.
Demikianlah juga dengan Malaysia. Kemerdekaan yang dicapai lebih 50 tahun seharusnya menjadikan negara dan rakyatnya dewasa, matang, dan berwibawa. Telah sedemikian banyak liku yang dilalui. Sudah banyak pula onak dan duri yang ditempuh. Dengan kata-kata lain, kita telah mengenal dunia dan mengetahui permainannya. Ibarat kata pepatah, lebih lama kenal dunia, lebih lama tahu ranjau dan jurang hidup.
Resam kehidupan, ujian yang datang tidak mungkin ada noktahnya. Seperti diungkap al-Imam al-Syafi r.h.,: Ujian zaman datang begitu banyak, silih berganti tidak berhenti. Maka tidak hairanlah jika kita melihat semakin berusia negara ini semakin banyak dan hebat ujian yang melanda.
Antaranya termasuklah bentuk-bentuk ajaran dan pemikiran tertentu daripada Timur dan Barat yang tibanya bersilih ganti. Sekadar menyebut sebahagiannya cuma; sekularisme, pluralisme, liberalisme, dan yang sedang diberikan perhatian kini, iaitu ajaran atau doktrin Syiah. Pemikiran atau doktrin yang tersasar jauh daripada landasan sebenar dan menyesatkan itu hakikatnya tidak mudah disekat hanya dengan menutup punca kemasukannya atau juga dengan menamatkan hubungan siasah yang telah sedia terjalin.
Hal ini mengambil kira hakikat dunia kini telah tiada sempadan atau batasannya. Manusia bebas berkomunikasi, menyampaikan pandangan dan menyebarkan pemikiran serta doktrin yang dianuti melalui pelbagai wadah seperti portal berita, blog, e-mel, web, dan media sosial.
Dengan yang demikian, matlamat memelihara masyarakat daripada musibah yang dibawa pemikiran-pemikiran seumpama itu harus terlaksana melalui tindakan yang tepat, berhikmah, dan berkesan. Dengan kata-kata lain, segala aspek dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum langkah menangani atau membendung penularan sesuatu pemikiran diambil. Dalam hubungan ini, pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman, pemantapan akhlak di samping pembudayaan sepenuhnya prinsip menyeru kepada kebaikan serta menghalang kemungkaran dilihat sebagai lebih utama dan berkesan.
Tindakan ini tidak lain selain bertujuan membina perisai atau benteng diri yang teguh dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang melanda pada masa kini. Jika dikiaskan pada tubuh, daya ketahanan tinggi yang dimiliki seseorang akan melindungi dirinya daripada dilanda sesuatu penyakit dengan mudah. Begitulah pula sebaliknya.
Perhatian utama terhadap aspek pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman dan sebagainya itu perlu disusuli penilaian terhadap keberkesanan pendekatan yang digunakan selama ini. Adakah misalnya kaedah penyampaian pengajaran dan pendidikan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat yang telah dilanda perubahan pesat dalam segenap sudut? Atau sebaliknya kaedah tersebut gagal menarik minat anggota masyarakat untuk menerima pengajaran yang disampaikan? Apatah lagi untuk menghayatinya.
Malang sekali jika sedemikian banyak ruang dan masa diperuntukkan bagi menyampaikan ajaran agama; daripada pendidikan pada setiap peringkat pengajian sehingga khutbah di masjid dan program keilmuan di corong-corong radio serta kaca televisyen, namun akhirnya ajaran tersebut gagal sampai kepada kelompok sasarannya. Malah sebaliknya sebahagian kelompok berkenaan, khususnya golongan muda lebih mudah beralih kepada ideologi dan pemikiran asing yang ditemui mereka dalam media baharu.
Sungguh menyedihkan jika kebenaran tidak berupaya disampaikan dengan sebaik-baiknya kepada anggota masyarakat hanya kerana kelemahan pada kaedah atau pendekatannya. Sedangkan kebatilan pula dengan mudah menerobos dan menakluki pemikiran mereka hanyalah disebabkan kehebatan kaedah yang digunakan. Tepat sekali apa yang diingatkan oleh Khalifah Ali k.w. bahawa kebenaran yang diperjuangkan secara tidak tersusun akan dapat ditewaskan oleh kebatilan yang disusun secara sistematik.
Dengan yang demikian, seluruh institusi yang terlibat seperti pendidikan, pemikir dan penyelidikan, dakwah, termasuk media perlu menggembleng tenaga secara bersama. Tujuannya bagi memastikan kaedah penyampaian pengajaran, pendidikan, serta dakwah diberikan nafas baharu dan ditampilkan dengan wajah serta format lebih kreatif dan segar, seiring dengan perubahan masa dan persekitaran. Walau bagaimanapun, pendekatan baharu yang digunakan haruslah tidak sama sekali semata-mata menurut selera masyarakat dengan mengabaikan kepentingan kandungan pengajaran, iaitu bagi meningkatkan kefahaman tentang ajaran agama serta tahap keilmuan dan memperluas ufuk pemikiran mereka.
Golongan ilmuwan dan agamawan secara khususnya harus menyedari bahawa mahu tidak mahu, mereka telah pun berada dalam medan persaingan untuk mendapatkan perhatian besar masyarakat awam. Jika perkara ini tidak diberikan tumpuan sewajarnya maka sudah tentu ruang yang ditinggalkan mereka dengan pantas diisi oleh pihak lain yang menanti untuk merebut peluang tersebut. Justeru, para ilmuwan dan agamawan harus memiliki daya tarikan yang kuat bagi memastikan bahawa mereka sentiasa dijadikan rujukan dalam menyelesaikan setiap persoalan yang timbul dalam kehidupan. Sememangnya pada dasarnya, masyarakat awam memikul tanggungjawab untuk merujuk kepada mereka, iaitu sebagaimana diperintahkan al-Quran.
Kecenderungan untuk menjadikan mereka sebagai rujukan sudah tentu pula didorong oleh keyakinan terhadap kewibawaan yang dibentuk oleh sifat-sifat dan nilai-nilai terpuji. Namun sekiranya, kewibawaan yang dimiliki telah pun lenyap sehingga meluputkan kepercayaan masyarakat untuk bergantung pada mereka, maka selayaknya merekalah yang bertanggungjawab atas kekhilafan yang berlaku itu.-UMO
Warna-warni politik
Torashah
Rabu, 11 September 2013
Hanya agama akan dapat baiki imej UMNO!
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melihat langkah terbaik bagi UMNO untuk melakukan perubahan adalah dengan kembali kepada penghayatan agama dalam kehidupan pemimpin dan organisasi.
Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, itulah cara dan pilihan terbaik bagi UMNO untuk terus survival dalam politik tanah air.
Hakikatnya BN telah menyedari bahawa perlunya perubahan untuk terus kekal dan perubahan itu dilihat sebagai satu bentuk keinsafan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan Barisan Nasional (BN) terus melakukan perubahan dalam aspek strategi, pendekatan, pembaharuan program dan lebih pragmatik untuk kekal relevan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Jelas Ustaz Abdullah, dasar pragmatik yang hendak ditonjolkan oleh UMNO barangkali memberi sedikit peluang, akan tetapi penyelesaian hakiki dan sewajarnya adalah UMNO kembali kepada agama.
“Selama ini UMNO hanya bergantung kepada jentera kerajaan, tetapi apabila sampai masa di mana jentera kerajaan tidak lagi dapat memberikan kelebihan kepada UMNO, maka waktu itu UMNO akan kalah,” tegas Ustaz Abdullah.
Katanya, ini ekoran UMNO mengalami krisis kepercayaan masyarakat, kredibiliti, kewibawaan, amanah yang sering dipertikaikan.
“Jadi selagi UMNO tidak dapat menyelesaikan masalah asas hala tuju perjuangannya maka UMNO sukar untuk kembalikan kepercayaan masyarakat.
“Ia hanya dapat dirawat dengan penghayatan agama dalam kehidupan individu, pemimpin dan organisasi secara konstruktif. Jadi keperluan UMNO untuk berubah kepada agama adalah sangat kritikal,” jelasnya kepada wartawan ISMA.
Warna-warni politik
Torashah
Langgan:
Catatan (Atom)