Isnin, 5 Mac 2012

Anwar dan Israel!


SELEPAS Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan Israel, umat Islam dan banyak pihak membantah beliau.

Disebabkan kenyataan tersebut, rating pakatan pembangkang jatuh. Pas turut memisahkan parti itu daripada pendirian Anwar. Lalu Anwar dan PKR bertungkus lumus memulihkan imej tetapi dengan putar belit.

Ini termasuk dakwaan kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Israel. Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut difitnah kononnya turut menyokong Israel.

Tiga pucuk surat Dr. Mahathir kepada tiga Perdana Menteri Israel, yang disiarkan Rabu lalu menjawab segala-galanya. Awang teruja membaca surat-surat itu, patah demi patah perkataan. Membara semangat Awang. Ternyata langkah kerajaan menyiarkan kandungan surat tersebut menyangkal tohmahan PKR. Malah ia membuktikan ketegasan Dr. Mahathir mempertahan dan memperjuangkan rakyat Palestin daripada kezaliman rejim Zionis. Mahathir bukan seperti Anwar yang suka bermuka-muka dalam dasar luar.

Malaysia terus komited memperjuangkan kepentingan Palestin dan dasar itu tidak berubah sehinggalah era Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak.

Sehari selepas pendedahan surat Dr. Mahathir, Hamas pula dalam kenyataannya menafikan pendirian pertubuhan itu selari dengan Anwar. Pengerusi Biro Politik Hamas, Dr. Mousa Abu Marzook berkata, pihaknya sama sekali tidak akan mengiktiraf rejim Zionis. Ia satu lagi tamparan kepada ketua pembangkang itu yang sebelum ini mendakwa Hamas berkongsi pendirian dengan beliau. Ramai tahu bahawa Anwar suka `menjual’ atau mempergunakan nama pemimpin dan tokoh Islam antarabangsa bagi menguatkan hujahnya.

Setakat ini, Anwar tidak menarik balik kenyataan asal beliau dan enggan memohon maaf kepada umat Islam. Pada Awang, ia membuktikan bahawa beliau memang mahu kenyataannya itu kekal sedemikian sebagai khazanah maklumat untuk rakyat Israel di seluruh dunia.

Bangsa paling berpengaruh di muka bumi hari ini adalah Yahudi yang mempunyai rangkaian strategik terhebat dalam politik antarabangsa dan sektor kewangan. Anwar mahu mengambil kesempatan dengan `melabur’ kepada bangsa itu demi memburu kuasa. Menyedari bahawa beliau mempunyai masalah moral yang rakyat Malaysia tidak mungkin mengangkatnya sebagai Perdana Menteri maka Anwar sangat terdesak memerlukan bantuan asing. Disebabkan percaturan itu, umat Islam tidak layak dan tidak mungkin mendapat kemaafan daripada beliau. Walaupun isu Israel, memburukkan lagi imej Anwar, beliau tidak akan berdiam. Ada sahaja muslihatnya... tunggulah.

Oleh : Bisik-Bising Awang Selamat

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor