Jumaat, 6 Mei 2011

Lagak DAP jadi 'abang besar' kepada PR!

Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Nizar Jamaluddin, Lim Kit Siang serta calon pembangkang menunjukkan manifesto yang dilancarkan pada pilihan raya negeri Sarawak, baru-baru ini.

Kabinet bayangan Sarawak yang diumumkan oleh Pengerusi DAP negeri, Wong Ho Leng pada 1 Mei lalu dilihat banyak pihak sebagai manifestasi gerak langkah kedua parti itu untuk menjadi 'abang besar' di kalangan parti pembangkang negeri berkenaan.

Sebelum ini, sejurus menawan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pilihan raya negeri 16 April lalu, DAP melalui Penasihatnya, Lim Kit Siang mencadangkan idea penggabungan parti berkenaan dengan sebuah lagi parti pembangkang tempatan iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (Snap).

Motif penggabungan itu jelas, ia umpama pengakuan DAP bahawa mereka tidak akan sesekali mampu memerintah negeri ini tanpa sokongan kaum bumiputera kerana kerusi kaum Cina semata-mata tidak akan mencukupkan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Cadangan penggabungan itu membuatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) cukup terluka kerana Snap sebelum ini terlibat dalam drama tarik tali dengan parti itu dalam soal pengagihan kerusi sehingga akhirnya mereka bertembung sesama sendiri.

Belum sembuh luka berkenaan, DAP sekali lagi bertindak umpama 'menitiskan perahan air limau' di atas luka itu apabila mengumumkan senarai Kabinet bayangan yang dimonopoli mereka.

Daripada 16 anggota Kabinet berkenaan, 12 orang ialah daripada DAP, manakala PKR hanya tiga dan Pas pula hanya seorang-barangkali untuk menjaga hati parti itu walaupun ia kalah di lima kerusi DUN yang ditandingi.

PKR benar-benar tercabar dengan pengumuman DAP Sarawak itu sehingga Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan bahawa barisan Kabinet bayangan itu hanyalah cadangan DAP dan ia belum muktamad.

"Ia akan dibincangkan, ia masih belum muktamad lagi dan itu hanya cadangan DAP sahaja," kata Anwar.

Barangkali Anwar mengharapkan DAP Sarawak memberi lebih banyak peranan kepada PKR sementelah pembangkang sewaktu tempoh kempen pilihan raya negeri baru-baru ini mengumumkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian akan dilantik sebagai Ketua Menteri jika pembangkang mencapai kejayaan.

DAP Sarawak pula menggunakan sifir mudah, siapa yang paling banyak kerusi, dialah yang akan mendominasi dan kerana itulah Ho Leng diangkat sebagai Ketua Pembangkang.

Dan perkara itu juga sepatutnya berlaku di peringkat Dewan Rakyat namun DAP pusat cukup bijak merangka strategi dengan tetap menyerahkan kerusi Ketua Pembangkang kepada Anwar walaupun jumlah kerusi PKR sudah berkurangan berbanding DAP.

Bagaimanapun, sikap bermuka-muka DAP di peringkat Dewan Rakyat tidak berlaku di Sarawak dan DAP memanfaatkan kelebihan yang mereka miliki tanpa perlu memberi perhatian kepada PKR.

Kerana itulah amarah PKR tidak sukar untuk dilihat, malah Baru dalam laman webnya www.barubian.net hari ini membuat satu kenyataan rasmi yang menegaskan barisan Kabinet bayangan itu tidak dibincang dan dirunding secara teratur.

"Kali pertama saya melihat senarai barisan Kabinet bayangan adalah pada pukul 1.20 petang, 10 minit sebelum sidang akhbar ( pengumuman Ho Leng ) yang pada 1.30 petang yang dihantar oleh Vernon Kerdit ( pegawai media PKR Sarawak ) melalui Blackberry" katanya.

Menurut Baru lagi, barisan Kabinet bayangan versi DAP itu tidak memberi gambaran perwakilan yang seimbang antara orang Islam dan bumiputera bukan Islam. Dalam bahasa mudah, Baru mengingatkan DAP bahawa barisan Kabinet bayangan itu terlalu kecinaan sedangkan Sarawak mempunyai rakyat berbilang bangsa.

Ho Leng sebagai arkitek kemenangan DAP di Sarawak juga tidak berdiam diri dengan asakan PKR itu dan mendakwa Anwar tidak menerima maklumat yang tepat mengenai isu Kabinet bayangan Sarawak daripada wakil PKR yang menghadiri mesyuarat majlis pakatan pembangkang negeri.

Tegasnya, walaupun Baru tidak dapat hadir, beliau menghantar tiga orang wakil manakala dua wakil Pas pula tidak dapat hadir tetapi mengemukakan notis.

"Barisan Kabinet bayangan Sarawak diumumkan selepas perundingan yang teratur dalam mesyuarat majlis di Kuching pada petang itu," tegasnya.

Jika kenyataan Ho Leng lebih berlapik, lain pula dengan Setiausaha DAP Sarawak merangkap ADUN Kota Sentosa dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen yang membuat kenyataan yang agak keras.

"Saya tidak tahu sama ada Anwar diberi taklimat menyeluruh dalam isu ini dan saya tidak fikir dalam isu seperti menubuhkan Kabinet bayangan memerlukan kelulusan dari Semenanjung," katanya.

Kenyataan demi kenyataan pimpinan PKR dan DAP dalam isu Kabinet bayangan yang tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Sarawak sebenarnya cukup menggelikan hati, jika dalam isu seperti itu mereka bertelagah pastinya keadaan makin kritikal jika berjaya membentuk kerajaan.

Warna-warni politik
Torashah..

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor