Ahad, 25 Oktober 2009

PAS : Retak Menanti Belah !

'Tiada siapa jadi dalang'

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan gesaannya agar kepimpinan Pas dibersihkan daripada golongan prokerajaan perpaduan didalangi oleh pihak yang berkepentingan.

Sambil mempertahankan pendiriannya, beliau menegaskan isu yang tercetus daripada apa yang dianggapnya sebagai cadangan itu diluahkan dengan ikhlas demi masa depan parti yang telah dipupuk sekian lama.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau sudah cukup arif untuk membuat pertimbangan sendiri dan yakin cadangan itu jika diterima tidak akan memecah-belahkan Pas. ''Saya dah tua, tak payah orang lain jadi dalang. Saya nak jaga parti saya supaya dihormati sampai bila-bila," katanya ketika diminta mengulas desas-desus ekoran kenyataannya itu.

Ramai kalangan ahli Pas tidak percaya bahawa beliau membuat pertimbangan sendiri dalam mengemukakan gesaan itu melainkan dipengaruhi oleh pihak tertentu. Menurut Nik Abdul Aziz, tidak perlu lagi baginya untuk terus menjelaskan persoalan itu dan terserah kepada parti sama ada menerima atau tidak.

''Jika ramai yang tak setuju Muktamar Agung Khas (EGM) tak apa... saya keluarkan fikiran saya, kalau setuju, Alhamdulillah," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Masjid Noor Aini (Cahaya Mataku), Pasir Hor dekat sini hari ini. Utusan Malaysia hari ini melaporkan Nik Abdul Aziz mahu Pas dibersihkan daripada kumpulan prokerajaan perpaduan melalui EGM walaupun ia mungkin menyebabkan parti berusia 58 tahun itu berpecah.

Nik Abdul Aziz menamakan tiga pemimpin yang perlu 'dibersihkan' iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Laporan media itu turut merujuk kepada kenyataan melalui blognya kelmarin yang dibuat setelah meneliti tulisan seorang pensyarah dan mendengar pandangan rombongan penyokong parti dari Sabah dan Sarawak yang mencemaskannya. Ditanya apakah tiada pendekatan lain untuk menyelesaikan persoalan berbangkit, beliau berkata: ''Saya tak mahu buat benda lain, saya sebut sekali. Terima. Alhamdulillah, tak terima tak apa.. saya tidak memaksa.

''Saya nak jaga Pas saya kerana ia parti yang dihormati oleh masyarakat. Kalau ada orang (buat) itu ini, saya kena buat sesuatu. Saya ikhlas nak jaga parti yang saya bajai, airi dan pagar sekian lama." Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada sebab baginya untuk menarik balik kenyataan yang mengejutkan itu kerana menganggap ia suatu yang benar.

Beliau juga menafikan kenyataan yang dibuatnya itu sebagai langkah terakhir untuk menyiapkan kepimpinan sebelum melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar. ''Selagi umur saya ada, banyak lagi yang terakhir," ujarnya. Menyentuh mengenai kemungkinan perubahan barisan kepimpinan melalui EGM tidak akan tercapai sekiranya perwakilan mahu mereka terus dikekalkan, beliau berkata: ''Saya tak perlu jawab, jawab yang ini timbul yang lain pula."

Namun beliau mengulangi bahawa sekiranya apa yang dimahukan tidak diterima oleh parti, ia tidak akan mengecewakannya kerana beliau cuma memberikan buah fikiran. ''Saya tak kecewa kalau orang tak terima... dalam dunia ini kalau nak kecewa, selama-lamanya kecewa," ujarnya.

Pas tak perlu ada EGM

Pas tidak perlu mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) untuk membersihkan parti daripada kumpulan prokerajaan perpaduan kerana yang wujud hanya sedikit kekeliruan dan salah faham di kalangan pemimpin parti itu. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, EGM yang dibuat oleh MCA dan UMNO berbeza, justeru beliau tidak nampak sebarang keperluan untuk Pas juga mengadakan EGM.

"UMNO buat EGM sebab pemimpinnya nak perkasakan parti ini melalui pindaan perlembagaan parti. "MCA buat EGM sebab masalah dalaman pemimpin mereka dan saya rasa Pas tidak ada masalah sehingga perlu ke tahap nak buat EGM," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu mengadakan EGM kerana mahukan Pas dibersihkan daripada kumpulan prokerajaan perpaduan.

Nik Aziz mahu EGM diadakan segera bagi mendapatkan keputusan sama ada pemimpin Pas yang menyokong perpaduan dengan UMNO diterima atau ditolak daripada parti itu.
Beliau menamakan tiga pemimpin bermasalah yang perlu 'dibersihkan' iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Menurut Azizan, apa yang berlaku dalam parti itu hanya disebabkan perbezaan pendapat dan sedikit kekaburan mengenai sesuatu perkara. "Perbezaan pendapat ini adalah satu rahmat dan ia tidak teruk seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak," katanya.

Hadi, Harun mahu dengar penjelasan dahulu

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib mahu mendapatkan penjelasan daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terlebih dahulu berhubung kenyataannya ingin mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menukar pemimpin bermasalah.
Harun berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika dihubunginya juga memaklumkan akan turut mengambil pendekatan sama dalam menangani perkara itu.

Ini kerana, katanya, mereka tidak yakin kenyataan dalam laman blog Menteri Besar Kelantan itu merupakan pendapat yang ditulisnya sendiri. "Saya kenal dengan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dan saya tidak fikir kenyataan itu ditulis sendiri oleh beliau... Ini kerana beliau mempunyai cara dan gaya penulisannya tersendiri iaitu turut melibatkan dalil dan ayat al-Quran.

"Namun, jika benar beliau yang membuat kenyataan tersebut, kita akan memikirkan apakah tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui selepas Majlis sambutan Jubli Perak Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) di sini hari ini. Beliau diminta mengulas mengenai tulisan Menteri Besar Kelantan itu dalam blognya http://www.blogtokguru.com yang mencadangkan supaya EGM diadakan bagi 'membersihkan' beberapa orang pemimpin Pas yang bermasalah.

Harun berkata, beliau mempunyai saluran dan cara tersendiri untuk mendapatkan kesahihan itu. "Buat sementara waktu ini, kita tetap dengan pendekatan untuk tidak memberi apa-apa komen," katanya. Ditanya mengenai tiga pemimpin yang didakwa pro kepada kerajaan perpaduan atau yang perlu 'dibersihkan' dalam parti berkenaan, beliau berkata, ia merupakan cerita lama dan tidak perlu diulas lagi.

Tambahnya, ketika ini, Pas masih kukuh dan tiada sebarang pergolakan yang berlaku.
"Parti ini tidak ada pergolakan tapi sengaja digoyangkan, (seperti) pokok digoyang tetapi jika 'berkocok' sebab ada orang yang menggoyangkannya," jelasnya.

Mustafa Ali berdiam diri

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang namanya antara disasar untuk 'dibersihkan' daripada parti itu mengambil pendekatan berdiam diri. Beliau bertegas untuk tidak membuat sebarang ulasan berhubung kenyataan Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dan lebih senang mengambil pendekatan tunggu sahaja perkembangan seterusnya.

"Biarlah beliau (Nik Abdul Aziz) membuat apa-apa kenyataan sekalipun, saya tidak mahu komen apa-apa. Tunggu dan lihat dulu apa yang berlaku," katanya. Sambil ketawa, Mustafa berkata: ''Terpulanglah kepada awak untuk mentafsirnya.''

Permintaan Nik Aziz dibawa ke peringkat pusat

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini ekoran kenyataan mengejutkan oleh Mursyidul Am parti itu.
Dalam pertemuan kira-kira 30 minit di kediaman Nik Abdul Aziz, beliau mendapatkan penjelasan mengenai pendirian pemimpin itu dan akan memanjangkan persoalan berbangkit kepada pimpinan Pusat dalam masa terdekat ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan butir-butir perbincangan mereka sebaliknya menganggap ia sebagai amanah yang hanya akan diumumkan selepas dibincangkan di peringkat Pusat. "Saya telah bertemu dengannya dan dengar dari mulut dia sendiri. Beliau telah meminta saya membawa amanah ini untuk disampaikan ke peringkat Pusat.

"Saya tidak boleh dedahkan amanah ini buat masa ini. Saya akan pulang ke Kuala Lumpur dan akan maklumkan kepada pimpinan tertinggi mungkin esok atau lusa," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Politik dalaman Pas bergolak semula dengan tiba-tiba apabila Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan melalui blognya mencadangkan agar Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan.

Nik Abdul Aziz menamakan tiga pemimpin prokerajaan yang bermasalah dan perlu dibersihkan melalui EGM iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali. Nik Abdul Aziz yang mengesahkan pendiriannya kepada pihak media semalam berkata, perubahan itu dianggap perlu kerana ia juga sebahagian daripada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sementara itu, Salahuddin menolak tanggapan beberapa pihak bahawa wujud masalah dalaman dalam parti itu yang membawa kepada penulisan artikel berkenaan. "Saya rasa tidak wujud masalah perpecahan dan tidak wujud isu dalaman parti. Saya telah mendengar sendiri apa yang beliau katakan dan tunggulah sehingga keputusan rasmi diumumkan kepada keseluruhan parti," jelasnya. Ditanya sama ada pendirian Nik Abdul Aziz itu mempunyai asas yang kukuh, Salahuddin sekali lagi enggan mengulas mengenainya dan meminta semua pihak bersabar.

Warna-warni politik
Torashah

1 ulasan:

abe MIE 'TERJAH' berkata...

betul ke iniweb UMNO Puncak Alam.

Saya tinggal di saujana utama, sg buluh.

boleh hubungi saya

norjimi@yahoo.com

tq


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor