Isnin, 21 November 2011

Menangi hati orang Melayu!

Bermula 29 November hingga 3 Disember ini Perhimpunan Agung UMNO sekali lagi akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Signifikannya persidangan kali ini, ia dilihat sebagai kali terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan.

Pastinya dalam suasana politik hari ini, kedudukan dan penerimaan masyarakat terhadap parti ini masih lagi menjadi sesuatu yang ditagih kerana perjuangan untuk agama, bangsa dan negara oleh UMNO selama ini telah dilaksanakan dengan cemerlang.

Namun bersesuaian dengan keputusan PRU-12, UMNO itu sendiri perlu berubah mengikut kehendak dan keperluan semasa tetapi pada masa yang sama tidak mengabaikan kelangsungan yang telah diperjuangkan selama ini.

Untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan ini Mingguan Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, DATUK OTHMAN MOHAMAD beserta ZIN MAHMUD, GAMAL NASIR MOHD. ALi, MARHAINI KAMARUDDIN, HAFIZAHRIL HAMID dan jurugambar FAUZI BAHARUDIN telah mewawancara bekas Perdana Menteri TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD pada Khamis lepas.

Dr. Mahathir, menyatakan sehingga kini UMNO masih belum lagi giat berusaha untuk mendapat sokongan daripada rakyat terutamanya orang Melayu.

Ujarnya dalam pertemuan yang berlangsung di pejabatnya di Tingkat 86, Menara Dua KLCC, BN tidak boleh menang hanya dengan undi Cina sahaja.

“Ia hanya undi tambahan. Undi Melayu perlu diperoleh cukup banyak, jika tidak kita tidak boleh menang,” katanya.

MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat keadaan UMNO hari ini?

DR. MAHATHIR: Saya tidak nampak UMNO sedang giat berusaha untuk mendapat sokongan daripada rakyat. Biasanya dekat-dekat pilihan raya ada banyak aktiviti supaya rakyat dapat faham perjuangan yang sebenarnya tapi nampaknya tidak begitu aktif, tak tahulah saya memandangkan saya jarang keluar akhbar sekarang, jadi saya tak tahulah. Ini impression yang saya dapat.

Apakah berbeza jika dibandingkan dengan keadaan dahulu?

DR. MAHATHIR: Dahulu kita kuat, tidak ada orang yang meninggalkan parti tetapi sekarang kita perlu memenangi semula mereka yang telah meninggalkan parti. Umpamanya UMNO masih tidak terima ahlinya yang letak jawatan atau keluar UMNO ketika saya bertindak keluar dahulu. Ramai juga yang keluar tapi banyak bahagian yang tidak mahu terima mereka, walaupun jumlah mereka sedikit. Kita tidak menang pilihan raya lalu dengan undi besar, jadi kalau ada ahli yang keluar walaupun 200 atau 300 orang itu sudah cukup besar. Kalau lari 100 orang kita kena cari 200 orang balik. Jika tidak dapat jumlah dua kali ganda yang telah meninggalkan UMNO agak susah untuk kita dapat kemenangan.

Apakah ini punca kebanyakan mereka beralih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana permintaan mereka untuk kembali dalam UMNO ditolak?

DR. MAHATHIR: Ini lebih kerana kecewa kerana dahulu mereka percaya UMNO akan memperjuangkan nasib mereka. Sekarang ini mereka dapati UMNO tidak nampak memperjuangkan nasib orang Melayu. Sebab itu mereka menubuhkan NGO dan ia sebenarnya tidak boleh buat apa-apa pun tetapi kerana mereka mempunyai ahli dan tidak mengundi UMNO dan BN maka kesannya besar. Sebab itu kita kena tahu alasan kenapa mereka beralih kepada NGO.

Tidakkah dengan wujudnya NGO ini akan memecahbelahkan penyokong UMNO?

DR. MAHATHIR: Mereka nak sokong UMNO seperti contoh Perkasa, mereka sokong UMNO tetapi kerana terdapat isu-isu orang Melayu yang tidak dimainkan UMNO dan kemudiannya diambil alih oleh Perkasa. Oleh itu UMNO harus ambil tahu, tidak boleh melihat Perkasa sebagai musuh. Kita sebenarnya tidak boleh mempunyai banyak musuh pada masa sekarang. Orang yang hendak menjadi musuh pun kita patut pertahankan dan kemudian ambil tahu apa masalahnya.

Kita lihat perkiraan NGO mudah iaitu dari segi Melayu, tapi kalau dari segi UMNO sebagai kerajaan pula terpaksa mengimbangi antara Melayu dan bukan Melayu. Bagaimana seharusnya NGO ini berperanan?

DR. MAHATHIR: Kita boleh jaga kepentingan orang bukan Melayu tanpa membelakangkan kepentingan Melayu. Kita harus jelas sebab-sebab kita membuat tindakan. Umpamanya tempat-tempat dalam universiti kerajaan kita ambil tahu tetapi kita tidak ambil tahu tempat-tempat dalam universiti swasta. Apakah orang Melayu begitu ramai di universiti swasta? Jika orang Melayu semakin kurang dalam universiti kerajaan dan tidak ramai di universiti swasta, maknanya mereka semakin hilang tempat.

Sedangkan masa saya masih memerintah, kita tubuh twinning arrangement untuk memberi peluang kepada orang bukan Melayu mendapat pelajaran di universiti. Lepas itu kita benarkan penubuhan universiti swasta untuk memenuhi keperluan pendidikan bukan Melayu kerana kita tahu mereka tidak dapat banyak tempat di universiti kerajaan. Tapi sekarang ini kita tubuh banyak universiti swasta tetapi kita kurangkan lagi pelajar Melayu dalam universiti kerajaan. Nampaknya orang Melayu yang semakin rugi.

Tun nampaknya melihat UMNO tidak ada usaha yang giat untuk menarik sokongan orang Melayu. Berdasarkan pengalaman Tun apa nasihat Tun untuk memperbaiki keadaan ini?

DR. MAHATHIR: Masa saya dahulu tidak banyak masalah kerana UMNO sangat kukuh dan mereka yang dipilih memimpin terdiri daripada mereka yang berpengalaman. Tetapi sejak beberapa tahun ini orang yang ada kelulusan tinggi tidak diterima masuk dalam UMNO, sebab itu mereka masuk Pas.

Jadi di kalangan pemimpin UMNO tidak banyak yang berkaliber, tambah lagi mereka dikaitkan dengan rasuah seperti bertanding untuk Ahli Majlis Tertinggi misalnya. Malah banyak cerita ahli dapat sesuatu untuk mengundi mereka. Oleh itu UMNO perlu kikis perkara ini, jika rasuah itu sudah berlaku sekurang-kurangnya orang yang seperti ini tidak boleh dibenarkan jadi calon.

Masihkah ada masa untuk memperbetulkan keadaan UMNO sebelum menghadapi pilihan raya?

DR. MAHATHIR: UMNO sudah menjadi rosak dengan teruk apabila Tun Abdullah Badawi mengambil alih. Ini kerana beliau mengutamakan keluarganya dan macam-macam lagi pertuduhan rasuah dan pelbagai lagi. Lepas itu orang tahu tentang penglibatan menantunya. Sekarang ini UMNO yang rosak ini diwarisi oleh Datuk Seri Najib untuk beliau perbaiki. UMNO memerlukan banyak masa supaya ia boleh diperkuatkan. Tapi beliau pun sibuk dan tidak mempunyai masa yang cukup. Pemimpin-pemimpin UMNO yang lain pula belum ada kredibiliti dan masih baru.

Tun melihat soal tidak berlaku perubahan ini di peringkat bahagian atau semua peringkat?

DR. MAHATHIR: Saya melihat dari peringkat cawangan sampai ke pusat.

Maknanya dari tahun 2008 hingga sekarang tidak ada perubahan?

DR. MAHATHIR: Tidak nampak perubahan yang berkesan dan UMNO pun tidak boleh mempertahankan diri. Bila dituduh rasuah senyap, bila dituduh rasis pun hanya senyap. Malah nak sebut nama Melayu pun sudah tidak boleh lagi, kalau sebut sahaja sudah jadi rasis. Orang lain boleh sebut bangsa mereka tapi orang Melayu tidak boleh. Saya pun dituduh rasis kerana bercakap tentang Melayu.

Apakah ini disebabkan kemunculan Melayu liberal yang semakin lantang bersuara. Mereka melihat parti yang mewakili Melayu ini sudah tidak relevan?

DR. MAHATHIR: Kita kena perjelaskan kenapa anggapan mereka bahawa parti berasaskan kaum ini tidak lagi relevan adalah salah. Tapi tidak ada satu usaha yang gigih untuk menjelaskan kepada mereka dan tanya pendapat mereka tentang hal ini. Kalau kita di pihak yang betul kita boleh jelaskan.

Mungkinkah kerana senario selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang begitu berbeza ketika zaman Tun dahulu. Ini kerana mereka semakin vokal dan agak memberontak?

DR. MAHATHIR: Kita tidak menjawab apa yang mereka persoalkan. Kita tidak jelaskan kepada mereka apa yang tidak betul. Ada yang fikir, kalaupun kita tidak diperintah oleh orang Melayu apa salahnya?

Siapa yang perjelas setakat ini? Dalam akhbar sajalah... (Sebenarnya) Orang Melayu sedia kongsi kuasa dengan orang lain, kita yang bagi hak kepada mereka tapi itu pun kita tidak berani sebut takut dituduh rasis. Tapi ini kebenaran. Ada yang kata orang Melayu juga adalah pendatang, kita tidak kata apa. Ada satu orang sebut (menjelaskan keadaan sebenar) di Pulau Pinang, dia telah digantung seolah-olah dia kata perkara yang salah sedangkan ia fakta. Takkan kita tidak boleh jelaskan kenapa Malaysia ini dipanggil Malaysia?

Adakah kerana semangat Melayu semakin berkurang atau kerana kurang kemampuan?

DR. MAHATHIR: Ini kerana kurang kemampuan dan juga kurang usaha. Masing-masing hanya menjaga tempat dia sahaja. Apa yang penting bagi mereka masih kekal sebagai ketua bahagian dan sebagainya. Jangan ada orang yang hendak mencabar mereka dan kerana itu tidak bagi orang yang ada bakat masuk bahagian mereka. Keduanya, mereka hendak jadi calon pilihan raya dan tidak menumpukan kepada menguatkan kembali UMNO.

Kita kalau bertanding pilihan raya tetapi parti kalah tidak ada gunanya kerana kita hanya menjadi parti pembangkang. Yang penting bukan individu tetapi parti yang perlu menang. Jika ini keadaannya dan kalau terjadi cantas-mencantas, lagi UMNO akan kalah. Akhirnya UMNO tidak akan memerintah dan kita semua tidak dapat apa-apa pun.

Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini mungkinkah boleh dijadikan platform terbaik untuk memperbetulkan semua masalah ini menjelang pilihan raya umum akan datang?

DR. MAHATHIR: Perhimpunan UMNO tahun ini saya yakin mereka tidak akan bangkitkan perkara yang tidak disukai atas alasan menjaga sensitiviti dan sebagainya. Oleh itu perkara ini akan hanya terbenam begitu sahaja. Tidak ada sesiapa membuat analisis tentang tuduhan terhadap UMNO sama ada betul atau tidak. Betulkah Dasar Ekonomi Baru (DEB) cuma menguntungkan kroni-kroni Perdana Menteri sahaja? Kita kena jawab semua perkara ini dengan jelas dan fakta.

Bagaimana Tun melihat generasi baru dalam UMNO?

DR. MAHATHIR: Bagi generasi baru, keupayaan untuk menjelaskan perjuangan UMNO sudah tidak ada.

Sumber : Utusan Online

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor