Sabtu, 27 Mac 2010

1Malaysia, 1Israel: Apa yang kalut sangat?

MARAHKAH Anwar Ibrahim apabila 1Malaysia dikaitkan dengan 1Israel? Mengapa beliau sensitif sangat? Dalam dunia tanpa sempadan sekarang macam-macam idea boleh menjadi sama. Apa yang peliknya? Ketua pembangkang (yang ikut buku sudah patut turun kerusi) mempertikaikan gagasan itu yang dikaitkannya dengan slogan negara Yahudi tersebut.

Samakah konsep di Malaysia dengan negara Yahudi itu? Di Israel, ia hanya mengiktiraf satu bangsa sahaja iaitu Yahudi yang agung. Anwar takkan tidak tahu perkara ini, kan beliau mempunyai ramai rakan berpengaruh dari keturunan itu.

Mengapa secara tiba-tiba beliau mahu mempertikaikannya? Jika idea itu bagus - apa salahnya kita pakai. Israel marahkah kita guna slogan itu? Rasulullah SAW sendiri pernah menyarankan umatnya supaya menimba ilmu dari mana-mana tempat sekali pun asalkan ia boleh memberi manfaat kepada umatnya.

Kita belajar ilmu fizik dari orang Yahudi, Einstein. Malah orang Iran yang membina reaktor nuklear pun perlu belajar ilmu itu. Jadi, apa yang hairan sangat. Seperti yang semua kita sedia maklum, Anwar membangkitkan isu itu hanya semata-mata mahu mencabar minda orang Melayu Islam di Malaysia supaya membenci pemerintah.

Israel dan Yahudi memang menjadi tabu - ketakutan, kebencian - orang Melayu Islam di negara ini. Seorang kenalan berbangsa Amerika pernah memberitahu saya bagaimana hasratnya mahu memperisterikan seorang gadis Kelantan gagal setelah keluarga gadis itu di saat-saat akhir mengetahui dia seorang berketurunan Yahudi. Akhirnya dia membawa diri ke Filipina dan mengahwini gadis di sana. Mereka hidup aman damai di New York hingga ke hari ini.

Jadi untuk membangkitkan rasa benci mereka kepada kerajaan kaitkan apa-apa saja dengan Yahudi atau Israel, pasti orang Melayu Islam akan marah. Anwar kan bijak dengan perang sarafnya. Psy-warnya, atau dalam bahasa mudah ilmu putar-belitnya, memang hebat. Semua orang mengiktiraf kehebatannya dengan permainan itu. Ingat lagikah dengan isu pendakap leher, isu racun arsenik dan lain-lain..?

Oleh itu, apa yang kalut sangat di Parlimen itu. Orang kita, termasuk para pemimpin kerajaan cukup kalut apabila Anwar membangkitkan soal-soal macam ini. Mereka cukup cepat merasa defensif atau mengalah. Sepatutnya, baguslah Anwar membangkitkan isu itu. Sekurang-kurangnya beliau sudah secara tidak langsung mengakui pengaruh yang ada pada 1Malaysia itu.

1Malaysia pun yang pada mulanya disangsi oleh banyak pihak termasuk mantan Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri, kini diterima sebagai satu gagasan yang bijak. Orang Cina dan India menerima gagasan itu dengan senang hati. Pakatan pembangkang melihat 1Malaysia sebagai musuhnya. Mereka sebenarnya takut dengan gagasan itu dan sedang berusaha keras mahu memecahkannya.

Mereka tahu kekuatan yang hanya boleh mereka capai ialah apabila orang Cina dan India membenci orang Melayu. Orang Melayu membenci orang Melayu; orang Melayu membenci orang Cina dan India; dan orang India membenci orang Melayu dan Cina. Serta, orang Iban membenci orang Bidayuh; orang Sarawak membenci orang Semenanjung dan Sabah.

Itulah yang mahu dilihat oleh pakatan pembangkang yang masih diketuai oleh Anwar. Bencinya rakyat kepada kerajaan, bermakna kemenangan kepada mereka. Oleh itu, jangan jadi kalut tak tentu pasal. Fikir-fikirkan lah..!

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor