Wira negara, Pegawai Waran I (B) Temenggong Kanang Langkau melabelkan Mohamad Sabu sebagai pendokong komunis yang tidak layak mengambil bahagian dalam politik demokrasi di negara ini apabila mengangkat pengganas komunis sebagai hero tragedi Bukit Kepong.
Beliau yang menitiskan air mata apabila membaca laporan mengenai kenyataan prokomunis Timbalan Presiden Pas itu berkata, Mohamad Sabu juga adalah watak penghasut yang sewajarnya dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Kanang yang tidak dapat mengawal perasaan apabila membaca laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini, menegaskan pemimpin pembangkang itu tidak layak menjadi rakyat Malaysia kerana tergamak membuat kenyataan sedemikian menjelang sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan negara Rabu ini.
“Orang ini langsung tidak berguna, beginikah sikap bekas wakil rakyat? Kirim salam pada dia dan beritahu kalau mahu sokong komunis tidak perlulah lagi bertanding dalam pilihan raya.
“Dia simpati dengan komunis, maknanya dia juga komunis, selayaknya dibuang daerah,” katanya dalam nada terketar-ketar menahan marah kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Kanang, 67, ialah satu-satunya penerima dua pingat keperwiraan yang masih hidup iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB).
Dua pingat berkenaan dianugerahkan berikutan pengorbanannya menentang pengganas komunis di Perak sekitar 1980 sehingga hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan.
Mengulas lanjut, Kanang mengingatkan rakyat yang cintakan keamanan dan tanah air supaya tidak memberikan sokongan kepada Mohamad Sabu serta parti yang diwakili atau mana-mana parti yang bersekutu dengannya.
Katanya, gerak cara politik yang ditunjukkan Mohamad Sabu memalukan dan merupakan satu tragedi kepada rakyat Malaysia apabila sanggup melakukan apa sahaja demi meraih undi walaupun maruah dipijak-pijak.
“Saya terima kewujudan pembangkang dengan hati terbuka tetapi ini bukan cara berpolitik yang betul sampai sanggup jatuhkan moral rakyat, kalau rakyat tidak sedar saya tidak tahulah.
“Pastinya orang ini tidak pernah merasa bagaimanakah perasaan apabila parang diletakkan pada tengkuk mereka,” tegasnya.
Warna-warni politik
Torashah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan