Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Sabtu, 27 Mac 2010
1Malaysia, 1Israel: Apa yang kalut sangat?
Samakah konsep di Malaysia dengan negara Yahudi itu? Di Israel, ia hanya mengiktiraf satu bangsa sahaja iaitu Yahudi yang agung. Anwar takkan tidak tahu perkara ini, kan beliau mempunyai ramai rakan berpengaruh dari keturunan itu.
Mengapa secara tiba-tiba beliau mahu mempertikaikannya? Jika idea itu bagus - apa salahnya kita pakai. Israel marahkah kita guna slogan itu? Rasulullah SAW sendiri pernah menyarankan umatnya supaya menimba ilmu dari mana-mana tempat sekali pun asalkan ia boleh memberi manfaat kepada umatnya.
Kita belajar ilmu fizik dari orang Yahudi, Einstein. Malah orang Iran yang membina reaktor nuklear pun perlu belajar ilmu itu. Jadi, apa yang hairan sangat. Seperti yang semua kita sedia maklum, Anwar membangkitkan isu itu hanya semata-mata mahu mencabar minda orang Melayu Islam di Malaysia supaya membenci pemerintah.
Israel dan Yahudi memang menjadi tabu - ketakutan, kebencian - orang Melayu Islam di negara ini. Seorang kenalan berbangsa Amerika pernah memberitahu saya bagaimana hasratnya mahu memperisterikan seorang gadis Kelantan gagal setelah keluarga gadis itu di saat-saat akhir mengetahui dia seorang berketurunan Yahudi. Akhirnya dia membawa diri ke Filipina dan mengahwini gadis di sana. Mereka hidup aman damai di New York hingga ke hari ini.
Jadi untuk membangkitkan rasa benci mereka kepada kerajaan kaitkan apa-apa saja dengan Yahudi atau Israel, pasti orang Melayu Islam akan marah. Anwar kan bijak dengan perang sarafnya. Psy-warnya, atau dalam bahasa mudah ilmu putar-belitnya, memang hebat. Semua orang mengiktiraf kehebatannya dengan permainan itu. Ingat lagikah dengan isu pendakap leher, isu racun arsenik dan lain-lain..?
Oleh itu, apa yang kalut sangat di Parlimen itu. Orang kita, termasuk para pemimpin kerajaan cukup kalut apabila Anwar membangkitkan soal-soal macam ini. Mereka cukup cepat merasa defensif atau mengalah. Sepatutnya, baguslah Anwar membangkitkan isu itu. Sekurang-kurangnya beliau sudah secara tidak langsung mengakui pengaruh yang ada pada 1Malaysia itu.
1Malaysia pun yang pada mulanya disangsi oleh banyak pihak termasuk mantan Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri, kini diterima sebagai satu gagasan yang bijak. Orang Cina dan India menerima gagasan itu dengan senang hati. Pakatan pembangkang melihat 1Malaysia sebagai musuhnya. Mereka sebenarnya takut dengan gagasan itu dan sedang berusaha keras mahu memecahkannya.
Mereka tahu kekuatan yang hanya boleh mereka capai ialah apabila orang Cina dan India membenci orang Melayu. Orang Melayu membenci orang Melayu; orang Melayu membenci orang Cina dan India; dan orang India membenci orang Melayu dan Cina. Serta, orang Iban membenci orang Bidayuh; orang Sarawak membenci orang Semenanjung dan Sabah.
Itulah yang mahu dilihat oleh pakatan pembangkang yang masih diketuai oleh Anwar. Bencinya rakyat kepada kerajaan, bermakna kemenangan kepada mereka. Oleh itu, jangan jadi kalut tak tentu pasal. Fikir-fikirkan lah..!
Warna-warni Politik
Torashah
Jumaat, 26 Mac 2010
Al-Fatihah Buat Ahli Parlimen Hulu Selangor
MP Hulu Selangor meninggal dunia
Ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad telah kembali ke rahmatullah pada jam 9.27 malam tadi di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang akibat barah otak. Dr. Zainal Abdidin, 71 adalah juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor.
Torashah : Salam takziah buat keluarga allahyarham. Al Fatihah. Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh nya dan di tempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.
Warna-warni politik
Torashah
Ahad, 21 Mac 2010
Pembohongan 16 September!
DALAM pertemuan dengan penulis pada 11 Mac lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menyatakan bahawa beliau akan membuat ucapan penting di sidang Dewan Rakyat pada 15 Mac.
''Selepas itu, saya serahkan kepada rakyat untuk memikirkannya,'' itulah kata beliau tanpa menyatakan apa isi kandungan ucapan penting tersebut.
Ternyata pada tarikh berkenaan, Zahrain yang buat pertama kalinya melangkah ke Parlimen sebagai ahli Parlimen bebas selepas mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 12 Februari melakukan ucapan yang menggegarkan arena politik negara.
Zahrain mendedahkan mengenai rancangan 16 September 2008 yang otak perancangnya ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika selama ini, impian 16 September tidak begitu diketahui secara terperinci selain daripada cita-cita songsang Anwar untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang tetapi apa yang didedahkan oleh Zahrain cukup menggemparkan.
Anwar dalam mencapai cita-cita itu atau lebih tepat lagi memenuhi khayalannya untuk menjadi Perdana Menteri sanggup mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Abdul Aziz Zainal. Tujuan Penasihat PKR itu adalah mudah iaitu hendak menyakinkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bahawa kononnya dua pihak paling berkuasa di negara ini berada di belakangnya.
Dalam mana-mana juga negara yang mengamalkan raja berperlembagaan dan angkatan tentera menjadi tonggak kekuatan, sudah pastilah penggunaan nama itu boleh menggerunkan sesiapa sahaja. Tetapi Anwar terlupa ahli-ahli Parlimen BN tidaklah sebodoh yang disangkakan. Atas sebab itulah perancangan 'jahat' beliau untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang gagal.
Akhirnya, impian 16 September Anwar mendedahkan siapa diri beliau sebenarnya. Beliau kini dilihat bukan sahaja pemimpin yang rakus, malah sanggup mempergunakan nama sesiapa sahaja demi mencapai cita-cita politiknya.
Tindakan Anwar mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM, adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan satu pengkhianatan. Anwar cuba menyeret dua institusi berkenaan ke dalam gelanggang pertarungan politik berikutan kekecewaan selepas pakatan pembangkang yang diketuainya gagal menumbangkan kerajaan BN. Sebagai seorang ahli politik berpengalaman, Anwar bukannya tidak tahu bahawa dua institusi berkenaan tidak seharusnya diseret dalam kancah politik.
Tetapi Anwar tidak peduli kesan akibat pendustaan yang beliau lakukan. Apa yang penting bagi beliau ialah ke Putrajaya, walaupun tindakan itu bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik institusi tersebut tetapi juga mengkhianati mandat yang telah diberikan kepada BN oleh rakyat.
Kita tidak harus lupa selain pembohongan yang dilakukan oleh Anwar dalam agenda 'gila' itu, Anwar juga berjaya memperdaya rakan-rakan dalam pakatan pembangkang sendiri iaitu Pas dan DAP.
Gagal
Sebab itulah apabila rancangan 16 September gagal, Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sememangnya menentang perbuatan lompat parti mengeluarkan kenyataan yang cukup keras pada 8 Februari 2009, apabila menegaskan, Anwar tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti.
"Anwar Ibrahim harus bertaubat kerana perbuatannya, Pakatan Rakyat sepatutnya memohon untuk mendapatkan seorang pemimpin yang baru bukannya pemimpin yang mengamalkan budaya ini," kata Karpal. Tetapi kemarahan Karpal hanyalah seketika apabila Anwar terus dibenarkan memimpin pakatan pembangkang, biar pun kini jelas Anwar adalah pemimpin politik yang mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara.
Walaupun kini segala tembelang dan 'topeng raksaksa pelbagai wajah' Anwar sudah didedahkan oleh Zahrain, namun pemimpin-pemimpin pembangkang masih setia ingin menyokong beliau sebagai pemimpin utama mereka.
Ia terbukti apabila Zahrain diserang hebat oleh pemimpin-pemimpin berkenaan termasuklah oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap oleh Anwar ketika dalam kerajaan bahawa beliau 'ulama terompah'.
Secara tiba-tiba Nik Abdul Aziz bercakap soal tipikal ahli politik Melayu yang mendedahkan kepincangan bekas parti mereka. Tetapi Nik Abdul Aziz tidak pula mahu mengulas apa pula dosa Anwar apabila melakukan pembohongan dengan mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan ATM.
Apakah kerana pendedahan itu melibatkan Anwar maka segala pendustaan dan penipuan oleh Ketua Pembangkang tersebut boleh 'dihalalkan'? Yang manakah lebih berdosa mendedahkan kebenaran seperti mana dilakukan oleh Zahrain atau pembohongan yang dibuat oleh Anwar?
Penulis yakin tidak semua pemimpin dan ahli Pas berkongsi pandangan dengan Nik Abdul Aziz biarpun beliau seorang Mursyidul Am. Ia kerana yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.
''Sebenarnya, pendedahan Zahrain telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam Pas kerana tidak semua dalam parti sukakan Anwar,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.
Jika pembangkang menganggap pendedahan Zahrain disebabkan beliau sudah menjadi 'askar upahan' kepada BN, kenapa mereka tidak mendesak Anwar supaya membuat penjelasan bagi membersihkan namanya.
Tindakan meninggalkan sidang Dewan Rakyat dan menganggap 'itulah bahana apabila sudah menjadi alat UMNO'', bukanlah tindakan yang bijak kerana ia hanya mendedahkan Anwar kepada tuduhan bahawa beliau hakikatnya tidak sanggup menerima kebenaran yang dipaparkan oleh Zahrain dan seorang yang pengecut untuk mempertahankan diri.
Jika beliau di pihak yang benar sudah pasti Anwar tidak akan ke London untuk bertemu kawan baiknya yang juga bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore. Ini kerana tuduhan Zahrain adalah serius dan memerlukan jawapan balas daripada beliau tetapi Anwar tahu segala yang Zahrain dedahkan adalah satu kebenaran. Sebuah kebenaran tidak boleh ditutup bak kata lagu Jay Jay dalam lagu Rindu Bayangan; ''berputar-putar membelitkan kata-kata'' - yang sebelum ini menjadi 'alat' untuk Anwar meraih sokongan sebahagian rakyat.
Penipuan
Justeru adalah jelas, Anwar tidak berdaya menutupi tembelangnya sehingga terpaksa meninggalkan sidang Dewan Rakyat supaya 'telinganya tidak terus panas' mendengar satu demi satu penipuan yang beliau lakukan.
"Sebagai seorang yang mendabik dada kononnya beliau bakal menjadi Perdana Menteri, pendirian Anwar untuk tidak membalas pendedahan ahli Parlimen Bayan Baru dengan keluar daripada Dewan Rakyat jelas membuktikan beliau tiada integriti dan kredibiliti, sedangkan pada masa itu kewibawaannya sebagai ketua pembangkang diserang.
"Adalah sesuatu yang pelik juga apabila seorang pemidato yang hebat seperti Anwar tidak mampu membalas 'serangan' yang ditujukan kepada beliau, sebaliknya mengambil keputusan 'menenangkan' diri di Eropah," kata penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak.
Apabila politik matlamat menghalalkan cara yang dirancang oleh Anwar terdedah melalui impian 16 September, ramai yang tertanya-tanya, apakah Pas yang memperjuangkan Islam akan terus bersekongkol dengan pemimpin seumpama itu?
Selama ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sering menegaskan bahawa Pas ingin berkuasa melalui proses demokrasi iaitu melalui pilihan raya. Tetapi apa yang dilakukan oleh Anwar bertentangan sama sekali dengan semangat Pas yang menurut Abdul Hadi adalah parti Islam yang memperjuangkan dasar-dasar Islam serta nilai-nilai keadilan sejagat.
Mungkin ada yang akan berhujah bagaimana pula dengan kejayaan BN menguasai semula Perak apabila tiga wakil rakyat pembangkang mengisytihar menjadi wakil rakyat bebas. Antara kes di Perak dan impian 16 September ia adalah berbeza. Ini kerana BN Perak tidak pernah mempergunakan nama sesiapa untuk menarik sokongan tiga wakil rakyat berkenaan, mereka keluar daripada PKR dan DAP dengan sukarela.
Ini berbeza dengan Anwar yang terlalu inginkan kerusi Perdana Menteri sehingga sanggup berbohong dan menghantar ahli Parlimen pembangkang ke Taiwan bagi memujuk ahli Parlimen BN. Tidakkah tindakan Anwar itu mengkhianati semangat demokrasi yang Abdul Hadi dan Pas uar-uarkan?
Oleh itu sebagai parti yang berhasrat menegakkan perjuangan Islam, pemimpin-pemimpin Pas sudah tentu memahami bahawa Anwar sememangnya tidak layak menjadi pemimpin mereka.
Mana mungkin sebuah parti seperti Pas terlalu mengagung-agungkan pemimpin yang mengamalkan politik seperti Anwar yang sekali gus akan mencemarkan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.
Kini terserahlah kepada parti-parti pembangkang untuk menilai siapa ketua yang mereka kagumi itu dan kepada sebahagian rakyat yang masih taksub melihat Anwar sebagai 'pemimpin yang bersih dan murni'.
Apa pun kesimpulannya, pendedahan oleh Zahrain telah membuka wajah sebenar insan bernama Anwar Ibrahim dan membuktikan impian 16 September dilumuri dengan perancangan yang penuh dengan pembohongan, penipuan, pendustaan dan pengkhianatan, namun akhirnya kebenaran pasti memusnahkan kebatilan.
Warna-warni politik
Torashah
Jumaat, 19 Mac 2010
Dakwaan lompat: Zahrain dedah nama!
Menurutnya, beliau dibohongi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya jumlah ahli Parlimen BN yang akan melompat itu sudah lebih daripada mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Persekutuan.
Antara nama yang disebut ialah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar).
"Ahli Parlimen lain iaitu Dr. Mohd. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) malah salah seorang daripada Timbalan Speaker juga dikatakan akan melompat menyertai pembangkang," katanya.
Ketika ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bertanya: "Siapa (Timbalan Speaker) yang dimaksudkan itu?" Lalu dijawab ringkas oleh Zahrain: "Kita tahu sama tahulah."
Pendedahan Zahrain itu mendapat reaksi daripada anggota pembangkang dan penyokong kerajaan yang mengambil kesempatan untuk bangun mencelah ucapan perbahasan bagi menyokong usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong itu.
Bagaimanapun sesi hari ini lebih tenang dan lancar berbanding semalam hingga menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'panas punggung' dan bertindak keluar dewan.
Sepanjang hampir sejam Zahrain berucap itu, lebih 20 kali ahli-ahli Parlimen bangun mencelah, tidak termasuk mereka yang hanya menyampuk tanpa meminta kebenaran untuk berbuat demikian.
N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) antara yang paling banyak mengganggu ucapan Zahrain termasuk mengeluarkan beberapa perkataan yang 'tidak sedap' didengar seperti merujuk ahli Parlimen Bebas itu sebagai 'kamu' dan bukannya disebut Yang Berhormat atau Ahli Parlimen Bayan Baru.
Tindakannya itu telah beberapa kali ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Zahrain yang tetap tenang walaupun diserang bertubi-tubi telah menyatakan perasaan kecewanya terhadap Gobalakrishnan kerana hanya berdegar-degar dalam dewan tetapi sebaliknya apabila berada di luar.
"Dalam dewan berdegar-degar tetapi kat luar masa minum dengan saya rapat macam nak cium," katanya. Gobalakrishnan yang terasa dengan sindiran itu berkata: "Saya (selepas) ini tidak akan bersalaman dengan pengkhianat ini," katanya.
Pada ketika ini, Wan Junaidi sekali lagi menegur Gobalakrishnan supaya tidak menggunakan perkataan 'pengkhianat' di Dewan Rakyat. Situasi yang sedikit reda itu dipanaskan semula apabila Tian Chua (PKR-Batu) membangkitkan isu surat Zahrain yang dikatakan meminta sokongan kerajaan Pulau Pinang bagi dianugerahkan pangkat Datuk Seri, sesuatu yang berlawanan dengan pendirian yang disepakati pemimpin pembangkang sebelum ini.
Zahrain mempertikaikan surat itu sambil menyindir Tian Chua yang mabuk hingga melanggar mati seorang anggota tentera di Johor, baru-baru ini. Tian Chua yang berang dengan dakwaan itu, meminta Zahrain menarik balik tetapi tidak dipersetujui oleh Wan Junaidi yang mendakwa tidak mendengar dengan jelas kata-kata tersebut.
Gobalakrishnan bangun dan mengulangi semula apa yang diucapkan oleh Zahrain itu dengan mengatakan kereta itu dipandu oleh pemandu dan bukannya Tian Chua. "Saya tidak dengar, tetapi saya akan rujuk hansard nanti," kata Wan Junaidi.
Warna-warni politik
Torashah
Sabtu, 13 Mac 2010
Model ekonomi baru dan agenda Melayu!
Pada Ahad lalu, satu perbincangan meja bulat tentang perkara tersebut anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) telah diadakan. Perkara utama yang dibincangkan, apakah MEB ini akan mengambil kira beberapa kelemahan di kalangan orang Melayu pada hari muka.
Kelemahan dari segi pendapatan yang rendah, kelemahan dari segi jurang pendapatan antara kaum yang kian meluas, jurang antara Melayu bandar dan luar bandar yang luas dan pencapaian masyarakat perniagaan dan perdagangan Melayu setakat ini yang belum setakat mana dan penguasaan orang lain atas ekonomi negara kita.
Kelemahan-kelemahan itu tidak payah diulang berkali-kali kerana umum mengetahui penguasaan orang Melayu dalam ekonomi negara begitu rendah dalam semua bidang. Hakikatnya, semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dahulu perlu diteruskan. Banyak yang mengkritik mengatakan dasar itu bersifat diskriminasi kerana mengutamakan suatu kaum, sedangkan kaum bukan Melayu mendapat manfaat lebih daripada RM80 bilion.
Banyak negara lain di dunia mengamalkan dasar seperti DEB yang diamalkan oleh Malaysia. Misalnya, di India dinamakan dasar pertumbuhan dengan kesamarataan, di China - dasar pertumbuhan inklusif dan di Eropah - dasar pertumbuhan meluas. Malah Piagam Bangsa-bangsa Bersatu dan Bank Dunia bersetuju bahawa tindakan affirmative diperlukan dan penting demi kestabilan rakyat. Ketidaksamaan akan membawa kepada ketidakstabilan.
Pada masa ini, ada pihak mengatakan bahawa DEB telah menyebabkan pelabur asing tidak mahu melabur di negara kita, sedangkan hakikatnya pelabur asing tidak masuk sebanyak dahulu adalah kerana sudah banyak negara yang muncul menarik sama pelabur asing dan kita tidak bergerak ke arah industri berteknologi tinggi.
Kita telah menjual negara kita berasaskan gaji yang rendah, sedangkan negara yang gaji buruh yang tinggi menerima pelabur asing dua kali ganda daripada kita. Pelabur asing tidak datang ke sini sebanyak dahulu kerana kita mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran hanya sebanyak 25 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja.
Kemudian, tengoklah siswazah yang keluar dari institusi pengajian tinggi kita yang kebanyakannya tidak mahu diterima oleh sektor swasta kerana beberapa kelemahan seperti berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pengetahuan am, keyakinan diri dan kelemahan memilih bidang yang tidak secucuk dengan keperluan industri.
Jadi, walaupun kita bercakap berdegah-degah tentang pentingnya modal insan, modal insan Melayu begitu lemah jika dibandingkan dengan bangsa lain. Kita lihat Universiti Tuanku Abdul Rahman dapat keistimewaan untuk pelajarnya yang boleh menggunakan hospital dan klinik-klinik kerajaan, sedangkan Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia terpaksa mengadakan kemudahan untuk pelajar perubatan mereka sendiri.
UiTM yang baru menubuhkan fakulti perubatan juga terpaksa membangunkan kemudahan sendiri. Saya kurang pasti apakah perbincangan tempoh hari yang dihadiri oleh berpuluh badan bukan kerajaan dan ahli akademik akan menzahirkan apa yang dihajatkan iaitu bantuan kepada masyarakat dan usahawan Melayu tidak akan dipinggirkan dalam MEB.
Memandangkan pengumumannya akan dibuat pada akhir bulan ini, kita tertanya-tanya apakah input-input daripada perbincangan tersebut akan diambil kira oleh pihak-pihak bertanggungjawab. Salah seorang penceramah hari itu mengatakan kalau tindakan affirmative ini tidak diteruskan, maka orang Melayu akan jadi seperti Melayu di Singapura yang dipinggirkan. Di Pulau Pinang, sudah nampak tanda-tanda itu akan berlaku. Masih ada orang Melayu yang tidak sedar.
Pendirian yang telah dibuat pada hari meja bulat itu adalah NGO-NGO Melayu tidak boleh berdiam diri menelan apa jua yang diberi walaupun kepentingan Melayu diketepikan. Memang ada pihak-pihak menyarankan agar kerajaan tidak memberi bantuan lagi kepada orang Melayu, menyarankan biar yang besar berkuasa, berdayasaing dengan sikap brutal dan macam-macam lagi yang menunjukkan sifat picik dan jumud mereka.
Apa yang lebih menyedihkan adalah orang Melayu sendiri yang sudah hidup selesa turut sama menyarankan dihapuskan DEB atau sebarang dasar sedemikian. Tengkuk mereka sudah lepas, maka mereka tidak peduli tengkuk orang lain. Golongan itu juga berfikiran sempit mempunyai blindspot dalam pemandangan mereka. Mereka ini tidak sedar apa yang berlaku. Kalau pelaksanaan yang menjadi masalah, jangan keseluruhan dasar hendak dibuang. Kita tidak bakar kelambu kalau marahkan nyamuk.
Kita kena lihat kalau ada kebocoran dan ketirisan dalam pelaksanaan dahulu, di mana yang bocor dan di mana yang tiris. Kalau perlu semua yang terlibat kena pergi sekolah balik. Kalau ada yang didapati bersalah, patut dihukum, jangan dipindahkan saja ke lain jabatan. Lihat saja laporan Ketua Audit Negara penuh dengan kejanggalan. Berapa orang yang kita dengar kena ambil tindakan? Justeru, penglibatan kerajaan diperlukan untuk memberikan keseimbangan.
Warna-warni Politik
Torashah
Rabu, 10 Mac 2010
Liwat II: Anwar berperang VCD pula!
Visual berkenaan dipercayai dimuat-turun dari internet dan diterbitkan serta diedarkan di rumah-rumah sekitar di Bandar Baru Bangi sejak Sabtu lalu. Persoalan timbul bagaimana rakaman boleh dibuat di penjara dan dibawa keluar daripada penjara yang mempunyai tahap keselamatan yang canggih.
Video berjudul 'Sandiwara Anwar sebab-sebab MP PKR keluar parti, tengok sampai habis' itu dipercayai dirakamkan ketika Anwar mengadu dia mengalami sakit belakang dan sakit tengkuk.Video itu menunjukkan Anwar dalam kesakitan ketika dibenarkan keluar menziarahi upacara pengebumian keluarganya.
Bagaimanapun, gambar di penjara pula menunjukkan bekas timbalan perdana menteri itu kelihatan sihat dan boleh berdiri dengan mudah. Seorang peniaga, Mohd Arshad Ishak, yang mendakwa salinan VCD itu diletakkan di peti surat di rumahnya di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, membuat laporan polis semalam.
"Saya tidak tahu siapa yang mengedarkan VCD itu tetapi pelik bagaimana rakaman itu boleh dibawa keluar dari penjara Sungai Buluh dan siapa yang bertanggung-jawab membawanya keluar,” katannya dalam laporan polis.
“Saya percaya orang yang membawa keluar rakaman itu telah melakukan pecah amanah sedangkan penjara adalah kawasan keselamatan.” kata Mohd Arshad, 26 yang juga mewakli Gerakan Anti Liwat atau GELI.Beliau memberitahu wartawan kemungkinan gambar-gambar itu adalah dari rakaman kamera litar tertutup penjara berkenaan.
Selamatkan Islam
Sehubungan itu, dia mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat bagaimana visual berkenaan boleh berada di internet dan VCD, mengenalpasti pegawai penjara yang terbabit dan menentukan ketulinan rakaman itu.
Sementara itu, kumpulan Anwar pula sibuk mengedarkan video berhubung fatwa daripada tokoh ulama Islam, Yusof Al Qardhawi dari Mesir yang juga adalah penerima tokoh Maal hijrah Malaysia tahun lalu.Berjudul 'Fatwa Mutakhir Dr Yusuf Al Qardhawi berhubung konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim', video itu diterbitkan oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Wanita.
Video selama 33 minit itu dirakamkan di kediaman Al Qardhawi di Doha dan diterjemahkan oleh ahli jawatankuasa pusat Pas, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin. Dalam rakaman itu, tokoh tersohor Islam itu berkata sesiapa yang menyebarkan sesuatu dakwaan yang tidak benar boleh dihukum sebagai fasik.
VCD itu dilancarkan Sabtu lalu sempena sambutan ulang tahun kedua kemenangan memberangsangkan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008. Semasa pelancaran VCD itu, Anwar dilaporkan berkata bahawa Al-Qardawi memaklumkan kepada beliau supaya menyebar mesej berkenaan demi menyelamatkan umat Islam. "Yusuf berkata 'tolong selamatkan mereka...ini adalah tanggung-jawab, tolong beritahu yang lain'," tambah Anwar.
Warna-warni Politik
Torashah
Selasa, 9 Mac 2010
Janji Tinggal Janji : Ibu Tunggal Tuntut Janji Elaun Khas!
Itulah ungkapan yang dikeluarkan kebanyakan ibu tunggal di negeri ini apabila ditanya sama ada kerajaan negeri menyalurkan bantuan kebajikan kepada golongan itu seperti yang pernah dijanjikan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.
Rata-rata mereka menyifatkan janji kerajaan negeri yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka itu hanyalah 'janji kosong' semata-mata.
Menurut Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor (Anggerik Murni), Nortini Kasman, kerajaan negeri hari ini dilihat banyak mengabaikan soal kebajikan ibu tunggal dalam program pembangunan yang dilaksanakan ketika ini.
Malah, katanya, janji dalam manifesto pilihan raya pakatan pembangkang untuk memberikan elaun khas kepada ibu tunggal juga hanyalah satu harapan kosong. "Kami (golongan ibu tunggal) ini bukannya suka nak meminta-minta. Akan tetapi kalau kerajaan negeri telah berjanji untuk beri bantuan, sepatutnya mereka tunaikan.
"Akan tetapi sehingga hari ini tiada sebarang bantuan atau elaun diberikan oleh kerajaan negeri untuk membantu mengurangkan bebanan kami. "Malah, kerajaan negeri juga sejak mula mentadbir Selangor tidak pernah menjenguk golongan ibu tunggal di Selangor ini apatah lagi tawarkan bantuan atau kerjasama kepada kami," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status pemberian elaun khas kepada ibu tunggal yang dijanjikan oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang melalui manifesto pilihan raya umum lalu. Tambah Nortini, ketika ini golongan ibu tunggal yang berdaftar di bawah Anggerik Murni banyak bergantung antara satu sama lain bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti sampingan bagi meningkatkan taraf ekonomi serta menyara keluarga masing-masing.
"Kebanyakan golongan ibu tunggal ini mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan. Cuma apa yang kita lakukan kita kumpul dana sendiri hasil daripada kutipan yuran persatuan untuk adakan program dan aktiviti tingkatkan pendapatan kami. "Kalau ada program bantuan dan sokongan pun, kita hanya terima daripada pihak kementerian dan agensi Kerajaan Pusat, bukannya daripada kerajaan negeri," jelasnya.
Pandangan yang sama turut diberikan oleh Mohani Haron, 62, yang juga seorang ibu tunggal di Kapar, Klang yang menyatakan rasa kesal dengan kerajaan negeri yang 'bercakap kosong' dalam soal menjaga kebajikan ibu tunggal. Katanya, sebagai sebuah kerajaan negeri, adalah tanggungjawab PKR, DAP dan Pas untuk membantu rakyat seperti mana yang telah dijanjikan sebelum ini.
"Kerajaan negeri buat janji, laksanakanlah, tak kan nak tunggu rakyat mohon, desak baru nak buat. Kalau tak mampu, jangan buat janji," katanya yang kini menjalankan aktiviti jahitan bagi menyara keluarganya. Dalam pada itu, seorang lagi ibu tunggal, Zatina Zainuddin, 49, berkata, beliau sebenarnya tidak terlalu berharap mengenai pembayaran elaun kepada golongan senasib dengannya kerana mengetahui perkara tersebut tidak mungkin berlaku.
Ini kerana, katanya, sekiranya kerajaan negeri bersungguh-sungguh mahu menyalurkan elaun berkenaan, sudah tentu usaha tersebut dilakukan sebaik sahaja pakatan pembangkang mentadbir Selangor. "Sekarang dah masuk dua tahun, tidak ada apa-apa pun kita dengar mengenai bayaran elaun kepada ibu tunggal. Jangan kata kerajaan negeri nak jumpa golongan seperti kita ini, bertanya khabar pun tak ada langsung," ujarnya.
Warna-warni Politik
Isnin, 8 Mac 2010
Empat ahli Parlimen keluar PKR dicabar!
"Saya mencabar mereka tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat kelak bagi membolehkan kerusi dalam Dewan Rakyat dikosongkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, perkara 52 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang anggota Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat selama satu penggal maka jawatan Ahli Parlimen akan gugur secara automatik.
Empat anggota Parlimen terbabit ialah Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) dan Zulkifli Nordin (Kulim/Bandar Baharu).
"Jika mereka mengatakan pemilihan mereka berdasarkan pilihan rakyat, saya cabar mereka meletak jawatan dan satu pilihan raya (kecil) diadakan untuk membuktikan kemenangan mereka memang dipilih oleh rakyat dan mereka harus ingat, jangan bermegah kerana mereka menang pun atas tiket PKR," katanya.
Di SHAH ALAM, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mencabar Zulkifli untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen kawasan itu. "Jika beliau (Zulkifli) seorang lelaki yang mempunyai prinsip, beliau hendaklah mengosongkan kerusi itu dan membenarkan pemilih menentukan nasibnya,'' katanya.
Di PULAU PINANG, Wan Azizah juga menafikan dakwaan bahawa PKR akan tumbang berikutan dengan perkembangan terkini di mana empat anggota Parlimennya keluar parti.
Karpal sepatutnya marahkan Anwar kerana mengajar ahli-ahli MP supaya melompat parti? Takkan lah Karpal sudah lupa sehingga menyuruh Anwar bertaubat? Jadi Karpal sepatutnya mencabar sekali lagi supaya Anwar " bertaubat" dan bukannya mencabar empat ahli Parlimen?
Warna-warni Politik
Torashah
Jumaat, 5 Mac 2010
Tok Guru Nik Aziz Mengkhianati Islam!
Dengan kata lain, Nik Aziz tidak boleh disentuh sama sekali.Apakah perlu sama terikat dengan tanggapan itu sedangkan Nik Aziz makin banyak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar? Sudah tentu tidak, tidak boleh berdiam. Yang salah mesti disanggah apatah lagi melibatkan soal kepentingan Islam.
Berdasarkan maklumat yang diterima, sebahagian ahli dan penyokong Pas juga tidak senang dengan satu demi satu kenyataan liar Nik Aziz yang hanya memburukkan imej parti itu. Kata kesat beliau ''pergi jahanam sama UMNO" dan kenyataannya bahawa tidak salah DAP menghina Islam, cukup membingungkan.
Belum reda isu itu beliau menyatakan pula penyokong UMNO tidak akan masuk syurga, yang kemudian mengundang bantahan umat Islam termasuk Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Malah ada pemimpin Pas antaranya Ketua Dewan Ulama Pas, Harun Taib secara terbuka tidak bersetuju dengan Nik Aziz. Menurut Harun, peluang masuk syurga adalah urusan Allah dan ia tidak bergantung kepada parti yang disertai.
Sesungguhnya sudah tercatat dalam sejarah Islam tentang beberapa kisah tok guru dan ulama yang sama ada sedar atau tidak sedar, telah mengkhianati agamanya sendiri. Dari semasa ke semasa, Islam bukan sahaja menghadapi serangan dan ujian daripada kalangan musuh Islam malah daripada segelintir ulama yang mempergunakan agama untuk kepentingan tertentu sehingga mengakibatkan kekeliruan dan perpecahan ummah.
Golongan inilah yang memudaratkan Islam. Jadi mengapa kita harus gusar untuk menyanggah golongan begini?Dalam kes Nik Aziz, rakyat percaya beliau tidak berniat untuk menghina dan memudaratkan Islam tetapi tindak-tanduknya sudah dilihat begitu. Pada pengamatan rakyat, masalah dengan Nik Aziz adalah ego dan riaknya sebagai seorang ulama. Itulah juga masalah dengan segelintir ulama, kerana ego mereka sanggup memperjudikan Islam.
Untuk berlaku adil, buatlah kajian tentang Nik Aziz sejak beliau menjadi Menteri Besar. Berapa banyak kenyataannya yang meragukan dan tidak berasaskan ajaran Islam sebenar?Dalam pada itu, rakyat ingin bertanya Nik Aziz tentang peranan yang UMNO mainkan selama ini dalam menegakkan Islam bermula dengan menulis perlembagaan negara yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi sehinggalah kepada pembangunan syiar Islam.
Masyarakat Islam dunia turut mengakui dan mengiktiraf Malaysia sebagai model negara Islam. Kelahiran Tabung Haji, Universiti Islam, Bank Islam, instrumen kewangan Islam, insurans Islam, sekolah-sekolah agama dan banyak lagi yang kerajaan BN pimpinan UMNO telah lakukan atas nama pembangunan Islam.
Itu belum bercakap tentang pembinaan puluhan ribu masjid dan surau. Di Kelantan sendiri, lebih 500 masjid dibina oleh kerajaan UMNO. Menurut maklumat hanya sebuah masjid yang kerajaan Pas bina. Apa maknanya ini semua sedangkan Nik Aziz sudah memerintah Kelantan lebih tiga penggal? Apakah usaha UMNO ini tidak Islamik dan penyokong UMNO dinafikan ke syurga berdasarkan tafsiran beliau?
Rakyat bimbang pendekatan Nik Aziz bukan sahaja akan melemahkan Islam malah menakutkan orang bukan Islam yang mahu berjinak-jinak untuk memahami dan menerima Islam. Islam mesti dipromosikan dengan pendekatan sederhana, bijaksana dan toleransi sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi Muhamad SAW.Lebih ramai bukan Islam memeluk agama Islam di negara ini bukannya kerana peranan Pas apatah lagi Nik Aziz sebaliknya kerana UMNO. Sama ada suka atau tidak untuk diakui, itulah hakikatnya.
Lebih ramai bukan Islam tertarik menyertai Islam di bawah teraju kepimpinan UMNO terutama ketika zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir Mohamad yang melaksanakan pendekatan sederhana dan progresif. Dalam kaitan ini, UMNO yang lebih dominan tentu ada kelemahan yang boleh diperbaiki dan Pas yang jauh tercicir dalam sumbangan kepada pembangunan Islam, boleh dilonjakkan pencapaiannya.
Carilah titik penyatuan terutama dalam isu-isu kepentingan umat Islam. Tetapi menghina, memburukkan dan memperlekehkan sesama orang Islam bukan caranya. Apa pun pintu taubat dan memohon kemaafan masih terbuka luas untuk kita semua lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini. Itu pun jika kita tidak dicengkam ego dan riak.
Wallahuallam.
Warna-warni Politik
Torashah
Khamis, 4 Mac 2010
Pentas Pidato UMNO : Ezam Buka Pekong Anwar!
Antara kupasan isu yang menarik adalah tentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim tidak pernah jujur dalam menjalin hubungan dengan Pas termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ezam Mohd. Nor berkata, Anwar mempunyai agendanya sendiri dalam menjalinkan kerjasama dengan Pas terutama ketika berdepan krisis moral.
Katanya, Anwar hanya mahu mempergunakan Pas semata-mata demi melepaskan diri daripada tuduhan meliwat. " Bagi saya, istilah kejujuran itu tidak ada pada Anwar dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Ia bukan sahaja kes membabitkan Nik Aziz tetapi juga dalam kes lain, kes liwat dan sebagainya".
" Buktinya dalam kes Kelantan, semasa Anwar jadi Menteri Kewangan dulu, dia tidak meluluskan peruntukan yang diminta Nik Aziz ketika itu untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan, Menteri Kewangan selepasnya yang meluluskan perkara itu,” katanya . Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Amar Leo Moggie walaupun bukan Islam namun beliau juga memiliki hati perut yang bersih mahu melihat rakyat Islam di Kelantan turut sama mendapat kemudahan ini. Leo Moggie telah secara peribadi merayu kepada Anwar tetapi mantan TPM itu tetap dengan keputusannya malah menyebut ‘No Way!’…” tambah Ezam meneruskan ceritanya.
Kata Ezam lagi, bagi memastikan agenda politiknya terus hidup, Anwar menggunakan Pas untuk meraih simpati dan menyelesaikan masalah moral yang dihadapi. "Anwar memang terdesak sekarang, orang macam Nik Aziz yang dilihat macam Tok Guru memang diperlukan oleh Anwar kerana dia menghadapi krisis moral, jadi Anwar akan menggunakannya untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya. Beliau berkata, Pas kini dilihat sudah mula terpedaya dengan mainan politik Anwar sehingga sanggup menggadaikan prinsip utama parti untuk menubuhkan negara Islam.
" Kita tengok sekarang, Pas seperti sudah meninggalkan asas penubuhannya untuk menubuhkan negara Islam dan bagi saya, ini semua gara-gara Anwar yang memanipulasikan keadaan menyebabkan Pas tersepit. " Sebagai contoh, DAP bersama Pas bukan kerana Pas tetapi kerana jaminan Anwar bahawa Pas tidak akan membawa negara Islam, sekarang saya hendak tanya adakah betul Pas tidak mahu lagi negara Islam," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencabar Pas supaya menyatakan pendiriannya adakah masih mahu menubuhkan negara Islam ataupun hanya mencari kuasa politik dengan mengorbankan dasar perjuangannya sebelum mengakhiri ucapan beliau.
InsyaAllah Ezam akan terus menggegarkan Pentas Pidato dan Ceramah Umum di Selangor dan destinasi seterusnya adalah di Parlimen Kota Raja…!
Warna-warni Politik
Torashah