Pejabat Peguam Negara menafikan sebarang penyekatan bukti dalam inkues kematian Teoh Beng Hock selepas mengemukakan sekeping nota yang ditemui tahun lepas dalam beg sandang Beng Hock, yang mungkin mengandungi petunjuk tentang kematiannya.
Penemuan bukti baru itu menyebabkan prosiding inkues itu yang sepatutnya didengar semalam ditangguh kepada 18 Ogos.
Kenyataan pejabat Peguam Negara itu malam tadi menjelaskan, pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober tahun lepas, lebih dua bulan selepas kematian Beng Hock.
Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Beng Hock sebaik insiden berlaku.
Bagaimanapun, ia berkata, Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang simati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan Rumi.
Kenyataan itu menjelaskan penemuan bukti itu mengejutkan pejabat Peguam Negara dan ia mengarahkan siasatan dijalankan.
Katanya, nota itu dengan segera diterjemahkan, dan terdapat cukup fakta untuk nota itu dianalisa oleh pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia pada 9 Oktober dan kemudiannya pada 20 Oktober tahun lepas.
Menurutnya, pemeriksa dokumen menyediakan laporan mereka, dan ia kemudiannya dipertimbang oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang tidak yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenaan, khususnya tulisan Cina.
Tambahan pula, nota itu ditemui selepas dua bulan kematian Teoh dan ini akan menimbulkan syak wasangka tentang ketulenan dan penemuannya.
"Setelah mempertimbangkan faktor-faktor ini, Abdul Gani berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan,” kata kenyataan itu.
Katanya, terdahulu pejabat itu diberi penjelasan oleh pegawai penyiasat berkenaan bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes bunuh diri.
"Berikutan itu, Peguam Negara memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan biarlah ia diputuskan oleh koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut pejabat itu merasakan bahawa tidak ada penyekatan atau penyembunyian bukti, dan keputusan untuk tidak menawarkan nota itu pada awalnya dibuat berdasarkan laporan pemeriksan dokumen serta penemuan nota yang boleh menimbulkan syak wasangka.
"Pejabat Peguam Negara akan mengemukakan dokumen sebagai bukti hanya apabila pejabat itu telah berpuas hati tiada lagi kemusykilan,” katanya.- UM.
Warna-warni politik
Torashah..
1 ulasan:
Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Mahkamah Koroner di sini hari ini dikejutkan oleh kemunculan bukti baru yang tidak didedahkan intipatinya secara terperinci.
Koroner Azmil Muntapha Abas menangguhkan prosiding dalam suasana yang menimbulkan teka-teki selepas permohonan untuk mengemukakan bukti itu dibantah oleh para peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, kerajaan Selangor dan Majlis Peguam.
Azmil menetapkan 18 Ogos ini untuk mendengar keterangan pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand tanpa memanggil dua saksi yang sepatutnya memberi keterangan hari ini.
Koroner tersebut menetapkan tarikh itu di kamar beliau selepas kesemua pihak yang terlibat dalam inkues menemuinya.
Mereka bagaimanapun mengunci mulut masing-masing apabila petugas media mahu mendapatkan kepastian sama ada bukti tersebut merupakan satu nota yang dipercayai ditulis oleh Beng Hock.
Terdahulu, Gobind memohon agar semua pihak berbincang di kamar Azmil selepas peguam yang dilantik oleh kerajaan, Tan Hock Chuan memaklumkan pihaknya berhasrat untuk mengemukakan bukti baru sejurus prosiding bermula.
Turut serta dalam perbincangan itu ialah Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abas, peguam yang mewakili kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar dan beberapa peguam lain.
Sejam kemudian, Gobind yang keluar dalam keadaan berang dilihat terus meninggalkan bilik bicara untuk berbincang dengan ahli keluarga Beng Hock.
Apabila ditanya pemberita, Gobind hanya memaklumkan wujud perkembangan terkini yang tidak menyenangkan pihaknya dalam inkues tersebut, manakala Abdul Razak dan Hock Chuan pula enggan memberi sebarang komen.
Selepas berbincang selama lebih sejam bersama keluarga Beng Hock dan beberapa peguam lain, Gobind berkata, beliau hanya dimaklumkan tentang kewujudan bukti tersebut sebelum prosiding hari ini bermula.
Kata Gobind, pihaknya membantah dokumen yang cuba dikemukakan pada tahap inkues hampir berakhir walhal ia dikatakan berada dalam milik pihak pendakwaan sejak Oktober tahun lalu.
‘‘Prosiding inkues sudah berjalan selama setahun dengan beberapa pakar tampil memberi keterangan dan tiada siapa pun yang maklumkan tentang wujudnya bukti tersebut.
‘‘Hari ini, seminggu sebelum Dr. Pornthip memberi keterangan, mereka mengaku dokumen itu berada dalam simpanan mereka selama ini. Dokumen itu sangat penting dan sepatutnya ia dikemukakan sejak awal lagi,’’ tegas beliau.
Gobind turut mempertikaikan tindakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang kononnya menyembunyikan dokumen tersebut selain mendakwa kemungkinan masih terdapat dokumen lain yang belum dikemukakan.
Katanya, bahan bukti tersebut merupakan satu perkara serius dan kegagalan mengemukakannya sebaik kes bermula adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
‘‘Saya rasa inilah masa yang sesuai untuk mendesak agar diwujudkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian Beng Hock,’’katanya lagi.
Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan dalam siasatan berhubung penyalahgunaan wang kerajaan Selangor kepada SPRM negeri itu, yang pejabatnya terletak di bangunan berkenaan.
Pada 27 Julai lalu, khabar angin tentang kewujudan satu nota misteri telah dibangkitkan oleh Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor selepas ia tersebar di Internet.
Catat Ulasan