Isnin, 30 Mei 2011

Taksubnya Nik Aziz pertahan Anwar!

MB Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi tampil sebagai 'wira' untuk membela Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim.

Terbaru di Sungai Buloh, kelmarin, Nik Abdul Aziz yang berucap di satu majlis menasihatkan pihak yang dianggap memfitnah Anwar tampil memohon maaf.

''Dosa orang yang buat fitnah tidak akan merasa nikmat kubur apatah lagi hendak masuk syurga melainkan kena minta maaf dengan Anwar, itupun kalau Anwar bagi.''

Malahan Nik Abdul Aziz juga berhujah bahawa, kredibiliti Anwar sebagai pemimpin berlandaskan syiar Islam adalah faktor kemaraan politiknya disekat kepimpinan UMNO-Barisan Nasional (BN) yang khuatir kehilangan kuasa.

Demikianlah hebatnya 'ketaksuban' Nik Abdul Aziz mempertahankan Anwar. Bagi Menteri Besar Kelantan itu apa pun orang kata tentang Anwar semuanya fitnah, konspirasi dan mainan politik semata-mata. Orang seperti Nik Abdul Aziz seolah-olah tidak mahu lagi mendengar hujah pihak lain sebaliknya hanya percaya kepada kata-kata Anwar sahaja.

Persoalannya sejak bila pula, Nik Abdul Aziz begitu mengambil berat soal fitnah ini, apakah hanya kerana melibatkan Anwar atau mana-mana pemimpin pembangkang, ia dianggap fitnah tetapi kalau melibatkan pemimpin UMNO atau BN, itu dianggap satu kebenaran?

Kenapa Nik Abdul Aziz tidak bersuara apabila pelbagai fitnah dilemparkan oleh pembangkang termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak? Ini belum lagi mengambil kira bagaimana tindakan yang sama pernah dilakukan ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Begitu juga dengan pelbagai tuduhan pembangkang kepada kerajaan BN dan pemimpin UMNO yang sebahagian besarnya menjurus kepada fitnah tetapi Nik Abdul Aziz hanya senyap sahaja. Kepentingan politik telah menguasai pemikiran Nik Abdul Aziz sehinggakan beliau hanya akan mengeluarkan hujah-hujah berlandaskan al-Quran dan hadis jika sesuatu isu itu melibatkan kepentingan pembangkang.

Kalau benar Nik Abdul Aziz begitu percaya bahawa Anwar difitnah, kenapakah beliau tidak membantu ketua pembangkang itu untuk membersihkan namanya dengan menggunakan apa juga cara?

Anwar bukannya tidak diberi ruang untuk berbuat demikian, tetapi semuanya ditolak bulat-bulat manakala Nik Abdul Aziz sendiri menolak semua hujah biarpun dari semasa ke semasa kebenaran semakin tidak menyebelahi Ketua pembangkang tersebut.

Hujah Nik Abdul Aziz bahawa Anwar seorang pemimpin berlandaskan syiar Islam juga boleh dianggap sesuatu melucukan dan hanya kenyataan politik semata-mata. Ia disebabkan tindak tanduk Anwar selama ini termasuklah berhadapan dengan dua tuduhan liwat tidak melayakkan beliau mendapat pengiktirafan seumpama itu.

Apatah lagi Anwar sendiri lebih mengutamakan persahabatan dengan DAP berbanding Pas, sebab itulah suatu ketika Anwar secara terbuka berkata, pembangkang sepakat bahawa isu perjuangan negara Islam tiada agenda mereka.

Malahan Anwar juga baru-baru ini menyinggung perasaan Pas apabila menyatakan bahawa parti itu memahami bahawa golongan gay dan lesbian harus diberi layanan sama seperti warga lain. Semua fakta ini tidak dinilai oleh Nik Abdul Aziz, sebaliknya beliau bermati-matian mempertahankan Anwar sehingga keadaan itu turut merimaskan sesetengah ahli-ahli Pas.

Malahan ada antara mereka pernah mengesyorkan kepada penulis supaya jangan melaporkan apa juga kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz. Ia kerana pada pandangan mereka, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan kepada Pas.

Begitulah juga dalam isu Anwar ini, Nik Abdul Aziz seolah-olah begitu teruja membela beliau biarpun semakin ramai ahli Pas meragui keikhlasan Anwar. Tetapi Nik Abdul Aziz seperti biasa tidak akan mempedulikan apa pandangan orang lain, selagi ada kesempatan untuk membela Anwar, maka beliau akan berbuat demikian.

Mungkin Menteri Besar Kelantan itu sendiri tidak yakin bahawa ada orang lain yang boleh memimpin pembangkang selain Anwar. Oleh itu, beliau terus berusaha untuk memastikan kredibiliti Anwar tidak terjejas biarpun ketua pembangkang itu semakin banyak berhadapan dengan isu-isu berkaitan dengan moral.

Keadaan itu menggembirakan Anwar dan juga pemimpin pembangkang lain kerana mereka tahu apa pun yang dilakukan pasti ada seorang mursyidul am yang akan membela mereka

Kesudahannya, walaupun ada pemimpin Pas yang tidak bersetuju dengan sesuatu perkara termasuklah dalam isu melibatkan Anwar mereka tidak akan berkata-kata apa-apa kerana bimbang bertentangan pendapat dengan Nik Abdul Aziz.

Sebenarnya, tindakan Nik Abdul Aziz meletakkan Pas di dalam bahaya kerana jika siasatan polis selepas ini tidak memihak kepada Anwar ia boleh memberikan kesan buruk kepada politik Pas. Ia kerana sebagai Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz membawa suara Pas, oleh itu sudah pastilah apa yang beliau katakan akan dianggap pendirian Pas.

Jika itu berlaku, Pas akan terus ditolak oleh rakyat seperti mana berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini yang jelas menunjukkan pengundi-pengundi atas pagar semakin meninggalkan Pas.

Semua itu berlaku kerana mereka melihat Pas tidak konsisten dalam mempertegaskan sesuatu isu dan ia menjadi betapa buruk apabila seolah-olah tidak ada sesiapa pun di dalam parti berkenaan yang berani menegur keterlanjuran dan tindak-tanduk Nik Abdul Aziz.

Malahan sebelum ini disebabkan tindak-tanduk Nik Abdul Aziz, ada pihak yang mendakwa kemerosotan pengaruh Pas adalah disebabkan oleh beliau. Sememangnya kita tidak boleh menyatakan sejauh manakah dakwaan itu benar, tetapi kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz sememangnya kadang kala boleh 'memudaratkan imej' Pas sebagai parti Islam.

Atas sebab itulah, ada pihak di dalam Pas sendiri yang menaruh harapan agar ada perwakilan di dalam muktamar tahunan parti itu pada Jumaat ini akan menegur secara berhemah sikap Mursyidul Am tersebut.

''Teguran bukanlah dengan bahasa yang kesat atau kasar tetapi berlapik dan berhemah. Kita mahu sampaikan mesej kepada beliau bahawa tindakan-tindakannya banyak meresahkan ahli-ahli Pas di peringkat umbi,'' kata seorang ahli Pas ketika berbual-bual dengan penulis.

Kita tidak pasti sama ada perwakilan Pas mempunyai keberanian itu atau tidak, biarpun sebelum ini pemimpin mereka mendakwa perwakilan bebas bercakap apa sahaja isu. Tetapi apa yang pasti dari semasa ke semasa imej Pas semakin tergugat kerana kenyataan-kenyataan Nik Abdul Aziz.

Adalah lebih baik jika Menteri Besar Kelantan itu menumpukan perhatian sebagai mursyidul am yang menasihatkan parti dalam sesuatu isu dan bukannya melakukan tindakan politik yang dilihat seolah-olah di dalam Pas ada 'dua Presiden''.-UM.

Warna-warni politik
Torashah..

Rabu, 18 Mei 2011

Anwar Omega 'angkat sumpah' beri keterangan 6 Jun!

Selepas sekian lama menunggu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim akhirnya akan 'mengangkat sumpah' pada 6 Jun ini dengan bersaksikan beberapa orang peguam belanya termasuk Karpal Singh.

Bagaimanapun, sumpah yang bakal dibuat itu bukanlah sumpah laknat seperti yang dilakukan oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dan ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah sebaliknya ia adalah sumpah untuk memberi keterangan benar, tiada yang tidak benar melainkan benar belaka.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dijangka mengangkat sumpah tersebut di Mahkamah Tinggi di sini pada perbicaraan kes liwat membabitkan dirinya dan Mohd. Saiful Bukhari dari kandang saksi selaku saksi pembelaan yang pertama.

Barisan pembelaan pada ketika ini, telah menyenarai pendek antara 25 ke 30 orang yang bakal dipanggil memberi keterangan di peringkat bela diri itu. Antara mereka yang disenaraikan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut disebut-sebut sebagai saksi ialah doktor dari Hospital Pusrawi ketika kejadian, Dr. Muhammad Osman Abdul Hamid yang merupakan doktor perubatan pertama ditemui oleh Mohd. Saiful Bukhari sebelum membuat laporan polis dan diperiksa olah pakar-pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008.

Doktor itu juga dikatakan individu yang bertanggungjawab menghasilkan laporan perubatan kontroversi yang menyebut mengenai kemasukan objek plastik ke dalam dubur mangsa.

Selain itu, pakar-pakar yang dilantik oleh Anwar sebelum ini dijangka memberi keterangan pada perbicaraan yang dijadualkan berlangsung selama sebulan.

Tiga orang pakar tersebut ialah pakar asid deoksiribonukleik (DNA), Dr. Brian McDonald dari Sydney, Australia dan dua pakar forensik, Dr. C. Damodaran dari Chennai, India serta Dr. David Wells dari Melbourne, Australia.

Peguam Karpal Singh ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding hari ini memberitahu, bakal-bakal saksi tersebut akan ditemu bual oleh pasukan pembelaan di sebuah bilik di Kompleks Mahkamah terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada mereka layak dipanggil sebagai saksi.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat..!!!

Warna-warni politik
Torashah..

Isnin, 16 Mei 2011

MB Khalid gagal tadbir Selangor dengan baik!

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ternyata gagal mentadbir negeri ini dengan baik walaupun dikenali sebagai seorang tokoh korporat sebelum ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepanjang mentadbir negeri itu selepas pilihan raya umum lalu, Abdul Khalid hanya mengutamakan kepentingan politik berbanding rakyat.

"Bagi sesebuah badan korporat, ada kira-kira imbangan, ada debit dan kredit, kunci kira-kira dan matlamatnya adalah untuk mendapat keuntungan maksimum.

"Tetapi ketika mentadbir kerajaan negeri, beliau hanya mementingkan dividen politik semata-mata," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, semasa kerajaan negeri ini ditadbir oleh pemimpin Barisan Nasional (BN), dana sehingga lebih RM2 bilion berjaya dikumpulkan.

Namun katanya, dana khazanah untuk rakyat itu semakin berkurangan kerana kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggunakannya untuk tujuan politik semata-mata.

"Tidak sampai pun satu penggal mentadbir kerajaan negeri, kerajaan Selangor yang ada sekarang telah mengeringkan kantung dana khazanah rakyat demi kepentingan politik mereka," tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyeru pemimpin akar umbi UMNO di negeri ini supaya menganjurkan lebih banyak aktiviti yang mendekatkan diri dengan masyarakat terutama generasi muda.

Rakyat Ijok pun sudah tidak mahukan Khalid lagi...!!!!MB Khalid ada berani balik ke Ijok ka?..

Warna-warni politik
Torashah..

1,000 bantah penyelewengan Ladang Rakyat!

Lebih 1,000 ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda UMNO Kelantan mengadakan perhimpunan bagi membantah berhubung dakwaan penyelewengan projek Ladang Rakyat di hadapan kompleks kerajaan negeri di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Perhimpunan secara aman yang berlangsung selama sejam itu bermula pada pukul 9.30 pagi disertai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (OMBAK), Majlis Belia Kelantan, Majlis NGO Negeri Kelantan, Belia 4B dan Pemuda UMNO Kelantan dan penduduk Orang Asli di Gua Musang yang kehilangan tanah mereka akibat projek itu.

Sambil melaung-laungkan perkataan “Gelombang Merah”, mereka berdiri sambil memegang kain rentang di tepi jalan raya sebelum berarak ke hadapan pintu pagar utama pejabat kerajaan negeri Kota Darulnaim dengan dikawal rapi oleh polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Kain-kain rentang itu antaranya bertulis ”Berhentilah Nik Aziz; Pas Tipu Rakyat; Ladang Wakil Rakyat; Pade doh weh, tok wakil Pas kayo doh (Cukuplah setakat ini, wakil rakyat Pas sudah kaya).

Memorandum itu diserahkan oleh Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Saffian kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusof.

Pada penyerahan itu berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa pengikut demonstrasi dan wakil Pas bertindak kasar namun, insiden itu berjaya dileraikan segera oleh pihak polis.

Anuar, yang juga ketua demonstrasi, berkata penyerahan memorandum kepada kerajaan Pas Kelantan itu bertujuan menuntut keadilan untuk rakyat berikutan wujud penyelewengan dalam pengurusan projek berkenaan.

“Dalam memorandum itu kita menuntut empat perkara agar kerajaan negeri memberi maklum balas iaitu menyenaraikan secara terperinci nama serta status syarikat yang terlibat dalam projek ladang rakyat.

“Yang kedua kerajaan negeri perlu menjelaskan sejauh mana penglibatan bumiputera dalam projek ladang rakyat, ketiga senaraikan bilangan peserta terlibat dalam projek itu dan keempat umumkan laporan kewangan hasil tahunan projek itu dari tahun 2006 hingga 2011,” katanya.

Sementara itu, wakil Orang Asli dari Kuala Betis, Gua Musang, Anuar Panis, berkata beliau datang bersama rakan-rakannya seramai 30 orang untuk menyertai demonstrasi itu kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri.

Katanya Orang Asli merupakan kaum yang teraniaya berikutan projek itu kerana telah kehilangan banyak kawasan tanah mereka serta kehilangan punca pendapatan.

Warna-warni politik
Torashah..

Khamis, 12 Mei 2011

Sultan Selangor rasmi pusat khas golongan istimewa!

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan rumah Persatuan Kanak-Kanak Istimewa di Ampang Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Tengku Puteri Nor Zehan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (kanan).

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini merasmikan Rumah Pertubuhan Kanak-Kanak Istimewa (SCSOA) Jalan Ampang, iaitu sebuah pusat khas penjagaan golongan istimewa.

Baginda kemudiannya dibawa melawat keseluruhan pusat tersebut termasuk bilik sensori Ronald McDonald yang dibina khusus untuk membantu merangsang deria dan mewujudkan perasaan tenang dan selesa kepada kanak-kanak istimewa di situ.

Hadir sama, Tengku Puteri Nor Zehan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga penaung bagi Rumah SCSOA berkenaan.

Turut hadir, Duta Kemboja, Puteri Norodom Arunrasmy dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Datuk Mohammad Yacob.

Presiden SCSOA, Christine Wong berkata, pihaknya menghargai jasa Puteri Nor Zehan yang turut bersama bertungkus-lumus dalam usaha pembinaan pusat berkenaan.

Sebelum ini bangunan itu hanyalah sebuah pusat kecil dan tidak dilengkapi dengan sebarang peralatan yang sesuai untuk kanak-kanak istimewa.

Menurut Christine, pusat yang ditubuhkan pada 1999 dengan hanya tiga orang kanak-kanak kini mencapai tahap boleh dibanggakan apabila seramai 60 kanak-kanak dan termasuk beberapa pesakit istimewa dewasa ditempatkan di pusat itu.

"Pusat ini turut menerima sukarelawan dari seluruh dunia dan kini kita mempunyai sukarelawan dari United Kingdom dan pelajar dari Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur," katanya pada majlis pembukaan SCSOA di sin.

Jelas beliau, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia memperuntukan sebanyak RM80,000 bagi membina dan menyediakan kelengkapan khas bagi bilik sensori yang merupakan ruangan keperluan utama pendidikan untuk kanak-kanak istimewa.-UM.

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 11 Mei 2011

UMNO perlu mantapkan persiapan hadapi PRU Ke-13 - Najib!

Seluruh anggota parti perlu meningkatkan usaha memantapkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang pasti tiba, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Bunyikan semboyan, pukullah gendang perang dan panaskan jentera. Jangan sesekali membiarkan fitnah, kepalsuan dan cubaan untuk memperdaya rakyat berjaya.

"Ingatlah, jasa-jasa lalu akan hanya tinggal dalam lipatan lembaran sejarah jika kita gagal dalam ujian yang besar ini. UMNO perlu terus gagah dan relevan untuk melakar jasa-jasa baru demi untuk agama, bangsa dan negara," katanya dalam perutusan sempena Hari Ulang Tahun UMNO ke-65 yang akan disambut esok.

Perdana Menteri berkata, badai yang telah melanda parti pada pilihan raya umum yang lepas bukanlah alasan untuk terus bersikap pesimistik dan kini bukan masanya untuk terus mengeluh serta mengenang perkara lalu.

"Hakikatnya jika kita masih lagi tidak mengenal pasti apa kesilapan kita dan mengambil langkah-langkah pembetulan setelah lebih tiga tahun Pilihan Raya Umum Ke-12 berlalu maka kita sebenarnya hanya menempah masa depan yang kelam untuk parti dan rakyat.

"Kini adalah masa untuk bertindak dan bekerja bukannya masa untuk bernostalgia dan beremosi," katanya.

Beliau berkata, anggota parti harus bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana masih menjadi parti pemerintah yang mendapat kepercayaan dan diyakini orang-orang Melayu dan Bumiputera khasnya serta rakyat Malaysia amnya.

Katanya, kepercayaan dan keyakinan ini bukan wujud secara semula jadi tetapi dimenangi serta dipupuk hasil keikhlasan dan iltizam perjuangan generasi kepimpinan dan anggota UMNO silih berganti.

"Ia tidak mungkin berterusan tanpa kemampuan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO untuk terus merasai denyut nadi rakyat serta mendukung aspirasi mereka," katanya.

Najib berkata, dalam usia 65 tahun, UMNO telah menempuh pelbagai cabaran serta tribulasi.

"Pengalaman dan sejarah telah menjadikan UMNO parti politik yang kuat, realistik, matang serta berpijak di bumi nyata. Ia telah mencanai UMNO dengan keanjalan untuk berubah sesuai dengan tuntutan landskap politik mutakhir, memastikan parti terus segar dan relevan," katanya.

Sejak mula ditubuhkan sebelum merdeka lagi, UMNO telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah parti politik yang bukan sahaja mampu menyatukan orang Melayu tetapi juga untuk menerajui pemerintahan negara, katanya.

"Sejarah telah membuktikan betapa besarnya peranan dan sumbangan UMNO. Kita tidak akan lupa jasa tokoh-tokoh seperti Datuk Onn (Jaafar), Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak (Hussein), Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir (Mohamad), Tun Abdullah Ahmad Badawi serta lain-lain tokoh UMNO yang telah begitu banyak berjasa kepada parti dan negara.

"Sementara kita semua menghargai jasa dan sumbangan para pejuang bangsa ini, pemimpin, ahli, dan penyokong UMNO perlu sedar bahawa segala jasa dan sumbangan UMNO terhadap agama, bangsa dan negara tidak menjamin kelangsungan sokongan rakyat kepada UMNO sebagai parti pemerintah di negara ini.

"Untuk itu kita perlu meneruskan perjuangan pendahulu-pendahulu kita untuk menjadi juara rakyat," katanya.

Najib berkata, UMNO dan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) perlu memastikan agar hari ini untuk warga Malaysia adalah lebih baik dari hari semalam dan fajar menyinsing di hari esok akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

"Marilah kita bersama-sama rakan-rakan dalam BN untuk terus bekerja keras dan berusaha dengan gigih bagi mencipta masa depan Malaysia yang lebih makmur, marilah kita bersama-sama untuk meletakkan negara tercinta ini di tempatnya yang hak di persada antarabangsa.

"Insya-Allah berkat kesungguhan dan iltizam padu kita, UMNO akan terus berjaya," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 6 Mei 2011

Lagak DAP jadi 'abang besar' kepada PR!

Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Nizar Jamaluddin, Lim Kit Siang serta calon pembangkang menunjukkan manifesto yang dilancarkan pada pilihan raya negeri Sarawak, baru-baru ini.

Kabinet bayangan Sarawak yang diumumkan oleh Pengerusi DAP negeri, Wong Ho Leng pada 1 Mei lalu dilihat banyak pihak sebagai manifestasi gerak langkah kedua parti itu untuk menjadi 'abang besar' di kalangan parti pembangkang negeri berkenaan.

Sebelum ini, sejurus menawan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pilihan raya negeri 16 April lalu, DAP melalui Penasihatnya, Lim Kit Siang mencadangkan idea penggabungan parti berkenaan dengan sebuah lagi parti pembangkang tempatan iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (Snap).

Motif penggabungan itu jelas, ia umpama pengakuan DAP bahawa mereka tidak akan sesekali mampu memerintah negeri ini tanpa sokongan kaum bumiputera kerana kerusi kaum Cina semata-mata tidak akan mencukupkan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Cadangan penggabungan itu membuatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) cukup terluka kerana Snap sebelum ini terlibat dalam drama tarik tali dengan parti itu dalam soal pengagihan kerusi sehingga akhirnya mereka bertembung sesama sendiri.

Belum sembuh luka berkenaan, DAP sekali lagi bertindak umpama 'menitiskan perahan air limau' di atas luka itu apabila mengumumkan senarai Kabinet bayangan yang dimonopoli mereka.

Daripada 16 anggota Kabinet berkenaan, 12 orang ialah daripada DAP, manakala PKR hanya tiga dan Pas pula hanya seorang-barangkali untuk menjaga hati parti itu walaupun ia kalah di lima kerusi DUN yang ditandingi.

PKR benar-benar tercabar dengan pengumuman DAP Sarawak itu sehingga Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan bahawa barisan Kabinet bayangan itu hanyalah cadangan DAP dan ia belum muktamad.

"Ia akan dibincangkan, ia masih belum muktamad lagi dan itu hanya cadangan DAP sahaja," kata Anwar.

Barangkali Anwar mengharapkan DAP Sarawak memberi lebih banyak peranan kepada PKR sementelah pembangkang sewaktu tempoh kempen pilihan raya negeri baru-baru ini mengumumkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian akan dilantik sebagai Ketua Menteri jika pembangkang mencapai kejayaan.

DAP Sarawak pula menggunakan sifir mudah, siapa yang paling banyak kerusi, dialah yang akan mendominasi dan kerana itulah Ho Leng diangkat sebagai Ketua Pembangkang.

Dan perkara itu juga sepatutnya berlaku di peringkat Dewan Rakyat namun DAP pusat cukup bijak merangka strategi dengan tetap menyerahkan kerusi Ketua Pembangkang kepada Anwar walaupun jumlah kerusi PKR sudah berkurangan berbanding DAP.

Bagaimanapun, sikap bermuka-muka DAP di peringkat Dewan Rakyat tidak berlaku di Sarawak dan DAP memanfaatkan kelebihan yang mereka miliki tanpa perlu memberi perhatian kepada PKR.

Kerana itulah amarah PKR tidak sukar untuk dilihat, malah Baru dalam laman webnya www.barubian.net hari ini membuat satu kenyataan rasmi yang menegaskan barisan Kabinet bayangan itu tidak dibincang dan dirunding secara teratur.

"Kali pertama saya melihat senarai barisan Kabinet bayangan adalah pada pukul 1.20 petang, 10 minit sebelum sidang akhbar ( pengumuman Ho Leng ) yang pada 1.30 petang yang dihantar oleh Vernon Kerdit ( pegawai media PKR Sarawak ) melalui Blackberry" katanya.

Menurut Baru lagi, barisan Kabinet bayangan versi DAP itu tidak memberi gambaran perwakilan yang seimbang antara orang Islam dan bumiputera bukan Islam. Dalam bahasa mudah, Baru mengingatkan DAP bahawa barisan Kabinet bayangan itu terlalu kecinaan sedangkan Sarawak mempunyai rakyat berbilang bangsa.

Ho Leng sebagai arkitek kemenangan DAP di Sarawak juga tidak berdiam diri dengan asakan PKR itu dan mendakwa Anwar tidak menerima maklumat yang tepat mengenai isu Kabinet bayangan Sarawak daripada wakil PKR yang menghadiri mesyuarat majlis pakatan pembangkang negeri.

Tegasnya, walaupun Baru tidak dapat hadir, beliau menghantar tiga orang wakil manakala dua wakil Pas pula tidak dapat hadir tetapi mengemukakan notis.

"Barisan Kabinet bayangan Sarawak diumumkan selepas perundingan yang teratur dalam mesyuarat majlis di Kuching pada petang itu," tegasnya.

Jika kenyataan Ho Leng lebih berlapik, lain pula dengan Setiausaha DAP Sarawak merangkap ADUN Kota Sentosa dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen yang membuat kenyataan yang agak keras.

"Saya tidak tahu sama ada Anwar diberi taklimat menyeluruh dalam isu ini dan saya tidak fikir dalam isu seperti menubuhkan Kabinet bayangan memerlukan kelulusan dari Semenanjung," katanya.

Kenyataan demi kenyataan pimpinan PKR dan DAP dalam isu Kabinet bayangan yang tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Sarawak sebenarnya cukup menggelikan hati, jika dalam isu seperti itu mereka bertelagah pastinya keadaan makin kritikal jika berjaya membentuk kerajaan.

Warna-warni politik
Torashah..

Rabu, 4 Mei 2011

Hanya DAP dapat untung!

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru Pas keluar daripada pakatan pembangkang, ia bukanlah bermaksud mahu parti itu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau UMNO.

Tetapi Najib sebenarnya ingin memberi isyarat atau menyedarkan Pas daripada mimpi bahawa kerjasama mereka dengan pakatan itu hanya sia-sia. Ia kerana DAP walaupun mengaku rakan sekutu tetapi pastinya tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas meneruskan perjuangan Islamnya.

Namun seperti mana dijangkakan pemimpin-pemimpin Pas bukan sahaja tidak mahu memikirkannya malah menolak gesaan Perdana Menteri mentah-mentah. Semua orang tahu bagaimana corak politik yang diamalkan oleh DAP yang boleh dikatakan mempunyai hubungan lebih rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbanding Pas.

Sejak awal lagi, kerjasama pembangkang hanya melibatkan PKR dan DAP, Pas hanya diterima selepas tidak lagi bernada lantang untuk meneruskan perjuangan menegakkan negara Islam.

Sebab itulah dalam apa soal sekali pun, DAP tidak begitu mengambil berat apa perasaan dan pandangan Pas, sebaliknya merujuk kepada PKR. Tambahan pula, corak perjuangan antara DAP dan PKR tidak ada bezanya. Kedua-dua parti itu mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya umum lalu terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang adalah kerana memainkan isu perkauman.

Di Pulau Pinang semua masih ingat bagaimana DAP dikatakan berkempen dengan 'menjaja' kononnya mengundi parti Gerakan sama dengan mengundi UMNO. Ini sekali gus mempengaruhi pengundi-pengundi Cina untuk menyebelahi mereka. Di Selangor, PKR turut menggunakan pendekatan yang sama apabila memainkan isu hak kaum India melalui perjuangan perkauman pertubuhan haram Hindraf.

Tetapi Pas bukan sahaja bersedia mengorbankan perjuangan Islam malahan untuk bercakap soal kepentingan orang Melayu pun takut demi menjaga hati DAP dan PKR. Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof.Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pas mesti sedar matlamat politik DAP ialah Malaysian Malaysia.

Katanya, sesiapa sahaja yang faham konsep berkenaan akan mengetahui betapa bahayanya ideologi dan matlamat DAP itu dalam konteks Perlembagaan negara, orang Melayu dan agama Islam.

''Tetapi Pas kelihatannya lebih utamakan jumlah kerusi. Mungkin Pas sudah letih berjuang, begitu juga para pemimpinnya yang mahukan kerjasama dengan DAP,'' katanya ketika dihubungi.

Selain itu pemimpin-pemimpin DAP lebih melihat pemimpin PKR jauh berwibawa berbanding pemimpin Pas sebab itulah, apabila kerusi PKR semakin mengurang di dalam Dewan Rakyat, DAP tetap memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang.

Sedangkan kalau hendak dibandingkan dengan Anwar yang berhadapan dengan pelbagai dakwaan berkaitan moral, pemimpin Pas sepatutnya diberi penghormatan kalau benar DAP menyerahkan jawatan itu atas dasar setiakawan biarpun mereka mempunyai kerusi yang lebih, tetapi DAP langsung tidak mempelawa Pas.

Semua ini membuktikan bahawa DAP hanya memperalatkan Pas demi keuntungan politik mereka terutamanya bagi meraih sokongan orang Melayu. Dalam soal ini DAP amat memahami berbanding PKR yang sedang bergelut dengan pelbagai masalah, Pas lebih berwibawa untuk tujuan itu.

Apatah lagi melalui peranan ulama-ulama di dalam Pas yang bercakap soal Islam, maka ia memberikan kelebihan kepada Pas untuk menarik sokongan orang Melayu. Pas perlu faham bahawa corak politik yang diamalkan oleh DAP sekarang lambat-laun akan memusnahkan Pas.

Ia kerana orang Melayu semakin mampu melihat dengan jelas bagaimana tindak-tanduk DAP di Pulau Pinang dan Selangor yang jelas tidak menghormati Pas. DAP memahami kononnya atas kesepakatan bersama, Pas akan berusaha keras memastikan undi orang Melayu di kawasan yang ditandingi oleh DAP memihak kepada parti itu.

Ia sudah berlaku di Pulau Pinang, apabila DAP menang di sesetengah kerusi atas sokongan pengundi Melayu. Ketika ditanya mengenai fakta ini, Mohamed Mustafa berkata, hakikatnya DAP yang akan mendapat lebih banyak kerusi dan akhirnya menjayakan agenda mereka sebagai parti utama dalam pakatan pembangkang dan seterusnya menjayakan perjuangan Malaysian Malaysia.

''Pas hanya akan dibekalkan kawasan-kawasan Melayu yang mereka telah biasa bertanding dan tidak lebih daripada itu, sedangkan DAP akan bolot semua kawasan bandar dan mungkin menang semuanya jika trend pengundi bandar tidak berubah sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, akhirnya siapa yang untuk? Islam? Melayu? Pas? atau DAP,'' tanya beliau.

Berdasarkan hujah itu, Pas akan dilihat selama-lamanya hanya akan diperalatkan oleh DAP bagi mencapai cita-cita politik mereka. Mudah kata, dalam apa keadaan pun selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang - yang untung tetap DAP.

Justeru masih belum terlambat untuk Pas mengkaji dengan mendalam corak politik DAP kerana jika Pas masih leka dan terlalu yakin bahawa mereka boleh mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya nanti, percayalah ia kesudahannya boleh meletakkan Pas bagaikan menang sorak kampung tergadai.

Jika Pas benar-benar hendak mempertahankan Islam seperti mana nasihat Najib maka keluarlah daripada pakatan pembangkang. Ia selaras dengan pesanan pejuang Pas, Zulkifli Mohamad iaitu:

''Pangkal pokok perjuangan Islam di dalam negeri ini datangnya daripada hati orang-orang Islam. Bukan alat yang dipentingkan, bukan kemuliaan yang dipentingkan, bukan bilangan yang dipentingkan, tetapi yang lebih dahulu yang mesti dipentingkan ialah iman dan semangat Islam, iman kepada Allah dan Rasul-Nya dan semangat untuk berjuang kepada jalan Allah dan jalan Rasul-Nya.''

Semoga Pas akan memahami pesanan ini dan tidak terus hanya menjadi 'tangga' kepada DAP untuk mencapai tampuk kekuasaan negara sedangkan perjuangan Islam entah ke mana.

Oleh : ZULKIFLEE BAKAR

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor