Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Selasa, 9 April 2013
PRU -13 : Pimpinan Pakatan Masih Lagi Bercakaran Soal Kerusi - Hasan Ali!
PRU ke 13 sudah benar-benar berada di hujung serambi. SPR akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada hari Rabu ini. Semua parti yang bertanding menyatakan mereka telah bersiap sedia termasuk pembahagian kerusi mengikut komponen parti masing-masing.
Umum mengetahui sesuatu yang keluar daripada mulut pimpinan politik tidak seharusnya ditelan begitu sahaja. Memang sudah menjadi lumrah tidak ada parti politik dalam dunia yang menyuarakan sesuatu yang boleh menggambarkan kelemahan dipihak parti tersebut. Begitu jugalah halnya dengan parti-parti politik yang bertanding dalam PRU ke 13.
Pakatan Rakyat telah memutuskan formula pembahagian kerusi di antara tiga komponen parti. Pada dasarnya formula pembahagian didasarkan kepada amalan semasa PRU ke 12. Apa yang berlaku pimpinan komponen parti dilihat seolah-olah tidak menghormati prinsip pembahagian kerusi tersebut sebaliknya berlumba-lumba membuat pengumuman bersendirian untuk “mengecup” kawasan-kawasan Parlimen dan DUN yang sebelum ini telah diperuntukkan kepada masing-masing parti dalam Pakatan.
Sebagai contoh Parlimen Bagan Serai yang dikatakan milik PAS tetapi Ketua Umum PKR telah terlebih dahulu mengisytiharkan tanpa merujuk kepada PAS bahawa kawasan Parlimen tersebut akan ditandingi oleh PKR yang akan meletakkan Ketua Penerangannya Dr Mohd Nur Manuti. Begitu juga Parlimen Labuan, Setiawangsa dan Bera yang diperuntukkan kepada PAS telah disambar bila Timbalan Presidennya Azmin Ali membuat pengumuman tanpa terlebih dahulu merujuk kepada PAS.
Pemerhati politik dapat menghidu suasana tegang dalam mesyuarat-mesyuarat antara pimpinan parti termasuk diperingkat Majlis Presiden dalam hal yang berkaitan dengan penentuan kawasan-kawasan pilihanraya untuk ditandingi oleh calon-calon Pakatan. Dikatakan mesyuarat yang sepatutnya dipanggil untuk memuktamadkan kerusi-kerusi yang dipertandingkan mengikut parti komponen sehinga ini masih tidak dapat mencapai kata putus dan mesyuarat-mesyuarat tersebut berlalu tanpa keputusan.
Pertindihan yang jelas berlaku adalah di antara PKR dan DAP dan kelihatan juga perkara tersebut wujud di antara PAS dan PKR. Dikhabarkan baru-baru ini pimpinan tertinggi parti komponen sengaja memilih untuk tidak hadir dalam mesyuarat penentuan kerusi sebagai tanda protes terhadap sifat angkuh, tamak dan mengenepikan semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh pimpinan tertinggi PKR khasnya. Ini berlaku akibat keinginan mereka untuk menjadi parti yang dominan yang akhirnya membuka peluang kepada pimpinan tertinggi mereka menjadi Perdana Menteri.
Apa yang berlaku sebenarnya menggambarkan kocakan-kocakan kecil kerana dibelakang tabir banyak lagi isu-isu yang masih belum dibereskan samada menjelang PRU ataupun setelah keputusan muktamad pilihanraya diperolehi. Calon Perdana Menteri umpamanya sehingga kini belum dapat diputuskan. PKR dan DAP menamakan Anwar Ibrahim tetapi PAS melalui Majlis Syuranya mempunyai pandangan yang berbeza.
Perihal betapa seriusnya pertelagahan merebut kerusi untuk parti masing-masing, tersebar berita yang mengatakan bahawa ada pimpinan tertinggi dari komponen parti yang telah bertindak untuk mengugut bahawa mereka bersedia untuk melihat kerusi-kerusi yang berlaku pertindihan calon tersebut dipertandingkan secara tiga penjuru.
Kesimpulan yang boleh dibuat dalam hal ini ialah Pakatan Rakyat akan terus dilanda masalah demi masalah. Suasana dalaman mereka ibarat retak menanti belah. Masalah pembahagian kerusi adalah masalah pra kemenangan. Seandainya ditakdirkan Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, bayangkan betapa getirnya perbalahan di antara pimpinan Pakatan untuk membentuk kerajaan sekaligus menamakan anggota kabinet dan melantik Perdana Menteri.
Rakyat harus dapat memahami realiti yang wujud di dalam Pakatan Rakyat dan bertolak dari situ rakyat sebagai pengundi seharusnya dapat menggunakan kebijaksanaan dan bisikan hati kecil untuk tidak memperjudikan Malaysia dengan karenah pimpinan tertinggi komponen parti dalam Pakatan Rakyat yang boleh mengakibatkan negara berada dikancah huru hara, bencana dan malapetaka.
DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Tmn Tun Dr Ismail, KL
8 APRIL 2013
Warna-warni politik
Torashah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan